SHAH ALAM, SELANGOR – 27 APRIL 2023: 12 buah keluarga peneroka bandar di Kampung Koskan Tambahan, Serendah, Selangor, menyeru pada Kerajaan Negeri Selangor supaya mencampur tangan dalam menghentikan pengusiran paksa terhadap mereka dan menyelesaikan kemelut perumahan mereka. Seruan ini dibuat semasa penduduk-penduduk Kampung Koskan Tambahan menyerahkan satu memorandum kepada Pejabat Menteri Besar Selangor pada hari ini.

Lebih 40 orang penduduk kampung turun berprotes dan menyerahkan memorandum kepada Pejabat Menteri Besar pada hari ini. Turut hadir bersolidariti dengan penduduk Kampung Koskan Tambahan ialah S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM), Soh Sook Hwa selaku Bendahari Nasional PSM, E. Parameiswary selaku Penyelaras Gabungan Peneroka Bandar – MARHAEN dan Arveent Kathirtchelvan selaku Ketua Pemuda Sosialis PSM.

Tuntutan yang dikemukakan oleh penduduk-penduduk Kampung Koskan Tambahan dalam memorandum yang ditujukan kepada Amirudin Shari selaku Menteri Besar Selangor ialah:

  1. Hentikan pengusiran paksa terhadap peneroka Kampung Koskan Tambahan sehingga perundingan antara pihak peneroka dan pemaju mencapai penyelesaian yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak;
  2. Pihak Menteri Besar Selangor membantu dalam menyelesaikan masalah perumahan peneroka Kampung Koskan Tambahan dengan mengadakan rundingan dengan pihak pemaju untuk mendapatkan penyelesaian yang adil kepada peneroka Kampung Koskan Tambahan;
  3. Memberikan penjelasan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan isu perumahan di Kampung Koskan Tambahan, seperti bagaimana tanah kampung boleh diberikan pihak pemaju sedangkan permohonan yang lebih awal daripada penduduk-penduduk Kampung Koskan Tambahan untuk mendapatkan hak milik tanah berkenaan ditolak atas alasan kawasan tersebut ialah kawasan tanah simpanan Sungai Serendah dan berisiko banjir?
  4. Hentikan sebarang pencerobohan ke dalam kawasan tanah Kampung Koskan Tambahan dan mempercepatkan proses pemberian milikan tanah kepada peneroka Kampung Koskan Tambahan.

Latar belakang isu perumahan di Kampung Koskan Tambahan: Penduduk mohon tanah ditolak atas sebab rizab sungai, tetapi pemaju pula mendapat hak milik tanah!

Kampung Koskan Tambahan terletak di mukim Serendah, Daerah Hulu Selangor, Selangor. Tanah kampung ini diteroka oleh peneroka asal sejak tahun 1980-an dan 1990-an, untuk tujuan pertanian serta penternakan dan seterusnya membina perumahan di sekitarnya.

Dari lewat tahun 1990-an sehingga awal 2000-an, Kampung Koskan Tambahan mendapat pengiktirafan daripada Kerajaan Negeri Selangor dengan beberapa kemudahan asas disediakan, termasuk bekalan air bersih, bekalan elektrik dan jalan raya berturap. Setiap rumah penduduk juga dibekalkan dengan meter air dan meter elektrik secara individu. Pencawang elektrik yang membekalkan tenaga elektrik ke seluruh kampung (termasuk lampu jalan raya) telah dirasmikan oleh G. Palanivel yang merupakan Ahli Parlimen Hulu Selangor pada ketika itu.

Sekitar tahun 2006-2007, penduduk-penduduk Kampung Koskan Tambahan pernah mengunjungi Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor untuk memohon geran penempatan dengan sokongan daripada ADUN Batang Kali pada masa itu, Mohd Isa Abu Kasim, namun permohonan mereka telah ditolak atas alasan bahawa tanah yang dimohon itu ialah tanah rizab simpanan Sungai Serendah dan merupakan kawasan banjir.

Pada tahun 2015, penduduk-penduduk Kampung Koskan Tambahan sekali lagi membuat permohonan geran daripada Pejabat Tanah, namun mereka diberitahu pula bahawa tanah yang dimohon oleh mereka sebelum itu yang ditolak atas alasan rizab sungai kini telah mempunyai pemilik, iaitu seorang pemaju tanah. Pihak berkuasa tidak memberikan apa-apa penjelasan bagaimana pemilikan tanah tersebut boleh diberikan kepada pihak pemaju.

Pada bulan Julai 2022, penduduk-penduduk Kampung Koskan Tambahan mendapat surat notis pengosongan rumah atas sebab pemilik tanah ingin membina perumahan di tapak tersebut. Satu pertemuan telah diadakan antara penduduk Kampung Koskan Tambahan bersama dengan Saifuddin bin Shafi Muhammad selaku penyelaras DUN Batang Kali dan Pegawai Khas kepada Menteri Besar Selangor, Penghulu Mukim Serendah dan wakil pemaju. Dalam pertemuan tersebut, pihak pemaju diminta untuk menunggu 14 hari supaya berunding dengan pihak penduduk kampung dan tidak memanjangkan perkara ini ke mahkamah. Setelah tempoh 14 hari tersebut, pada bulan Ogos 2022, tanpa adanya apa-apa perundingan dengan pihak kampung atau tawaran rumah ganti, satu lagi notis arahan perpindahan dengan tempoh 30 hari diberi kepada penduduk kampung bersama saman pemula daripada pihak pemaju.

Para penduduk Kampung Koskan Tambahan memfailkan rayuan untuk penangguhan pelaksanaan notis perpindahan keluar dari kampung. Pihak pemaju tidak mengadakan sebarang perjumpaan dengan pihak penduduk kampung untuk membincangkan penyelesaian. Sebaliknya, kawasan kampung telah diceroboh oleh orang luar atas pelbagai alasan seperti mengukur tanah, menguji tanah dan penerbangan dron ke dalam kawasan rumah.

Penduduk-penduduk Kampung Koskan Tambahan pernah mengadakan perhimpunan aman di hadapan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu pemilikan tanah, namun tiada jawapan diterima mengenai penukaran status tanah rizab simpanan Sungai Serendah kepada tanah yang mempunyai pemilik.

Pada 17 Februari 2023, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengeluarkan perintah yang mengarahkan penduduk-penduduk Kampung Koskan Tambahan untuk menyerahkan hak milikan kosong tanah kepada pihak pemaju. Satu writ pemilikan bagi pihak pemaju dikeluarkan pada 30 Mac 2023.

Pada awal bulan April 2023, kontraktor pemaju bersama dengan Ketua Kampung dan anggota polis membuat percubaan untuk merobohkan 6 buah rumah penduduk yang telah keluar setelah mendapat pampasan awal. Namun, perobohan ini gagal diteruskan kerana kes masih berjalan di Mahkamah Rayuan untuk rumah lain dan kedudukan rumah yang hendak dirobohkan berada di tengah-tengah kawasan kampung sehingga menyukarkan kerja perobohan tanpa merosakkan satu-satunya jalan keluar masuk kampung. Pihak penduduk kampung telah membuat satu aduan polis mengenai peristiwa ini.

Pada 18 April 2023, iaitu beberapa hari sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri, penduduk kampung menerima notis pengosongan daripada bailif dan diarahkan untuk mengosongkan tanah kampung sebelum 2 Mei 2023.

Menurut peguam yang mewakili penduduk Kampung Koskan Tambahan, rayuan telah dibuat di Mahkamah Rayuan untuk menangguhkan pelaksanaan notis pengosongan tanah ini, tetapi masih belum mendapat tarikh untuk kes ini didengar di mahkamah.

Perlu campur tangan Kerajaan Negeri Selangor

Dengan tarikh pengusiran paksa semakin dekat, penduduk-penduduk Kampung Koskan Tambahan menggesa Kerajaan Negeri Selengor untuk mencampur tangan supaya menyelesaikan kemelut perumahan mereka.

“Kerajaan Negeri Selangor, sejak diambil alih Pakatan Rakyat pada tahun 2008, mempunyai polisi untuk tidak melakukan pengusiran paksa, dan dalam senario kes terburuk pun, adanya penempatan semula barulah akan merobohkan rumah,” kata S. Arutchelvan semasa penyerahan memorandum kepada Pejabat Menteri Besar Selangor. “Ahli-ahli politik sebelum ini pernah berjanji kepada penduduk kampung bahawa mereka boleh mendapat tanah. Apabila mereka memohon untuk geran tanah, diberitahu pula tanah ini ialah rizab sungai. Tetapi kemudianya tanah diberikan kepada pemaju. Inilah perkara yang kami hendak pertikaikan.”

Memorandum yang diserahkan oleh Jawatankuasa Tindakan Tanah Kampung Koskan Tambahan kepada Pejabat Menteri Besar Selangor merayu kepada Kerajaan Negeri Selangor supaya mencampur tangan untuk menangguhkan pengusiran paksa terhadap penduduk-penduduk Kampung Koskan Tambahan sehingga satu penyelesaian yang adil dapat dicapai antara pihak penduduk dan pemaju.

“Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan hari ini yang bertunjangkan prinsip Malaysia Madani harus mencari satu penyelesaian Madani dan berperikemanusiaan untuk rakyat B40 di tempat ini,” begitu katanya memorandum daripada Jawatankuasa Tindakan Tanah Kampung Koskan Tambahan. Pengusiran paksa terhadap masyarakat kampung peneroka B40 memang bukannya satu pendekatan yang madani!

2 thoughts on “Hentikan pengusiran paksa terhadap penduduk Kampung Koskan Tambahan!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *