PUTRAJAYA – 19 JANUARI 2023: Lebih 200 orang daripada pelbagai organisasi masyarakat madani berhimpun di luar Pejabat Perdana Menteri pada hari ini untuk menyerahkan satu memorandum yang menyeru pada kerajaan supaya mengkaji semula penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Aksi penyerahan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri pada hari ini dianjurkan oleh Gabungan Kedaulatan Negara yang dianggotai oleh pelbagai organisasi yang prihatin terhadap impak perjanjian perdagangan bebas ke atas rakyat biasa, termasuk Parti Sosialis Malaysia (PSM). Antara wakil organisasi yang hadir dalam penyerahan memorandum ini ialah Azlan Awang selaku jurucakap Gabungan Kedaulatan Negara, Chee Yoke Ling daripada Third World Network, Abdul Rashid Yob daripada Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Nasional PSM, Sivarajan Arumugam selaku Setiausaha Agung PSM dan ramai lagi. Memorandum tersebut telah diterima oleh Azman bin Abidin selaku Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri.

Sebelum ini, Gabungan Kedaulatan Negara telah menyerahkan satu memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri pada 25 November 2022 tetapi tiada maklum balas yang positif daripada Kerajaan Perpaduan yang baharu dibentuk sehingga kini. Organisasi-organisasi dan individu-individu yang menandatangani memorandum tersebut berasa kecewa apabila mendendar pengumuman Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 5 Januari 2023 bahawa Malaysia telah mengambil keputusan muktamad untuk meneruskan penyertaan Malaysia dalam CPTPP.

PRU-15 dan dan penubuhan kerajaan baharu melahirkan kesempatan keemasan untuk mempertimbangkan kebaikan dan keburukan penyertaan Malaysia ke dalam perjanjian CPTPP ini,” ujar memorandum yang ditujukan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim. “Ada ramai ahli-ahli ekonomi terkemuka, kumpulan-kumpulan perniagaan, pertubuhan-pertubuhan petani, nelayan dan penternak dan kesatuan-kesatuan sekerja yang khuatir bahawa Malaysia akan terperangkap dalam suatu perjanjian yang menghalang kerajaan untuk memperkenalkan polisi dan program demi kebajikan rakyat dan kepentingan Malaysia pada masa depan.”

“Kami risau bahawa kelewatan dalam mengumumkan pendirian Malaysia untuk mengkaji balik keputusan menyertai CPTPP akan menimbul masalah baharu kepada negara. Ada kemungkinan syarikat asing yang melabur di Malaysia selepas 29 November 2022 akan menggunakan alasan mereka telah diperdaya oleh Kerajaan Malaysia jika Malaysia membuat keputusan untuk keluar daripada CPTPP pada masa depan kerana masalah-masalah yang timbul kepada rakyat tempatan,” kata memorandum daripada Gabungan Kedaulatan Negara. “Mengikut peruntukan CPTPP, Malaysia boleh keluar daripada CPTPP dengan memberi notis 6 bulan lebih awal, tetapi risiko Kerajaan Malaysia dihadap ke Tribunal Antarabangsa di bawah ISDS (Investor-State Dispute Settlement) akan meningkat setiap minggu jika kita menangguhkan pengumuman bahawa kita akan mengundur diri daripada perjanjian CPTPP buat masa ini untuk membuat penilaian yang lebih mendalam.”

Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM, berkata semasa penyerahan memorandum, “CPTPP bukannya mengenai perdagangan yang menguntungkan negara kita. Walaupun kajian oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) menunjukkan eksport memang akan meningkat, tetapi import akan meningkat lebih banyak lagi dengan CPTPP. Oleh itu, imbangan perdagangan negara kita sebenarnya menurun dengan pelaksanaan CPTPP.”

“Kenapa kerajaan terdesak untuk menandatangani dan meratifikasi CPTPP? Ini kerana pembuat dasar dalam Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang percaya pada fahaman neoliberal menganggap bahawa pelaburan asing (FDI) yang ditarik ke Malaysia semestinya adalah baik untuk negara kita. Mereka percaya bahawa ‘apa yang baik untuk bisnes adalah baik untuk negara’. Itu hanya persepsi mereka,” ulas Dr. Jeyakumar. “Tetapi ramai antara kita berpandangan bahawa kerajaan harus mempunyai kuasa untuk mengawalselia ekonomi. Jika dibiarkan kepada syarikat-syarikat besar, mereka hanya mahu menjaga keuntungan mereka, bukannya faedah kepada rakyat. Kerajaan mempunyai peranan untuk menjaga rakyat. Apabila kita mengikat tangan kerajaan dengan CPTPP, kesannya adalah buruk kepada rakyat. Kita berpendapat bahawa MITI telah dicuci otak oleh Bank Dunia dan WTO dengan anggapan salah yang akan memudaratkan semua rakyat.”

Sebelum ini, selain memorandum yang diserahkan pada 25 November 2022, Gabungan Kedaulatan Negara juga menghantar satu lagi surat kepada Perdana Menteri pada 10 Disember 2022. Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) pula menyerahkan satu memorandum kepada Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 29 Disember 2022, dengan seruan yang jelas kepada kerajaan supaya mengkaji semula ratifikasi CPTPP yang menjejaskan rezeki pengeluar makanan dan keterjaminan makanan negara.  

Gabungan Kedaulatan Negara juga menyatakan kebimbangannya tentang pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 17 Januari 2023 bahawa hutang negara Malaysia kini telah mencecah RM1.2 trilion. Untuk mengelakkan krisis kewangan, kerajaan harus mempunyai kebebasan untuk melaksanakan langkah-langkah yang termasuk kawalan modal (capital control) tetapi kebebasan ini dikekang oleh CPTPP.

Gabungan Kedaulatan Negara juga menyeru kepada kerajaan supaya pengendalian perjanjian ekonomi, seperti CPTPP dan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik untuk Kemakmuran (IPEF) yang sedang dalam rundingan, diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri kerana perjanjian ini meliputi perkara yang lebih luas selain daripada perdagangan antarabangsa yang diuruskan oleh MITI pada ketika ini. Kewajipan yang dijana oleh penyertaan perjanjian ekonomi baharu seperti CPTPP ini amat luas dan berpotensi menyekat kapasiti kerajaan untuk mencampur tangan dalam urusan ekonomi rakyat dalam situasi tertentu. Oleh itu, rundingan perjanjian ekonomi harus dikendalikan oleh jawatankuasa yang dianggotai oleh beberapa Kementerian (Supra-Ministerial Committee) dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri sendiri.

“Kami berharap Yang Amat Berhormat Perdana Menteri akan meluangkan sedikit masa untuk berjumpa dengan masyarakat sivil supaya kami dapat menyampaikan dengan dengan terperinci dan mendalam kerisauan kami tentang CPTPP,” kata Dr. Jeyakumar.

2 thoughts on “Masyarakat madani gesa kaji semula penyertaan Malaysia dalam CPTPP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *