Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

9 SEPTEMBER 2021: Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengemukakan ideanya untuk pelan tindakan alternatif “Pemulihan Nasional: Haluan Baru untuk Malaysia” dengan mencadangkan pembaharuan penting yang meliputi aspek penting seperti perlindungan sosial, jaminan kerja, perkhidmatan kesihatan, perumahan dan keadilan iklim.

Inisiatif yang bertemakan “Permintaan Rakyat Mudah Je” ini dilancarkan dalam satu sidang akhbar atas talian pada hari ini. Sidang akhbar ini dihadiri oleh Dr. Jeyakumar Devaraj (Pengerusi Nasional PSM), Sivarajan Arumugam (Setiausaha Agung PSM), Sivaranjani Manickam (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM merangkap Penyelaras Biro Pekerja PSM), Arveent Kathirtchelvan (Ahli Jawatankuasa Pemuda Sosialis PSM) dan Cheong Huei Ting (Ahli Jawatankuasa Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM).

Pelan Pemulihan Nasional cadangan PSM ini dirangka untuk mengemukakan visi yang jelas demi mengatasi kelemahan struktur dalam pentadbiran negara yang telah didedahkan apabila pandemik COVID-19 melanda. Adalah jelas bahawa sistem ekonomi neoliberal telah gagal melindungi rakyat terbanyak dalam keadaan masyarakat kita diserang oleh pandemik yang serius. Pemerintahan yang pro-korporat telah melemahkan asas untuk jaringan perlindungan sosial selama ini, sehingga mendedahkan rakyat biasa kepada pelbagai tekanan sosio-ekonomi. Oleh itu, PSM mengemukakan pelan Pemulihan Nasional dengan seruan “Permintaan Rakyat Mudah Je” untuk menggalakkan rakyat bersama-sama menentukan hala tuju pembangunan negara dengan tuntutan memulihkan dan memperkukuhkan asas untuk jaringan perlindungan sosial, supaya kita dapat bersedia untuk menangani cabaran pada masa yang akan datang.

Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM, berkata bahawa impak COVID-19 ke atas masyarakat adalah tidak sama rata, di mana adanya golongan tertentu terkesan lebih teruk, umpamanya pekerja-pekerja di sektor bukan formal (termasuk pekerja-pekerja harian dam pekerja-pekerja kontrak), peniaga-peniaga kecil dan anak-anak muda.

“Apa yang PSM hendak meminta kepada pihak kerajaan adalah untuk mengadakan program-program yang lebih bersasar untuk kumpulan-kumpulan masyarakat yang tertinggal,” kata Dr. Jeyakumar. “PSM berpandangan bahawa adalah tidak mencukupi untuk sekadar memacu ekonomi untuk pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK). Mungkin ada ahli ekonomi mengatakan boleh mewujudkan kesan menitis ke bawah (trickle-down effect) di mana orang boleh dapatkan kerja apabila adanya pertumbuhan ekonomi, tetapi kami di PSM berpendapat bahawa program ekonomi kita harus mensasar juga.

“Adanya dua strategi untuk memacukan ekonomi. Salah satunya adalah memacukan yang elit, iaitu memberikan wang kepada korporat dan orang kaya, seperti apa yang dikenali sebagai peringanan kuantitatif (quantitative easing) yang melibatkan kerajaan membeli semula bon daripada orang kaya. Teori ini menganggap bahawa apabila orang kaya atau syarikat korporat mempunyai lebih banyak wang dan kos modal adalah kurang, mereka boleh melabur. Namun, pelabur-pelabur kaya ini tidak akan melabur apabila mereka tahu bahawa pasaran tidak baik dan permintaan kasar tidak cukup kuat. Sebaliknya, mereka akan melabur dalam pasaran saham, dan bukannya dalam ekonomi sebenar. Sekiranya kita hanya menyalurkan dana kepada golongan elit, ianya tidak akan mendatangkan kesan yang kita harapkan,” ulas Dr. Jeyakumar.

“Jadi, apa yang cuba diketengahkan oleh PSM ialah satu lagi strategi, iaitu kita mensasarkan penyaluran dana kepada lapisan masyarakat bawahan. Umpamanya dalam program pemulihan yang dicadangkan oleh PSM, kami mengesyorkan wang tunai disalurkan terus kepada rakyat B40. Kami mencadangkan bahawa keluarga berpendapatan di bawah garis kemiskinan RM2,200 sebulan diberi bantuan wang tunai sebanyak RM1,000 sebulan untuk tahun ini. Jika kita salurkan wang kepada lapisan masyarakat termiskin, mereka akan membeli keperluan asas, dan apabila mereka berbuat demikian, ini akan membuka pasaran kepada peniaga-peniaga kecil. Apabila peniaga-peniaga kecil mendapat lebih banyak pasaran dan lebih banyak peluang untuk perniagaan, ini juga akan membuka peluang kerja kepada anak-anak muda. Ini bagaikan program tiga dalam satu, di mana ia dapat membantu semua golongan yang terkesan apabila kita menyalurkan wang kepada lapisan masyarakat bawahan,” kata Dr. Jeyakumar.

Pelan tindakan alternatif untuk pemulihan negara yang dicadangkan oleh PSM meliputi 5 teras utama dengan saranan seperti berikut:

1. Memperkasakan perlindungan sosial

  • Skim jaminan pendapatan asas (RM1,000 sebulan kepada mereka yang hilang punca pendapatan dan juga mereka yang tidak mendapat faedah daripada skim perlindungan sosial yang sedia ada)
  • Hapuskan penyumberan luar perkhidmatan kerajaan – hapuskan sistem kontrak untuk kerja tetap
  • Pinda undang-undang buruh dan PERKESO untuk melindungi kesejahteraan pekerja
  • Reformasi Skim Insurans Pekerjaan (termasuk memperluaskan perlindungan kepada pekerja-pekerja yang tidak dilindungi di bawah skim ini pada masa kini)
  • Pencen bulanan untuk warga emas
  • Jawatankuasa khas COVID-19 di tempat kerja (yang terdiri daripada wakil pekerja dan wakil majikan) untuk memantau secara ketat pematuhan tatacara pengendalian piawai (SOP) pencegahan wabak.

2. Skim jaminan kerja

Kerajaan menyediakan pekerjaan tetap dengan gaji sara hidup yang mencukupi kepada rakyat yang tiada kerja. Aspek-aspek penting dalam teras ini termasuk:

  • Penjanaan pekerjaan hijau (peralihan daripada tenaga fosil ke tenaga hijau)
  • Penambahan peluang pekerjaan dalam sektor pertanian yang mengeluarkan makanan
  • Pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur kesihatan
  • Pemulihan infrastruktur dan warisan negara
  • Kajian perubatan dan farmakologi
  • Penambahan pekerja sosial
  • Pekerjaan dalam sektor pengasuhan kanak-kanak dan pendidikan awal
  • Sosialisasikan kerja rumah
  • Pengubahsuaian waktu kerja
  • Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memainkan peranan dalam penjanaan kerja
  • Tubuhkan agensi pemantauan pelaksanaan skim ini
  • Gubal Akta Anti-Diskriminisasi Pekerja

3. Perumahan hak rakyat

  • Bina rumah PPR yang mencukupi untuk golongan B20
  • Keluarkan perumahan rakyat dari pasaran
  • Hentikan pengusiran paksa – tawarkan rumah dan lot ganti
  • Tubuh sebuah amanah (tanpa motif untung) untuk bina perumahan rakyat
  • Kerajaan ambil alih penyelengaraan rumah pangsa kos rendah

4. Tingkatkan khidmat kesihatan awam

  • Perkasakan khidmat kesihatan awam
  • Libatkan doktor pengamal am (GP) dalam pengendalian penyakit kronik
  • Gunakan levi untuk bayar kos perubatan migran
  • Peralatan perubatan dibiayai oleh kerajaan
  • Bendung penghijrahan doktor pakar dari hospital awam ke hospital swasta
  • Tubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan yang khas untuk kakitangan kesihatan
  • Tambahkan peruntukan dana kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada 4% KDNK dalam tempoh 5 tahun akan datang
  • Perkhidmatan kesihatan berkualiti yang disubsidi oleh kerajaan sebagai “upah sosial” kepada rakyat

5. Tangani krisis iklim segera

  • Pengunaan 100% tenaga boleh baharu sebelum tahun 2035
  • Kawal pencemaran daripada industri petroleum
  • Tingkatkan pengangkutan awam
  • Moratorium kekal terhadap pembalakan dan perlombongan di hutan primer

Dokumen lengkap untuk pelan tindakan alternatif “Pemulihan Nasional: Haluan Baru untuk Malaysia” boleh dimuat turun di sini.

One thought on ““Permintaan Rakyat Mudah Je”: PSM lancar cadangan pelan tindakan alternatif untuk pemulihan nasional

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s