KUALA LUMPUR – 17 APRIL 2024: Satu aksi untuk menyambut Hari Pekerja Sedunia akan diadakan di Kuala Lumpur pada 1 Mei 2024 dengan perarakan dari Menara Maybank ke Dataran Merdeka.

Aksi sambutan Hari Pekerja di Malaysia pada tahun ini merupakan sambutan yang ke-30 anjuran Jawatankuasa 1 Mei. Jawatankuasa 1 Mei ialah sebuah gabungan organisasi masyarakat yang dibentuk untuk merancang dan mengelolakan aksi sambutan Hari Pekerja setiap tahun sejak tahun 1994. Kumpulan-kumpulan asal yang membentuk Jawatankuasa 1 Mei pada tahun 1994 kemudiannya menjadi peneraju kepada pembentukan Parti Sosialis Malaysia (PSM). (Baca sejarah ringkas PSM di sini.)

Aksi sambutan Hari Pekerja di Malaysia pada tahun ini akan bermula pada pukul 10 pagi dengan berhimpun di hadapan Menara Maybank, Jalan Tun Perak, dan kemudiannya berarak ke Dataran Merdeka.  Jawatankuasa 1 Mei akan memaklumkan kepada pihak polis tentang aksi ini seperti yang dikehendaki dalam Akta Perhimpunan Aman, dan aksi ini juga akan dipantau oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) serta Majlis Peguam Negara.

Jawatankuasa 1 Mei mengumumkan aksi sambutan Hari Pekerja ini dalam satu sidang media khas pada hari ini. Turut hadir dalam sidang media tersebut termasuk S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional PSM, Azura Nasron daripada Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Pushpa Doraisamy selaku Persatuan Sahabat Wanita Selangor dan Ismail Ali selaku Naib Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC).

“1 Mei memang satu tarikh keramat bagi pekerja di Malaysia dan juga seluruh dunia. Kebanyakan kemenangan kaum pekerja, seperti kerja 8 jam sehari dan gaji minimum, berlaku kerana perjuangan kaum pekerja,”S. Arutchelvan mengingatkan orang ramai tentang makna sambutan Hari Pekerja Sedunia.

Tema sambutan Hari Pekerja pada tahun ini ialah “Gaji Untuk Hidup”. Tema ini dipilih kerana pekerja-pekerja di Malaysia pada hari ini sedang berhadapan dengan tekanan hidup akibat daripada kos sara hidup yang semakin meningkat sedangkan gaji yang diterima masih rendah bagi kebanyakan orang yang bekerja.

“Walaupun kerajaan telah menetapkan gaji minimum pada kadar RM1,500 sebulan dalam Perintah Gaji Minimum 2022, kadar gaji ini masih rendah berbanding kos sara hidup dan bukan semua pekerja dapat menikmatinya,” kata Parames Elumalai, salah seorang anggota Jawatankuasa 1 Mei. “Oleh itu, tuntutan utama untuk sambutan Hari Pekerja tahun ini kami menekankan pelaksanaan gaji untuk hidup.”

Jawatankuasa 1 Mei menuntut supaya gaji minimum ditingkatkan ke kadar RM2,000 untuk membolehkan pekerja-pekerja menanggung kos sara hidup mereka. Selain itu, Jawatankuasa 1 Mei 2024 juga mengemukakan tuntutan-tuntutan yang merangkumi aspek yang luas seperti perlindungan hak kepada pekerja gig, pengiktirafan hak tanah adat orang asal, kesaksamaan hak bagi pekerja migran, pengisytiharan krisis iklim dan pemansuhan undang-undang zalim yang menyekat hak demokratik rakyat. (Baca kenyataan media Jawatankuasa 1 Mei 2024 di sini.)

Jawatankuasa 1 Mei menyeru pada orang ramai supaya turut serta dalam aksi sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei 2024 di Kuala Lumpur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *