MANIFESTO UNTUK 99%

MUKADIMAH

Kami, warga tanah air yang dirahmati dengan keindahan khazanah ekologi, warga berbilang bahasa dan tradisi, sama-sama berikrar untuk mendirikan sebuah masyarakat baru yang bertapak di atas prinsip kebebasan, kesamarataan dan kekitaan.

Kami berazam untuk menyamaratakan peluang untuk semua kelompok masyarakat; bermula dengan sokongan badan institusi yang akan membebaskan rakyat daripada kemiskinan serta keterpinggiran. Seterusnya kami berazam untuk memastikan setiap rakyat dapat menuruti dan memberikan sumbangan yang bermakna kepada negara. Tidak syak lagi dengan usaha bersepadu oleh pelbagai budaya dan bangsa inilah yang akan memperkayakan masyarakat kita dan ianya terhasil daripada kearifan serantau, sosio-ekonomi serta latar budaya yang berbeza.

Kami mendaulatkan sejarah perjuangan rakyat kita yang melawan penjajahan serta juga enam puluh tahun menentang belenggu kapitalisme, rasuah, kezaliman, kesempitan monobudaya serta patriarki di bawah rejim Barisan Nasional. Model pembangunan kapitalis neo-liberal, yang sekarang ini dijadikan pilihan oleh kedua-dua pakatan politik, menawarkan hanya secebis harapan untuk perubahan yang sebenar.

Kami dengan ini mengisytiharkan komitmen untuk menganjurkan satu model alternatif yang lebih progresif dimana kami akan menumpukan kepada masalah-masalah utama seperti ketidakadilan ekonomi, penggunaan sumber asli secara mapan, dan perlindungan alam sekitar. Dengan itu, kami memanggil kekuatan, solidariti dan kebijaksanaan seluruh rakyat demi membawa tranformasi yang tulen untuk negara yang tercinta. Dengan dukungan daripada seluruh rakyat ini, kami mempersembahkan sebuah cita-cita untuk membina sebuah masyarakat yang benar-benar adil, demokratik serta progresif yang seterusnya bakal menjadi tauladan kepada generasi-generasi yang akan datang.

ENAM IDEA UTAMA KAMI

Pengagihan kekayaan yang saksama. Menutup jurang antara kaya dan miskin melalui percukaian yang adil, pelaburan dalam pendidikan dan dasar sosial yang afirmatif.
Pendidikan universiti yang percuma untuk semua. Membuka peluang untuk lebih ramai untuk mendapatkan pendidikan tinggi, tanpa mengira latar belakang.

Gaji yang Mampu Hidup untuk semua pekerja. Satu jaminan untuk sebuah gaji minima yang tinggi dimana pekerja boleh mencapai tahap kehidupan yang selesa dan keseimbangan kerja-hidup.

Perumahan berkualiti tinggi untuk semua. Satu ikrar untuk membina perumahan lestari yang berkualiti tinggi agar mampu dimiliki atau disewa di seluruh negara.

Mencipta sebuah dana pencen untuk semua. Menubuhkan sebuah dana kekayaan berdaulat (sovereign wealth fund) untuk dijadikan bayaran pencen untuk sepanjang hidup.

Transformasi kepada sebuah ekonomi yang hijau dan berteknologi tinggi. Mendepani automasi dan ekonomi teknologi tinggi melalui pelaburan dalam skil tenaga kerja, penyelidikan dan infrastruktur yang hijau.

I. PEMBANGUNAN YANG MENGUTAMAKAN RAKYAT SERTA LESTARI

1. Sebuah Dasar Ekonomi yang Progresif

1.1 Menuntut semula aset-aset awam yang telah diswastakan supaya dikembalikan kepada negara, menghentikan penswastaan semua aset-aset awam, dan mendemokrasikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC);

1.2 Menentang usaha kapitalisme korporat transnasional yang melemahkan kedaulatan negara kita melalui Perjanjian Perdagangan Bebas;

1.3 Menyelia urusniaga kewangan dan spekulasi untuk memastikan mereka tidak mengancam ekonomi negara;

1.4 Memiliknegarakan perkhidmatan kemudahan awam seperti air dan sumber tenaga;

1.5 Melaburkan hasil keuntungan Petronas, cukai serta bayaran lesen syarikat minyak dan gas kepada Dana Kekayaan Berdaulat sebagai dana persaraan untuk generasi akan datang;

1.6 Memperkukuhkan sektor perkhidmatan kesihatan awam, pendidikan, perumahan, dan khidmat pengangkutan awam, termasuk juga lebuhraya-lebuhraya;

1.7 Melaksanakan sebuah Pelan Induk untuk semua tanah kerajaan persekutuan dan negeri untuk kegunaan awam secara bijaksana; sebarang jualan minima kepada sektor swasta mestilah pada harga yang berpatutan;

1.8 Mengagihkan lebih banyak pendapatan daripada sumber minyak dan gas kepada negeri-negeri pengeluar minyak, serta memastikan rekod pelaburan dan pengeluaran minyak dan gas Petronas adalah telus serta bertanggungjawab terhadap Parlimen dan rakyat;

1.9 Membina sebuah sistem yang adil bagi mengurus kekayaan masyarakat dalam sebuah ekonomi di mana teknologi dikembangkan, berserta pelaksanaan yang lebih luas dalam sistem automasi dan robotik kerana ia boleh menyebabkan pengangguran serta separa pengangguran, dengan memberi pilihan memendekkan jumlah jam bekerja seminggu, dan/atau sebuah sistem yang menjamin pendapatan minima.

1.10 Menyediakan sokongan institusi terhadap perkembangan Industri Kecil dan Sederhana (SME) melalui undang-undang yang lebih berkuasa untuk melindungi SME daripada urusniaga yang tidak adil atau penipuan dari syarikat-syarikat korporat besar dan badan-badan kerajaan.

1.11 Memperbaharui bank-bank SME dan mekanisme kewangan lain untuk memastikan ianya dapat meningkatkan produktiviti dan para pekerja dapat dibayar dengan gaji minima.

2. Pembangunan Terjamin & Perlindungan Alam Sekitar

2.1 Mewartakan semua kawasan hutan simpan kekal serta rizab hidupan liar;

2.2 Memastikan ada rundingan dengan semua orang tempatan sebelum berlakunya sebarang projek pembangunan, serta undang-undang yang memerlukan kajian penilaian impak alam sekitar (EIA) adalah berdasarkan arahan kerajaan dan bukannya pemaju;

2.3 Melindungi hak-hak petani dan nelayan serta mewujudkan dasar keselamatan makanan negara berasaskan tanaman makanan dan bukan komoditi seperti minyak sawit;

2.4 Mengiktiraf dan mengagihkan tanah secara adil kepada golongan petani;

2.5 Menggalakkan projek tenaga boleh baharu yang tidak merosakkan hutan-hutan serta tanah Orang Asli dan Orang Asal, melaksanakan kawalan ketat terhadap penggunaan tenaga dan air yang cermat, termasuk memberi insentif kepada penggunaan cekap tenaga serta lain-lain bentuk pengurusan berasaskan permintaan;

2.6 Menolak tenaga nuklear dan kesemua industri toksik;

2.7 Menguatkuasakan pelan kitar semula, serta pelupusan sisa secara cekap dan bertanggungjawab;

2.8 Menggubal undang-undang untuk mencegah keganasan terhadap haiwan serta menganjurkan program kebajikan kehidupan haiwan.

3. Infrastruktur yang Mapan dan Pelan Pembangunan Daerah

3.1 Mengagihkan pembangunan ke kawasan luar Lembah Klang dengan membangunkan pusat-pusat serantau di seluruh negara dengan memanfaatkan kelebihan sesuatu kawasan itu, memajukan ekonomi serta perkembangan budaya luar bandar yang mapan bagi menghentikan pengaliran keluar tenaga pakar dari pekan-pekan kecil dan kampung-kampung;

3.2 Mewujudkan sistem pengangkutan awam yang hijau di

semua bandar utama Malaysia untuk merubah kepada pusat-pusat bandar yang mesra kepada pejalan kaki serta selesa didiami;

3.3 Menyediakan pasaran buruh bagi mendepani automasi dalam industri pengeluaran dan perkhidmatan menerusi program peningkatan kemahiran dan migrasi kepada industri teknologi tinggi;

3.4 Menyediakan sokongan institusi serta kewangan kepada industri hijau berteknologi tinggi, termasuk pengeluaran kereta api, panel solar, serta kereta dan bas elektrik;

3.5 Melaksanakan dasar pertanian yang lestari, beralih daripada pertanian perindustrian yang menjejaskan alam sekitar juga berasaskan baja kimia;

3.6 Mengawalselia industri telekomunikasi dengan memecahkan benteng monopoli juga melabur dalam infrastruktur telekomunikasi bagi tujuan menambah rangkaian dan kelajuan internet, setara dengan negara-negara industri yang maju;

3.7 Membina rangkaian kereta api yang moden merangkumi Sabah dan Sarawak.

II. HAK-HAK DEMOKRATIK DAN POLITIK

4. Demokrasi Tulen

4.1 Menghadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri, Menteri Besar, dan Ketua Menteri kepada dua penggal perkhidmatan sahaja;

4.2 Melantik Ahli Dewan Negara (senator) menerusi sistem perwakilan berkadar pengundi (proportional representation);

4.3 Memastikan semua perwakilan yang dilantik serta penjawat awam tinggi untuk mengisytiharkan harta dan pendapatan mereka, termasuk yang dimiliki oleh ahli keluarga terdekat;

4.4 Para pegawai tinggi yang telah dilantik boleh diminta berhenti daripada memegang jawatan sebelum tempoh mereka tamat melalui undian secara terus sekiranya petisyen tersebut mendapat sokongan yang mencukupi;

4.5 Memperkenalkan pilhanraya kerajaan tempatan serta memastikan semua kampung dan persatuan mengadakan pemilihan wakil secara demokratik dengan mengenakan langkah-langkah seperti mengambil giliran dalam memegang jawatan tinggi serta pengisytiharaan harta;

4.6 Menyahpusatkan perkhidmatan sosial seperti pendidikan, perumahan, pengangkutan, dan juga khidmat polis komuniti supaya diuruskan oleh majlis-majlis tempatan yang dipilih oleh rakyat;

4.7 Memastikan sistem pilihanraya yang bebas dan adil dengan memperteguhkan autonomi dan sifat kesaksamaan Suruhanjaya Pilihanraya yang diberi kuasa pendakwaan untuk kesalahan-kesalahan pilihanraya dan berfungsi sebagai kerajaan sementara sepanjang tempoh pilihanraya umum;

4.8 Menginstitusikan pembiayaan awam bagi parti-parti politik di mana peruntukan adalah berdasarkan nisbah undi yang diterima oleh setiap parti menurut kertas undi ketiga yang menyenaraikan kesemua parti yang berdaftar di negara ini pada setiap pilihan raya umum; dalam waktu yang sama menghadkan sumbangan dari individu, korporat, dan dana asing untuk parti-parti politik juga calon mereka;

4.9 Memastikan kebebasan berhimpun dan berpersatuan; 4.10 Menganjurkan demokrasi yang disertai oleh semua, menerusi penyertaan komuniti dalam belanjawan negara atau belanjawan kerajaan tempatan, selaras dengan sistem membuat keputusan dalam majlis-majlis tempatan;

4.11 Mewujudkan kebebasan kehakiman tanpa pengaruh politik dengan menyerahkan kuasa perlantikan hakim kepada sebuah suruhanjaya bebas yang terdiri daripada hakim-hakim, dan wakil-wakil dari Majlis Peguamjuga NGO untuk memastikan kebebasan badan kehakiman;

4.12. Mewujudkan Badan Pakar untuk mengkaji cadangan “Kerusi yang Tak Dipertandingkan” (non-constituency seats) untuk memberikan perwakilan lebih besar untuk wanita dan kumpulan-kumpulan minoriti di dewan undangan negeri-negeri.

5. Mempertahankan Hak Asasi Manusia dan Kedaulatan Undang-Undang

5.1 Memansuhkan semua undang-undang yang mengandungi unsur-unsur kuasa pengisytiharan darurat secara sewenang-wenang, penyeksaan, sebatan, penahanan tanpa bicara, juga penahanan incommunicado, termasuk akta-akta seperti NSC, SOSMA, POTA, dan POCA;

5.2 Memansuhkan hukuman gantung sampai mati di Malaysia, menangguhkan kesemua hukuman mati secara serta merta semasa proses pemansuhan, di samping meringankan hukuman mereka yang menanti pelaksanaan hukuman maut;

5.3 Meratifikasi Kovenan-kovenan Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR); serta Hak Ekonomi, Sosial & Kebudayaan (ICESCR); Konvensyen Menentang Penyeksaan dan Hukuman Lain yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Maruah (CAT), dan Konvensyen Pelarian;

5.4 Melaksanakan Jawatankuasa Aduan Bebas Polis (IPCMC) serta lain-lain saranan daripada Suruhanjaya Polis Diraja bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban polis serta lain-lain badan penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (MACC);

5.5 Menubuhkan sebuah Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang untuk mengembalikan kebebasan kehakiman; mengkaji Perlembagaan Persekutuan serta semua undang-undang yang tidak adil dan melanggar hak asasi manusia, sekaligus menyelesaikan konflik antara bidang kuasa undang-undang sivil dan syariah;

5.6 Menubuhkan Suruhanjaya Siasat Diraja untuk menyelesaikan kesemua masalah kewarganegaraan bagi mereka yang dilahirkan di negara ini atau yang telah bermastautin di sini selama lebih daripada 10 tahun; juga memberikan status Penduduk Tetap (Permanent Residence) kepada warganegara luar yang berkahwin dengan rakyat Malaysia, serta menangani masalah pendatang tanpa izin di negara ini;

5.7 Memastikan SUHAKAM boleh berfungsi dengan bebas dan laporan tahunan suruhanjaya tersebut dibahaskan di Parlimen.

5.8. Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyemak semula Perjanjian Malaysia 1963, untuk mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak kepada status negara, sama seperti Malaya.

6. Mendukung Prinsip Kebebasan Bersuara dan Maklumat

6.1 Menggubal Akta Kebebasan Maklumat (FOI) di peringkat persekutuan dan negeri yang mencerminkan hak penduduk untuk mendapat maklumat dan menjadikan kepentingan awam sebagai prinsip utama;

6.2 Menghapuskan monopoli dalam pemilikan media serta kawalan surat khabar dan stesen penyiaran oleh mana-mana parti politik atau badan-badan korporat;

6.3 Memastikan badan penyiaran nasional (RTM dan lain-lain) bersikap bebas dan tidak menyebelahi mana-mana parti politik, serta bertanggungjawab kepada Parlimen dan bukan Menteri Penerangan;

6.4 Menggalakkan kepelbagaian media dan kewartawanan rakyat (citizen journalism) dengan menubuhkan platform penyiaran yang dibiayai awam dan terbuka untuk badan-badan penyiar bebas di radio dan TV;

6.5 Semakan yang menyeluruh terhadap peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang mengekang kebebasan bersuara.

7. Kesaksamaan Hak Untuk Semua Tanpa Mengira Etnik, Jantina, Umur, Agama & Seksualiti

7.1 Meningkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah berasaskan tahap keperluan, sektor, atau pendapatan, melalui Akta Inklusif Sosial serta dasar-dasar sektor berkenaan;

7.2 Menginstitusikan kaedah uji upaya (means testing) untuk sebarang akses kepada biasiswa atau lain-lain kelayakan;

7.3 Melaksanakan dasar berasaskan merit bagi pengambilan kakitangan awam & tentera;

7.4 Menggubal Undang-Undang Akta Kesaksamaan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan perjanjian Konvensyen Antarabangsa tentang Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Perkauman (ICERD);

7.5 Menggubal Akta Toleransi Kaum Dan Agama untuk mencegah perasaan perkauman dan mengharamkan ucapan-ucapan yang berbaur kebencian;

7.6 Memastikan keadilan sosial juga martabat diri bagi lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT), sebagaimana hak yang diberikan kepada golongan lelaki dan wanita heteroseksual.

8. Toleransi Sifar terhadap Korupsi, Nepotism & Salahguna Kuasa oleh Elit Politik

8.1 Menubuhkan sebuah Suruhanjaya Anti-Rasuah yang bebas yang bertanggungjawab kepada parlimen dengan kuasa yang membolehkan untuk mencadangkan pendakwaan terhadap semua kesalahan dan amalan rasuah;

8.2 Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara di Parlimen mestilah dipengerusikan oleh anggota pembangkang di Parlimen;

8.3 Menutup rapat sebarang peluang yang boleh membawa kepada rasuah, termasuk mencegah wujudnya “pintu berpusing”, iaitu peluang antara perkhidmatan awam/tentera dengan sektor swasta, di mana ketua-ketua institusi ini diberi ganjaran lumayan selepas bersara jika mereka mengikut telunjuk tuan politik mereka semasa memegang jawatan sebagai AG, Ketua Polis Negara, Pengarah SPRM, atau Ketua Hakim;

8.4 Memastikan Kementerian/ketua jabatan yang didapati mempunyai akaun yang bercanggah oleh laporan Ketua Audit Negara, bertanggungjawab atas kekhilafan tersebut dan menampung bayaran terhadap setiap kelalaian dan rasuah yang terlibat;

8.5 Tender bagi semua projek-projek yang diswastakan mestilah dilakukan secara terbuka;

8.6 Semua wakil rakyat hendaklah membuat pengisytiharan harta-harta dan tidak boleh terlibat dalam projek-projek atau syarikat-syarikat kerajaan.

III. PENGAGIHAN SEMULA KEKAYAAN SECARA SAKSAMA

9. Agihan Kekayaan secara saksama

9.1 Membendung berkembangnya ketidaksetaraan pendapatan dengan mengenakan kadar cukai marginal yang lebih tinggi kepada golongan yang berpendapatan tinggi, serta mengenakan Cukai Keuntungan Modal tambahan ke atas harta, juga lain-lain cukai progresif ke atas kekayaan dan barang mewah;

9.2 Mengkaji semula dan memantau undang-undang cukai serta perlaksanaannya untuk memastikan tiada pengelakan cukai kerana adanya jalan keluar dalam undang-undang;

9.3 Mengkaji semula elaun modal dan pengecualian cukai kepada firma – firma asing;

9.4 Mengawal selia dan mengenakan cukai ke atas semua transaksi kewangan antarabangsa dan dana lindung nilai (hedge fund);

9.5 Menghapuskan cukai-cukai regresif seperti GST.

10. Mempertahankan Kepentingan dan Hak-Hak Pekerja

10.1 Menghormati dan bersolidariti dengan hak-hak pekerja menerusi kajian semula undang-undang buruh untuk memastikan ianya selari dan menepati kehendak konvensyen International Labour Organisation (ILO);

10.2 Menggalakkan kesedaran pekerja tentang hak mereka untuk menubuhkan kesatuan sekerja;

10.3 Menggubal undang-undang yang menjamin gaji minimum progresif untuk semua pekerja, termasuk pekerja asing;

10.4 Membenarkan pekerja untuk berpersatuan, hak untuk guna tenaga penuh, juga dana pemberhentian dan pencen;

10.5 Menghapuskan sistem secara “kontraktor” dalam pekerjaan tetap;

10.6 Menyemak dan menyeratakan semula Akta Pekerjaan 1955 untuk melindungi hak-hak pekerja di abad ke-21 dengan menyertakan kawalan pekerjaan dalam ekonomi gig;

10.7 Memberi pekerja dan Kesatuan Sekerja pengaruh ekonomi dengan mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan dalam perniagaan, terutama tentang kawalan terhadap dana pencen;

10.8 Menggalakkan koperasi pekerja yang mempunyai autonomi untuk pengeluaran barang-barang yang berguna kepada masyarakat dan merombak peraturan bagi memacu pertumbuhan gerakan koperasi;

10.9 Melindungi hak-hak pekerja yang bekerja sendiri dan memperkenalkan peraturan untuk memastikan karyawan bebas (freelancers) tidak diekploitasi;

10.10 Memberikan hak pekerja sepenuhnya kepada semua pekerja asing: Pengambilan masuk pekerja asing dikendalikan antara kerajaan serta tidak diswastakan kepada syarikat-syarikat kroni yang beroperasi secara komersial; pekerja asing juga perlu mempunyai akses mudah untuk kerja-kerja alternatif sekiranya majikan memecat mereka dalam kes pertikaian pekerjaan; ratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perlindungan Hak Asasi Semua Pekerja Migran dan Ahli Keluarga Mereka, serta Konvensyen PBB berhubung dengan Status Pelarian;

10.11 Suaka-suaka serta pelarian perlu diberikan permit kerja supaya mereka boleh bekerja secara sah dan merujuk kepada pihak berkuasa buruh sekiranya wujud sebarang tindakan membuli atau mengeksploitasi yang dilakukan oleh pihak majikan.

IV. DASAR KEBUDAYAAN DAN SOSIAL YANG INKLUSIF

11. Mendukung Hak-Hak Asasi serta Martabat Wanita

11.1 Meningkatkan perwakilan wanita dalam semua badan pembuat keputusan kerajaan, badan kehakiman, dan parti-parti politik untuk menggalakkan penyertaan yang lebih besar di ruang awam;

11.2 Memasukkan Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan peruntukannya ke dalam undang-undang negara bagi menjamin kesaksamaan untuk semua wanita di ruang awam mahu pun di ruang peribadi;

11.3 Mengkaji semula dan meminda undang-undang serta peruntukan perlembagaan yang mendiskriminasi atas dasar jantina, termasuk status warganegara kepada pasangan dari luar negara yang berkahwin dengan wanita warganegara Malaysia;

11.4 Memastikan gaji yang sama kepada wanita yang menjawat jawatan yang sama dengan pekerja lelaki;

11.5 Menyediakan perumahan, pendidikan, serta keperluan penjagaan kanak-kanak kepada ibu-ibu tunggal bagi mengurangkan wabak kemiskinan antara generasi;

11.6 Mengukuhkan undang-undang mengenai serangan dan gangguan seksual, termasuk memberi latihan kepada agensi-agensi penguatkuasaan, mengenai buli siber serta fenomena penghendap (stalking).

12. Sebuah Dasar Pendidikan yang Adil dan Berpandangan Jauh

12.1 Menganjurkan pendidikan yang lebih menyeluruh dan berkualiti; dimana semua diberi peluang yang setara; mempunyai nilai kreativiti, pemikiran kritis yang bersifat saintifik dan berpengetahuan teknologi yang diperlukan untuk penyelidikan dan pembangunan;

12.2 Memastikan pelajaran di sektor awam bercorak sekular dan tiada gangguan dari parti politik dan unsur keagamaan;

12.3 Menjalankan polisi kemasukan ke institusi pendidikan tinggi awam yang berasaskan gabungan faktor pencapaian akademik, latar belakang kebudayaan dan ekonomi;

12.4 Memastikan bahawa tidak ada diskriminasi dalam syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam, dengan menambah pelaburan dalam membina dan mengembangkan lebih banyak tempat di dalam institusi-institusi;

12.5 Di samping membangunkan sekolah kebangsaan menggunakan Bahasa Melayu, sekolah bahasa ibunda pelbagai kumpulan etnik juga akan dibina dimana mereka berkongsi kemudahan dalam kawasan pendidikan yang sama untuk menggalakkan integrasi; juga memastikan sokongan kewangan seimbang, dan memastikan latihan bersesuaian untuk guru-guru sekolah ini;

12.6 Pendidikan percuma untuk sekolah rendah, menengah, dan pendidikan tinggi untuk semua rakyat;

12.7 Kebebasan akademik kepada semua universiti serta bebas dari sebarang campurtangan kerajaan;

12.8 Menyepadukan pelajaran seni, muzik, dan teater dalam sukatan pelajaran di peringkat sekolah rendah dan menengah;

12.9 Mewujudkan sistem pendidikan nasional untuk latihan industri serta latihan vokasional yang boleh digerakkan ke arah masa depan yang lebih kreatif serta ekonomi hijau;

12.10 Menghapuskan “sekolah-sekolah elit” dan menamatkan dasar-dasar diskriminasi dalam pembiayaan sekolah – semua sekolah-sekolah kebangsaan mestilah secara saksama, manakala guru-guru diberi insentif untuk digerakkan ke sekolah yang lebih mundur serta sekolah-sekolah di luar bandar;

12.11 Memastikan semua sekolah kebangsaan, bukan sekadar sekolah-sekolah terpilih sahaja, mempunyai kemudahan seni dan sukan bagi menggalakkan kecemerlangan dalam bidang
sukan juga kebudayaan;

12.12 Memastikan pelaburan serta faedah sosial yang lebih tinggi dalam bentuk gaji dan kepuasan bekerja bagi guru-guru untuk merubahnya menjadi suatu kerjaya yang paling
dihormati serta menjadi idaman kerjaya bagi generasi muda yang berbakat.

13. Sistem Penjagaan Kesihatan Awam Yang Lebih Baik

13.1 Semua orang berhak untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan awam secara percuma;
13.2 Peruntukan sekurang-kurangnya 4% daripada KDNK belanjawan tahunan untuk sektor penjagaan kesihatan;

13.3 Menyediakan suasana, kadar gaji, dan perkembangan kerjaya yang lebih baik untuk para doktor, jururawat, serta kakitangan hospital awam dengan mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Sektor Awam dan Rawatan Kesihatan Pekerja secara berasingan;

13.4 Membekukan pertumbuhan hospital-hospital swasta dan mengelakkan kebocoran dari sektor awam kepada kontraktor-kontraktor swasta;

13.5 Menyediakan rumah-rumah dan pusat jagaan harian kepada warga tua dan mereka yang berkelainan berupaya menerusi skim faedah, perkhidmatan sokongan, termasuk akses kepada kemudahan kesihatan bergerak;

13.6 Memastikan pelaburan yang lebih tinggi untuk kemudahan kesihatan mental di seluruh negara;

13.7 Membangunkan hospital-hospital baru di seluruh negara bagi mengatasi masalah kesesakan di hospital awam;

13.8 Meningkatkan dana bagi penyelidikan perubatan dan kesihatan awam bagi mengatasi masalah-masalah kesihatan yang besar dalam negara.

14. Dasar Masyarakat Penyayang dan Berpaksikan Rakyat

14.1 Menubuhkan Lembaga Pembangunan Perumahan, yang diurus oleh badan pentadbiran Kerajaan Tempatan yang telah dipilih untuk melaksanakan program rumah mampu milik yang berkesan untuk dimiliki atau disewa di seluruh negara bagi keperluan rakyat miskin dan masyarakat yang terpinggir, dengan ruang yang cukup serta selesa bagi keperluan aktiviti komuniti, riadah, serta kawasan hijau;

14.2 Memodenkan Kampung-Kampung Baru dengan memberi geran-geran hak milik, meningkatkan infrastruktur dan bantuan kerajaan kepada perniagaan kecil dan sederhana, serta menghormati hak-hak peneroka bandar dalam semua pelan pembangunan untuk meningkatkan kawasan tempat tinggal mereka bagi tujuan perumahan semula;

14.3 Memastikan keutamaan kepada sistem pengangkutan awam dalam negara, dalam masa yang sama mengawalselia pembinaan lebuhraya dan lalu lintas kenderaan di bandar raya dan pusat-pusat bandar;

14.4 Menyediakan pusat asuhan kanak-kanak serta kemudahan jagaan harian di semua sektor awam dan swasta;

14.5 Menghapuskan status jenayah terhadap penggunaan dadah supaya mereka yang ketagih (atau yang menderita kerana menyalahguna dadah) tidak lagi tertakluk kepada penangkapan dan penahanan tetapi sebaliknya diberi rawatan di pusat pemulihan;

14.6 Berusaha ke arah mewujudkan skim persaraan untuk kesemua warga tua bagi meningkatkan kesejahteraan dan martabat warga tua; ianya boleh dimulakan dengan cara yang sederhana – kepada individu yang berusia lebih 70 tahun yang tidak mendapat pencen kerajaan atau pencen Perkeso, akan dibayar sebanyak RM300 sebulan;

14.7 Menubuhkan Suruhanjaya untuk merancang kewujudan sebuah sistem kebajikan sosial yang komprehensif yang merangkumi bantuan pengangguran, juga sokongan terhadap penjagaan kanak-kanak dan mereka yang kurang upaya dari segi mental atau fizikal.

15. Menyokong Hak-Hak Orang Asal, Tanah-Tanah Adat, Budaya dan Agama

15.1 Mencegah Pembalakan di tanah-tanah kediaman orang Asal;

15.2 Memastikan kampung-kampung Orang Asal mempunyai perkhidmatan dan kemudahan-kemudahan yang sewajarnya termasuk sekolah dan klinik kesihatan memenuhi keperluan dan wawasan mereka;

15.3 Memastikan Orang Asal turut terlibat dan dapat memberi persetujuan selepas meneliti dengan cara terbuka, bebas dan berlandaskan maklumat yang menyuluruh, dalam membuat keputusan yang melibatkan kepentingan mereka;

15.4 Memperkenalkan undang-undang yang menepati kehendak deklarasi PBB bagi Hak Asasi Masyarakat Orang Asal (UNDRIP) terutama hak mereka mengenai tanah adat;

15.5 Mewujudkan sebuah Suruhanjaya Orang Asal yang memberi hak untuk mentadbir kehidupan mereka sendiri juga autonomi dalam hal tanah adat mereka;

15.6 Memulangkan kembali kesemua tanah-tanah yang telah diambil daripada Orang Asal.

16. Dasar Kepelbagaian Budaya yang lebih Bertenaga

16.1 Memelihara warisan dalam semua aspek sebagai rekod pengalaman budaya manusia bagi memupuk kepelbagaian bentuk kreativiti dan memberi inspirasi kepada dialog antara budaya yang tulen;

16.2 Melibatkan para seniman dan aktivis seni dalam merancang pendidikan formal dan tidak formal;

16.3 Menggalakkan institusi-institusi kebudayaan untuk memastikan penglibatan golongan belia dengan matlamat-matlamat khusus antarabudaya;

16.4 Mewujudkan sebuah Dasar Kebudayaan Kebangsaan baru yang bersifat inklusif, pelbagai, serta progresif, menerusi penglibatan masyarakat, ahli akademik serta budayawan, dengan mengambil kira pelbagai kencenderungan politik, bahasa, serta budaya;

16.5 Mewujudkan lebih banyak taman rekreasi awam di bandar-bandar dan melarang kawasan perumahan eksklusif swasta untuk mencerobohi ruang kongsi bersama seperti kawasan luar bandar dan pantai.

17. Kurangkan jenayah dan tingkatkan keselamatan awam

17.1 Pasukan Polis sepatutnya memberi tumpuan kepada misi utama mereka iaitu pencegahan jenayah;

17.2 Memastikan pasukan polis memberi maklumbalas yang berkesan terhadap jenayah-jenayah yang dilaporkan seperti penyeluk saku, pecah rumah, dan sebagainya bagi tujuan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keselamatan masyarakat setempat;

17.3 Menubuhkan sebuah Pasukan Khas Penjaga Keamanan yang dianggotai daripada pelbagai kaum untuk dikerah dengan cepat bagi mengatasi konflik antara etnik dalam masyarakat;

17.4 Memastikan pasukan polis mencapai tahap profesionalisme yang tinggi;

17.5 Menyarankan penglibatan bersama masyarakat dalam membanteras jenayah.

18. Mengurangkan Perbelanjaan Pertahanan dan Menghidupkan Budaya Keamanan

18.1 Mengkaji semula dasar pertahanan negara untuk menggalakkan budaya keamanan dan pelucutan senjata menurut prinsip-prinsip Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) serta menggalakkan kerjasama antara negara-negara dunia ketiga;

18.2 Memotong belanjawan pertahanan di bawah 1% daripada KDNK dan membahagikan belanjawan yang lebih untuk kesihatan, pendidikan, dan perkhidmatan sosial;

18.3 Menubuhkan Jawatankuasa Pertahanan Peringkat Parlimen yang dipengerusikan oleh anggota Parlimen daripada pihak pembangkang sebagai Ombudsman bebas untuk menyelia belanjawan pertahanan;

18.4 Merombak semula RELA – menghadkan kuasa RELA untuk menangkap dan menahan, hak untuk menggunakan senjata api mestilah dihadkan kepada pegawai-pegawai professional yang terlatih.

MEMBIAYAI MANIFESTO INI

Kami komited untuk menegakkan prinsip integriti, akauntabiliti, ketelusan, dan pengawasan dalam menguruskan kewangan negara. Kami percaya dengan pengurusan pendapatan dan perbelanjaan yang berhemat, janji-janji dalam Manifesto ini dapat ditepati.

Sumber pendapatan baru adalah daripada pencukaian progresif daripada golongan 1% yang berpendapatan tinggi, keuntungan modal dan traksaksi cukai kewangan, dan melalui langkah-langkah pengawalseliaan untuk menangani pengelakan cukai dan penghindaran. Melalui pengurusan perbelanjaan yang telus dan berhemah, kami menjangkakan simpanan antara 20 ke 30 peratus daripada belanjawan negara semasa sebanyak RM262 bilion.

Kami akan memastikan kuantiti dan kualiti barang dan perkhidmatan awam yang memberi manfaat kepada golongan 99% tidak akan terjejas oleh pemotongan dalam perbelanjaan dan/atau penurunan sumber-sumber hasil.

KESIMPULAN

Idea-idea dalam Manifesto ini tidaklah mutlak. Ia hanyalah sekadar untuk menyediakan sebuah asas untuk perbincangan mengenai isu-isu yang penting demi masa depan kita semua.

Kami percaya bahawa banyak daripada cadangan kami adalah penyelesaian realistik terhadap masalah yang dihadapi oleh masyarakat, walaubagaimanapun kami sedar sepenuhnya bahawa kami tidak mempunyai semua jawapan dan kami terbuka kepada idea, cadangan, pengubahsuaian, dan penambahbaikan. Kita memerlukan perdebatan yang dinamik untuk membina persetujuan bagi membentuk suatu haluan alternatif untuk negara kita.

Kami berharap anda akan menyertai kami dalam usaha untuk mewujudkan Malaysia yang harmoni dan berperikemanusiaan, berasaskan setiakawan antara manusia dan dengan alam semula jadi.

=========

Manifesto Untuk 99% ini disediakan oleh Gabungan Kiri yang turut dianggotai oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Gabungan Kiri ialah sebuah perikatan antara organisasi politik, sosial dan budaya akar umbi yang bercorak sosialis di Malaysia. Kami berfungsi sebagai sebuah kumpulan untuk mendesak para parti politik untuk menyerap Manifesto kami untuk pilihanraya yang akan datang. Setelah berlakunya Pilihanraya Umum ke-13 pada tahun 2013, sekumpulan aktivis dan organisasi kiri menyedari keperluan besar untuk sebuah alternatif yang tulen dalam politik Malaysia: masyarakat kita memerlukan sebuah usaha yang memusatkan politik berdasarkan masalah ekonomi rakyat biasa, menitikberatkan kebajikan rakyat, menjunjung hak pekerja dengan pendirian anti-kapitalis yang jelas.

Dari sebuah permulaan yang kecil, kini Gabungan Kiri dianggotai oleh pelbagai organisasi kiri (atau juga dikenal sosialis) dari seluruh negara: parti-parti politik, kumpulan-kumpulan anak muda, aktivis budaya, ahli-ahli akademik, dan juga ahli kesatuan sekerja. Bersama mereka mewakili sebuah spektrum idea-idea umum dalam sosialisme.

One thought on “Manifesto Untuk 99% (Gabungan Kiri 2018)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *