KUALA LUMPUR – 17 OKTOBER 2018: Lebih 300 orang telah berprotes di hadapan bangunan Parlimen pada hari ini, untuk membantah kenaikan gaji minimum RM 50 yang amat sedikit. Laungan slogan seperti “Bantah 1050!”, “Jangan hina pekerja!”, “Gaji rendah, pekerja susah!” kuat kedengaran di sepanjang jalan menuju ke bangunan Parlimen, di samping pelbagai sepanduk yang tertulis keluhan dan tuntutan pekerja yang mewarnai aksi protes yang penuh bersemangat ini.
Aksi protes pada hari ini dianjurkan oleh Gabungan Bantah RM1050 yang terdiri daripada pelbagai organisasi termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS), Sosialis Alternatif, Malaysia Muda, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Kuliah Buku (KUBU), Parti Murba, Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), Pusat Pembangunan Masyarakat (CDC) dan sebagainya. Gabungan Bantah RM1050 ditubuhkan berikutan daripada pengumuman Kerajaan Persekutuan bahawa gaji minimum akan dinaikkan ke RM 1,050 sebulan untuk seluruh negara mulai 1 Januari 2019 akan datang, iaitu kenaikan hanya RM 50 untuk pekerja Semenanjung Malaysia. Kenaikan gaji minimum hanya RM 50 sebulan ini bagaikan satu penghinaan kepada pekerja yang telah menaburkan titik peluh mereka selama ini untuk membangunkan ekonomi negara.
Gabungan Bantah RM1050 menuntut pada Kerajaan supaya mengkaji semula gaji minimum dan menaikkan gaji minimum ke RM 1,800 sebulan.
Para peserta aksi protes berkumpul di Padang Merbok pada lebih kurang 9.30 pagi, sebelum berarak ke bangunan Parlimen yang tidak jauh dari situ. Semasa rombongan peserta protes mendekati bangunan Parlimen, telah berlaku pergelutan antara demonstran dengan polis kerana pihak polis cuba menghalang kemaraan peserta protes. Walau bagaimanapun, aksi protes pada hari ini diadakan dalam keadaan yang aman dengan para peserta protes bergerak secara teratur. Protes jalanan merupakan amalan biasa dalam masyarakat demokrasi dan sesuatu yang perlu digalakkan untuk membawa tuntutan rakyat kepada perhatian golongan pemerintah khususnya di era “Malaysia Baru”.
Satu rombongan perwakilan daripada Gabungan Bantah RM1050 telah bertemu dengan Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran yang keluar menyambut mereka di pintu masuk bangunan Parlimen. Satu perbincangan telah diadakan dengan Menteri Sumber Manusia, dan Gabungan Bantah RM1050 telah menyerahkan satu memorandum kepadanya. Menteri Sumber Manusia berkata bahawa Kementeriannya akan mengkaji semula keputusan menetapkan gaji minimum pada kadar RM 1,050 dan akan membawa kepada perbincangan Kabinet akan datang.
Semasa berucap dengan para peserta aksi, J. Solomon, Setiausaha Agung MTUC, berkata bahawa Gabungan Bantah RM1050 akan kembali lagi ke Parlimen sekiranya Kerajaan gagal menunaikan janjinya mengkaji semula gaji minimum. Sementara itu, M. Sivaranjani, Penyelaras Biro Pekerja Parti Sosialis Malaysia (PSM), menegaskan bahawa perjuangan belum lagi selesai dengan aksi protes pada hari ini, tetapi perlu diteruskan sehingga semua pekerja mendapat gaji yang sewajar untuk hidup secara bermaruah.
6 thoughts on “Protes bantah gaji minimum yang terlalu rendah di depan Parlimen”