KUALA LUMPUR / KULIM / IPOH / SLIM RIVER / KOTA DAMANSARA / SEREMBAN / JOHOR BAHRU – 22 MEI 2022:  Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengadakan aksi serentak di 7 buah tempat pada hari ini untuk melancarkan Kempen Pemulihan Negara yang menggesa kerajaan untuk melakukan pembaharuan dasar yang dapat menjamin kesejahteraan hidup rakyat marhaen.

Kempen yang bertemakan “Rakyat Minta Lima” ini telah mengetengahkan 5 tuntutan teras, iaitu:

  1. Memperkasakan perlindungan sosial
  2. Skim Jaminan Kerja
  3. Perumahan hak rakyat
  4. Tingkatkan khidmat kesihatan awam
  5. Tangani krisis iklim segera

Terdapat tuntutan-tuntutan yang lebih terperinci di bawah setiap teras yang dibawa dalam kempen ini. Misalnya di bawah tuntutan teras “memperkasakan perlindungan sosial”, PSM telah mengemukakan tuntutan yang lebih spesifik seperti pelaksanaan skim jaminan pendapatan asas bagi mereka yang kehilangan punca pendapatan, penghapusan penyumberan luar perkhidmatan kerajaan kepada kontraktor swasta, pindaan undang-undang untuk memperbaiki perlindungan sosial kepada pekerja dan pencen bulanan sejagat untuk warga emas.

Aksi pelancaran Kempen Pemulihan Negara PSM ini diadakan di Kulim, Ipoh, Slim River, Kota Damansara, Kuala Lumpur, Seremban dan Johor Bahru, dengan ahli-ahli PSM berhimpun di tempat awam untuk mengadakan sidang akhbar. Selepas ini, dalam beberapa bulan akan datang, PSM akan membawa tuntutan-tuntutan kempen ini kepada perhatian orang ramai di seluruh negara dengan pelbagai aktiviti, seperti konvoi dari bandar ke bandar, pengedaran risalah, ceramah kelompok dan perjumpaan dengan masyarakat sivil.

Sivarajan Arumugam, Setiausaha Agung PSM, berkata dalam kenyataan akhbarnya bersempena pelancaran Kempen Pemulihan Negara ini, “Kelemahan struktur pentadbiran Malaysia telah didedahkan pada tahun 2020 apabila pandemik COVID-19 menyerang dan memberikan tamparan yang terdahsyat sejak merdeka kepada sosioekonomi dan politik negara. Sistem ekonomi neoliberal yang dianuti sejak lebih 40 tahun lalu oleh kedua-dua blok pemerintahan, gagal melindungi kebajikan rakyat terbanyak apabila sebuah pandemik sebegini menyerang.”

Tujuan kempen PSM terbaru ini ialah untuk menyedarkan orang ramai tentang kepentingan pelaksanaan dasar kerajaan yang pro-marhaen dalam mengatasi pelbagai masalah sosioekonomi yang timbul akibat asas jaringan perlindungan sosial yang dihakis dan dilemahkan oleh sistem pemerintahan kapitalis yang pro-korporat. Kita perlukan pembaharuan dasar negara yang menyeluruh supaya masyarakat kita dapat pulih daripada impak pandemik dan mendapat perlindungan yang menjamin kesejahteraan rakyat biasa secara berterusan.

Berikut ialah sepintas lalu aksi pelancaran Kempen Pemulihan Negara: “Rakyat Minta Lima” di tempat yang berbeza pada 22 Mei 2022:

Ipoh, Perak.
Kota Damansara, Selangor.
Seremban, Negeri Sembilan.
Slim River, Perak.
Kulim, Kedah.
Johor Bahru, Johor.
Video yang menerangkan secara ringkas tentang Kempen Pemulihan Negara yang dibawa oleh PSM.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

7 thoughts on ““Rakyat minta lima!” : PSM lancar kempen tuntut dasar pro-marhaen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *