KUALA LUMPUR – 26 JULAI 2022: Jalan menuju ke Bangunan Parlimen telah digegarkan dengan laungan slogan “Hidup petani!”, “Hidup pesawah!”, “Hidup penternak!” dan “Hidup nelayan!” pada hari ini apabila golongan pengeluar makanan dari pelbagai tempat berarak dan berhimpun di luar Parlimen untuk menyuarakan keluhan mereka dan tuntutan kepada kerajaan supaya jangan menghancurkan kapasiti negara kita dalam pengeluaran makanan.

Lebih 200 orang berprotes di luar Parlimen pada hari ini, dan menyerahkan memorandum kepada Ahli-ahli Parlimen dengan seruan supaya tindakan diambil segera untuk menyelamatkan para pengeluar makanan tempatan (termasuk petani kecil, pesawah, penternak kecil dan neyalan) daripada ancaman-ancaman yang bukan sahaja menghancurkan rezeki mereka malah menjejaskan jaminan makanan bagi seluruh rakyat Malaysia. Petani-petani, pesawah-pesawah, pekebun-pekebun sayur, penternak-penternak ikan, penternak-penternak lembu dan nelayan-nelayan ini bergabung dalam Jaringan Pengeluar Makanan, satu inisiatif oleh Gabungan Marhaen dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersama dengan kumpulan-kumpulan pengeluar makanan di pelbagai tempat.

Mesej aksi protes dan penyerahan memorandum pada hari ini sangat jelas, iaitu jangan kacau pengeluar makanan (petani, pesawah, penternak dan neyalan) pada ketika negara kita sedang berhadapan dengan ancaman krisis makanan dan harga makanan yang semakin melambung tinggi. Isu pokoknya di sini adalah: jika tiadanya pengeluar makanan seperti petani, pesawah, penternak dan nelayan, maka semua orang tiada makanan!

Turut hadir bersolidariti semasa aksi protes pengeluar makanan pada hari ini ialah aktivis-aktivis daripada organisasi-organisasi seperti Gabungan Marhaen, PSM, SUARAM, Parti MUDA dan Pemuda Sosialis PSM. Antara Ahli-ahli Parlimen yang hadir untuk menerima memorandum daripada Jaringan Pengeluar Makanan ialah Hassan Abdul Karim (Ahli Parlimen Pasir Gudang), Mahfuz Omar (Ahli Parlimen Pokok Sena) dan Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru). Sebanyak 48 buah organisasi menyokong tuntutan-tuntutan yang dikemukakan dalam memorandum Jaringan Pengeluar Makanan.

Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM, berkata semasa penyerahan memorandum Jaringan Pengeluar Makanan di luar Parlimen, “Kami datang ke sini pada hari ini bertujuan untuk menggesa pada sesi Parlimen kali ini agar membuat satu resolusi yang meminta semua Kerajaan Negeri dan agensi kerajaan supaya jangan menindas dan menekan pengeluar-pengeluar makanan!”

“Kita sedang menghadapi krisis makanan pada masa ini. Janganlah sekat dan kacau pengeluar-pengeluar makanan. Benarkanlah mereka untuk terus mengeluarkan makanan bagi rakyat,” tegas kata Dr. Jeyakumar. “Jika pihak berkuasa berdegil untuk mengusir pengeluar-pengeluar makanan ini, seperti petani-petani di Perak yang sedang diancam pengusiran secara beramai-ramai, dan nelayan-nelayan di Pulau Pinang yang diancam oleh penambakan laut yang akan merosakkan tempat tangkap ikan, tindakan sebegini akan memusnahkan kapasiti kita untuk mengeluarkan makanan bagi rakyat. Isu harga makanan memang sesuatu yang penting, tetapi kapasiti negara kita dalam mengeluarkan makanan adalah lebih penting lagi. Jangan buat sesuatu yang akan hancurkan kapasiti kita untuk mengeluarkan makanan!”

(foto: Soni)

Antara tuntutan yang dikemukakan oleh Jaringan Pengeluar Makanan dalam memorandumnya yang ditujukan kepada para Ahli Parlimen dan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara ialah:

  • Kekalkan kawasan tanaman sayur sebagai kawasan pengeluaran makanan dan jangan mengusir petani-petani kecil yang sedang mengusahakan tanah untuk penanaman bahan makanan;
  • Membuat siasatan terhadap pentadbiran tanah pertanian oleh kerajaan negeri yang dicurigai;
  • Mewujudkan mekanisme semak-dan-imbang untuk memastikan pelupusan tanah kerajaan benar-benar dilakukan untuk kebaikan rakyat;
  • Menukar semua subsidi input untuk pengeluaran padi kepada bentuk pemberian secara terus kepada pesawah dengan tunai atau baucar;
  • Meningkatkan insentif harga padi kepada 80 sen sekilogram dan mengembalikan segera bayaran wang sara hidup sementara menunggu hasil dituai;
  • Menyelesaikan masalah pemerasan pesawah yang berlaku di peringkat kilang;
  • Mengiktirafkan pesawah padi sebagai Pegawai Keselamatan Makanan dan menawarkan Pencen Warga Emas kepada pesawah;
  • Membatalkan projek penambakan laut yang bakal menjejaskan rezeki nelayan pantai seperti projek penambakan laut di Selatan Pulau Pinang;
  • Hentikan pengusiran terhadap penternak-penternak lembu di ladang-ladang Sime Darby;
  • Bertindak adil dalam mengawal selia harga jualan susu dan daging lembu;
  • Jangan meratifikasi perjanjian-perjanjian perdagangan bebas seperti CPTPP yang menjejaskan kedaulatan makanan.
(foto: Bryan Rozells)

Jaringan Pengeluar Makanan menggesa pada Perdana Menteri untuk membentangkan satu usul tergempar dalam Parlimen supaya mengingatkan Kerajaan-kerajaan Negeri dan juga agensi-agensi kerajaan bahawa kapasiti pengeluaran bahan makanan tempatan harus dipelihara, dan sebarang dasar, projek atau tindakan yang mengancam kedaulatan makanan negara harus dikenalpasti dan dihentikan.

Jaringan Pengeluar Makanan dengan tegasnya menggesa pada Kerajaan supaya mengekalkan kawasan-kawasan tanah yang sedang digunakan untuk pengeluaran makanan dan melindungi kedaulatan makanan.

One thought on “Jangan kacau pengeluar makanan pada ketika krisis makanan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *