(Rencana khas ulangtahun ke-20 aksi protes anti-perang antarabangsa yang terbesar dalam sejarah dunia.)
15 Februari 2003 ialah satu hari yang amat bersejarah dalam gerakan sosial sedunia apabila jutaan rakyat dari seluruh pelosok dunia turun beraksi di jalanan untuk menentang perang!
Aksi protes serentak di seluruh dunia pada 15 Februari 2003 diadakan untuk menyuarakan bantahan rakyat sedunia terhadap rancangan kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang hendak melancarkan serangan tentera ke atas Iraq pada masa itu. Aksi protes tersebut merupakan kemuncak kepada gelombang protes anti-perang yang melanda seluruh dunia pada masa itu. Ia boleh dikatakan aksi protes anti-perang yang terbesar dalam sejarah pada masa itu.
Walaupun gelombang protes anti-perang yang memuncak pada awal tahun 2003 gagal dalam menghentikan peperangan di Iraq pada masa itu, tetapi ia telah meninggalkan legasi gerakan sosial yang penting dan menjadi inspirasi kepada mobilisasi masyarakat antarabangsa untuk aksi jalanan selepasnya.
Rakyat dunia bersatu dalam protes anti-perang
Aksi protes anti-perang antarabangsa pada 15 Februari 2003 ialah sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum itu, bukan sahaja dari segi saiz demonstrasi tetapi juga dari segi koordinasi antarabangsa yang begitu memberangsangkan untuk menjayakannya.
Lebih 10 juta orang mengambil bahagian dalam aksi protes di lebih 600 buah bandar di seluruh dunia pada 15 Februari 2003. Aksi protes yang terbesar telah berlaku di Eropah, dengan lebih kurang 3 juta orang berhimpun di Rom, Itali, dan protes tersebut disenaraikan dalam Rekod Dunia Guinness sebagai perhimpunan anti-perang terbesar dalam sejarah. Lebih 1.5 juta orang menyertai perhimpunan anti-perang di Madrid, Sepanyol; sekurang-kurangnya 1 juta orang berprotes di London, Britain; lebih kurang 500,000 orang berprotes di Berlin, Jerman; lebih kurang 200,000 orang beraksi di Paris, Perancis; 100,000 orang berprotes di Dublin, Ireland; 200,000 orang berprotes di Sydney, Australia; lebih kurang 400,000 orang berprotes di New York, AS.
Malaysia juga tidak ketinggalan dalam gelombang aksi protes anti-perang antarabangsa yang hebat ini. Lebih kurang 3,000 orang mengambil bahagian dalam protes yang dianjurkan oleh Gabungan Anti-Perang (GAP) di Kuala Lumpur pada 15 Februari 2003, walaupun pihak polis memberi amaran keras sebelum itu untuk menghalang orang ramai daripada menyertainya. Pihak polis malah mengancam untuk menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan demonstran di Kuala Lumpur. Gabungan Anti-Perang (GAP) merupakan satu usahasama masyarakat sivil di Malaysia yang digerakkan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang belum berdaftar pada masa itu. Sementara itu, lebih kurang 250 orang beraksi di Pulau Pinang.
Aksi protes anti-perang pada tahun 2003 berlaku pada masa kerajaan AS sedang ghairah menerajui “Perang Terhadap Keganasan” (War on Terror) berikutan Peristiwa Serangan Pengganas 11 September 2001. Atas nama memerangi pengganas, AS memulakan serangan ketenteraan ke atas Afghanistan pada bulan Oktober bulan 2001. Pada tahun 2002, kerajaan AS di bawah pimpinan Presiden George W. Bush pada masa itu memulakan usaha persiapan untuk menceroboh Iraq dengan mengemukakan dakwaan bahawa kerajaan Iraq yang dipimpin oleh Saddam Hussein memiliki senjata pemusnah besar-besaran. Adalah dibuktikan kemudian bahawa dakwaan kerajaaan AS mengenai senjata pemusnah besar-besaran di Iraq adalah palsu dan merupakan salah satu penipuan terbesar dalam abad ke-21.
Gerakan anti-perang di seluruh dunia telah mengadakan pelbagai aksi protes untuk menyuarakan bantahan terhadap ancaman perang AS ke atas Iraq pada masa itu. Gerakan sosial antarabangsa yang terlibat dalam Forum Sosial Dunia yang mula dianjurkan pada tahun 2001 di Porto Alegre, Brazil, telah memainkan peranan penting dalam menggerakkan usaha anti-perang. Pada masa itu, istilah “globalisasi” sering diuar-uarkan oleh pendukung sistem kapitalis neoliberal di peringkat global, tetapi hakikatnya proses globalisasi ekonomi kapitalis telah memburukkan lagi ketidaksamarataan dan ketidakadilan di seluruh dunia. Gerakan sosial yang berhimpun dalam Forum Sosial Dunia telah membawa satu lagi bentuk globalisasi yang lain – globalisasi akar umbi yang memperjuangkan kesamarataan ekonomi, keadilan sosial dan keamanan dunia.
Cadangan untuk mengadakan demonstrasi anti-perang secara serentak di peringkat antarabangsa telah dikemukakan dan diterima dalam Perhimpunan Gerakan-gerakan Sosial semasa Forum Sosial Eropah yang diadakan di Florence, Itali, pada bulan November 2002. Forum Sosial Dunia yang diadakan di Porto Alegre pada bulan Januari 2003 turut menyahut seruan untuk aksi protes serentak antarabangsa ini.
Akhirnya, 15 Februari 2003 menjadi tarikh keramat untuk kebangkitan rakyat dunia dalam usaha membantah perang, menentang imperialisme AS dan memperjuangkan keamanan sejagat. Selepas menyaksikan aksi massa yang hebat ini, Patrick Tyler, seorang penulis di New York Times, menulis bahawa terdapat dua kuasa besar di planet ini – Amerika Syarikat, dan pendapat umum seluruh dunia yang diwakili oleh massa yang berdemonstrasi di jalanan seluruh dunia pada 15 Februari 2003.
Perang Iraq tetap berlaku, tetapi penentangan terhadap imperialisme AS berterusan
Walaupun jelasnya majoriti rakyat di seluruh dunia menentang perang di Iraq, tetapi kuasa imperialis AS dan sekutunya tetap berdegil untuk melancarkan serangan ketenteraan ke atas Iraq pada 20 Mac 2003. Perang Iraq telah meninggalkan impak yang mendalam dan berpanjangan, bukan sahaja kepada masyarakat Iraq, tetapi juga rantau Timur Tengah malah seluruh dunia. Nyawa ratusan ribu orang dikorbankan semasa Perang Iraq, sementara jutaan orang menjadi pelarian.
Dakwaan kerajaan AS bahawa rejim kediktatoran Saddam Hussein di Iraq memiliki “senjata pemusnah besar-besaran” itu telah terbukti hanya satu penipuan besar apabila tiada satu senjata sebegitu dijumpai selepas pencerobohan tentera AS di Iraq.
Perang Iraq yang merupakan sebahagian daripada “Perang Terhadap Keganasan” bukan sahaja tidak berjaya dalam menghapuskan keganasan, sebaliknya mewujudkan tapak pembiakan kumpulan pengganas yang lebih dahsyat seperti ISIS.
Ramai orang yang menyertai aksi protes anti-perang terbesar di dunia pada tahun 2003 sudah pasti amat kecewa kerana mobilisasi yang sebegitu besar pun gagal menghentikan perang. Angka penyertaan aksi anti-perang telah menurun selepas itu dan tiada lagi aksi protes anti-perang yang setanding dengan saiz protes 15 Feburari 2003. Media korporat di peringkat antarabangsa cuba menanamkan pandangan bahawa aksi protes adalah tidak berguna apabila kerajaan enggan mendengar suara rakyat di jalanan. Walau bagaimanapun, perjuangan menentang kuasa imperialis masih berterusan di merata tempat di dunia.
Rakyat Iraq dan Afghanistan telah menjadi mangsa secara langsung kepada kezaliman kuasa imperialis AS. Sejak awal lagi, pencerobohan tentera AS dan sekutunya di Afghanistan dan Iraq tiada kaitannya langsung dengan demokrasi ataupun keamanan dunia, sebaliknya hanya untuk perubahan rejim yang memanfaatkan dominasi kuasa imperialis AS dan kepentingan kapitalis global dengan mengorbankan rakyat biasa di negara-negara kurang maju. Sumber-sumber rakyat di Afghanistan dan Iraq terus diswastakan dan digondol sementara kampung halaman mereka dimusnahkan. Perang imperialis yang diterajui oleh AS dan sekutunya dalam abad ke-21 telah membuka mata rakyat sedunia kepada sifat sebenar penghasut perang imperialis.
Gerakan anti-perang dan perjuangan untuk keadilan global harus diteruskan
20 tahun telah berlalu selepas aksi protes anti-perang 15 Februari 2003 yang amat bersejarah. Dunia kita masih dibayangi ancaman perang yang dicetuskan oleh kuasa imperialis, selain harus berhadapan dengan pelbagai ancaman krisis global seperti krisis ekonomi, krisis iklim dan sebagainya.
Aksi mogok iklim yang diadakan serentak di seluruh dunia dan diterajui oleh golongan anak muda boleh dikatakan sebagai lanjutan daripada usaha mobilisasi antarabangsa seperti gerakan membantah Perang Iraq yang menyatukan rakyat merentasi sempadan untuk memperjuangkan keadilan sosial dan sebuah dunia yang lebih baik.
Kita harus meneruskan usaha gerakan rakyat dalam membantah perang atau ancaman perang, termasuk pencerobohan ketenteraan Rusia ke atas Ukraine, perang Turki ke atas masyarakat Kurdi, ancaman perang di Selat Taiwan, campur tangan ketenteraan Arab Saudi di Yaman, dan pembentukan gabungan imperialis barat AUKUS yang menyasarkan China. Aksi protes anti-perang antarabangsa 15 Februari 2003 tetap akan menjadi inspirasi kepada rakyat sedunia untuk bermobilisasi demi keamanan sejagat dan keadilan global.
**********
Berikut ialah sepintas lalu aksi protes anti-perang di beberapa buah bandar pada 15 Februari 2003.