KUALA LUMPUR – 3 APRIL 2023: Setelah perjuangan pekerja-pekerja pembersihan hospital yang penuh kegigihan, keberanian dan kesungguhan untuk mempertahankan hak kesatuan mereka, akhirnya pihak syarikat yang mengupah pekerja-pekerja pembersihan itu akur dan bersetuju untuk mengiktiraf kesatuan sekerja!

Semasa sebutan kes pertikaian perusahaan yang berlangsung di Mahkamah Perusahaan Malaysia di Kuala Lumpur pada hari ini, pihak Edgenta UEMS Sdn Bhd, sebuah syarikat yang memegang kontrak untuk kerja pembersihan di hospital-hospital kerajaan di Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis, menyatakan bahawa ia bersetuju untuk mengiktiraf Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS) sebagai wakil pekerja pembersihan yang bekerja di hospital-hospital yang berkenaan. Satu surat pengesahan pengiktirafan kesatuan daripada Ketua Sumber Manusia UEM Edgenta Berhad bagi pihak Edgenta UEMS telah dihantar kepada NUWHSAS pada hari ini juga.

Ini merupakan satu berita baik dan kemenangan yang penuh bermakna kepada usaha perjuangan pekerja-pekerja pembersihan hospital untuk pengiktirafan daripada Edgenta UEMS yang berlarutan lebih 2 tahun.

Pengerusi Mahkamah Perushaan Malaysia yang mendengar kes ini, Yang Arif Puan Rajeswari Karupiah, mengucapkan tahniah kepada NUWHSAS atas tuntutan mereka untuk diiktiraf oleh pihak majikan telah dipersetujui dan tidak perlu ditangguhkan lagi kes ini. Pihak kesatuan NUWHSAS diwakili secara pro bono oleh peguam V.K. Raj, sementara pihak syarikat Edgenta UEMS diwakili oleh peguam Sivabalah Nadarajah. Turut hadir bersolidariti dengan kepimpinan kesatuan NUWHSAS pada hari ini ialah M. Sarasvathy selaku Setiausaha Eksekutif NUWHSAS, S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Chong Yee Shan selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM.

NUWHSAS telah mendapat sokongan undi majoriti daripada pekerja-pekerja pembersihan di hospital-hospital kerajaan di Bahagian Utara Pantai Barat Semenanjung Malaysia (Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis) untuk pengiktirafan kesatuan sekerja pada bulan November 2018, dan kemudiannya menandatangani perjanjian kolektif dengan NS Medik Sdn Bhd, syarikat kontraktor yang dilantik oleh Edgenta Mediserve untuk pelaksanaan kerja-kerja pembersihan di 32 buah hospital kerajaan di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis pada masa itu. Edgenta Mediserve, sebuah anak syarikat kepada UEM Group yang dimiliki sepenuhnya oleh Khazanah Nasional Berhad, pula merupakan pemegang konsesi untuk membekalkan perkhidmatan sokongan (termasuk perkhidmatan dobi, pembersihan, penyelenggaraan kejuruteraan, penyelenggaraan kejuruteraan bio-perubatan, pengurusan sisa-sisa dan pengurusan kemudahan) di hospital-hospital berkenaan.

Edgenta UEMS Sdn Bhd, sebuah lagi anak syarikat kepada UEM Group, mengambil alih kontrak kerja pembersihan daripada NS Medik Sdn Bhd pada 1 Januari 2020. Sejak itu, pihak kesatuan NUWHSAS menghadapi pelbagai masalah, termasuk keengganan pihak Edgenta UEMS untuk mengiktiraf NUWHSAS dan perjanjian kolektif yang telah ditandatangani sebelum itu. Pernah berlaku juga pelbagai isu pemangsaan terhadap pekerja yang terlibat dalam aktiviti kesatuan sekerja. NUWHSAS telah mengambil pelbagai tindakan untuk mempertahankan hak pekerja untuk menyertai kesatuan sekerja dan memperjuangkan kebajikan pekerja, termasuk aksi protes, konvoi bermotosikal dari Bukit Mertajam ke Putrajaya dan sebagainya.

Pihak NUWHSAS telah memfailkan kes di Mahkamah Perusahaan pada 14 Ogos 2020 berkenaan dengan keengganan pihak Edgenta UEMS mengiktiraf kesatuan sekerja tersebut dan perjanjian kolektif yang ditandatangani sebelum Edgenta UEMS mengambil alih kontrak. Perbicaraan kes yang ditetapkan pada tahun 2022 telah ditangguhkan dua kali. Sebelum perbicaraan yang dijadualkan pada bulan Mac 2023, peguam yang mewakili pihak majikan Edgenta UEMS telah menyatakan hasrat pihak majikan untuk mengiktiraf NUWHSAS, iaitu tuntutan utama yang dibawa dalam kes pertikaian perusahaan ini. Persetujuan untuk mengiktiraf kesatuan NUWHSAS oleh pihak syarikat Edgenta UEMS telah disahkan dalam sebutan kes yang berlangsung pada hari ini.

Persetujuan pihak majikan untuk mengiktiraf kesatuan sekerja ini memang bukannya sesuatu yang jatuh dari langit secara sendiri. Sebaliknya ia merupakan hasil perjuangan berterusan daripada kesatuan NUWHSAS yang penuh dengan liku-liku dan cabaran. Kegigihan, keberanian dan kesungguhan yang menakjubkan daripada anggota-anggota kesatuan NUWHSAS yang membawa kepada kemenangan perjuangan yang penuh bermakna ini.

Dengan mendapat pengiktirafan daripada pihak majikan, kesatuan NUWHSAS akan mengadakan rundingan bersama dengan pihak syarikat Edgenta UEMS untuk perjanjian kolektif yang baharu dalam masa terdekat.

2 thoughts on “Edgenta UEMS setuju iktiraf kesatuan pekerja pembersihan hospital

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *