Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) melancarkan kempen “Hapus Sistem Kontrak – Jaminan Kerja untuk Semua” dalam satu sidang akhbar atas talian yang diadakan pada 19 November 2020.

Sidang akhbar anjuran JPKK ini telah mengetengahkan isu-isu yang dihadapi oleh pekerja-pekerja barisan hadapan (frontliner) yang dilupakan atau diabaikan dalam keadaan ancaman pandemik pada ketika ini, di samping mendesak Kerajaan Persekutuan supaya mengembalikan jaminan kerja kepada pekerja-pekerja di premis kerajaan dengan menghapuskan sistem kontrak yang menyumberkan luar (outsource) kerja-kerja perkhidmatan sokongan (seperti pembersihan dan kawalan keselamatan) kepada kontraktor swasta.

Sebelum pertengahan tahun 1990-an, semua pekerja pembersihan, tukang kebun dan pengawal keselamatan yang berkhidmat di sekolah dan hospital kerajaan adalah pekerja kerajaan yang mempunyai jaminan kerja. Namun, sejak dasar penswastaan diperkenalkan oleh Perdana Menteri ke-4 iaitu Dr. Mahahtir pada tahun 1996, sistem ini telah ditukar kepada sistem kontrak yang menghancurkan jaminan kerja dan mewujudkan budaya kronisme.

Tindakan kerajaan yang menyumberkan luar kerja perkhidmatan sokongan tetap melalui sistem kontrak ini, adalah bercanggah dengan undang-undang buruh antarabangsa ILO, di mana kerja kontrak hanya boleh diberi kepada kerja yang bersifat sementara atau bermusim. Pada tahun 2011, Kerajaan juga telah membuat pindaan dalam Akta Kerja 1955, iaitu mengiktiraf kontraktor untuk buruh dalam undang-undang. Pindaan undang-undang ini menghalalkan sistem kontrak dan merampas jaminan kerja bagi pekerja. 

Keadaan ini menjadi lebih teruk lagi pada ketika penularan wabak COVID-19, di mana golongan ini terus dianaktirikan dan tidak diiktiraf sebagai pekerja barisan hadapan (frontliner).

Oleh yang demikian, JPKK melancarkan kempen “HAPUS SISTEM KONTRAK – JAMINAN KERJA UNTUK SEMUA”.

Apakah matlamat utama kempen ini?

Tujuan utama kempen ini adalah menggesa Kerajaan supaya menyerapkan pekerja kontrak di premis kerajaan sebagai pekerja tetap seperti zaman sebelum tahun 1990-an.

Apakah rasional kempen ini diadakan?

Berdasarkan kaji selidik dan pengalaman JPKK, adalah tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa sistem kontrak yang diamalkan untuk perkhidmatan sokongan di premis kerajaan lebih banyak membawa mudarat berbanding faedah kepada pekerja yang membanting tulang menyumbang kudrat. Sistem ini hanya membiak kronisme ini hanya membawa hasil keuntungan kepada segelintir kecil pihak sahaja.

Kerajaan patut mengembalikan dasar pengambilan pekerja perkhidmatan sokongan di premis kerajaan seperti yang pernah diamalkan sebelum tahun 1990-an. Penyerapan pekerja-pekerja kontrak ini menjadi pekerja tetap akan membolehkan pekerja-pekerja ini mendapat jaminan kerja dan faedah yang lebih baik. Kerajaan juga dapat menjimatkan wang dengan menyingkirkan sistem orang tengah dalam pengupahan pekerja.

Kempen ini untuk siapa?

Kempen ini memberi tumpuan kepada pekerja-pekerja kontrak yang bekerja di premis kerajaan seperti pengawal keselamatan, pekerja pembersihan dan tukang kebun, supaya dapat mengetengahkan masalah mereka dan membawa tuntutan mereka kepada perhatian kerajaan. Kempen ini menuntut Kerajaan untuk menghapuskan sistem kontrak serta menjadikan mereka sebagai pekerja tetap. 

Siapa yang menganjurkan kempen ini?

Kempen ini dilancarkan oleh Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK). Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) ialah satu inisiatif yang ditubuhkan untuk memperjuangkan nasib pekerja-pekerja kontrak di premis kerajaan, dengan hasrat  mendesak Kerajaan Persekutuan Malaysia untuk menjadikan pekerja kontrak sebagai pekerja tetap sepenuh masa supaya mereka dapat memperoleh jaminan pekerjaan, kenaikan gaji dan manfaat lain yang dinikmati oleh pekerja tetap.

Apakah tuntutan utama kempen ini?

1. Serap pekerja kontrak sebagai pekerja tetap

2. Hapuskan budaya kroni dan orang tengah

3. Kurangkan pembaziran, cekapkan pentadbiran

Apakah aktiviti-aktiviti yang akan dibuat untuk mencapai tuntutan ini?

  1. Petisyen online untuk mengumpulkan sokongan daripada pekerja dan juga orang awam.
  2. Membincangkan tuntutan ini melalui forum, media sosial dan media cetak.
  3. Mendapat sokongan daripada kumpulan lain seperti badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan kesatuan-kesatuan sekerja untuk menguatkan suara kempen.
  4. Membawa tuntutan ini kepada 4 kementerian yang berkenaan, iaitu Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kewangan. 
  5. Menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri dan mengadakan mesyuarat dengan parti-parti pembangkang.

Berapa ramai pekerja yang akan mendapat manfaat daripada kempen ini?

Menurut anggaran JPKK, hanya di hospital dan sekolah sahaja, sudah adanya lebih kurang 250 ribu pekerja kontrak yang diupah, dan angka ini lebih besar jika diambilkira semua premis atau bangunan kerajaan yang lain.

Pekerja harus dibebaskan daripada sistem kontrak yang menganiayai pekerja

M. Sivaranjani, Penyelaras JPKK, berkata dalam sidang akhbar pelancaran kempen, “Jika kita lihat pada keadaan pekerja kontrak ini semasa pendamik sekarang. Apakah keadaan yang dihadapi mereka? Contohnya, pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan di hospital tidak diiktiraf sebagai pekerja barisan hadapan (frontliner). Pekerja-pekerja ini turut berdepan dengan ancaman COVID-19 setiap hari. Namun, apabila Kerajaan mengumumkan faedah tambahan kepada pekerja barisan hadapan, dua golongan ini sudah dilupai. Ini kerana mereka bukan pekerja kerajaan walaupun bekerja di premis kerajaan. Ini menyedihkan!”

“Sistem kontrak ini diwujudkan untuk siapa sebenarnya? Siapa yang mendapat manfaat daripada sistem ini? Pada zaman pemerintahan Mahatir, bagi menjaga kepentingan kroni-kroni orang politik, sistem ini diwujudkan. Tiada telusan dalam proses tender yang dibuat oleh kerajaan di mana sehingga kini kerajaan tidak mendedahkan proses bagaimana  seorang kontraktor dipilih dan atas dasar apa pemilihan ini dibuat. Kami di JPKK juga sering mendapati kontraktor yang mempunyai banyak masalah pelanggaran undang-undang pekerjaan dan mempunyai rekod aduan atau kes buruh di Jabatan Tenaga Kerja masih boleh mendapat tender daripada kerajaan. Rekod buruk mereka tidak dihiraukan. Apabila Kerajaan tidak mendedahkan cara pemilihan kontraktor ini, ia memberi gambaran kepada kami bahawa adanya pengaruh politik dalam pemberian tender.        

Justeru, sistem kontrak yang dibawa melalui dasar penswastaan oleh Kerajaan lebih membawa kemudaratan berbanding kebaikan. Sistem yang menyeksa dan memiskinkan pekerja bawahan B40 ini harus dihapuskan. Kerja pembersihan, kawalan keselamatan dan pertukangan kebun adalah kerja-kerja tetap. Kerajaan harus menghentikan penyalahgunaan sistem kontrak untuk kerja-kerja tetap. Pekerja harus dibebaskan daripada sistem kontrak ini!” begitu katanya Sivaranjani.

Tandatangani petisyen atas talian menuntut kerja tetap untuk pekerja kontrak kerajaan di sini.

17 thoughts on “Kembalikan jaminan kerja: JPKK lancar kempen desak penghapusan sistem kontrak di hospital dan sekolah kerajaan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *