20200716 - putrajaya (2)

PUTRAJAYA – 16 JULAI 2020: Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyerahkan satu dokumen yang mengandungi cadangan pelan tindakan nasional untuk menangani kegawatan ekonomi negara kerana krisis wabak COVID-19 kepada Pejabat Perdana Menteri pada hari ini.

Rombongan PSM yang hadir semasa penyerahan memorandum hari ini terdiri daripada Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi PSM, S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi PSM, A. Sivarajan selaku Setiausaha Agung PSM dan Soh Sook Hwa selaku Bendahari PSM. Lim Chee Han yang mewakili Persatuan Agora Malaysia turut hadir pada hari ini. Memorandum yang dikemukakan oleh PSM tersebut telah diterima oleh Hajjah Haslinda, Pegawai Khas di Pejabat Perdana Menteri. PSM telah meminta pada pihak Kerajaan untuk mengadakan perbincangan lanjut untuk membincangkan lebih terperinci tentang cadangan-cadangan ini.

20200716 - putrajaya02 (2)

Dokumen cadangan PSM untuk menangani kemelesetan ekonomi pasca COVID-19 ini, merupakan usaha PSM untuk mengemukakan idea-idea yang mampu memastikan rakyat tidak akan terjejas akibat krisis ekonomi yang tercetus berikutan penularan wabak COVID-19 di peringkat dunia. Oleh sebab kejutan ekonomi global, ramai rakyat Malaysia akan mengalami masalah kehilangan punca pendapatan, banyak keluarga akan menghadapi masalah kewangan dan tidak dapat memenuhi keperluan asas – makanan pembayaran sewa, rawatan kesihatan dan kemudahan asas. Keluarga yang tinggal di premis yang disewa mungkin akan menghadapi pengusiran kerana tidak dapat membayar sewa. Dalam situasi yang meruncing dan terdesak ini, PSM telah mengambil inisiatif untuk merangka satu program nasional berdasarkan solidariti supaya memastikan tiada sesiapa di Malaysia akan menghadapi masalah kekurangan makanan, tempat tinggal atau perkhidmatan kesihatan kerana kemerosotan ekonomi.

Dokumen cadangan PSM ini telah dikemaskinikan selepas mengadakan satu sesi konsultasi dengan beberapa organisasi masyarakat sivil pada bulan Jun lalu. Cadangan-cadangan ini dibawa kepada Perdana Menteri agar pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dapat diperbaiki.

Pelan tindakan yang dikemukakan oleh PSM mempunyai 8 komponen utama:

  1. Menjamin bekalan makanan untuk rakyat Malaysia.
  2. Melaksanakan skim Jaminan Pendapatan Asas yang diubahsuai untuk mereka yang kehilangan punca pendapatan kerana krisis ekonomi.
  3. Menyediakan subsidi sewa rumah untuk mengurangkan beban kewangan penyewa berpendapatan rendah dan memberhentikan pengusiran paksa.
  4. Meningkatkan kapasiti sistem perkhidmatan kesihatan.
  5. Menjamin keselamatan masyarakat awam daripada dijangkiti COVID-19.
  6. Kerajaan mengambilalih kilang-kilang yang ditutup untuk pengeluaran barangan keperluan.
  7. Menggunakan sumber negara yang tidak dapat digerakkan oleh pemacuan pasaran untuk mencapai matlamat sosial dan memulihkan alam sekitar.
  8. Memperkasakan amalan demokrasi di peringkat akar umbi.

Selain mengemukakan langkah-langkah untuk menangani krisis dan melindungi rakyat, PSM juga mengemukakan kaedah untuk membiayai program-program sosial penting ini. Mengikut anggaran PSM, program yang disyorkan ini memerlukan Belanjawan Tambahan sebanyak RM31 bilion. RM31 bilion bukannya satu jumlah yang kecil, tetapi bukannya jumlah yang berketerlaluan dan tidak masuk akal. Untuk tempoh masa 5 bulan yang lalu, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sejumlah besar dana untuk program-program rangsangan ekonomi, termasuk Pakej Rangsangan Ekonomi yang melibatkan perbelanjaan langsung Kerajaan Persekutuan sebanyak RM3.23 bilion yang diumumkan pada 27 Februari 2020 ketika Dr. Mahathir masih memegang jawatan Perdana Menteri, Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah RM250 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 27 Mac 2020, dan Pakej Tambahan yang melibatkan perbelanjaan langsung Kerajaan Persekutuan sebanyak RM9.8 bilion yang diumumkan pada 6 April 2020.

PSM telah mencadangkan beberapa pendekatan untuk mendapatkan dana untuk melaksanakan program-program yang dicadangkan, termasuk:

  • Pengurangan perbelanjaan operasi sebanyak 10% untuk semua Kementerian (dapat menjana RM20 bilion);
  • Pelaksanaan cukai kekayaan, iaitu mengenakan cukai ke atas kekayaan yang dikuasai oleh individu terkaya di Malaysia (dapat memperoleh RM20 bilion);
  • Membendung pengelakan cukai;
  • Menambahkan pinjaman daripada sektor swasta melalui terbitan bon kerajaan;
  • “Pengewangan hutang” (monetization of debt).

Dr. Jeyakumar Devaraj berkata, “Kami di PSM berpandangan bahawa Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tidak meningkat bukannya masalah, tetapi kami tidak boleh terima rakyat Malaysia kelaparan. Kami tidak boleh terima rakyat diusir keluar dari rumah kediaman mereka kerana tidak mampu membayar sewa. Kami tidak dapat menerima rawatan di hospital awam dilambat-lambatkan. Keperluan asas rakyat harus dijamin oleh kerajaan. Negara kita memang cukup kaya dan kita boleh mengaturkan supaya semua keperluan asas ini terjamin.”

“Kami berharap warga Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat akan turut serta dalam diskusi mengenai pelan tindakan yang dikemukakan oleh PSM untuk menangani kemelesetan ekonomi COVID-19. PSM percaya bahawa sumber negara kita cukup besar untuk memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan, setiap keluarga mendapat keperluan asas, dan semua orang akan terus dilindungi daripada ancaman COVID-19. Kita dapat menggunakan kemampuan ekonomi kita untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih adil dan hijau,” ulas Dr. Jeyakumar.

**********

Kandungan penuh dokumen cadangan PSM “Kemelesetan ekonomi pasca COVID-19: Cadangan PSM untuk pulihkan negara demi rakyat – Pastikan tiada sesiapa yang ketinggalan” boleh dibaca di sini.

4 thoughts on “Pulih negara demi rakyat: PSM kemuka cadangan tangani kemelesetan ekonomi pasca COVID-19

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *