Penahanan 6 orang aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) di bawah Ordinan Darurat (EO) pada bulan Julai 2011, yang dikenali sebagai EO6, dan juga kempen membebaskan mereka, merupakan satu lembaran sejarah yang penting dalam perjalanan perjuangan PSM dan gerakan rakyat di negara kita.

Prolog

Tahun 2011 merupakan satu tahun yang luar biasa.

Prolog kepada tahun 2011 ialah krisis ekonomi 2008 di peringkat dunia dan Pilihanraya Umum ke-12 di Malaysia pada tahun 2008 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) yang sudah berkuasa lebih lima dekad pada masa itu kehilangan majoriti dua pertiga dalam Parlimen serta kekalahannya di lima buah negeri.

Gelombang protes massa yang hebat tercetus di rantau Timur Tengah, yang dikenali sebgai “Musim Bunga Arab”, membawa kepada kejatuhan rejim Zine El Abidine Ben Ali di Tunisia dan rejim Hosni Mubarak di Mesir pada awal tahun 2011; gerakan menentang dasar penjimatan (auterity) yang memotong perbelanjaan sosial untuk menyelamatkan kapitalis kewangan memuncak di Eropah dengan kemunculan gerakan “Indignados” di Sepanyol pada bulan Mei 2011, dan ini memberi inspirasi kepada gerakan “Occupy Wall Street” yang tercetus di Amerika Syarikat pada bulan September 2011 dan menular di banyak tempat… Sementara itu, negara Malaysia juga tidak ketinggalan pada tahun 2011 dengan aksi perhimpunan BERSIH 2.0 dan kempen pembebasan EO6.

Dalam resolusi yang diluluskan semasa Kongres Nasional PSM yang diadakan di Sungai Siput pada awal bulan Jun 2011, PSM menyatakan sokongannya terhadap seruan aksi protes jalanan yang dibawa oleh Gabungan BERSIH 2.0 untuk menuntut pembaharuan kepada sistem pilihanraya. Pihak Kerajaan pimpinan Najib Razak, Perdana Menteri pada masa itu, begitu gentar terhadap perhimpunan BERSIH 2.0 sehingga cuba menggunakan pelbagai cara untuk menyekatnya daripada berlangsung, termasuk mencari kambing hitam untuk menakut-nakutkan rakyat.

Pelancaran kempen “Udahlah tu, Bersaralah” di Jelapang, Perak, pada 24 Jun 2011.

Pada masa yang sama, PSM sedang melancarkan satu kempen yang bertemakan “Udahlah tu, Bersaralah” untuk mengetengahkan kepincangan di bawah pemerintahan Kerajaan BN pada masa itu. Kempen tersebut melibatkan aktiviti menjelajah ke beberapa tempat di Semenanjung Malaysia dengan bas untuk mengedarkan risalah kepada orang ramai. Kempen “Udahlah tu, Bersaralah” dilancarkan pada 24 Jun 2011, dengan dua rombongan yang berasingan mengambil laluan di Utara dan Selatan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia masing-masing. Rombongan Utara memulakan kempen di Jelapang, Perak, kemudian terus beredar ke Perlis untuk pengedaran risalah; sementara rombongan Selatan bertolak dari Kangkar Pulai, Johor, untuk menjelajah dari Johor menuju ke Kuala Lumpur.

Kempen “Udahlah tu, Bersaralah” sudah pun menghadapi pelbagai halangan daripada pihak polis pada hari pertama ia dilancarkan pada 24 Jun 2011. 8 orang ditahan polis di Kluang, Johor, pada hari itu, namum dibebaskan 6 jam kemudian. Pada hari keesokannya, 28 orang daripada rombongan Selatan ditahan pula di Tangkak, Johor, namun dibebaskan pada awal pagi 26 Jun 2011.

Bas yang membawa peserta kempen “Udahlah tu, Bersaralah” di Selatan diberhentikan di Tangkak, Johor, pada 25 Jun 2011.

Akan tetapi, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PSM yang menyertai rombongan Utara tidak begitu bernasib baik, apabila bas yang membawa rombongan kempen diberhentikan di satu sekatan jalanraya di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Satu bas ditahan

Pada 25 Jun 2011, sekitar pukul 3 petang, bas yang membawa rombongan kempen PSM telah diberhentikan oleh sekatan polis di Plaza Tol Sungai Dua, Seberang Perai, Pulau Pinang. Kesemua 31 orang yang berada di dalam bas itu telah ditahan polis dan dibawa ke Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di Kepala Batas. Polis yang menahan ahli-ahli PSM pada masa itu menyatakan bahawa tindakan penangkapan itu berkaitan dengan operasi mereka untuk menyekat perhimpunan BERSIH 2.0.

Pada hari keesokannya, 26 Jun 2011, semua orang yang ditahan dibawa ke Mahkamah Majistret Butterworth untuk permohonan reman. Pihak polis mengemukakan alasan bahawa hendak membuat siasatan di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan “mengumpulkan senjata dan sebagainya, dengan niat hendak melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri”, untuk memohon tempoh reman yang panjang. Ini merupakan satu pertuduhan yang serius. Pada masa yang sama, pihak polis mengadakan sidang akhbar untuk mempamerkan “senjata” yang ditemui di dalam bas, iaitu baju kemeja T yang tercetak gambar Chin Peng, Rashid Maidin, Abdullah CD dan Suriani Abdullah, di mana benda-benda tersebut tiada kaitan dengan kempen PSM. Pihak polis menuduh PSM “cuba menghidupkan semula fahaman komunis” bagi tujuan “menjatuhkan kerajaan melalui perhimpunan haram BERSIH”. Pihak polis juga mendakwa bahawa PSM sedang giat menyebarkan propaganda anti-kerajaan melalui risalah yang secara terang-terangan untuk menghasut rakyat menggulingkan pemerintah seperti di negara-negara Arab pada masa itu. Jelas sekali, pihak berkuasa cuba menggambarkan kempen PSM yang memperjuangkan demokrasi yang lebih meluas dan menuntut perubahan kerajaan melalui cara demokratik itu sebagai sesuatu yang “mengancam keselamatan”.

Pihak polis mengadakan sidang akhbar yang cuba menakut-nakutkan rakyat dengan tuduhan PSM “cuba hidupkan semula fahaman komunis” .
Keratan akhbar mengenai penahanan 30 orang ahli dan penyokong PSM di Kepala Batas.

Mahkamah Majistret Butterworth meluluskan permohonan reman selama 7 hari terhadap semua orang yang ditahan, kecuali seorang remaja yang berumur bawah 18 tahun (anak kepada pemandu bas). Antara mereka yang direman, 7 orang telah dibawa ke lokap Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di Georgetown, manakala semua tahanan lelaki yang lain dikurung di lokap Balai Polis Butterworth dan semua tahanan wanita yang lain ditahan di lokap IPD Seberang Perai Utara di Kepala Batas.

30 orang yang ditahan itu ialah:

  1. M. Sarasvathy (Timbalan Pengerusi PSM merangkap Pengerusi PSM Jelapang pada masa itu)
  2. Dr. Jeyakumar Devaraj (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM dan Ahli Parlimen Sungai Siput pada masa itu)
  3. Choo Chon Kai (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM dan Pengerusi PSM Bayan Baru pada masa itu)
  4. M. Sukumaran (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM dan Pengerusi PSM Sungai Siput pada masa itu)
  5. A. Letchumanan (Setiausaha PSM Sungai Siput pada masa itu)
  6. R. Saratbabu (Pengerusi Pemuda Sosialis PSM pada masa itu)
  7. Soh Sook Hwa (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM dan Setiausaha PSM Bayan Baru pada masa itu)
  8. Jody a/p Perumal (Ahli PSM Jelapang)
  9. Deepa a/p Kathirasan (Ahli PSM Jelapang)
  10. Packia Letchumy a/p Gopal (Ahli PSM Jelapang)
  11. Nalayani a/p Sivaraman (Ahli PSM Jelapang)
  12. Arokian a/l Magalon (Penyokong PSM Jelapang)
  13. Thanushia a/p Kanthsamy (Penyokong PSM Jelapang)
  14. Gana Santhanam (Ahli PSM Buntong)
  15. Indra Ponnusamy (Ahli PSM Sungai Siput)
  16. Kamaladevi (Ahli PSM Sungai Siput)
  17. Kavitha a/p Munisamy (Ahli PSM Sungai Siput)
  18. Saroja Raman (Ahli PSM Sungai Siput)
  19. Velaiyutham (Ahli PSM Sungai Siput)
  20. Santhana Devi (Ahli PSM Sungai Siput)
  21. Sivoosamy Muniandy (Setiausaha PSM Bercham pada masa itu)
  22. Remy a/l Ramasamy (Ahli PSM Tanjung Malim)
  23. Ravindran Munusamy (Setiausaha Pemuda Sosialis PSM pada masa itu)
  24. Raveen (Ahli Pemuda Sosialis PSM)
  25. Thivyakumar (Ahli Pemuda Sosialis PSM)
  26. Shanmugam a/l Allimuthu (Penyokong PSM yang merupakan pekerja ladang di Bagan Serai)
  27. Chan Mooi (Penyokong PSM yang merupakan penduduk Kampung Pinang, Pusing, Perak)
  28. Chiang Siew Yin (Penyokong PSM yang merupakan penduduk Kampung Pinang, Pusing, Perak)
  29. Murugan a/l Subbamania (Pemandu bas)
  30. Selvam (Pemandu bas)

Selepas itu, Kerajaan mula menggunakan propaganda “anti-komunis” zaman Perang Dingin untuk mengkambinghitamkan PSM, memburuk-burukkan BERSIH 2.0 dan menakut-nakutkan rakyat supaya mereka tidak menyertai perhimpunan BERSIH 2.0. Suasana politik dalam negara menjadi amat tegang. Namun, taktik keji Kerajaan BN pimpinan Najib Razak pada masa itu akhirnya terbukti gagal dalam menyekat kebangkitan rakyat.

Pelbagai pihak telah mengeluarkan kenyataan untuk mengecam tindakan penahanan ahli-ahli PSM dan penyokong-penyokong PSM.

Penahanan di bawah EO

Pada 2 Julai 2011, iaitu hari ketujuh 30 orang ahli dan penyokong PSM ditahan, pihak polis hendak memohon untuk memanjangkan reman di Mahkamah Majistret Butterworth. Namun, sebelum menghadapkan semua tahanan di hadapan Majistret, satu pasukan polis yang dikerahkan dari Bukit Aman telah melakukan penangkapan semula terhadap 6 daripada 30 orang itu di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969, atau juga dikenali sebagai EO.

6 orang aktivis PSM yang ditahan di bawah EO itu ialah Dr. Jeyakumar Devaraj, M. Sarasvathy, Choo Chon Kai, M. Sukumaran, A. Letchumanan dan R. Saratbabu. Keenam-enam orang yang ditahan terus dibawa ke Kuala Lumpur. Ordinan Darurat (EO) yang berkuatkuasa pada masa itu membenarkan penahanan tanpa bicara, di mana seseorang itu boleh ditahan selama 60 hari tanpa perlu dihadap ke mahkamah dan boleh dipanjangkan tempoh penanahan selama 2 tahun yang boleh diperbaharui hanya dengan kelulusan daripada Menteri Dalam Negeri. Alasan yang digunakan untuk menahan 6 orang aktivis PSM ini ialah mereka merupakan “penggerak utama” BERSIH 2.0. Walaupun pihak polis memberitahu kepada ahli keluarga tahanan bahawa mereka akan ditahan di lokap Bukit Aman, tetapi mereka telah dibawa ke satu tempatan tahanan yang dirahsiakan lokasinya. Tahanan ditutup mata mereka semasa dibawa ke pusat tahanan dan setiap kali dibawa keluar dari bilik tahanan. Pendekatan menangani tahanan ini serupa dengan semua tahanan politik di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

6 orang aktivis PSM yang ditahan di bawah EO ini dikenali sebagai “EO6”.

Detik sebelum 6 orang aktivis PSM ditahan di bawah EO di hadapan Balai Polis Kepala Batas pada 2 Julai 2011.

24 orang ahli dan penyokong PSM yang lain telah dipanjangkan reman sehingga 4 Julai 2011; dan kemudiannya didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, di bawah Seksyen 43 dan 48 Akta Pertubuhan 1966 kerana menyokong BERSIH 2.0 yang dianggap sebagai “pertubuhan haram”, serta di bawah Seksyen 29(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana memiliki dokumen yang dianggap “subversif” (“subversif” oleh sebab menyeru rakyat untuk menukar kerajaan melalui pilihanraya).

Mahkamah Sesyen Butterworth membenarkan ikat jamin kepada 24 orang yang dituduh dengan wang jaminan sebanyak RM8,000 setiap orang, menjadikan jumlah wang jaminan yang perlu dibayar itu mencecah RM192,000! Namun begitu, oleh sebab terdapatnya sokongan yang hebat daripada orang ramai, PSM berjaya mengumpulkan wang sebanyak RM192,000 dalam tempoh masa 2 jam sahaja pada petang itu untuk membolehkan pembebasan 24 orang yang ditahan.

BERSIH 2.0

Penangkapan ahli-ahli PSM dan penahanan menggunakan akta zalim EO itu merupakan sebahagian daripada usaha pihak berkuasa untuk menyekat rakyat daripada menyertai perhimpunan BERSIH 2.0. Pada masa itu, pihak polis dan Kerajaan juga menggunakan pelbagai taktik, seperti mengisytihar Gabungan BERSIH 2.0 sebagai pertubuhan haram, melakukan penangkapan terhadap mereka yang memakai baju kuning, mengeluarkan senarai nama orang yang dilarang masuk ke bandaraya Kuala Lumpur pada 9 Julai 2011, dan sebagainya. Apabila pihak polis mengemukakan perintah mahkamah pada 7 Julai 2011 yang melarang 91 orang masuk ke Kuala Lumpur, dengan nama M. Sarasvathy dan Choo Chon Kai, dua orang yang ditahan di bawah EO juga berada dalam senarai itu, PSM mengeluarkan satu kenyataan akhbar yang “nakal” untuk menggesa pembebasan mereka, kerana menahan mereka di Kuala Lumpur telah melanggar perintah mahkamah tersebut.

Himpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011.
M. Saravasthy, salah seorang EO6, semasa polis membawanya untuk menggeledah pejabat PSM Jelapang pada 5 Julai 2011.

Segala cubaan Kerajaan untuk menghalang perhimpunan BERSIH 2.0 itu akhirnya menemui kegagalan apabila lebih 50,000 orang turun beraksi di jalanan Kuala Lumpur pada 9 Julai 2011, satu hari yang penuh bersejarah dalam perjuangan demokrasi di Malaysia.

Walaupun dibedil dengan gas pemedih mata dan tembakan meriam air, tetapi rakyat tetap berdemonstrasi di jalanan untuk menyuarakan tuntutan demokratik mereka. 1,667 orang ditangkap pada hari itu, namun dibebaskan pada malam hari itu juga. Momentum kebangkitan rakyat yang ditunjukkan dalam perhimpunan BERSIH 2.0 ini telah diteruskan dalam kempen menuntut pembebasan EO6.

Kempen pembebasan EO6

Sejurus selepas kejayaan himpunan BERSIH 2.0, PSM telah mempergiatkan kempen untuk menuntut pembebasan EO6. Perhimpunan menuntut pembebasan EO6 telah diadakan setiap malam di tempat yang berlainan, seperti di Kuala Lumpur, Ipoh, Pulau Pinang, Cameron Highlands dan sebagainya. Malah terdapatnya lebih daripada satu perhimpunan dalam satu hari, dan adanya perhimpunan yang diadakan secara spontan. Ramai orang daripada pelbagai latar belakang telah menyertai perhimpunan-perhimpunan solidariti tersebut.

Aksi perhimpunan solidariti menuntut pembebasan EO6 diadakan setiap malam di tempat-tempat yang berlainan.

PSM melancarkan satu kempen tandatangan untuk menuntut pembebasan EO6. Terdapat dua atau tiga memorandum diserahkan kepada pejabat kerajaan (Polis, Kementerian Dalam Negeri atau Pejabat Perdana Menteri) setiap hari daripada kumpulan-kumpulan yang berlainan untuk menuntut pembebasan EO6. Sidang akhbar demi sidang akhbar telah diadakan untuk mendedahkan keadaan tahanan dan juga konspirasi polis yang mengkambinghitamkan PSM. Ratusan aduan polis terhadap Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan Perdana Menteri telah dibuat di seluruh negara untuk mengadu tentang penahanan tidak sah terhadap EO6.

Sidang media di Parlimen.
Pelbagai aksi penyerahan memorandum hampir setiap hari.

Satu aksi yang di luar jangkaan pihak berkuasa ialah “penyerahan diri” oleh kepimpinan PSM di Kementerian Dalam Negeri. Pada 18 Julai 2011, Dr. Nasih Hashim (Pengerusi PSM pada masa itu) dan S. Arutchelvan (Setiausaha Agung PSM pada masa itu) mengadakan satu sidang akhbar di hadapan pejabat Kementerian Dalam Negeri, menyatakan bahawa mereka sudi menyerah diri untuk disiasat kerana PSM tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan. Aksi tersebut mendedahkan bahawa segala tuduhan yang dilemparkan oleh pihak berkuasa ke atas PSM itu adalah berniat jahat, tidak berasas dan hanya bertujuan untuk menghancurkan sebuah parti berhaluan kiri yang hendak memperjuangkan keadilan sosial di negara kita.

Kempen pembebasan EO6 telah mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak, termasuk pemimpin-pemimpin badan-badan bukan kerajaan (NGO), ahli-ahli politik daripada Pakatan Rakyat pada masa itu, malah juga sesetengah ahli politik parti pemerintah. Pada 19 Julai 2011, Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta (FPMPAM) yang mewakili 5,000 orang doktor di Malaysia mengeluarkan kenyataan untuk menyeru pembebasan Dr. Jeyakumar Devaraj (sebagai seorang doktor pakar yang sudah dikenali umum dalam kalangan komuniti perubatan) dan 5 orang tahanan yang lain di bawah EO. Gabungan BERSIH 2.0 juga menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dengan salah satu tuntutannya ialah membebaskan EO6. Banyak lagi organisasi dan individu telah menyuarakan tuntutan mereka untuk membebaskan EO6.

Kempen pembebasan EO6 juga menular ke peringkat antarabangsa, dengan pelbagai kenyataan solidariti dan aksi protes solidariti telah diadakan, dari London hingga Hong Kong dan Jakarta.

Aksi protes menuntut pembebasan EO6 di London pada 15 Julai 2011 semasa Perdana Menteri pada masa itu, Najib Razak, mengadakan lawatan rasmi ke UK.
Aksi protes solidariti di Sydney, Australia.
Aksi protest solidariti di Bangkok, Thailand.
Aksi protes solidariti di Jakarta, Indonesia.

Hasil daripada desakan hebat, Pesuruhjaya daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berjaya bertemu dengan tahanan EO pada 18 Julai 2011. Satu permohonan habeas corpus telah dibuat dan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Julai 2011, tetapi ditangguhkan sehingga 5 Ogos 2011.

Dr. Jeyakumar Devaraj melancarkan mogok lapar di dalam tahanan pada 28 Julai 2011, dan lebih kurang 20 orang penyokong PSM juga mengadakan mogok lapar di Sungai Siput.

EO6 dibebaskan hasil daripada desakan rakyat yang hebat

Pada 29 Julai 2011, 6 orang aktivis PSM yang sudah ditahan selama 27 hari di bawah EO (34 hari jika ditambah dengan reman 7 hari lebih awal), telah dibebaskan tanpa syarat di Balai Polis Jinjang. Satu forum menuntut pembebasan EO6 yang dijadualkan untuk diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada malam itu telah ditukar menjadi majlis sambutan kemenangan kempen pembebasan EO6.

EO6 sejurus selepas dibebaskan pada 29 Julai 2011.

EO6 telah dibebaskan dalam tempoh kurang daripada 30 hari selepas ditahan di bawah undang-undang penahanan pencegahan yang represif, sesuatu yang jarang berlaku sebelum itu. Pembebasan EO6 dalam tempoh yang singkat ini bukannya sesuatu yang berlaku secara mudah, tetapi merupakan kombinasi beberapa faktor, antaranya:

  • Suasana politik negara yang mengalami perubahan hebat pada masa itu berikutan kebangkitan rakyat yang hebat dalam aksi perhimpunan BERSIH 2.0;
  • Taktik menahan pengkritik kerajaan dengan akta zalim untuk melenyapkan suara bantahan rakyat itu tidak lagi berkesan dengan kesedaran politik rakyat yang semakin meningkat;
  • Kempen menuntut pembebasan tahanan politik yang tersusun yang dianjurkan oleh kumpulan teras yang terdiri daripada aktivis-aktivis PSM jelasnya berkesan;
  • Penyertaan yang meluas daripada masyarakat umum dalam kempen pembebasan EO6.

Walaupun PSM masih merupakan sebuah parti yang kecil dengan sumber yang amat terhad, tetapi dengan kesungguhan dan kegigihan anggota-anggota parti untuk melakukan perjuangan, di samping sokongan hebat daripada masyarakat yang inginkan perubahan, akhirnya membuahkan hasil. Pembebasan EO6 merupakan hasil kejayaan kuasa rakyat.

Epilog

Selepas 6 orang aktivis PSM yang ditahan di bawah EO itu dibebaskan, mereka telah “menyertai” 24 orang lain yang didakwa di Mahkamah Butterworth sebelum itu, iaitu didakwa di bawah Akta Pertubuhan kerana menyokong BERSIH 2.0 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana memiliki dokumen “subversif”. Namun, pihak pendakwaraya telah menarik balik pendakwaan terhadap kesemua 30 orang ahli dan penyokong PSM itu pada bulan September 2011.

Dalam satu ucapan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen pada 15 September 2011, Perdana Menteri pada masa itu, Najib Razak, telah mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan tiga ordinan darurat yang masih wujud pada masa itu, termasuk Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 yang digunakan untuk menahan 6 orang aktivis PSM dua bulan sebelum itu. Walau bagaimanapun, Kerajaan kemudiannya memperkenalkan undang-undang baharu yang masih membenarkan penahanan tanpa bicara (hanya tempohnya lebih pendek), menunjukkan bahawa sifat represifnya masih kekal.

Pada 23 Mac 2012, 6 orang aktivis PSM yang pernah ditahan di bawah EO itu memfailkan kes saman sivil terhadap pihak Kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan 79 orang anggota polis yang lain, untuk menuntut satu penghakiman bahawa penahanan EO6 adalah salah di sisi undang-undang dan merupakan salahguna kuasa polis. Pada 8 Oktober 2013, dalam satu penghakiman persetujuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pihak kerajaan bersetuju untuk membayar sebanyak RM200,000 kepada EO6 sebagai ganti rugi.

EO6 memfailan kes saman sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Episod EO6 menunjukkan bahawa kuasa rakyat mampu menundukkan golongan berkuasa. Perjuangan masyarakat Malaysia untuk demokrasi dan keadilan jauh belum selesai. Kemenangan perjuangan seperti pembebasan EO6 sentiasa akan memberi pedoman dan semangat kepada kita semua, bahawa kita mampu mempertahankan hak rakyat dan membawa pembebasan yang sebenar jika kita sanggup berorganisasi dari bawah untuk membawa perjuangan lebih maju ke hadapan.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

6 thoughts on “EO6: Kuasa rakyat bebaskan tahanan politik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *