Pada 20 Julai 2017, Gabungan Menuntut Hak untuk Pembelaan (Right to Redress) telah melancarkan satu laporan bertajuk “Menuju Dasar Nasional yang Menyeluruh tentang Migrasi Buruh untuk Malaysia”.

Laporan ini mengandungi syor-syor dasar berkaitan 7 aspek dalam migrasi buruh. Semua syor ini diperolehi melalui siri rundingan siri meja bulat yang berlangsung sebanyak 4 kali bersama semua pihak berkepentingan antara bulan Ogos dan Oktober 2016. Laporan ini akan dikemukakan kepada kerajaan dengan harapan bahawa:

i. kerajaan akan memulakan langkah-langkah untuk membuat dasar komprehensif tentang migrasi buruh; dan

ii. kerajaan akan mengambil kira cadangan-cadangan dalam laporan ini apabila membuat dasar tersebut.

===============

4 sebab yang mendesak mengapa kita perlukan satu dasar yang menyeluruh tentang migrasi buruh:

1. Peningkatan dalam bilangan pekerja migran dan kebergantungan ekonomi Malaysia kepada pekerja migran

Jumlah pekerja migran kini telah meningkat ke seramai 6 juta, satu angka yang begitu besar. Sektor-sektor yang mengupah pekerja migran pada masa kini termasuk sektor pembinaan, perladangan, pertanian, perlombongan dan kuari, pembuatan dan perkhidmatan, serta pelancongan.

Beberapa industri bergantung sangat kepada tenaga buruh migran sehingga industri-industri berkenaan dijangka terpaksa tutup sekiranya kemasukan pekerja migran dihentikan.

Keadaan ini menunjukkan bahawa migrasi buruh ke Malaysia bukan satu perkara remeh-temeh di mana dasar boleh dibuat secara terburu-buru tanpa memikirkan kesannya dalam jangka masa panjang.

2. Penswastaan proses rekrutmen dan pengurusan pekerja migran menimbulkan banyak masalah

Selepas kerajaan menswastakan proses pengambilan (rekrutmen) dan pengurusan pekerja migran, migrasi buruh bertukar wajah menjadi satu industri yang berkeuntungan lumayan untuk ahli-ahli politik daripada parti pemerintah dan kroni-kroni mereka. Ini juga menjadi salah satu punca wujudnya rasuah di agensi-agensi penguatkuasaan.

Bayangkanlah, tanpa ejen, kos rekrutmen seorang pekerja Nepal ialah RM1,500, tetapi dengan peranan ejen, kos meningkat ke RM14,000!

Motif keuntungan telah mencetuskan pelbagai masalah teruk dalam isu migrasi buruh. Antaranya:

a. Pemerdagangan manusia dan penyeludupan

Malaysia mempunyai rekod yang buruk mengikut Laporan Pemerdagangan Orang oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat, berada di Tingkat 3 (tahun 2014), dan senarai pemerhatian Tingkat 2 (tahun 2015 dan 2016), dan sehingga tahun ini baru dinaiktaraf ke Tingkat 2.

b. Buruh paksa

Pekerja migran terpaksa meminjam wang dengan faedah yang tinggi untuk datang ke Malaysia. Gaji pekerja digunakan untuk membayar balik hutang, maka untuk sekurang-kurangnya 6 bulan tidak ada pendapatan.

Aktiviti ejen dalam rekrutmen yang tidak bersesuaian telah menyebabkan ramai pekerja hilang status yang sah, dan juga menyebabkan bekalan pekerja migran menjadi berlebihan.

Trend ini hanya boleh dihentikan dengan penggubalan dasar untuk mengawalselia pengambilan pekerja, untuk menghapuskan motif cari keuntungan dan memberi keutamaan kepada keperluan tenaga kerja sebenar.

3. Kesan migrasi buruh terhadap jaminan kerja dan kuasa tawar-menawar pekerja

30% tenaga kerja di negara kita terdiri daripada pekerja migran. Angka ini termasuk lebih kurang 4 juta orang pekerja migran tanpa dokumen yang tidak mempunyai sebarang hak dari segi undang-undang. Kerajaan hanya mengiktirafkan 2 juta pekerja yang berdokumen, walaupun sedar bahawa kebanyakan pekerja tidak berdokumen bekerja di perusahaan kecil dan sederhana (SME).

Komposisi tenaga kerja di Malaysia serta bekalan berlebihan tenaga buruh membenarkan pihak majikan mengamalkan taktik “pecah dan perintah” yang mengakibatkan satu keadaan di mana kuasa tawar-menawar untuk pekerja amat lemah, dan tidak ada jaminan kerja untuk keseluruhan tenaga kerja.

Tuntutan pekerja tempatan untuk gaji yang lebih tinggi bagi menampung kos hidup, masa kerja yang lebih pendek dan kondisi kerja yang lebih baik, dilihat sebagai tuntutan yang melampau.

Kita perlukan dasar-dasar yang jelas yang menggariskan rasional kerajaan untuk mendapatkan tenaga buruh migran di Malaysia, cara menentukan bilangan pekerja migran yang diperlukan, dan peraturan-peraturan untuk melindungi hak dan kebajikan semua pekerja.

4. Peningkatan penduduk tanpa perkembangan dalam bekalan perkhidmatan sosial

Jumlah penduduk Malaysia telah meningkat dengan tambahan 6 juta orang pekerja migran. Namun, bekalan perkhidmatan sosial, seperti kesihatan, tidak berkembang untuk memenuhi keperluan bilangan penduduk tambahan ini. Sebaliknya, bukan sahaja tidak memperluaskan perkhidmatan awam, malah kerajaan membuat dasar untuk menyekat bekalan perkhidmatan kesihatan untuk pekerja migran dengan mengenakan caj perubatan yang tinggi.

Dasar seperti ini menghalang pekerja migran yang sakit daripada mendapatkan rawatan, dan dengan itu menyumbang kepada peningkatan dalam penyebaran penyakit seperti TB di kalangan masyarakat kita.

Jelas bahawa kita perlukan dasar yang menyeluruh yang mengutamakan rakyat dan negara.

===============

Cadangan-cadangan yang merangkumi 7 aspek berkenaan migrasi buruh

Laporan Gabungan Hak untuk Pembelaan bagi Pekerja Migran mengandungi 43 cadangan mengenai 7 aspek utama berkaitan migrasi buruh. Antara cadangan-cadangan adalah:

REKRUTMEN

  • Satu Kementerian sahaja yang diberi tanggungjawab tunggal dalam urusan pengambilan pekerja migran.
  • Bilangan pengambilan pekerja migran harus berdasarkan keperluan tenaga kerja.
  • Mekanisme G-G (kerajaan terus dengan kerajaan) untuk semua pengambilan dan pengurusan pekerja migran.
  • Satu kontrak pekerjaan sahaja dalam bahasa asal pekerja.

PEKERJAAN DI MALAYSIA

  • Pantau dan kuatkuasakan Akta Kerja dan undang-undang lain.
  • Menyatakan segala “pemotongan” di penyata gaji.
  • Utarakan segala isu berkaitan kerja domestik.
  • Memastikan hak pembelaan untuk semua pekerja migran.

PEKERJA MIGRAN TIDAK BERDOKUMEN

  • Pantau dan kuatkuasakan Akta Pasport dan undang-undang lain.
  • Hentikan syarikat swasta/ejen yang terlibat dalam penyumberluaran tenaga kerja migran.
  • Mempercepatkan program pengesahan status dan pengambilan semula bekerja yang berkesan, di bawah Kementerian Sumber Manusia.
  • Mengiktiraf hak golongan pelarian untuk bekerja.
  • Hapuskan hukuman sebat untuk kesalahan imigresen.

PENANGKAPAN & PENAHANAN

  • Kuatkuasakan Akta Pasport dan semua undang-undang yang relevan.
  • Hentikan aktiviti syarikat swasta yang terlibat dengan penyumberluaran pekerja migran.
  • Menangani rasuah institusi.
  • Pengurusan terbuka untuk kem-kem tahanan; membenarkan akses.

PEKERJA MIGRAN WANITA

  • Kaji semula segala undang-undang untuk memastikan hak pekerja wanita diberi perlindungan sepenuhnya.
  • Kaji semula dan lakukan pembaharuan sepenuhnya dalam bidang kerja domestik.
  • Memperkenal undang-undang yang wajar untuk menangani gangguan seksual.
  • Memahami dan melindungi hak-hak reproduktif dan keluarga

KESIHATAN & KESELAMATAN SOSIAL

  • Semua pekerja migran diberi perlindungan PERKESO.
  • Jaminan akses kepada perkhidmatan kesihatan.
  • Melindungi kesihatan fizikal dan mental pekerja.
  • Skim pencen untuk pekerja migran.

PERUMAHAN

  • Penguatkuasaan tegas untuk peruntukan dan garis panduan yang sedia ada; pesalah harus didakwa.
  • Penginapan di tempat kerja perlu diharamkan, contohnya pekerja domestik.
  • Majlis perbandaran dan majlis-majlis tempatan lain perlu lebih aktif dalam memantau kemudahan perumahan untuk pekerja migran.

5 thoughts on “Menuju dasar nasional menyeluruh tentang migrasi buruh untuk Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *