Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum ke-15 dengan hanya bertanding untuk satu kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). PSM bertanding secara sendiri tanpa menyertai apa-apa gabungan parti politik utama, selepas usaha untuk mewujudkan kerjasama pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH) tidak membuahkan hasil. PSM bertanding untuk kerusi Parlimen P131 Rembau dengan S. Tinagaran @ Cikgu Tina sebagai calon, dan kerusi DUN N48 Ayer Kuning di Perak dengan Bawani KS sebagai calon.

Tujuan PSM mengambil bahagian dalam PRU-15, walaupun dengan penglibatan yang agak minimum dengan tidak bertanding banyak kerusi, adalah untuk menawarkan nafas segar kepada usaha pembaharuan politik, ekonomi dan sosial di Malaysia, dengan mengetengahkan pelbagai isu rakyat marhaen pada ketika semua parti politik sibuk berkempen semata-mata untuk menang kerusi dan berkuasa.

Dalam suasana pilihan raya yang didominasi oleh persaingan sengit antara tiga gabungan parti politik utama, memang telah dijangka sejak awal lagi PSM tidak akan mendapat banyak undi di kerusi yang ditandinginya, kerana kebanyakan undi akan pergi kepada ketiga-tiga gabungan utama. Walau bagaimanapun, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PSM telah mengadakan kempen pilihan raya yang penuh bersemangat. Banyak isu rakyat marhaen telah diketengahkan sepanjang kempen pilihan raya PSM. Ramai orang telah memberi sokongan dari segi kewangan, tenaga kerja ataupun sokongan moral sepanjang kempen pilihan raya.

Keputusan penuh untuk kerusi yang ditandingi oleh PSM adalah seperti di bawah:

P131 Rembau

CalonPartiJumlah undi yang diperolehPeratusan undi 
Hj. Nazree Yunus PN-BERSATU21,87519.99% 
Mohamad Hassan @ Tok Mat BN-UMNO53,075 48.50%PEMENANG
Jufitri JohaPH-PKR33,17840.32% 
Tinagaran Subramaniam @ Cikgu Tina PSM779 0.71% 
Ramly bin AwalludinPEJUANG5290.48% 

(Perak) N48 Ayer Kuning

CalonPartiJumlah undi yang diperolehPeratusan undi 
Haji Ishsam Haji ShahruddinBN-UMNO9,08838.73%PEMENANG
Mohd Nazri HashimPH-AMANAH6,87529.30% 
Muhammad Noor Farid Zainal @ Uztaz FaridPN-PAS6,81229.03% 
Maziah Binti SalimPEJUANG1050.45% 
Bawani KSPSM5862.50% 

Keputusan yang diperolehi oleh PSM di kedua-dua kawasan yang ditandinginya adalah lebih baik berbanding banyak parti kecil lain yang bukan komponen tiga gabungan utama. Misalnya, Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang bertanding untuk 16 kerusi Parlimen, mencatatkan keputusan terbaik di P105 Petaling Jaya dengan calonnya Ezam Mohd Nor memperoleh 1.40% undian, diikuti dengan P048 Bukit Bendera di mana calonnya Teh Yee Cheu memperoleh 1.03% undian, tetapi calonnya yang lain mendapat undian kurang daripada 0.5%.

Kedua-dua calon PSM mendapat undi yang lebih banyak berbanding PEJUANG dalam pertandingan 5-penjuru di kawasan masing-masing, menjadikan mereka berada di tangga keempat di belakang calon daripada tiga gabungan utama.

Peratusan undian yang diperolehi Bawani KS di kawasan DUN Ayer Kuning, 2.50%, adalah lebih tinggi berbanding peratusan undian yang diperolehi calon PSM dalam Pilihan Raya Kecil Semenyih pada tahun 2019 dan pertandingan di kawasan DUN Kota Iskandar dalam Pilihan Raya Negeri Johor pada awal tahun 2022, iaitu masing-masing 2.16% dan 1.76%.

Yang menariknya, dalam salah satu saluran pengundian di kawasan DUN Ayer Kuning, undi yang diperolehi oleh PSM adalah lebih banyak berbanding undi kepada BN!

PSM bukannya sebuah parti yang dilahirkan kerana pilihan raya. PSM juga bukan sebuah parti yang wujud semata-mata untuk pilihan raya. Matlamat akhir PSM ialah menggerakkan perubahan masyarakat yang bersifat progresif dan pembebasan melalui kuasa rakyat marhaen yang diorganisasi dari bawah.

Penglibatan PSM dalam pilihan raya, walaupun agak minimum dari segi kerusi yang ditandingi, adalah untuk menggunakan platform pilihan raya dalam penyebaran idea-idea progresif yang berbeza dengan parti-parti arus perdana dan mengetengahkan isu-isu rakyat marhaen. PSM juga menggunakan peluang menyertai pilihan raya untuk mengembangkan kerja-kerja akar umbi di kawasan-kawasan baharu.

Walaupun hanya bertanding untuk 1 kerusi Parlimen dan 1 kerusi DUN, PSM adanya manifesto pilihan raya yang mengemukakan pelbagai cadangan dasar untuk membina sebuah masyarakat yang lebih demokratik, progresif dan inklusif.  

Dengan berlakunya penjajaran semula politik dalam negara, di samping keadaan rakyat akan terus berdepan dengan pelbagai krisis dan kemungkinan terus dipecah-belahkan oleh politik populis yang berhaluan kanan, PSM memikul tanggungjawab politik yang lebih besar lagi dalam usaha membina sebuah alternatif yang benar-benar memperkasakan rakyat marhaen untuk kesejahteraan bersama dan pembebasan sejati.

One thought on “PSM dalam PRU-15

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *