Rencana ini diterbitkan khas bersempena dengan ulang tahun ke-25 penubuhan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang jatuh pada 30 April 2023. Rencana ini hanya memberikan gambaran ringkas tentang sebahagian perjalanan perjuangan PSM dari zaman sebelum penubuhannya sehingga ke dekad kedua abad ke-21, dan memang tidak dapat merangkumi semua peristiwa yang melibatkan PSM sepanjang tempoh masa ini.
==========
Prolog: Zaman di ambang penubuhan PSM
Parti Sosialis Malaysia (PSM) ialah sebuah parti politik berhaluan kiri di Malaysia yang lahir daripada gerakan perjuangan rakyat marhaen. Politik berhaluan kiri bermakna politik yang memperjuangkan kesamarataan dan kesaksamaan dari segi pengagihan kekayaan masyarakat serta pembebasan rakyat daripada segala bentuk penindasan dan eksploitasi, bertentangan dengan politik berhaluan kanan yang mendukung susunan hierarki masyarakat kapitalis yang mengutamakan keuntungan golongan elit pemerintah kapitalis dengan mengeksploitasi golongan rakyat bawahan.
PSM ditubuhkan pada zaman pasca Perang Dingin abad ke-20. Dunia kita dibelenggu Perang Dingin selama lebih empat dekad selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, di mana pertembungan antara dua blok kuasa besar, iaitu Blok Barat yang diterajui oleh Amerika Syarikat (AS) dan Blok Timur yang diketuai oleh Kesatuan Soviet, telah menolak rakyat sedunia ke dalam pelbagai konflik geopolitik, perang proksi dan pemerintahan kuku besi yang menyekat ruang demokratik rakyat. Kekuasaan imperialis AS dalam Blok Barat telah menggunakan pelbagai taktik kotor lagi keji untuk menghancurkan gerakan progresif yang memperjuangkan keadilan sosial dan pembebasan sebenar; sementara pemerintahan birokratik Stalinis dalam Blok Timur pula menggunakan kekerasan yang melampau untuk mematahkan segala usaha pembaharuan sosialis yang lebih demokratik dan bersifat pembebasan.
Kejatuhan Tembok Berlin pada tahun 1989 dan pembubaran Kesatuan Soviet pada tahun 1991 menandakan kebankrapan pemerintahan birokratik Stalinis, tetapi pada masa yang sama juga memberi impak hebat kepada gerakan kiri di seluruh dunia. “Sosialisme”, satu istilah yang menginspirasikan rakyat sedunia untuk bangkit melawan sistem sosio-ekonomi kapitalis yang eksploitatif dan memperjuangkan sebuah masyarakat yang lebih saksama selama ini, telah menjadi kurang menarik lagi dalam mata khalayak ramai pada penghujung abad ke-20. Eksperimen dalam bentuk “sosialisme negara” di Blok Timur yang penuh dengan sejarah tragik dan akhirnya menemui kegagalan, telah menjejaskan kewibawaan sosialisme dan menjadi beban sejarah kepada gerakan sosialis di merata tempat, walaupun tidak semestinya sehaluan dengan pegangan politik pemerintah negara Blok Timur. Negara Republik Rakyat China juga membuka pintu kepada kapitalisme global mulai penghujung tahun 1970-an. Banyak parti berhaluan kiri bukan sahaja menukar nama, malah mengubah hala tuju dan program politik mereka dengan penampilan yang lebih moderat, kononnya bersesuaian dengan keadaan zaman pada masa itu. Di Malaysia pula, Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) menggugurkan “Sosialis” (S) daripada nama dan perlembagaan partinya pada tahun 1989.
Sementara itu, golongan yang mendukung sistem kapitalis pula menjadi semakin angkuh dan liar dalam melaksanakan dasar ekonomi neoliberal yang meliberalisasikan perdagangan antarabangsa, menswastakan sektor awam kepada pihak korporat yang bermotifkan keuntungan dan menyahkawal selia pasaran untuk mempermudahkan aktiviti pengautan keuntungan korporat, sehingga melebarkan lagi jurang antara yang kaya dengan yang miskin di seluruh dunia, di samping memburukkan lagi krisis alam sekitar. Di Malaysia, kerajaan di bawah kepimpinan Mahathir Mohamad pada masa itu turut memeluk dasar ekonomi pasaran bebas yang bercampur aduk dengan kronisme, nepotisme dan politik naungan sejak tahun 1980-an, di samping menyekat ruang demokratik dengan menggunakan akta zalim, seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Penangkapan besar-besaran di bawah ISA semasa Operasi Lalang pada tahun 1987 untuk melenyapkan suara pembangkang ialah salah satu titik hitam yang represif dalam sejarah rejim pentadbiran Mahathir.
Asal usul PSM: Perjuangan rakyat marhaen untuk hak asasi dan kehidupan bermaruah
Ekonomi Malaysia mengalami pertumbuhan yang pesat pada tahun 1990-an, tetapi ia adalah berasaskan pengorbanan yang besar dan pemangsaan yang teruk terhadap golongan rakyat marhaen, termasuk pekerja ladang, pekerja kilang, peneroka bandar, masyarakat Orang Asal/Asli, anak muda, penjaja kecil dan sebagainya. Misalnya, dalam sektor perladangan, walaupun pekerja-pekerja ladang telah membanting tulang beberapa generasi untuk menghasilkan keuntungan kepada syarikat-syarikat perladangan besar, tetapi mereka masih tidak dibayar gaji bulanan pada awal tahun 1990-an. Lebih teruk lagi adalah, apabila ladang-ladang besar beralih daripada penanaman getah kepada kelapa sawit, ramai pekerja diberhentikan kerja dan diusir keluar dari rumah kediaman mereka di dalam kawasan ladang tanpa perumahan alternatif. Penindasan terhadap pekerja-pekerja dalam sektor perladangan ini melahirkan gerakan pekerja ladang yang diterajui oleh Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML), di mana kumpulan-kumpulan masyarakat yang bergabung dalam JSML menjadi komponen penting dalam menubuhkan PSM.
JSML telah memainkan peranan penting dalam menggerakkan pelbagai kempen masyarakat ladang, seperti menuntut gaji bulanan untuk pekerja ladang dan sebagainya. JSML melancarkan satu kempen nasional pada tahun 1992 untuk menuntut supaya merangkumkan masyarakat ladang ke dalam rancangan pembangunan luar bandar. Terdapat juga banyak perjuangan di kawasan masyarakat ladang yang menentang pengusiran paksa pada tahun 1990-an dan awal 2000-an, seperti yang pernah berlaku di Ladang Stratshila, Ladang Klebang, Ladang Sungai Rasah dan sebagainya. Aktivis-aktivis dan pekerja-pekerja ladang yang terlibat dalam perjuangan ini kemudiannya menjadi sebahagian daripada tulang belakang organisasi PSM.
Satu lagi komponen gerakan masyarakat marhaen yang membawa kepada kelahiran PSM ialah perjuangan peneroka bandar. Golongan peneroka bandar ialah mereka yang berhijrah dari kawasan luar bandar ke kawasan bandar semasa proses pembangunan ekonomi perindustrian dan urbanisasi di negara kita tetapi terpaksa membina rumah di atas tanah kerajaan atau tanah swasta milikan orang lain kerana tiadanya dasar perumahan awam yang komprehensif. Apabila bandar-bandar besar dibangunkan lebih lanjut lagi, golongan peneroka bandar ini terdedah pula kepada ancaman pengusiran paksa. Lebih-lebih lagi, dasar “Setinggan Sifar” yang diamalkan oleh kerajaan turut memangsakan golongan peneroka bandar. Terdapat banyak perjuangan masyarakat peneroka bandar melawan pengusiran paksa dan menuntut hak perumahan pada sekitar tahun 1990-an, seperti Kampung Bukit Sungai Putih, Kampung Udara dan Kampung Sungai Nipah.
Perjuangan yang dilakukan oleh masyarakat marhaen di ladang dan komuniti peneroka bandar ini ialah perjuangan untuk menegakkan hak asasi manusia dan mempertahankan kehidupan yang bermaruah bagi golongan bawahan. Perjuangan inilah yang menjadi pencetus dan perintis kepada usaha membentuk sebuah parti politik berhaluan kiri baharu demi membela nasib rakyat marhaen di negara kita.
Pengasas-pengasas PSM
Pada 1 Mei 1994, Dataran Merdeka di ibu negara Malaysia dikejutkan dan digegarkan oleh satu perhimpunan massa yang disertai oleh lebih kurang 3,000 orang rakyat marhaen untuk menyambut Hari Pekerja Sedunia. Aksi massa ini merupakan perhimpunan Hari Pekerja yang terbesar dalam tempoh 20 tahun pada masa itu. Beberapa tahun sebelum itu, masyarakat sivil di Malaysia masih diselubungi dengan suasana suram berikutan Operasi Lalang 1987, dengan tiadanya aksi protes besar-besaran sejak itu.
Aksi sambutan Hari Pekerja Sedunia di Kuala Lumpur pada tahun 1994 dianjurkan oleh Jawatankuasa 1 Mei yang dibentuk daripada jaringan kumpulan masyarakat yang mengorganisasi sektor masyarakat ladang dan peneroka bandar. Tiga kumpulan utama yang terlibat dalam jaringan masyarakat tersebut ialah Suara Warga Pertiwi (SWP), Alaigal dan Pusat Pembangunan Masyarakat (CDC). Dalam buku “Mengapa 10 tahun untuk daftar PSM?”(2020), penulisnya S. Arutchelvan, salah seorang pengasas PSM, menyifatkan perhimpunan Hari Pekerja pada tahun 1994 sebagai “satu persimpangan” di mana tiga titik itu bertemu. Tiga kumpulan masyarakat yang bertemu dalam aksi sambutan Hari Pekerja pada tahun 1994 inilah, menjadi asas dan teras utama kepada penubuhan PSM kemudian.
Suara Warga Pertiwi (SWP) ialah sebuah kumpulan masyarakat yang ditubuhkan oleh Dr. Mohd Nasir Hashim dan V. Selvam. Penglibatan Dr. Nasir dan Selvam dalam dunia aktivisme boleh dijejak kembali kepada penyertaan mereka dalam Biro Buruh Institut Analisa Sosial (INSAN) pada tahun 1980-an. Mereka terlibat dalam banyak perjuangan masyarakat akar umbi pada masa itu. Dr. Nasir ditahan selama 15 bulan di bawah ISA pada tahun 1987 semasa Operasi Lalang. Dr. Nasir juga merupakan salah seorang pengasas Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), sebuah organisasi hak asasi manusia yang ditubuhkan oleh bekas tahanan ISA dan keluarga mereka yang pada asalnya untuk memperjuangkan pemansuhan ISA. Selvam pula pernah terlibat dalam perjuangan pekerja Wilson Parking di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya sekitar tahun 1980-an.
Dr. Nasir dan Selvam pernah menyertai Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) dan bergiat aktif dalam mengatur perjuangan rakyat marhaen melalui PSRM Cawangan Brickfields. Namun, kepimpinan pusat PSRM telah memutuskan untuk menggugurkan “Sosialis” daripada nama dan perlembagaan parti itu pada tahun 1989. Keputusan kepimpinan PSRM tersebut ditentang hebat oleh Dr. Nasir dan Selvam, sehingga mereka terpaksa meninggalkan parti itu. Walau bagaimanapun, Dr. Nasir dan Selvam terus bergiat aktif dalam mengorganisasi perjuangan rakyat marhaen. Mereka menubuhkan SWP dengan matlamat utamanya untuk berjuang demi membela hak golongan bawahan yang tertindas dan didiskriminasi di dalam negara kita. SWP mempunyai cita-cita untuk mewujudkan sebuah wadah perjuangan sosialis. Dr. Nasir dan Selvam juga terlibat dalam penubuhan Jawatankuasa Sokongan Peneroka Bandar (JSPB) pada tahun 1993, di mana pada kemuncak tahap organisasinya pernah menyelaraskan usaha perjuangan di lebih 30 buah kampung peneroka bandar di sekitar Lembah Klang.
Kumpulan Alaigal boleh dijejaki asal usulnya seawal tahun 1977 apabila sekumpulan pelajar dari Universiti Malaya membuat projek komuniti di kawasan ladang di Sungai Siput. Antara dua orang pelajar yang memainkan kepimpinan penting pada masa itu ialah Jeyakumar Devaraj dan Rani Rasiah. Mereka kemudian menubuhkan sebuah kumpulan secara tidak rasmi untuk menggerakkan kerja-kerja organisasi masyarakat akar umbi. Selain Jeyakumar dan Rani, turut menggerakkan kumpulan tersebut ialah M. Sarasvathy dan Nehru. Sarasvathy mempunyai pengalaman yang luas daripada penglibatannya dengan kumpulan Young Christian Workers (YCW). Mereka pada awalnya menubuhkan sebuah kumpulan pendidikan yang memfokuskan kerja dengan masyarakat ladang, kemudian mentransformasi kepada Alaigal yang giat mengorganisasi kumpulan masyarakat akar umbi. Alaigal membawa maksud “ombak” dalam Bahasa Tamil.
Satu lagi kumpulan ialah Pusat Pembangunan Masyarakat (CDC) yang diasaskan oleh pelajar-pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Antara pengasas CDC ialah S. Arutchelvan dan Eswaran, kemudian disertai oleh aktivis lain seperti A. Sivarajan, Letchimi Devi dan lain-lain lagi. Semasa masih menjadi pelajar di UKM, mereka menubuhkan sebuah kumpulan pelajar yang bernama Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa India (JKMI), tetapi bertukar nama kemudian kepada Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa-Mahasiswi (walau bagaimanapun kekal dengan akronim JKMI yang sudah popular digunakan pada masa itu) selepas anggotanya menerima konsep perjuangan kelas sebagai prinsip organisasi. JKMI telah menggerakkan projek pendidikan untuk masyarakat ladang di sekitar kawasan Kajang dan Bangi, kemudiannya semakin melibatkan diri dalam isu perjuangan pekerja ladang untuk hak asasi manusia. Selepas tamat pengajian di UKM, aktivis-aktivis pelajar yang menggerakkan JKMI menubuhkan CDC pada tahun 1992 untuk menyambung usaha perjuangan yang dimulakan semasa dalam kampus.
Penglibatan dalam perjuangan masyarakat akar umbi sekitar penghujung tahun 1980-an dan awal 1990-an, telah mempertemukan ketiga-tiga kumpulan masyarakat yang berkomitmen dalam usaha membela nasib rakyat bawahan. Keprihatinan terhadap nasib rakyat bawahan dan pemahaman terhadap masalah sosial melalui pendekatan analisis kelas yang diamalkan oleh ketiga-tiga kumpulan ini menjadikan mereka semakin rapat dalam kerjasama membina kuasa rakyat dari bawah. Perhimpunan Hari Pekerja pada 1 Mei 1994 di Dataran Merdeka ialah percikan api yang dihasilkan daripada pertemuan kumpulan masyarakat yang berdedikasi dalam perjuangan kelas ini. Api perjuangan ini terus membara sehingga melahirkan sebuah parti berhaluan kiri yang baharu di tanah air – Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Tarikh keramat 30 April 1998
Selepas aksi sambutan Hari Pekerja yang bersejarah pada tahun 1994, jaringan kumpulan masyarakat yang menganjurkan aksi protes tersebut meneruskan kerjasama mereka dalam memperjuangkan hak rakyat marhaen. Pada bulan April 1995, JSML dan JSPB melancarkan kempen yang mengemukakan 10 tuntutan daripada masyarakat akar umbi (5 tuntutan masyarakat ladang dan 5 tuntutan peneroka bandar) bersempena Pilihan Raya Umum (PRU) ke-9. Namun, tiada calon daripada mana-mana parti politik yang bertanding pada masa itu, sama ada parti pemerintah mahupun parti pembangkang, sudi menyokong tuntutan-tuntutan masyarakat akar umbi tersebut. Ini menyebabkan masyarakat akar umbi yang berorganisasi dari bawah mula memikirkan tentang keperluan untuk menubuhkan sebuah parti politik yang benar-benar mewakili kepentingan kelas pekerja dan rakyat bawahan.
Dari tahun 1995 hingga 1998, satu siri perbincangan telah diadakan oleh golongan aktivis dan pemimpin komuniti kawasan perjuangan mengenai usaha menubuhkan sebuah parti yang baharu. Pada 15 Februari 1998, Jawatankuasa Penaja untuk pembentukan PSM telah ditubuhkan. Jawatankuasa Penaja PSM ini dianggotai oleh Dr. Nasir Hashim daripada SWP sebagai Pengerusi, M. Sarasvathy daripada Alaigal sebagai Naib Pengerusi, S. Arutchelvan daripada CDC sebagai Setiausaha dan A. Sivarajan daripada CDC sebagai Bendahari, sementara tiga orang Ahli Jawatankuasa yang dinamakan ialah V. Selvam daripada SWP, Maneyvannan a/l Velue daripada SWP dan Ahmad Amirudin Kamarudin yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Peneroka Bandar Kampung Chubadak Tambahan.
Pada 30 April 1998, sehari sebelum Hari Pekerja Sedunia, permohonan untuk pendaftaran PSM dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). Dr. Nasir, Arutchelvan dan Selvam telah hadir ke pejabat ROS untuk menyerahkan borang permohonan. Tiada media yang hadir pada masa itu, kerana penyerahan permohonan tersebut dibuat secara berprofil rendah. Namun, apa yang dilakukan oleh para perintis PSM pada masa itu memang sesuatu yang amat bersejarah, kerana setelah sekian lama negara Malaysia berada dalam vakum politik kiri, akhirnya sebuah parti politik yang mengangkat nama dan prinsip perjuangan “sosialis” tampil ke hadapan untuk mendapatkan pendaftaran.
Sejak itu, 30 April 1998 telah dianggap sebagai tarikh penubuhan PSM.
PSM ditubuhkan semasa negara Malaysia berada di ambang gelombang pergolakan baharu pada tahun 1998. Pada 23-25 Oktober 1998, ketika Gerakan Reformasi tercetus kerana krisis politik dalam kerajaan pada masa itu, PSM mengadakan Kongres Nasional yang pertama di Cameron Highlands. Hanya 12 orang hadir dalam Kongres Nasional PSM yang pertama, tetapi ia telah menyediakan asas kepada pembangunan sebuah parti politik yang memperjuangkan perubahan masyarakat berlandaskan analisis kelas dan program politik yang revolusioner.
Perjuangan 10 tahun untuk daftarkan parti
Mungkin adalah perkara yang membosankan tentang penubuhan PSM, sekiranya tiada rintangan daripada pihak berkuasa. ROS telah melengah-lengahkan proses pendaftaran dengan mengemukakan permintaan untuk pindaan kepada dokumen-dokumen permohonan seperti Perlembagaan Parti, mengatakan bahawa PSM tidak memenuhi syarat wakil dari 7 buah negeri dan sebagainya, tanpa menjawab sebarang penjelasan yang diminta oleh pihak PSM. Pada 4 Februari 1999, PSM menerima sepucuk surat bertarikh 27 Januari 1999 daripada ROS yang mengatakan bahawa permohonan PSM untuk didaftarkan telah ditolak tetapi tidak diberikan apa-apa sebab.
Pada 23 Februari 1999, PSM mengemukakan rayuan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966. Setelah beberapa surat yang dihantar kepada KDN, malah aduan juga dibuat kepada Biro Pengaduan Awam, pada 23 September 1999, PSM menerima surat bertarikh 15 September 1999 yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KDN yang mengatakan bahawa rayuan telah ditolak dan keputusan tersebut adalah muktamad, tetapi sekali lagi tidak memberikan sebab penolakan pendaftaran PSM.
Pada 26 Oktober 1999, PSM mencipta sejarah dengan menjadi parti politik pertama di Malaysia yang mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri yang menafikan pendaftaran sebuah parti politik. PSM memfailkan kes saman terhadap Kerajaan Malaysia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Pada 21 Mac 2000, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan PSM untuk menyaman Menteri Dalam Negeri. PSM mempertikaikan tindakan KDN yang menafikan pendaftaran PSM kerana ia bercanggah dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa “semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan”. Selain itu, ROS di bawah KDN juga gagal mengemukakan alasan apabila menolak pendaftaran PSM. Penjelasan mengenai sebab-sebab penolakan pendaftaran PSM yang diminta sejak awal lagi hanya diketahui pada bulan Julai 2000 selepas menerima afidavit daripada Abdullah Ahmad Badawi yang merupakan Menteri Dalam Negeri pada masa itu. Antara hujah yang dikemukakan oleh pihak KDN adalah permohonan PSM tidak lengkap, tidak memenuhi peraturan yang ditetapkan oleh KDN mengenai wakil dari 7 buah negeri, dan “aspek keselamatan negara”.
Pada 31 Oktober 2002, PSM melancarkan kempen untuk menuntut supaya PSM didaftarkan. Perbicaraan kes pendaftaran PSM telah berlangsung pada bulan November 2002.
Pada 13 Januari 2003, PSM kalah kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur apabila hakim memutuskan untuk menolak permohonan PSM dengan kos, di mana hakim berpandangan bahawa “aspek keselamatan negara” ialah tanggungjawab kerajaan dan bukannya budi bicara mahkamah. PSM membuat rayuan di Mahkamah Rayuan pada 7 Februari 2003.
Pada 26 Mac 2005, satu memorandum yang ditandatangani oleh 36 buah organisasi, termasuk kumpulan hak asasi manusia, gabungan kumpulan masyarakat akar umbi dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), telah diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri dengan seruan supaya mendaftarkan PSM segera. Pada 15 November 2005, satu aksi protes diadakan di hadapan Istana Kehakiman dan satu memorandum diserahkan kepada pejabat Ketua Hakim Negara untuk menuntut supaya menyegerakan pendengaran rayuan kes pendaftaran PSM di Mahkamah Rayuan.
Pada tahun 2006, kempen untuk mendaftarkan PSM terus dipergiatkan, dengan penganjuran forum meja bulat mengenai hak untuk berpersatuan pada 16 Mac 2006. Di samping itu, PSM mendapat mesej solidariti daripada pelbagai organisasi dan individu di peringkat antarabangsa yang menyokong usahanya memperjuangkan hak menubuhkan parti politik di Malaysia.
Perbicaraan di Mahkamah Rayuan diadakan pada bulan April 2006 dan keputusannya diumumkan pada 16 Ogos 2006. PSM kalah lagi apabila panel hakim di Mahkamah Rayuan memutuskan untuk menolak rayuan PSM. Namun begitu, satu “kemenangan kecil” dalam kekalahan itu ialah hakim Mahkamah Rayuan mengatakan bahawa isu “keselamatan negara” tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk menolak permohonan PSM.
Walaupun kalah di Mahkamah Rayuan, PSM meneruskan kempen untuk menuntut pendaftarannya. Pada 11 September 2006, PSM memfailkan permohonan untuk kebenaran rayuan kes didengar di Mahkamah Persekutuan.
Pada tahun 2008, selepas PRU-12 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti dua pertiga dalam Parlimen dan dua orang calon PSM yang bertanding dengan menggunakan logo PKR (kerana masih belum mendapat pendaftaran pada masa itu) menang dalam pilihan raya, suasana politik dan imbangan kuasa di dalam negara mengalami perubahan yang ketara. Menjelang pendengaran kes pendaftaran PSM di Mahkamah Persekutuan, PSM melancarkan kempen faks selama dua hari kepada KDN pada 15-16 Mei 2008, dan menyerahkan memorandum kepada KDN pada 28 Mei 2008. Pada 4 Jun 2008, PSM menerima e-mel daripada Syed Hamid Bin Syed Jaafar Albar yang merupakan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri pada masa itu yang mengatakan bahawa pihaknya bersetuju untuk mendaftarkan PSM!
Pada 17 Jun 2008, PSM mendapat surat daripada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri yang membenarkan pendaftaran PSM dan pihak PSM membuat permohonan semula untuk mendapatkan kelulusan. Oleh yang demikian, PSM meminta untuk menangguhkan kes di Mahkamah Persekutuan supaya membolehkan proses pendaftaran PSM dimuktamadkan. Berita pendaftaran PSM mendapat liputan meluas oleh media arus perdana dan disambut baik oleh pelbagai pihak pada masa itu.
Setelah 10 tahun berjuang untuk pendaftaran, pada 19 Ogos 2008, PSM menerima sijil pendaftaran secara sah di bawah Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966. Pada 10 September 2008, PSM mengumumkan berita baik ini dalam satu sidang akhbar khas di Kuala Lumpur.
Selepas mendapat pendaftaran daripada ROS sebagai sebuah parti politik yang sah, PSM menghadapi pula rintangan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendaftarkan simbol PSM supaya dapat digunakan dalam kertas undi. SPR pada awalnya cuba melengah-lengahkan pendaftaran simbol pilihan raya PSM, tetapi hasil daripada desakan demi desakan, akhirnya simbol genggaman tangan PSM didaftarkan sebagai simbol yang akan digunakan oleh PSM dalam pilihan raya.
PSM terus terajui perjuangan rakyat marhaen
Walaupun PSM dinafikan pendaftaran pada awalnya, tetapi dalam tempoh 10 tahun dari 1998 hingga 2008 semasa PSM belum lagi didaftarkan secara sah, aktivis-aktivis yang mengusahakan penubuhan PSM terus bergiat aktif malah menerajui pelbagai perjuangan masyarakat akar umbi di merata tempat. Selepas PSM didaftarkan secara sah, bendera merah PSM yang bergenggaman tangan kiri itu berkibar dengan lebih megah lagi dan PSM terus mengorganisasi rakyat marhaen untuk memperjuangkan kesejahteraan bersama.
Perjuangan rakyat marhaen yang diterajui PSM ini telah menyumbang kepada pembentukan asas politik baharu untuk perubahan lanjut di negara kita.
PSM telah terlibat dalam puluhan perjuangan pekerja ladang dan peneroka bandar untuk melawan pengusiran paksan serta menuntut hak perumahan. Antara perjuangan rakyat marhaen yang hebat sejak penubuhan PSM, termasuklah perjuangan pekerja Ladang Sungai Rinching untuk menuntut rumah selesa, perjuangan pekerja kilang Guppy Plastic untuk penubuhan kesatuan sekerja, perjuangan pekerja Ladang Bukit Jelutong yang membina semula rumah walaupun dirobohkan sebanyak 4 kali, perjuangan peneroka Kampung Chepor untuk hak perumahan, perjuangan petani kecil di Sungai Siput untuk hak bercucuk tanam, perjuangan penduduk Kampung Baru Kuala Kuang untuk melawan kilang getah yang mengeluarkan bau busuk, perjuangan pekerja Ladang Kamiri untuk hak perumahan, perjuangan pekerja Ladang Braemer untuk hak perumahan, perjuangan penduduk Kampung Berembang untuk melawan pengusiran paksa, perjuangan penduduk rumah pangsa Taman Permata Dengkil, perjuangan penduduk Kampung Pinang Pusing, perjuangan Ladang Midlands, perjuangan Kampung Chekkadi, perjuangan Ladang Bangi, perjuangan Ladang Semenyih, perjuangan Ladang Kirby, perjuangan Kampung Hakka Mantin, perjuangan JTRG (Jawatankuasa Tanah, Rumah dan Gerai) di Cameron Highlands, dan banyak lagi.
PSM boleh dikatakan jaguh dalam perjuangan hak perumahan. Dr. Nasir Hashim, salah seorang pengasas PSM dan Pengerusi Nasional PSM yang pertama, ialah orang yang memperkenalkan istilah “peneroka bandar” sebagai alternatif kepada gelaran “setinggan” yang digunakan oleh kerajaan dan pemaju. Dari hak perumahan untuk pekerja ladang dan peneroka bandar, sehingga menangani masalah yang dihadapi oleh penduduk-penduduk di rumah pangsa dan menghentikan pelelongan rumah rakyat marhaen oleh bank yang mengutamakan keuntungan, PSM sentiasa bersama dengan rakyat bawahan untuk memperjuangkan perumahan yang selesa untuk dihuni.
PSM menyambut Hari Habitat Sedunia setiap tahun dengan mengadakan aksi yang mengetengahkan tuntutan rakyat marhaen berkaitan dengan isu perumahan. PSM memperoleh banyak kemenangan dalam perjuangan menyelamatkan rumah kediaman rakyat marhaen dan membantu rakyat marhaen dalam mendapatkan tanah atau rumah gantian. Apabila berlakunya pengusiran paksa, sering kali orang ramai akan datang mencari PSM untuk mendapatkan bantuan.
JERIT
Pada tahun 2002, aktivis-aktivis PSM yang terlibat dalam gerakan perjuangan masyarakat akar umbi telah menyusun semula kerja-kerja organisasi kumpulan masyarakat dengan menubuhkan Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT). JERIT ditubuhkan sebagai sebuah payung besar yang menggabungkan pelbagai gerakan akar umbi berlandaskan prinsip perjuangan kelas. Gabungan masyarakat akar umbi yang bersekutu di bawah JERIT ialah:
- Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) – yang sudah wujud sebelum itu untuk menggabungkan komuniti pekerja ladang yang memperjuangkan hak pekerja dan hak perumahan;
- Gabungan Peneroka Bandar dan Perumahan (GPBP) – yang menggabungkan masyarakat peneroka bandar untuk memperjuangkan hak perumahan;
- Gabungan Pekerja Kilang dan Kesatuan (GPKK) – yang ditubuhkan untuk mengorganisasi pekerja-pekerja kilang;
- Gabungan Anak Muda dan Pelajar (GAMP) – yang menggabungkan kumpulan-kumpulan pelajar dan anak muda yang progresif di dalam negara kita.
JERIT telah menganjurkan pelbagai kempen dan aksi untuk memperjuangkan hak rakyat marhaen yang mengidamkan kehidupan lebih baik. Pada tahun 2003, GPKK di bawah JERIT telah melancarkan kempen menuntut Akta Gaji Minimum dengan menganjurkan pelbagai aktiviti, termasuk forum, jerayawara dan kempen poskad yang mengumpul tandatangan untuk menyokong penggubalan Akta Gaji Minimum. GPKK menuntut gaji minimum RM900 sebulan pada masa itu. Pada 21 September 2006, satu demonstrasi besar-besaran diadakan oleh GPKK-JERIT di hadapan Bangunan Parlimen untuk menyerahkan puluhan ribu poskad yang bertandatangan kepada pihak kerajaan. Selepas perjuangan selama hampir 10 tahun, Parlimen Malaysia meluluskan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara pada tahun 2011 dan kemudiannya kerajaan mengumumkan untuk melaksanakan gaji minimum (RM900 bagi Semenanjung, RM800 bagi Sabah dan Sarawak) mulai 1 Januari 2013. Pelaksanaan gaji minimum bukannya sesuatu yang jatuh sendiri dari langit, sebaliknya ialah hasil perjuangan kelas pekerja yang berterusan di negara kita. Selepas gaji minimum dilaksanakan, PSM dan JERIT terus memainkan peranan penting dalam mendesak untuk peningkatan kadar gaji minimum supaya sepadan dengan kenaikan kos sara hidup, dengan menganjurkan pelbagai aksi dari semasa ke semasa. PSM telah melibatkan diri dalam Gabungan Bantah RM1050 pada tahun 2018 apabila kerajaan pada masa itu hanya meningkatkan kadar gaji minimum sebanyak RM50 dan satu protes diadakan di hadapan Parlimen pada 17 Oktober 2018, dengan hasilnya kerajaan meningkatkan kadar gaji minimum kepada RM1,100.
Satu lagi aksi kemuncak penting yang dianjurkan oleh JERIT ialah kempen basikal pada bulan Disember 2008. Dari 3 Disember 2008 hingga 18 Disember 2008, selama 16 hari berturut-turut, JERIT mengadakan jelajah berbasikal dengan tema “Rakyat Pengayuh Perubahan” untuk membawa 6 tuntutan rakyat, iaitu:
- Gubal Akta Gaji Minimum dan melindungi hak pekerja;
- Mansuhkan akta zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA);
- Perumahan selesa untuk semua rakyat;
- Kawal harga barangan;
- Kembalikan pilihan raya tempatan;
- Hentikan penswastaan perkhidmatan asas seperti air, kesihatan dan pendidikan.
Jelajah berbasikal “Rakyat Pengayuh Perubahan” dibahagikan kepada dua rombongan, satu dari utara (bermula dari Alor Setar) dan satu lagi dari selatan (bermula dari Johor Bahru), yang sama-sama menuju ke Parlimen di Kuala Lumpur. Konvoi basikal JERIT telah menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran daripada pihak berkuasa sepanjang kempen tersebut, sehingga berlakunya banyak insiden yang “menarik”, termasuk penunggang basikal dikenakan kompaun oleh polis atas sebab basikal tiada reflektor, basikal terbakar di tengah malam di Kubang Semang dan penangkapan besar-besaran terhadap anak-anak muda yang menyertai kempen basikal JERIT di Rawang. Namun, segala rintangan dan cabaran itu gagal menghalang rombongan basikal JERIT daripada menyerahkan memorandum kepada Parlimen Malaysia pada 16 Disember 2008.
Pada bulan Januari 2017, aktivis-aktivis yang terlibat dalam usaha membina gerakan massa rakyat melalui JERIT telah mengambil keputusan untuk menyusun semula gerak kerja organisasi massa dan menubuhkan Gabungan Marhaen yang merangkumi lebih banyak sektor masyarakat dengan misi yang baharu. Semasa negara kita dilanda pandemik COVID-19, Gabungan Marhaen menganjurkan Himpunan Marhaen secara dalam talian pada 12-17 Oktober 2021 untuk mengetengahkan keluhan masyarakat akar umbi dan tuntutan rakyat demi pembaharuan sosial yang boleh menjamin kesejahteraan bersama.
PSM perjuangkan keadilan ekonomi
Sebagai sebuah parti berhaluan kiri yang mengutamakan pengagihan kekayaan secara saksama dan kesejahteraan bersama seluruh masyarakat, PSM telah menerajui pelbagai kempen memperjuangkan keadilan ekonomi untuk mengurangkan beban ekonomi rakyat biasa dan mewujudkan susunan ekonomi yang benar-benar menjamin kesejahteraan masyarakat.
Apabila kerajaan pimpinan Abdullah Ahmad Badawi bercadang untuk memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada tahun 2004, PSM (yang masih belum didaftarkan secara sah pada masa itu) menjadi parti politik pertama di negara kita yang menyuarakan bantahan terhadap pelaksanaan cukai regresif yang memiskinkan rakyat biasa itu. PSM menubuhkan Gabungan Bantah GST bersama-sama dengan pelbagai kumpulan masyarakat sivil. PSM ialah parti politik yang paling lantang bersuara, paling tersusun dan paling berani serta sanggup mengambil tindakan radikal dalam menentang GST. Aksi perhimpunan Hari Pekerja pada tahun 2014 dengan tuntutan utamanya yang membantah GST telah disertai oleh lebih kurang 30,000 orang, menjadikannya perhimpunan Hari Pekerja terbesar yang dianjurkan oleh Jawatankuasa 1 Mei. Pada 23 Mac 2015, lebih 100 orang aktivis daripada Gabungan Bantah GST mengadakan aksi menduduki Kompleks Kastam Kelana Jaya untuk berprotes terhadap GST yang bakal dilaksanakan pada masa itu. Sebanyak 79 orang yang ditahan semasa aksi membantah GST di Kompleks Kastam Kelana Jaya didakwa di mahkamah, di mana 44 orang antaranya ialah ahli PSM. Namun, pendakwaan terhadap peserta aksi membantah GST itu telah diketepikan selepas itu.
Kerajaan BN pimpinan Najib Razak yang berdegil untuk melaksanakan GST pada 1 April 2015, akhirnya mengalami kekalahan yang bersejarah dalam PRU-14. GST yang amat tidak popular itu dimansuhkan selepas PRU-14. Pemansuhan GST merupakan hasil perjuangan rakyat di mana PSM turut memainkan peranan penting dalamnya. PSM tegas dalam memperjuangkan sistem percukaian progresif yang adil, di mana golongan mahakaya harus dikenakan cukai yang lebih tinggi supaya hasil kekayaan negara yang dijana oleh golongan pekerja (tetapi dibolot oleh golongan korporat yang mahakaya) dapat diagihkan semula demi kesejahteraan seluruh masyarakat.
PSM juga mempunyai pendirian yang jelas dan teguh dalam hal ehwal ekonomi antarabangsa. PSM membantah perjanjian perdagangan bebas yang berlandaskan fahaman kapitalis neoliberal (yang hendak meliberalisasi perdagangan, menswastakan sektor awam dan menyahkawalselia ekonomi untuk memaksimumkan keuntungan syarikat korporat multinasional). Bersama-sama dengan organisasi-organisasi lain, PSM menentang rancangan kerajaan Malaysia untuk merundingkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan AS apabila ia mula dicadangkan pada tahun 2005.
Rundingan FTA antara Malaysia dan AS telah diberhentikan pada tahun 2009 tetapi diperkenalkan pula Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pada masa itu. PSM terlibat dalam Badan Bertindak Bantah TPPA. Banyak aksi membantah TPPA telah diadakan, seperti protes di KLCC pada 11 Oktober 2013 semasa lawatan John Kerry (Setiausaha Negara AS pada masa itu) ke Malaysia, protes di hadapan Parlimen pada 28 Oktober 2015 dan aksi perarakan di Kuala Lumpur pada 23 Januari 2016.
TPPA kemudiannya dijenamakan semula sebagai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) tanpa penyertaan AS, tetapi masih membawa terma-terma yang lebih kurang sama. Oleh itu, PSM terus melibatkan diri dalam usaha membantah CPTPP bersama dengan Gabungan Kedaulatan Negara.
Pada ketika kebanyakan parti politik arus perdana begitu ghairah dengan kemasukan pelaburan asing (FDI) sebagai petunjuk pertumbuhan ekonomi, PSM mengambil pendirian yang melihat pelaburan dan perdagangan dari sudut kemanusiaan dan kesejahteraan rakyat biasa. PSM menentang segala perjanjian perdagangan bebas yang tidak adil pada negara sedang membangun, mengancam kehidupan ekonomi masyarakat tempatan dan hanya menguntungkan syarikat-syarikat gergasi multinasional. PSM telah melakarkan Piagam Rakyat Mengenai Perjanjian Perdagangan Antarabangsa demi mewujudkan susunan ekonomi serantau dan antarabangsa yang lebih adil.
Selepas dunia dan negara kita dilanda pandemik COVID-19, PSM telah mengemukakan cadangan pelan tindakan nasional untuk menangani kegawatan ekonomi negara kerana krisis wabak COVID-19 pada 16 Julai 2020, kemudiannya melancarkan pelan tindakan alternatif “Pemulihan Nasional: Haluan Baru untuk Malaysia” pada 9 September 2021 dengan 5 tuntutan teras, iaitu: memperkasakan perlindungan sosial, Skim Jaminan Kerja, perumahan hak rakyat, tingkatkan khidmat kesihatan awam dan tangani krisis iklim segera. 5 tuntutan ini dibawa dalam kempen “Rakyat Minta Lima” yang dilancarkan serentak di 7 buah tempat pada 22 Mei 2022.
Kempen terbaru PSM yang dilancarkan pada 14 April 2023, mengemukakan tuntutan untuk melaksanakan skim Pencen Warga Emas Sejagat yang bermula dengan pembayaran pencen bulanan RM500 kepada semua penduduk Malaysia yang berumur 65 tahun dan ke atas yang tidak mempunyai apa-apa pencen kerajaan atau swasta, demi memastikan semua warga emas dapat menjalani kehidupan usia tua mereka secara bermaruah.
PSM perjuangkan hak pekerja
Sebagai sebuah parti politik yang ditubuhkan untuk membelas nasib pekerja dan memperjuangkan pembebasan kelas pekerja, PSM telah terlibat secara konsisten dalam pelbagai perjuangan pekerja. Selain kempen menuntut gaji minimum yang akhirnya membuahkan hasil pada tahun 2013, PSM juga menggerakkan kempen menuntut Tabung Pemberhentian Kerja yang bertujuan untuk menyediakan bantuan kepada pekerja yang tidak mendapat pampasan pemberhentian kerja oleh syarikat yang muflis. Kempen menuntut Tabung Pemberhentian Kerja dilancarkan oleh PSM pada 21 Oktober 2015. Hasil daripada desakan PSM yang berterusan tanpa mengerti kepenatan, kerajaan akhirnya melaksanakan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) mulai 1 Januari 2018 untuk menyediakan penggantian pendapatan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan.
PSM terlibat dalam pelbagai usaha perjuangan pekerja untuk menubuhkan kesatuan sekerja. Antara perjuangan kesatuan sekerja yang melibatkan aktivis PSM ialah pengaktifan Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS). NUWHSAS yang mengorganisasi pekerja-pekerja pembersihan di hospital-hospital kerajaan telah mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran untuk pengiktirafan kesatuan sekerja. Banyak aksi telah diadakan oleh NUWHSAS, seperti protes di hadapan Kementerian Kesihatan pada 2 Disember 2019 untuk membantah pemangsaan kesatuan, protes di hadapan Hospital Ipoh pada 5 Jun 2020 yang melibatkan penangkapan 5 orang aktivis kesatuan, dan konvoi bermotosikal dari Bukit Mertajam ke Putrajaya pada 5-8 Februari 2022.
PSM juga mengambil inisiatif untuk menubuhkan Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) yang aktif memperjuangkan penghapusan sistem kontrak penyumberan luar pekerja tetap di bangunan-bangunan kerajaan.
Kempen bersama masyarakat sivil
Pada tahun 2003, apabila kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS) bercadang untuk menceroboh Iraq dengan alasan yang tidak berasas, PSM menerajui usaha menubuhkan Gabungan Anti-Perang (GAP) yang turut disertai oleh pelbagai organisasi masyarakat sivil. GAP menganjurkan beberapa aksi anti-perang, termasuk protes di hadapan Kedutaan Besar AS di Kuala Lumpur pada 15 Februari 2003 yang merupakan sebahagian daripada aksi protes anti-perang yang terbesar dalam sejarah dunia!
Pada tahun 2004, apabila kerajaan bercadang untuk menswastakan dispensari di dalam hospital kerajaan, PSM telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan Gabungan Membantah Penswastaan Perkhidmatan Kesihatan (GMPPK) dengan aksi pertamanya ialah protes di hadapan ibu pejabat Kementerian Kesihatan pada 23 Disember 2004. Hasil daripada protes dan desakan daripada GMPPK, kerajaan telah membatalkan rancangannya untuk menswastakan dispensari di dalam hospital kerajaan.
Walau bagaimanapun, GMPPK terus bergiat aktif dalam pelbagai usaha untuk mempertahankan sistem kesihatan awam daripada dihakis oleh dasar neoliberal yang dibawa oleh kerajaan. GMPPK telah mengkritik rancangan skim insurans kesihatan kebangsaan yang bermasalah dan membantah Skim Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh. GMPPK pernah menganjurkan pelbagai aksi protes untuk mengetengahkan isu kesihatan awam. Usaha GMPKK kemudiannya diteruskan melalui Forum Kesihatan Rakyat yang turut disertai PSM. PSM ialah satu-satunya parti politik di Malaysia yang paling tegas dan konsisten dalam memperjuangkan isu kesihatan awam di samping menentang sekeras-kerasnya konsep pelancongan kesihatan yang menjadikan kesihatan sebagai komoditi untuk dijual beli. PSM bertekad untuk mempertahankan sistem kesihatan awam di negara kita demi kesejahteraan semua rakyat, dan banyak kali mengemukakan cadangan untuk memperbaiki sistem kesihatan awam.
PSM juga terlibat dalam beberapa gerakan rakyat lain yang penting di dalam negara kita yang menggabungkan pelbagai parti politik dan organisasi masyarakat sivil, antaranya: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang ditubuhkan pada tahun 2001 dengan satu aksi perhimpunan besar-besaran pada 1 Ogos 2009 di Kuala Lumpur; Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (PROTES) yang mengadakan banyak aksi protes kerana kenaikan harga minyak yang membebankan rakyat biasa pada sekitar tahun 2006 hingga 2010; dan beberapa aksi perhimpunan besar-besaran anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) pada 9 Julai 2011, 28 April 2012, 29-30 Ogos 2015 dan 19 November 2016.
Oleh sebab PSM ialah sebuah parti pekerja yang bersemangat internasionalis dan tidak berfahaman nasionalis-chauvinis, maka PSM juga amat berprihatin terhadap nasib pekerja migran. PSM mengambil bahagian dalam Gabungan Menuntut Hak untuk Pembelaan bagi Pekerja Migran (Right to Redress Coalition) yang telah mengemukakan dokumen penting “Menuju Dasar Nasional yang Menyeluruh tentang Migrasi Buruh untuk Malaysia” selepas mengadakan satu siri perbincangan meja bulat dengan pemegang taruh daripada pelbagai latar belakang pada bulan Ogos-Oktober 2016.
Dalam isu pendidikan, PSM berpendirian tegas dalam mempertahankan pendidikan sebagai hak asasi rakyat dan harus dielakkan daripada dijadikan komoditi pasaran kapitalis. Pemuda Sosialis PSM telah menerajui Gabungan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) yang ditubuhkan pada tahun 2010 untuk memperjuangkan pendidikan percuma sehingga ijazah pertama.
Dari segi dasar pengangkutan, PSM tegas memperjuangkan sistem pengangkutan awam yang mudah diakses da mampan untuk seluruh rakyat Malaysia. PSM pernah menganjurkan Forum Kebangsaan untuk Pengangkutan Awam pada 3 November 2012 untuk membincangkan cadangan-cadangan penambahbaikan sistem pengangkutan awam di Malaysia, dan menyerahkan satu memorandum kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada 6 Mac 2015.
PSM perjuangkan keadilan alam sekitar dan keterjaminan makanan
Pendirian PSM dalam menambahbaikkan sistem pengangkutan awam di Malaysia adalah selaras dengan visi PSM untuk keadilan alam sekitar. PSM melancarkan seruan untuk mendesak pengisytiharan darurat iklim pada 21 Januari 2020, dengan 10 tuntutan utama yang termasuk: hentikan pembinaan loji penjanaan kuasa elektrik yang menggunakan bahan api fosil, tetapkan tarikh akhir untuk menutup semua loji penjana kuasa arang batu, hentikan pembalakan yang memusnahkan hutan, bangunkan rangkaian pengangkutan transit massa bas (BMT) dan sebagainya.
PSM turut aktif menyokong perjuangan masyarakat Orang Asli untuk mempertahankan hak tanah adat dan hutan yang menjadi sumber kehidupan mereka daripada ancaman pembangunan yang tidak mampan, seperti pembalakan dan perlombongan yang melampau. PSM telah bersama dengan Jawatankuasa Bertindak Tanah dan Wilayah Adat Orang Asli Pos Lanai di Pahang dalam perjuangan selama hampir 4 tahun (2015-2019) untuk menghentikan projek pembinaan Empangan Telom. Masyarakat Orang Asli Pos Lanai masih meneruskan perjuangan mereka untuk menuntut hak tanah adat dan menghalang kemusnahan tanah adat mereka sehingga kini.
Selain itu, PSM juga terlibat dalam banyak perjuangan petani kecil dan penternak kecil. PSM telah memainkan peranan penting dalam menggerakkan perjuangan petani kecil, khususnya di negeri Perak, dengan pembentukan Gabungan Petani Atas Tanah Kerajaan (GAPETAK) pada tahun 2000-an dan kemudiannya Gabungan Petani dan Penternak Perak pada tahun 2010-an. Banyak aksi telah diadakan oleh Gabungan Petani dan Penternak Perak, seperti protes di hadapan pejabat Kerajaan Negeri Perak dan penyerahan memorandum di Putrajaya. Petani-petani kecil ini berjuang melawan pengusiran paksa tanpa tanah gantian oleh sama ada pihak kerajaan ataupun syarikat pemaju. PSM bersama dengan Gabungan Petani dan Penternak Perak melancarkan kempen “Kekalkan Tanah untuk Pertanian” sejak tahun 2021.
Jaringan Penternak yang diselaraskan oleh PSM juga mengadakan banyak aksi untuk mempertahankan rezeki golongan penternak lembu dan kambing, khususnya penternak kecil yang menjalankan aktiviti penternakan di ladang-ladang Sime Darby.
PSM memperjuangkan isu petani dan penternak bukan sahaja untuk mempertahankan rezeki golongan pengeluar makanan tempatan ini, malah juga untuk melindungi keterjaminan makanan seluruh masyarakat Malaysia. Jaringan Pengeluar Makanan yang merupakan inisiatif PSM telah mengadakan satu aksi protes di hadapan Parlimen pada 26 Julai 2022 untuk menggesa kerajaan supaya menghentikan segala tindakan terhadap golongan petani, pesawah padi, penternak dan nelayan yang menjejaskan pengeluaran padi, sayur-sayuran, ikan, susu dan daging lembu tempatan.
Penglibatan PSM dalam pilihan raya
PSM telah terlibat dalam pilihan raya sejak tahun 1999 dengan hasrat membawa suara rakyat marhaen dan tawaran politik sosialis ke dalam sistem perundangan di negara kita. Sebelum mendapat pendaftaran secara sah pada tahun 2008, PSM bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10 (1999), ke-11 (2004) dan ke-12 (2008) dengan cara mewujudkan persefahaman untuk meminjam logo daripada parti pembangkang utama pada masa itu.
Dalam PRU-10 pada tahun 1999, Dr. Jeyakumar Devaraj bertanding di kawasan Parlimen Sungai Siput sebagai calon PSM dengan meminjam logo Parti Tindakan Demokratik (DAP). Dr. Jeyakumar meraih sebanyak 12,221 undi (bersamaan 40.38%) pada masa itu walaupun berdepan dengan penyandang kerusi yang merupakan seorang Menteri kanan yang dianggap sebagai gergasi politik, iaitu Samy Vellu.
Dalam PRU-11 pada tahun 2004, calon PSM bertanding untuk 4 kerusi dengan menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR), iaitu kerusi Parlimen Sungai Siput, kerusi Parlimen Subang, kerusi DUN Jalong di Perak dan kerusi DUN Bukit Lanjan di Selangor. PRU-11 menyaksikan kemenangan besar BN. Dr. Jeyakumar yang bertanding untuk kali kedua di kawasan Parlimen Sungai Siput tetapi menggunakan logo PKR pada masa itu, meraih 8,680 undi (28.37%) dalam pertandingan tiga penjuru, di mana calon DAP hilang deposit. Dr. Nasir Hashim memperoleh 17,481 undi (34.67%) dalam pertandingan satu lawan satu dengan BN di kawasan Parlimen Subang. Di kawasan DUN Jalong di Perak, K. Kunasekaran memperoleh 3,638 undi (21.66%) dan menduduki tangga kedua dalam pertandingan tiga penjuru di situ; sementara di kawasan DUN Bukit Lanjan di Selangor, V. Selvam memperoleh 3,121 undi (21.40%) dalam pertandingan satu lawan satu dengan BN. Dalam pertandingan 3-penjuru di Sungai Siput dan Jalong, PSM mendapat undi yang lebih banyak berbanding calon DAP dan menduduki tempat kedua kerana kerja-kerja akar umbi yang dilakukan oleh PSM di situ mendapat pengiktirafan pengundi walaupun tidak menang.
Dalam PRU-12 pada tahun 2008, wujudnya “tsunami politik” yang menyebabkan BN kehilangan majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat dan tewas di 5 buah negeri (Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Perak dan Kelantan). PSM bertanding untuk 4 kerusi dalam PRU-12, di mana 3 kerusi menggunakan logo PKR (Parlimen Sungai Siput, DUN Kota Damansara dan DUN Semenyih di Selangor) dan satu kerusi lagi (DUN Jelapang di Perak) bertanding sebagai calon bebas. Dr. Jeyakumar yang bertanding untuk kali ketiga di kawasan Parlimen Sungai Siput berjaya mencipta sejarah apabila menewaskan Samy Vellu yang sudah menyandang kerusi Sungai Siput selama 8 penggal pada masa itu. Dr. Jeyakumar meraih sebanyak 16,458 undi (51.50%) berbanding 14,637 undi (45.80%) yang diperolehi Samy Vellu, dengan perbezaan undi majoriti sebanyak 1,821 dalam satu persaingan yang sengit. Dr. Nasir Hashim yang bertanding untuk kerusi DUN Kota Damansara di Selangor, juga mencipta kemenangan dengan meraih sebanyak 11,846 undi (52.38%). S. Arutchelvan meraih 10,448 undi (47.71%) di kawasan DUN Semenyih, sementara M. Sarasvathy yang bertanding menggunakan lambang calon bebas di kawasan DUN Jelapang meraih 1,275 undi (6.57%).
Dalam PRU-13 pada tahun 2013, PSM masih bertanding untuk 4 kerusi. Ini ialah kali pertama PSM bertanding dalam pilihan raya umum selepas mendapat pendaftaran sebagai sebuah parti politik yang sah di sisi undang-undang. Namun, oleh sebab gabungan parti pembangkang utama pada masa itu (iaitu Pakatan Rakyat) enggan memberi laluan kepada PSM untuk bertanding menggunakan logo sendiri walaupun PSM sudah pun didaftarkan secara sah, PSM terpaksa bertanding di kawasan Parlimen Sungai Siput dan DUN Kota Damansara dengan menggunakan logo PKR, sementara bertanding di kawasan DUN Semenyih di Selangor dan DUN Jelapang di Perak dengan menggunakan logo PSM sendiri. Dr. Jeyakumar berjaya mempertahankan kerusi Sungai Siput dengan meraih 21,593 undi (53.19%). Dr. Nasir pula tewas di kawasan DUN Kota Damansara kerana PAS meletakkan seorang calon untuk memecahkan undi Pakatan Rakyat dan membolehkan calon BN menang. Dr. Nasir memperoleh 14,860 undi (38.33%) dan menduduki tangga kedua dalam pertandingan 6-penjuru di Kota Damansara pada masa itu. Sementara itu, Arutchelvan memperolehi 5,568 undi (15.19%) di kawasan DUN Semenyih dan M. Sarasvathy memperolehi 2,568 undi (10.41%) di kawasan DUN Jelapang.
Dalam PRU-14 pada tahun 2018, PSM bertanding dengan logo sendiri untuk kesemua 16 kerusi yang ditandinginya. PSM bertanding untuk 4 kerusi Parlimen dan 12 kerusi DUN: kerusi Parlimen yang ditandingi PSM pada tahun 2018 ialah Sungai Siput, Batu Gajah, Cameron Highlands dan Sungai Buloh; manakala kerusi DUN yang ditandingi ialah Jelapang, Buntong, Tronoh, Menglembu dan Malim Nawar di negeri Perak, Kota Damansara, Semenyih, Pelabuhan Klang dan Kota Kemuning di negeri Selangor, Jelai di negeri Pahang, Kota Lama di negeri Kelantan dan Sungai Pinang di negeri Pulau Pinang. Dalam PRU-14, PSM tidak bergabung dengan Pakatan Harapan yang merupakan gabungan parti pembangkang utama pada masa itu, dan PSM mengalami kekalahan teruk di semua kawasan yang ditandinginya. Dr. Jeyakumar gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput apabila hanya memperolehi 1,505 undi (3.52%) dalam pertandingan 4-penjuru di situ. Suasana politik semasa PRU-14 didominasi dengan sentimen menyelamatkan Malaysia daripada pemerintahan kleptokratik BN di bawah kepimpinan Najib, akhirnya membawa kepada kekalahan BN di peringkat Persekutuan untuk kali pertama dalam sejarah pilihan raya negara kita. Walau bagaimanapun, sistem pilihan raya “undian pemenang undi terbanyak” (first-past-the-post) yang diamalkan di negara kita selama ini memang tidak berpihak kepada parti lebih kecil yang tidak menyertai mana-mana gabungan politik utama.
Pada tahun 2019, PSM bertanding dalam Pilihan Raya Kecil kerusi DUN Semenyih di Selangor dengan mencalonkan Nik Aziz Afiq Abdul, Ketua Pemuda Sosialis pada masa itu. Nik Aziz Afiq memperolehi 847 undi (2.16%) dan menduduki tangga ketiga dalam pertandingan 4-penjuru di Semenyih pada masa itu.
Pada awal tahun 2022, PSM bertanding untuk kali pertama dalam Pilihan Raya Negeri Johor dengan meletakkan Arangkannal Rajoo sebagai calon di kawasan DUN Kota Iskandar. Arangkannal Rajoo memperolehi 997 undi (1.76%) dan berada di tempat terakhir dalam pertandingan 5-penjuru di Kota Iskandar.
Dalam PRU-15 pada tahun 2022, PSM hanya bertanding untuk satu kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN, iaitu Parlimen Rembau dan DUN Ayer Kuning di Perak. S. Tinagaran yang bertanding di kawasan Parlimen Rembau memperolehi 779 undi (0.76%), sementara Bawani KS yang bertanding di kawasan DUN Ayer Kuning di Perak meraih sebanyak 586 undi (2.50%). Kedua-dua orang calon PSM menduduki tempat keempat dalam pertandingan 5-penjuru di kawasan masing-masing. Keputusan ini adalah dijangkakan dalam suasana persaingan hebat antara tiga gabungan politik utama pada masa itu. Keputusan PRU-15 membawa kepada penjajaran semula politik negara kita dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Walaupun amat sukar untuk PSM memenangi kerusi dalam pilihan raya, tetapi penglibatan PSM dalam pilihan raya telah menyuntik nafas segar dalam banyak perkara yang mengubah lanskap politik di negara kita.
PSM merupakan perintis kepada amalan politik berketelusan dalam pilihan raya. PSM ialah parti politik pertama di negara kita di mana calonnya mengisytihar harta semasa bertanding dalam pilihan raya dan melakukan sedemikian setiap tahun selepas menang. Calon pilihan raya pertama untuk PSM, Dr. Jeyakumar, mula mengisytihar hartanya apabila beliau bertanding dalam PRU-10 pada tahun 1999. Selepas Dr. Jeyakumar dan Dr. Nasir menang dalam PRU-12 pada tahun 2008, mereka terus mengisytihar harta mereka setiap tahun, di samping mengemukakan laporan perkhidmatan tahunan. 3 orang yang pernah dilantik sebagai Ahli Majlis dalam kerajaan tempatan di negeri Selangor, S. Arutchelvan, A. Sivarajan dan V. Selvam, juga mengisytihar harta setiap tahun semasa mereka menyandang jawatan Ahli Majlis. Amalan pengisytiharan harta calon pilihan raya ini kemudiannya telah dicontohi oleh parti-parti politik arus perdana yang lain.
PSM juga memulakan amalan di mana calon-calonnya melafazkan Ikrar Anti-Rasisme yang berjanji bahawa tidak akan mempermainkan apa-apa isu politik perkauman untuk meraih undi atau sokongan daripada rakyat.
Semasa Dr. Jeyakumar menjadi Ahli Parlimen kawasan Sungai Siput dan Dr. Nasir menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara di Selangor, mereka telah menggunakan peluang sebagai wakil rakyat untuk memajukan pelbagai usaha yang memanfaatkan rakyat marhaen. Wakil rakyat PSM telah menunjukkan teladan bahawa wakil rakyat tidak harus memperkayakan diri dengan menggunakan posisinya, sebaliknya harus menggunakan mandat yang diberikan oleh pengundi itu untuk menyelesaikan masalah rakyat, memperkasakan kuasa rakyat dan memperjuangkan dasar-dasar yang benar-benar menjamin kesejahteraan rakyat.
Dr. Jeyakumar pernah cuba mengemukakan usul ahli persendirian di dalam Dewan Rakyat berkenaan banyak isu rakyat, seperti isu tanah, keterjaminan makanan, keperluan bantuan kemanusiaan bagi masyarakat Rohingya, Akta Perhubungan Perusahaan, Akta Keterangkuman Sosial dan sebagainya.
Pada 29 Oktober 2010, Dr. Jeyakumar memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai isu peruntukan kawasan Parlimen yang tidak diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang. Walaupun pada awalnya Mahkamah Tinggi membenarkan pendengaran kes tersebut, tetapi Mahkamah Rayuan memutuskan pada 10 Oktober 2011 bahawa pihak mahkamah tidak boleh mempersoalkan bagaimana dana kawasan pilihan raya digunakan kerana ia ialah hak istimewa badan eksekutif. Walau bagaimanapun, tindakan Dr. Jeyakumar membawa kes ini ke muka pengadilan telah mengetengahkan isu ketidakadilan dan pilih kasih dalam pengagihan peruntukan kerajaan kepada wakil rakyat.
Selepas PRU-13 pada tahun 2013, sekumpulan aktivis dan organisasi progresif yang rapat dengan PSM menyedari keperluan besar untuk mewujudkan alternatif progresif yang tulen dalam politik Malaysia dengan pendirian anti-kapitalis yang jelas, maka bersama-sama dengan PSM untuk menubuhkan Gabungan Kiri. Pada tahun 2018, sebelum PRU-14, Gabungan Kiri mengemukakan “Manifesto Untuk 99%”, sebuah dokumen dasar penting yang menyenaraikan pelbagai cadangan mengenai pelbagai aspek pentadbiran negara dan menyediakan sebuah asas untuk perbincangan mengenai isu-isu yang penting demi masa hadapan kita semua.
EO6: Kuasa rakyat selamatkan aktivis PSM
PSM telah melalui pelbagai cabaran dan liku-liku perjuangan, tetapi tetap bertahan dan terus bergerak maju ke hadapan.
Salah satu cabaran terhebat yang pernah dihadapi oleh PSM ialah episod perjuangan menuntut pembebasan “EO6”. Pada tahun 2011, apabila Perhimpunan BERSIH 2.0 bakal diadakan, PSM telah dijadikan kambing hitam oleh pihak berkuasa sebagai cubaan untuk mematahkan kebangkitan rakyat pada masa itu. Namun, cubaan tersebut gagal kerana daya tahan PSM yang cukup kental dan kuasa rakyat yang cukup hebat!
Pada 24 Jun 2011, PSM melancarkan kempen jelajah “Udahlah tu, Bersaralah” untuk mengetengahkan kepincangan di bawah pemerintahan Kerajaan BN pada masa itu. Sebuah bas yang membawa peserta kempen “Udahlah tu, Bersaralah” di bahagian Utara Semenanjung telah ditahan di Kepala Batas pada 25 Jun 2011. 30 orang ahli dan penyokong PSM direman oleh polis untuk disiasat di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan “mengumpulkan senjata dan sebagainya, dengan niat hendak melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri”, sesuatu alasan yang direka untuk menakut-takutkan orang ramai pada masa itu.
Pada 2 Julai 2011, 6 daripada 30 orang yang ditangkap di Kepala Batas seminggu sebelum itu ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO). Mereka ditahan atas alasan mereka ialah “penggerak BERSIH”. 6 orang aktivis PSM yang ditahan itu ialah Dr. Jeyakumar Devaraj, M. Sarasvathy, Choo Chon Kai, M. Sukumaran, A. Letchumanan dan R. Saratbabu, di mana mereka kemudiannya dikenali sebagai “EO6”. Penahanan EO6 adalah bertujuan untuk mewujudkan suasana ketakutan dalam masyarakat dan menyekat orang ramai daripada menyertai Perhimpunan BERSIH 2.0. Namun, segala sekatan yang diwujudkan oleh pihak berkuasa gagal menghalang 50,000 orang daripada menyertai Perhimpunan BERSIH 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai 2011 yang menjadi satu titik perubahan penting dalam sejarah politik tanah air.
PSM telah melancarkan satu kempen untuk menuntut pembebasan EO6. Kempen tersebut telah mendapat sokongan yang hebat daripada pelbagai lapisan masyarakat. Hasil daripada kempen yang menakjubkan, 6 orang aktivis PSM yang ditahan di bawah EO itu dibebaskan tanpa syarat pada 29 Julai 2011, iaitu selepas 27 hari ditahan di bawah EO (keseluruhannya 34 hari jika ditambah dengan reman 7 hari sebelum itu). EO yang digunakan untuk menahan aktivis PSM itu dimansuhkan tidak lama kemudian selepas kerajaan mengumumkan pemansuhan ISA dan EO pada 15 September 2011, iaitu sebulan setengah selepas pembebasan EO6.
6 orang aktivis PSM yang pernah ditahan di bawah EO itu kemudiannya memfailkan kes saman sivil terhadap Kerajaan Malaysia pada 23 Mac 2012 untuk menuntut satu penghakiman bahawa penahanan EO6 adalah salah di sisi undang-undang dan merupakan salah guna kuasa polis. Pada 8 Oktober 2013, dalam satu penghakiman persetujuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pihak kerajaan bersetuju untuk membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 kepada EO6.
PSM tetap berjuang bersama rakyat
Walaupun PSM masih merupakan sebuah parti politik yang kecil, dari segi keanggotaan, sokongan undi dan capaian pengaruh politik, tetapi PSM mempunyai visi yang besar, pendirian yang teguh dan pandangan jauh untuk membina kuasa rakyat demi perubahan masyarakat sebenar yang mampu membawa pembebasan sejati serta menjamin kesejahteraan bersama seluruh rakyat. Kekuatan PSM terletak pada pegangan ideologi yang berasaskan perjuangan sosialis dan aktivis-aktivis PSM yang berkomitmen tinggi dalam membina kuasa rakyat dari bawah serta massa rakyat yang berani memperjuangkan hak mereka.
Sepanjang tempoh masa satu suku abad yang lalu, PSM telah memainkan peranan penting dalam perjuangan masyarakat di Malaysia. Selagi wujudnya eksploitasi dan penindasan kelas di bawah sistem kapitalis, perjuangan PSM untuk keadilan sosial dan pembebasan rakyat marhaen tetap relevan. PSM akan terus memikul tanggungjawab sejarah untuk membina kuasa rakyat dari bawah dan memperjuangkan perubahan masyarakat yang benar-benar bermakna bagi rakyat marhaen. PSM akan tetap bersama rakyat dalam usaha membina sebuah masyarakat yang lebih maju, makmur, adil, sejahtera, harmoni, demokratik, progresif dan inklusif.
==========
Kronologi ringkas peristiwa penting dalam sejarah PSM
Tarikh | Peristiwa |
1 Mei 1994 | Aksi perhimpunan Hari Pekerja yang paling besar dalam tempoh 20 tahun pada masa itu di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. |
1 April 1995 | Pekerja ladang dan peneroka bandar melancarkan 10 tuntutan untuk PRU-9. |
1995-1998 | Siri perbincangan untuk menubuhkan sebuah parti politik kiri yang baharu. |
15 Februari 1998 | Pembentukan Jawatankuasa Penaja PSM. |
30 April 1998 | Penyerahan permohonan pendaftaran PSM kepada ROS. |
23-25 Oktober 1998 | Kongres Nasional PSM yang pertama diadakan di Cameron Highlands. |
26 Oktober 1999 | PSM memfailkan kes saman terhadap Kerajaan Malaysia kerana dinafikan hak untuk berpersatuan. |
20-29 November 1999 | PRU-10: PSM bertanding untuk kali pertama dalam pilihan raya dengan meletakkan Dr. Jeyakumar Devaraj sebagai calon untuk kerusi Parlimen Sungai Siput. |
31 Oktober 2002 | PSM melancarkan kempen menuntut pendaftaran PSM. |
15 Februari 2003 | Gabungan Anti-Perang (GAP) yang diterajui PSM menganjurkan aksi protes membantah Perang Iraq di Kuala Lumpur. |
2003-2006 | Kempen mengutip poskad bertandatangan untuk menuntut Akta Gaji Minimum. |
13-21 Mac 2004 | PRU-11: PSM bertanding untuk 2 kerusi Parlimen dan 2 kerusi DUN. |
23 Disember 2004 | Protes GMPPK yang diterajui PSM di hadapan Kementerian Kesihatan untuk membantah penswastaan dispensari hospital kerajaan. |
9-11 September 2005 | PSM menganjurkan Persidangan Sosialisme Antarabangsa yang pertama di Kajang, Selangor. |
21 September 2006 | Aksi protes di hadapan Parlimen untuk menyerahkan poskad bertandatangan yang menuntut Akta Gaji Minimum. |
24 Februari – 8 Mac 2008 | PRU-12: PSM bertanding untuk 1 kerusi Parlimen dan 3 kerusi DUN. Dr. Jeyakumar Devaraj menang di kawasan Parlimen Sungai Siput dengan menewaskan penyandang Menteri Kanan Samy Vellu, sementara Dr. Nasir Hashim menang di kawasan DUN Kota Damansara di Selangor. |
4 Jun 2008 | PSM menerima e-mel daripada Menteri Dalam Negeri yang mengatakan bahawa pihak kerajaan bersetuju untuk mendaftarkan PSM. |
3-18 Disember 2008 | Kempen jelajah basikal JERIT yang bertema “Rakyat Pengayuh Perubahan” mengetengahkan 6 tuntutan rakyat marhaen. |
19-20 November 2009 | M. Sarasvathy (Timbalan Pengerusi Nasional PSM pada masa itu) mewakili PSM untuk menghadiri persidangan parti kiri antarabangsa di Caracas, Venezuela, yang turut disertai Hugo Chávez. |
5-7 Julai 2010 | PSM menganjurkan Persidangan Solidariti Rakyat Selatan-Selatan di Petaling Jaya. |
12 Oktober 2010 | PSM mengadakan piket di 7 buah negeri untuk membantah pindaan Akta Kerja yang dikatakan paling teruk dalam tempoh 40 tahun. |
25 Jun – 29 Julai 2011 | Kempen “Udahlah tu, Bersaralah” dihalang polis dengan 30 orang ahli dan penyokong PSM ditahan, kemudiannya 6 orang ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO). PSM melancarkan kempen untuk membebaskan semua tahanan. |
30 April 2012 | Perdana Menteri mengumumkan gaji minimum RM900 sebulan bagi Semenanjung dan RM800 sebulan bagi Sabah dan Sarawak. Perintah Gaji Minimum 2012 mulai berkuatkuasa pada 1 Januari 2013. |
20 April – 5 Mei 2013 | PRU-13: PSM bertanding untuk 1 kerusi Parlimen dan 3 kerusi DUN. Ini merupakan kali pertama PSM menggunakan logo sendiri dalam pilihan raya, di kawasan DUN Semenyih dan Jelapang. Dr. Jeyakumar berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput dengan majoriti undi yang lebih besar. |
Januari – Mac 2014 | Kempen Jelajah PSM di Semenanjung Malaysia. |
1 Mei 2014 | Aksi perhimpunan Hari Pekerja yang terbesar anjuran Jawatankuasa 1 Mei, dengan tema “Cukai GST: Cukai yang Miskinkan Rakyat”. |
23 Mac 2015 | Aksi protes menduduki Kompleks Kastam Kelana Jaya untuk membantah pelaksanaan cukai GST. Lebih 80 orang ditangkap. |
2015-2018 | Kempen menuntut Tabung Pemberhentian Kerja. |
Mac 2016 | Ketua Polis Negara menghalang Kursus Kilat Marxisme yang dijadualkan pada 20 Mac 2016, dengan beberapa orang ahli PSM disiasat polis |
2 Oktober 2016 | Himpunan Seribu Pejuang di Ipoh untuk meraikan usaha perjuangan masyarakat akar umbi. |
25 Oktober 2017 | Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) diluluskan dalam Dewan Rakyat dan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2018. |
10 Februari 2018 | PSM melancarkan “Manifesto Untuk 99%”. |
28 Apr – 10 Mei 2018 | PRU-14: PSM bertanding untuk 4 kerusi Parlimen dan 12 kerusi DUN, tetapi kalah di semua kawasan yang ditandingi. |
16 Feb – 2 Mac 2019 | PSM bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Semenyih. |
12-14 Julai 2019 | Peralihan kepimpinan Pengerusi Nasional daripada Dr. Nasir Hashim kepada Dr. Jeyakumar Devaraj dalam Kongres Nasional PSM yang ke-21. |
17-19 Januari 2020 | Aktivis-aktivis PSM mengadakan satu sesi perbincangan dalaman di Trolak, Perak, untuk melakarkan rancangan 10 tahun yang dikenali sebagai “Deklarasi Trolak”. |
12-17 Oktober 2021 | Himpunan Marhaen yang diadakan secara dalam talian. |
5-8 Februari 2022 | Konvoi motosikal pekerja pembersihan hospital untuk menuntut penghapusan sistem kontrak dan pengiktirafan hak kesatuan sekerja. |
26 Februari – 12 Mac 2022 | PSM bertanding untuk 1 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Johor. |
22 Mei 2022 | PSM melancarkan Kempen Pemulihan Nasional yang bertemakan “Rakyat Minta Lima”. |
5-19 November 2022 | PRU-15: PSM bertanding untuk 1 kerusi Parlimen dan 1 kerusi DUN di Perak. |
14 April 2023 | PSM melancarkan kempen menuntut pelaksanaan Skim Pencen Warga Emas Sejagat. |
==========
Rencana ini ditulis oleh Choo Chon Kai, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Pengarang Sosialis.net.
==========
Rujukan:
S. Arutchelvan, Mengapa 10 tahun untuk daftar PSM?, 2020
4 thoughts on “PSM 25 tahun: Satu sejarah ringkas”