(Tangkap layar dari laman web Astro Awani)

Pilihan Raya Umum ke-15 yang menyaksikan pertarungan sengit antara tiga gabungan parti politik yang utama menghasilkan keadaan parlimen tergantung untuk kali pertamanya dalam sejarah pilihan raya di negara kita. Tiada satu gabungan parti politik mendapat kerusi majoriti mudah dalam Dewan Rakyat. Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan yang paling teruk dalam sejarahnya. Pakatan Harapan (PH) yang begitu berkeyakinan dalam berkuasa semula di Putrajaya gagal memperoleh jumlah kerusi yang dijangkakannya. Perikatan Nasional (PN) pula memberi kejutan dengan mendapat kemenangan yang agak besar dalam gelombang menolak UMNO-BN. Nampaknya penjajaran semula politik telah berlaku berikutan PRU-15 dan negara kita sedang melangkah masuk ke dalam era politik “baharu” dengan imbangan kuasa baharu dalam kalangan parti-parti politik arus perdana.

PRU-15 telah diadakan pada 19 November 2022 untuk memilih 222 orang Ahli Dewan Rakyat dalam Parlimen Persekutuan dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di 3 buah negeri (Perlis, Perak dan Pahang). Pemilihan untuk kerusi Parlimen P017 telah ditangguhkan ke 7 Disember 2022 berikutan calon PH, Karuppaiya Muthusamy, meninggal dunia 3 hari sebelum hari mengundi, sementara pengundian di kawasan Parlimen P220 Baram juga digantung pada hari mengundi kerana banjir dan cuaca buruk. Peratusan keluar mengundi ialah lebih 73%.

Daripada 220 kerusi yang diumumkan keputusannya, PH memenangi sebanyak 82 kerusi, menjadikannya gabungan parti politik yang menguasai kerusi terbanyak dalam Dewan Rakyat tetapi masih jauh ketinggalan dalam memperolehi majoriti mudah. Jumlah kerusi yang dimenangi PH dalam PRU-15 ini adalah berkurangan berbanding 90 kerusi yang dikuasainya sebelum pembubaran Parlimen, dan lagi jauh kurang berbanding 113 kerusi yang dimenanginya dalam PRU-14 pada tahun 2018 (di mana BERSATU masih bergabung dalam PH pada masa itu). PH terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), sementara Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) membentuk pakatan pilihan raya dengan PH.

BN yang merupakan gabungan yang mendominasi politik negara kita selama ini (walaupun ia telah kalah dalam PRU-14 tetapi kembali berkuasa dalam kerajaan campuran selepas Langkah Sheraton pada tahun 2020) telah mengalami kekalahan yang paling teruk dalam sejarahnya. BN hanya memperoleh 30 kerusi Parlimen, iaitu kurang sebanyak 12 kerusi berbanding 42 kerusi yang dikuasainya sebelum pembubaran Parlimen. Keputusan ini jauh lebih teruk berbanding PRU-14 apabila BN kalah untuk kali pertamanya dalam Pilihan Raya Umum, di mana BN pada masa itu menang sebanyak 79 kerusi. Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti yang paling besar dalam BN, hanya memperoleh 26 kerusi, jauh kurang berbanding 54 kerusi yang dimenanginya dalam PRU-14.

Sesetengah pemimpin UMNO beranggapan bahawa mereka boleh mengulangi kejayaan UMNO-BN seperti dalam PRN Melaka dan Johor dengan mendesak pembubaran Parlimen secepat mungkin, tetapi nampaknya strategi mereka telah menemui kegagalan. Ramai pengundi telah muak dengan UMNO-BN yang masih dihantui skandal rasuah dan pemimpin yang korup. Politik lama UMNO-BN tidak lagi dapat memperbodohkan rakyat.

Kekalahan teruk BN ini telah menjadikannya “kuasa ketiga” yang berada di belakang PH dan PN. Undi yang hilang daripada BN, tidak pergi kepada PH yang beria-ia untuk menawan Putrajaya, sebaliknya pergi kepada PN yang sebelum ini tidak begitu menyerlah dalam Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor.

PN yang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), membawa kejutan besar dalam PRU-15, dan boleh dikatakan pemenang terbesar walaupun ia tidak memperolehi kerusi terbanyak. PN berjaya memperoleh 73 kerusi Parlimen, bertambah sebanyak 34 kerusi berbanding 39 kerusi yang dikuasainya sebelum pembubaran Parlimen. Nampaknya banyak pengundi yang menolak UMNO-BN tetapi juga tidak sokong PH, khususnya pengundi Melayu, telah mengalihkan sokongan mereka kepada PN. PN ditubuhkan pada tahun 2020 selepas Langkah Sheraton apabila BERSATU keluar daripada PH. Sebelum PRU-15, PN hanya menang 2 daripada 28 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Melaka pada tahun 2021, dan 3 daripada 56 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Johor pada tahun 2022.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masing-masing memenangi 22 dan 6 kerusi Parlimen. GRS mempunyai kerjasama pilihan raya dengan BN. Parti Warisan hanya memperoleh 3 kerusi, kesemuanya di Sabah, walaupun ia juga bertanding banyak kerusi di Semenanjung Malaysia. Parti politik lain yang menang kerusi ialah Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang merupakan parti serpihan WARISAN, masing-masing memenangi 1 kerusi di Sarawak dan Sabah.

Gerakan Tanah Air (GTA) yang diterajui Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) di bawah pimpinan Mahathir Mohamad mengalami kekalahan yang epik apabila kesemua 125 orang calonnya hilang deposit, termasuk Mahathir Mohamad sendiri di kawasan Parlimen P004 Langkawai yang hanya memperoleh 9.62% undian. Kekalahan teruk Mahathir Mohamad menandakan tamatnya riwayat politik seorang gergasi yang telah berkecimpung dalam arena politik negara lebih 7 dekad lamanya ini.  

Adalah amat jelas PRU-15 menyaksikan satu gelombang besar yang menolak UMNO-BN. Gelombang ini adalah lebih besar berbanding PRU-14 di mana BN kalah untuk kali pertamanya. Namun, undi yang menolak UMNO-BN pada kali ini tidak pergi kepada PH, sebaliknya membolehkan kebangkitan PN sebagai kuasa politik kedua besar sekarang ini. PAS, parti komponen utama PN, sendiri menguasai 49 kerusi Parlimen, menjadikannya parti tunggal dengan kerusi terbanyak dalam Dewan Rakyat. Undi kepada PN mungkin menunjukkan banyak pengundi tertarik kepada politik populis konservatif yang dibawa oleh BERSATU dan PAS, tetapi juga berkemungkinan disebabkan PN menawarkan imej yang lebih bersih berbanding UMNO-BN dan tiada keyakinan terhadap PH sebagai alternatif.

Tidak kira kerajaan campuran bagaimana yang akan dibentuk, sudah pastinya PRU-15 telah membuka lembaran “baharu” kepada politik negara kita, baharu dari segi imbangan kuasa dalam kalangan parti-parti politik lama yang bersaing untuk penjajaran semula politik berdasarkan kepentingan golongan elit politik masing-masing.

3 thoughts on “PRU-15: Penjajaran semula politik tanah air?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *