20200302 - kapar (2)

Penternak-penternak lembu di sekitar kawasan Kuala Selangor, Selangor, telah membuat aduan polis pada 1 Mac 2020 di Balai Polis Sungai Kapar Indah ke atas pengurus ladang daripada syarikat Sime Darby berkenaan dengan ugutan untuk mengusir keluar lembu dari ladang.

Penternak-penternak ini datang daripada Ladang Bukit Cherakah, Ladang Brownson dan Ladang Bukit Panjang. Menurut salah seorang penternak, Mohanraj, dia diberitahu oleh seorang pegawai syarikat Sime Darby baru-baru ini bahawa dia tidak boleh mengurungkan lembu-lembunya di dalam ladang. “Dia memberitahu saya untuk membuka pagar. Tetapi jika saya berbuat demikian, lembu-lembu saya akan berkeliaran di kawasan ladang dan memasuki ke tempat yang adanya anak-anak pokok dan juga kemungkinan untuk lembu saya pergi ke jalanraya adalah tinggi,” kata Mohanraj.

Isu penternakan lembu di ladang milik Sime Darby telah timbul sejak tahun yang lepas. Pada bulan Ogos 2019, pihak Sime Darby telah mengeluarkan notis untuk mengusir keluar lembu ternakan dari kawasan ladangnya. Penternak-penternak yang terlibat pada asalnya ialah pekerja ladang ataupun bekas pekerja ladang yang bekerja di ladang berkenaan untuk lebih 3 generasi. Aktiviti penternakan lembu di kawasan ladang dijalankan oleh pekerja ladang untuk menampung kehidupan mereka yang tidak cukup disara dengan gaji pekerja ladang yang amat rendah.

“Kami telah membawa isu ini kepada perhatian pihak Sime Darby di ibupejabatnya dan juga menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Putrajaya. Setelah perjumpaan dengan pihak atasan Sime Darby dan memorandum kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, kami menerima satu surat balasan daripada Sime Darby yang menyatakan bahawa isu pengusiran paksa lembu-lembu dari ladang ini masih dalam perbincangan dan akan memaklumkan sekiranya ada keputusan muktamad. Memang tiada sebarang keputusan diambil lagi tentang isu ini. Namun, sekarang pegawai Sime Darby di ladang pula cuba menimbulkan lagi satu masalah baru,”kata Mohanraj.

Oleh yang demikian, penternak-penternak di kawasan ladang milik Sime Darby membuat aduan polis untuk melindungi lembu-lembu ternakan mereka daripada pengusiran paksa. Mereka juga menggesa untuk menghentikan tindakan oleh pegawai-pegawai ladang Sime Darby yang tidak wajar sebelum keputusan dibuat di peringkat atasan Sime Darby berkenaan dengan isu penternakan lembu di ladang.

“Kami berharap pihak pengurusan Sime Darby tidak memberi sebarang gangguan kepada penternak-penternak di kawasan sekitar Kuala Selangor sehingga satu penyelesaian adil untuk isu penternakan lembu di ladang ini tercapai,” tambah Mohanraj.

Turut bersama dengan penternak-penternak semasa membuat aduan polis ialah Sivaranjani selaku Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on “Penternak lembu ladang Sime Darby gesa hentikan gangguan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *