TEMERLOH, PAHANG – 10 APRIL 2023: Perbicaraan bagi kes masyarakat Orang Asli Pos Lanai menuntut hak tanah adat dan menghalang kemusnahan tanah adat mereka daripada ancaman pencerobohan berterusan telah mula diadakan pada hari ini di Mahkamah Tinggi Temerloh.

Anggota-anggota komuniti Orang Asli daripada suku kaum Semai di Pos Lanai, Pahang, telah menaiki dua buah bas dan hadir beramai-ramai ke mahkamah untuk mengikuti perbicaraan yang bakal menentukan nasib kolektif mereka. Turut hadir bersolidariti dengan masyarakat Orang Asli Pos Lanai ialah Sivarajan Arumugam, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

“Hari ini merupakan satu hari yang bersejarah untuk komuniti Orang Asli Pos Lanai yang telah lama berjuang mempertahankan hak tanah adat mereka,” kata Sivarajan. “Kini mereka mengambil satu lagi langkah untuk menghalang sebarang pencerobohan ke atas tanah adat mereka itu daripada terus berulang lagi, supaya generasi-generasi mereka yang akan datang dapat menikmati warisan tanah adat yang diduduki sejak zaman nenek moyang mereka.”

“Perjuangan kami telah berlarutan lama sejak kami melawan pembinaan Empangan Telom, di mana kami telah menghentikan projek itu. Kemudiannya kami berdepan dengan ancaman perlombongan lantanid di kawasan kami,” kata Jeffry Hassan, wakil Jawatankuasa Bertindak Tanah dan Wilayah Adat Orang Asli Pos Lanai. “Pada hari ini, kami daripada komuniti Orang Asli Pos Lanai memberanikan diri kami untuk memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Temerloh demi terus mempertahankan hak tanah adat kami.”

147 orang anggota masyarakat Orang Asli Pos Lanai telah memfailkan kes tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Temerloh pada tahun 2021 dengan tuntutan supaya mahkamah memberi satu deklarasi yang menyatakan bahawa plaintif-plaintif (Orang Asli Pos Lanai) yang memfailkan kes itu merupakan pemegang hak milik adat dan pemegang hak penggunaan tanah bagi kawasan yang diduduki oleh mereka di Pos Lanai. Defendan-Defendan yang dinamakan dalam tindakan mahkamah ini ialah Kerajaan Negeri Pahang, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia dan Kerajaan Persekutuan.

Plaintif-plaintif dalam kes ini juga menuntut satu deklarasi daripada mahkamah bahawa defenden-defendan tidak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk memusnahkan hak masyarakat Orang Asli Pos Lanai terhadap tanah wilayah adat mereka dengan menjalankan aktiviti (seperti pembalakan, perlombongan dan sebagainya) yang menjejaskan tanah adat masyarakat Orang Asli. Di samping itu, masyarakat Orang Asli Pos Lanai untuk menuntut supaya Kerajaan Negeri Pahang mengambil langkah-langkah yang perlu dalam mewartakan tanah yang diduduki mereka itu sebagai kawasan Orang Asli atau rizab Orang Asli di bawah Akta Orang Asli 1954. Perbicaraan kes ini telah dijadualkan pada 10 hingga 14 April 2023.

Plaintif-plaintif daripada masyarakat Orang Asli Pos Lanai diwakili oleh peguam Harneshpal Singh Bhullar.

“Semua dokumen yang diperlukan telah difailkan oleh kedua-dua pihak plaintif yang saya wakili dan pihak Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri. Sekarang kami akan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah untuk memutuskan sama ada masyarakat suku kaum Semai ini mempunyai hak tanah adat terhadap tanah yang dituntut mereka,” kata Harneshpal Singh Bhullar sebelum memasuki mahkamah untuk perbicaraan pada hari ini. “Kami berharap ini akan memberi kesimpulan kepada perjuangan selama 12 tahun oleh masyarakat Orang Asli ini, dari cadangan pembinaan Empangan Telom sehingga kelulusan baru-baru ini kepada kajian untuk perlombongan bahan nadir bumi di atas tanah mereka.”

Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Bertindak Tanah dan Wilayah Adat Orang Asli Pos Lanai bersempena hari pertama perbicaraan kes ini boleh dibaca di sini.

3 thoughts on “Perbicaraan kes Orang Asli Pos Lanai tuntut hak tanah adat bermula

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *