PULAU PINANG: Ahli-ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) pulang dari Kongres PSM yang ke-25 dengan ketekadan dan komitmen yang lebih besar untuk membina kuasa ketiga yang progresif di Malaysia. 

Kongres Nasional PSM yang ke-25 telah diadakan pada 29 September hingga 1 Oktober 2023 di Pulau Pinang dengan kehadiran perwakilan yang datang dari seluruh negara. Ahli-ahli PSM yang mengambil bahagian dalam Kongres Nasional PSM kali ini telah membahaskan pelbagai usul dan cadangan untuk memantapkan gerak kerja PSM dan memajukan gerakan perjuangan rakyat di tanah air.

Majlis Perasmian Kongres Nasional PSM kali ini telah dimeriahkan lagi dengan kehadiran ramai pemerhati luar yang bersolidariti dengan perjuangan PSM. Antara mereka yang hadir sebagai tanda solidariti semasa majlis perasmian Kongres Nasional PSM yang ke-25 ialah Morella Barreto Lopez (Menteri Kaunselor dan Kuasa Usaha Kedutaan Republik Bolivar Venezuela di Malaysia), Dr. P. Ramasamy (bekas Timbalan Ketua Menteri Negeri Pulau Pinang), Dr. Toh Kin Woon (tokoh aktivis masyarakat sivil dan bekas Ahli Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang), K. Veeriah daripada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Bahagian Pulau Pinang, Dr. Lim Mah Hui (aktivis Penang Forum), wakil daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM), wakil daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), wakil daripada ALIRAN, aktivis Jaringan Ekologi dan Iklim (JEDI) dan ramai lagi.

“Pada satu ketika dahulu, orang selalu bercakap tentang mewujudkan sistem dua-parti. Tetapi bagi kami, dua parti itu mengamalkan satu sistem yang sama sahaja,” kata S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional PSM, semasa majlis perasmian Kongres Nasional PSM. “Apa yang kita perlukan ialah satu sistem yang baharu. Untuk membina satu sistem yang baharu, kita perlukan alternatif kuasa ketiga.”

“PSM ialah sebuah parti kiri yang hendak membawa politik baharu, politik untuk rakyat. Memanglah ini yang membezakan PSM dengan parti-parti lain,” tegas kata Arutchelvan. “PSM masih bertahan selepas 25 tahun, kerana berpegang teguh pada ideologi yang berakarumbikan rakyat biasa dan gerakan massa di dalam negara kita.”

“Untuk memantapkan lagi peranan PSM dalam memperkasakan rakyat Malaysia dalam perjuangan menuju ke arah sebuah negara yang lebih saksama, adalah amat perlu untuk aktivis-aktivis PSM memperolehi pemahaman yang mendalam tentang isu-isu besar yang mengancam negara kita pada masa ini,” kata Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM, semasa menyampaikan ucapan dasarnya dalam majlis perasmian Kongres Nasional PSM ke-25.

Ucapan dasar Dr. Jeyakumar menyentuh 3 isu besar yang harus diberi tumpuan perharian oleh gerakan kiri di negara kita, iaitu pemikiran perkauman yang sedang meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia, masalah generasi muda yang dipinggirkan oleh model pembangunan ekonomi kapitalis yang sudah diamalkan selama 50 tahun yang lalu, dan halangan sistemik terhadap usaha menyalurkan pendapatan negara untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih adil.

“Apa ertinya kemerdekaan jika negara kita takut untuk meningkatkan gaji pekerja kita kerana takut pelaburan asing takkan masuk ke dalam negara?” ulas Dr. Jeyakumar. “Keluaran kasar dalam negeri (KDNK) Malaysia dalam nilai ringgit sebenar telah berlipat ganda sebanyak 24 kali ganda dalam 50 tahun yang lalu. Tetapi gaji median sebenar pekerja kilang hanya meningkat 1.4 kali ganda sahaja dalam tempoh masa yang sama. Kekayaan negara kita telah meningkat 24 kali, tetapi pekerja, petani dan peniaga kecil kita yang menjana kekayaan ini masih dibelenggu hutang dan hidup dalam kesusahan.”

“Apa yang harus kita buat adalah mengubah sistem, bukan hanya menganalisis sahaja. Ini bermakna kita harus mewujudkan sebuah gerakan rakyat yang berbilang kaum di Malaysia yang boleh mengambil alih kerajaan,” kata Dr. Jeyakumar. Wakil daripada setiap cawangan dan unit PSM telah menyampaikan ulasan mereka masing-masing terhadap ucapan dasar Pengerusi PSM dengan pelbagai pandangan yang kritikal dan cadangan yang bernas.

Seperti tahun-tahun yang lepas, Kongres Nasional PSM tahun ini juga menerima mesej-mesej solidariti daripada pelbagai organisasi kiri dari seluruh dunia. Antara organisasi-organisasi politik yang mengirimkan mesej solidariti kepada Kongres Nasional PSM yang ke-25 ialah Socialist Alliance dari Australia, Die Linke dari Jerman, Nouveau Parti anticapitaliste (NPA) dari Perancis, Communist Party of India (Marxist–Leninist) Liberation, Partai Rakyat Pekerja (PRP) dari Indonesia, Perserikatan Sosialis dari Indonesia, Potere al Popolo! (PaP) dari Itali, Socialistische Partij (SP) dari Belanda, Partido Lakas ng Masa (PLM) dari Filipina, Frontline Socialist Party dari Sri Lanka dan Socialist Workers Thailand.

“Sistem ‘undian pemenang undi terbanyak’ yang tidak demokratik adalah halangan besar untuk anda memperoleh kejayaan pilihan raya. Pada masa yang sama, dua gabungan parti-parti borjuis berkongsi dasar sama yang membawa ketakutan berasaskan kaum dan agama untuk memecah-belahkan kelas pekerja,” kata mesej daripada Sekretariat Antarabangsa NPA. “Namun begitu, untuk selama 25 tahun, anda telah berjuang untuk mendapatkan tempat anda di dalam lanskap politik negara anda, untuk membina gerakan sosial dan mengorganisasi perjuangan pekerja dan komuniti yang tertindas.”

“Walaupun dalam lanskap politik yang sukar pada masa ini di Malaysia, kami amat percaya bahawa PSM ialah suara yang koheren dan kuat yang akan memainkan peranan penting dalam membina Malaysia yang sama rata dan demokratik,” kata Kathrin Vogler dan Wulf Gallert selaku Pengerusi Bersama Suruhanjaya Antarabangsa Die Linke.

Para perwakilan dan pemerhati yang menghadiri Kongres Nasional PSM telah meneliti dan membincangkan laporan-laporan yang dibentangkan oleh kepimpinan parti, di samping menyemak semula garis juang parti dan memberi cadangan kepada perancangan tahunan.

Sivarajan Arumugam, Setiausaha Agung PSM, membentangkan laporannya yang menonjolkan pelbagai pencapaian penting dalam gerak kerja PSM sepanjang setahun yang lepas, di samping menggariskan kekuatan dan kelemahan PSM untuk diteliti semua ahli PSM. Antara gerak kerja utama yang dilakukan oleh PSM sepanjang tempoh bulan Julai 2022 hingga September 2023 termasuk penglibatan PSM dalam Pilihan Raya Umum 2022 dan Pilihan Raya Negeri 2023 di Selangor, aksi membantah CPTPP, kempen menuntut skim pencen warga emas sejagat, aksi membantah perang, pengiktirafan kesatuan pekerja pembersihan hospital selepas perjuangan yang berpanjangan, pelbagai perjuangan alam sekitar dan masyarakat Orang Asli, pembukaan pusat khidmat dan unit PSM yang baharu, sambutan ulang tahun ke-25 penubuhan PSM, dan banyak lagi.

Sivarajan menyeru pada semua ahli PSM untuk berusaha gigih dalam mengatasi kelemahan yang wujud dalam organisasi parti supaya dapat membawa perjuangan PSM lebih maju ke hadapan. “Perjuangan kita hanya boleh berterusan jika organisasi kita mantap,” kata Sivarajan. “Kita tidak boleh bersikap ‘amatur’, tetapi harus mencerminkan imej sebuah parti yang kukuh dengan organisasi yang teratur. Ini ialah tugas semua komrad, bukannya Jawatankuasa Pusat sahaja.”

Soh Sook Hwa, Bendahari Nasional PSM, membentangkan laporan kewangan PSM sepanjang setahun yang lepas. Selain itu, Pemuda Sosialis dan biro-biro dalam Jawatankuasa Pusat juga membentangkan laporan masing-masing.

Terdapat dua sesi pembentangan kertas diadakan dalam Kongres Nasional PSM. Salah satu sesi membincangkan topik “PSM menuju PRU-16 – Membina kekuatan dalaman dan kuasa ketiga”, di mana para peserta Kongres Nasional PSM membahaskan beberapa persoalan mengenai kerjasama dengan parti-parti lain dalam pilihan raya untuk membina kuasa ketiga yang progresif. Para peserta Kongres Nasional PSM bersetuju untuk mengadakan Sesi Perbincangan Dalaman untuk mengupas lebih lanjut tentang strategi pilihan raya PSM yang melibatkan kerjasama dengan parti-parti politik yang lain tanpa menggadaikan prinsip asas perjuangan PSM demi membangunkan kuasa ketiga yang benar-benar progresif.

Satu lagi sesi pembentangan kertas berkisar pada memahami gelombang hijau dengan mengkaji punca sosio-ekonomi dan politik yang membawa kepada apa yang dikenali sebagai “gelombang hijau” dalam pilihan raya baru-baru ini.

Perwakilan yang menghadiri Kongres Nasional PSM telah meluluskan 11 daripada 26 usul yang dicadangkan oleh cawangan-cawangan PSM, antaranya menganjurkan kempen nasional untuk menuntut supaya pilihan raya kerajaan tempatan dikembalikan, memantapkan prosedur tatatertib terhadap ahli PSM khususnya berkaitan gangguan seksual, mengadakan siri latihan kepada ahli-ahli PSM untuk meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental, dan sebagainya.

Ahli-ahli PSM yang bersidang dalam Kongres Nasional PSM ke-25 juga meluluskan resolusi yang mengandungi 19 tuntutan, termasuk melaksanakan Pencen Warga Emas untuk semua dengan segera, menghapuskan sistem kontrak untuk kerja tetap, memastikan gaji minimum dilaksanakan sepenuhnya untuk semua pekerja, mengawal harga barangan, menghentikan pengusiran paksa terhadap petani, membina lebih banyak rumah mampu milik kurang daripada RM100,000 yang selesa didiami, pendidikan percuma sehingga peringkat tertiari, memansuhkan semua akta zalim yang mengancam hak demokratik, dan sebagainya.  

Kongres Nasional PSM yang ke-25 berakhir dengan nyanyian lagu Internasionale yang penuh bersemangat, dengan ahli-ahli PSM yang menyertai Kongres Nasional kali ini terus bertekad untuk memajukan usaha perjuangan pembebasan rakyat demi membina sebuah masyarakat yang benar-benar bebas, demokratik, adil, saksama dan sejahtera.

**********

Koleksi gambar semasa Kongres Nasional PSM yang ke-25:

2 thoughts on “PSM bertekad bina kuasa ketiga yang progresif – Catatan ringkas Kongres Nasional PSM ke-25

  1. Syabas & Tahniah.
    Semoga PSM dapat melangkah ke hadapan sokongan Rakyat Marhaen.
    Salam Perjuangan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *