(Berikut ialah kandungan memorandum daripada Jaringan Pengeluar Makanan yang ditujukan kepada Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob selaku Pengerusi Jawatankuasa Sekuriti Makanan Negara dan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee selaku Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Memorandum ini diserahkan pada 26 Julai 2022.)

oleh Jaringan Pengeluar Makanan

Jaringan Pengeluar Makanan yang terdiri daripada kumpulan-kumpulan pesawah padi, pekebun sayur, nelayan, penternak ikan dan penternak lembu/kambing menggesa pada kerajaan supaya bertindak tegas untuk mengenalpasti dan menghentikan usaha-usaha yang menjejaskan pengeluaran padi, sayur-sayuran, ikan, susu dan daging lembu tempatan akibat pelbagai tindakan terhadap para pengeluar makanan.

Walaupun kami pernah membawa isu-isu ini secara berasingan kepada perhatian Kerajaan Negeri dan agensi-agensi kerajaan berkenaan, tetapi sampai sekarang rayuan kami untuk polisi yang menyeluruh dan mampan masih tidak diambil kira.

Krisis kos dan bekalan makanan yang melanda dunia sekarang merupakan satu peringatan kepada kita bahawa kedaulatan makanan adalah amat penting untuk keselamatan dan kesejahteraan sesebuah negara. Pada takat ini, import makanan Malaysia hampir mencecah RM65 bilion setahun, iaitu lebih kurang 50% perbelanjaan negara untuk barangan makanan. Sebahagian besar daripada barangan makanan yang diimport ialah makanan asas seperti bijirin (beras, gandum, jagung), sayur-sayuran, ikan dan susu. 

Itulah sebabnya kami daripada empat sektor pengeluar makanan tempatan telah mengambil keputusan untuk bersama-sama mengutarakan masalah kami kepada Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara untuk bertindak segera dalam membentuk polisi dan menggubal undang-undang supaya menyelamatkan sektor-sektor pengeluaran makanan daripada dimusnahkan oleh langkah dan projek “pembangunan” yang sedang diamalkan oleh Kerajaan Negeri dan agensi mereka sepertimana yang diperjelaskan di bawah.  

Tuntutan pesawah padi

1. Menukar semua subsidi input untuk pengeluaran padi kepada bentuk tunai/baucar

Kenaikan kos pengeluaran padi akan memberi kesan kepada pendapatan pesawah. Kenaikan kos pengeluaran biasanya disebabkan oleh kenaikan harga input pertanian, tenaga buruh, sewaan, jentera dan juga manipulasi harga pasaran. Pada ketika ini, untuk mengekalkan harga runcit beras tempatan pada kadar RM2.60 sekilo, kerajaan memberikan subsidi seperti Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP), insentif pengeluaran benih padi sah dan insentif harga padi. 

Semua subsidi ini (kecuali insentif harga padi) tidak diberikan terus kepada pesawah, sebaliknya kepada syarikat-syarikat yang terpilih. Tetapi perkhidmatan kebanyakan syarikat-syarikat atau vendor-vendor yang dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan baja, benih dan input-input pertanian ini kepada pesawah kurang memuaskan – barangan yang dihantar berkualiti rendah ataupun tidak sesuai untuk semua jenis sawah malah sering dihantar lewat dan sebagainya. 

Pesawah menyarankan supaya peruntukan yang sama disampaikan melalui tunai atau baucar supaya para pesawah dapat memilih barangan yang terbaik dan sesuai dengan kaedah pertanian dan tanah sawah mereka. Kuota pengeluaran benih juga patut dihapuskan dan pasaran dibuka untuk menggalakkan persaingan. Sistem subsidi baja, racun dan input pertanian yang lain juga perlu diselaras sama seperti cadangan sistem benih supaya petani memiliki lebih banyak pilihan dan harga input pertanian dapat distabilkan melalui persaingan.

2. Meningkatkan insentif harga padi kepada 80 sen sekilogram dan mengembalikan segera bayaran wang sara hidup sementara menunggu hasil dituai

Beras ialah barangan makanan asas, dan oleh itu harganya dikawal oleh kerajaan – padi dibeli oleh kilang padi dengan harga minimum terjamin (GMP) RM1.20 per kg dan beras tempatan dijual di kedai runcit dengan harga kawalan RM2.60 per kg yang tidak berubah sejak belasan tahun lalu. Untuk membantu pesawah, kerajaan sedang membayar insentif harga padi sebanyak 36 sen sekilogram padi kepada pesawah – ertinya pesawah mendapat RM1.56 untuk setiap kilogram padi yang dijual kepada kilang padi. Harga minimum terjamin padi dinaikan kali terakhir pada tahun 2014 dan insentif harga padi ditambah kali terakhir hanya sebanyak 6 sen sekilogram pada tahun 2018.

Sejak tahun 2020, kos bertani meningkat secara mendadak dan berlipat ganda, manakala tambahan jumlah SIPP sebanyak RM100 hanyalah untuk tempoh setahun, iaitu tahun 2021 yang lepas. Oleh itu, sudah tiba masanya insentif harga padi ditambah sebanyak 44 sen sekilogram supaya menjadikan ia berjumlah 80 sen sekilogram. Sementara itu, wang bantuan sara hidup sebanyak RM200 sebulan sementara menunggu padi dituai yang pernah diterima sebelum ini oleh pesawah patut dikembalikan semula. Dengan adanya bantuan ini, petani dapat menyediakan keperluan rumah dan keluarga tanpa perlu berhutang sementara menunggu wang jualan padi dalam tempoh sekitar 6 bulan. Bayaran seumpama ini juga ada diterima oleh nelayan dan penoreh ketika musim tengkujuh.

3. Menyelesaikan masalah pemerasan pesawah yang berlaku di peringkat kilang

Kilang yang membeli padi biasanya memotong beberapa peratusan daripada berat padi untuk mendapatkan beras bersih tanpa wap air dan bendasing. Pada ketika ini, purata potongan pemutuan padi adalah sekitar 20%-30%. Pada 25 tahun lalu, purata potongan pemutuan yang dikenakan adalah sekitar 17%, sedangkan pada waktu tersebut, varieti benih dan teknologi pertanian tidaklah sehebat pada masa kini. Pada masa itu, wujud lebih banyak kilang beras dan oleh itu pesawah dapat menjual hasil mereka kepada kilang yang melakukan pemutuan secara yang adil. Tetapi sejak Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) diswastakan kepada BERNAS, ia telah menguasai pasaran beras dan seterusnya kilang melalui syarikat-syarikat perkongsian. Jumlah kilang padi berkurangan dan oligopoli yang diwujudkan telah menyebabkan potongan pemutuan meningkat.

Untuk menangani masalah ini, pesawah mengesyorkan bahawa:

  • a) Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) dihidupkan kembali dan tanggungjawab menguruskan sektor padi-beras dikembalikan kepada LPN;
  • b) Lebih banyak kilang memproses padi digalakkan dan diberi lesen operasi;
  • c) Wujudkan had pembelian padi setiap bulan untuk kilang-kilang besar mengikut pulang modal (break-even) masing-masing supaya kilang-kilang kecil juga mendapat bekalan padi untuk diproses.   

4. Berhenti mempromosikan Projek Estet Berskala Besar (Smart SBB), sebaliknya menyokong dan meramaikan usahawan-usahawan petani individu dan syarikat tempatan

Konsep pertanian berkelompok untuk berkongsi modal dan mengurangkan kos melalui koperasi (sedia maklum bahawa bilangan ahli minimum koperasi sekarang ialah 20 orang sahaja, iaitu satu angka yang dianggap boleh diurus dengan mudah kerana tidak terlalu besar) atau persatuan tempatan adalah alternatif terbaik kepada Smart SBB. Pada ketika ini, terdapat ramai usahawan petani dan syarikat tempatan yang sudahpun mengusahakan banyak sawah terbiar atau sawah yang tidak diusahakan oleh tuan tanah.

Ini akan membina kapasiti pengusaha petani tempatan untuk masa hadapan. Lazimnya syarikat atau korporat lebih berorientasikan keuntungan. Lantas jika berlaku kerugian, mereka akan meninggalkan perusahaan berbanding dengan petani yang akan bertahan lama walau dicabar dengan risko pengeluaran. Menyerahkan semua masalah kepada syarikat korporat untuk diselesaikan bukanlah satu langkah yang bijak kerana ia hanya akan meningkatkan monopoli swasta dalam urusan keselamatan negara dalam konteks jaminan bekalan makanan.

5. Mengiktirafkan pesawah padi sebagai Pegawai Keselamatan Makanan dan menawarkan Pencen Warga Emas kepada pesawah

Pesawah padi tidak boleh menukar status tanah mereka untuk aktiviti pertanian lain ataupun penternakan tanpa izin daripada Kerajaan Negeri. Pesawah juga tidak boleh menukar kegunaan tanah daripada pertanian ke perindustrian atau perumahan. Polisi ini telah dikuatkuasakan sejak zaman British kerana kerajaan sedar bahawa bekalan beras adalah amat penting untuk seluruh rakyat. Dan jangan lupa, harga beras dikawal supaya orang awam tidak dibebani kos makanan ruji yang tinggi. Jadi, adalah amat munasabah untuk menawarkan pencen warga emas sebanyak RM500 sebulan untuk setiap orang pesawah yang mencapai umur 60 tahun kerana mereka telah berkorban untuk membekalkan kita semua satu barangan makanan asas dengan harga terkawal.

Tuntutan pekebun sayur

1. Kekalkan kawasan tanaman sayur sebagai kawasan pengeluaran makanan

Pada masa ini, 75% daripada pengeluaran sayur-sayuran di Semenanjung Malaysia adalah diusahakan di atas tanah kerajaan yang terbiar. Ramai daripada pekebun sayur merupakan generasi ketiga. Datuk nenek mereka telah menerokai kebun-kebun mereka sebelum Perang Dunia Kedua. Sekarang walaupun penanaman sayur hanya mengambil 4% daripada jumlah tanah pertanian di Malaysia, pekebun-pekebun sayur sedang diancam dengan pengusiran secara besar-besaran oleh pemaju-pemaju projek perumahan dan perindustrian. Pada masa ini, di Daerah Kinta dan Batang Padang, Perak sahaja, terdapat 12 kumpulan petani sedang diusir.  

2. Kerajaan Negeri Perak perlu disiasat untuk pentadbiran tanah pertanian yang dicurigai

Tubuhkan Suruhanjaya Diraja di peringkat negeri Perak untuk menyiasat sama ada tanah negeri Perak diuruskan secara yang beramanah dan mengutamakan produksi makanan harian ataupun dikendalikan oleh pihak berkuasa semata-mata untuk menjana keuntungan jangka masa pendek daripada pelupusan tanah. Satu surat rayuan berkaitan permohonan ini telahpun dihantar oleh Gabungan Petani Perak kepada DYMM Sultan Perak pada 15 Mei 2022.

3. Mengambil balik tanah kebun yang telahpun dilupuskan kepada pihak swasta dan mengembalikannya kepada pekebun yang usahakannya

Kawasan tanaman sayur yang telah dilupuskan kepada pemaju tetapi masih diusahakan oleh pekebun, harus diambil balik oleh kerajaan dan pekebun dibenarkan untuk meneruskan penanaman sayur di situ. Tanah gantian boleh diberikan kepada pemaju. Kawasan penanaman sayur harus diberi pajakan dengan tempoh 10-20 tahun kepada para petani dengan syarat-syarat:

  • Tidak boleh menukar kepada tanaman kelapa sawit ataupun getah;
  • Tidak boleh membuat projek perumahan atau perindustrian. Tanah di situ mesti ditanam sayur;
  • Jika terbiar untuk lebih daripada satu tahun, boleh diambil balik oleh kerajaan dan dipajak kepada pekebun lain.

4. Wujudkan mekanisme semak-dan-imbang untuk memastikan pelupusan tanah kerajaan dilakukan untuk kebaikan rakyat Negeri Perak

Sistem undang-undang tanah negara kita memberi terlalu banyak kelonggaran kepada Menteri Besar Negeri untuk melupuskan tanah kepada sesiapa mengikut kehendaknya. Tiada mekanisme semak dan imbang (check and balance) dalam Kanun Tanah Negara. Ini membuka ruang untuk salah guna kuasa oleh golongan elit politik di peringkat negeri. Gabungan Petani telah menghantar memorandum kepada Menteri Besar Perak berkaitan mekanisme semak-dan-imbang ini pada bulan September 2021 tetapi belum menerima sebarang maklum balas.

Pengalaman dan kemahiran para pekebun kecil dalam bidang menanam sayur-sayuran harus dipandang sebagai satu aset kepada negara kita dalam usaha menjamin makanan untuk rakyat kita. Jangan menghancurkan aset ini.

Keluhan nelayan Selatan Pulau Pinang

Perairan laut dari Selatan Pulau Pinang hinggalah ke Lumut, Perak, merupakan salah satu zon penghasilan laut seperti ikan, udang, ketam dan kerrang, yang terpenting di Malaysia. Nelayan tradisional dari kawasan Selatan Pulau Pinang menghasilkan 350 tan ikan yang bernilai RM5 juta setiap tahun. Ada beberapa kumpulan nelayan tradisional yang sama di pantai Seberang Perai dan negeri Perak.

Selain daripada nelayan tradisional, wujud juga kumpulan penternak ikan yang mengusahakan sangkar di laut untuk menternak ikan. Kelompok penternak ikan Sungai Udang, Nibong Tebal, umpamanya mengendalikan 19,000 buah sangkar dan menghasilkan 13,000 hingga 20,000 tan ikan setiap pusingan (6 hingga 12 bulan bergantung pada jenis ikan). 60% daripada hasil mereka adalah untuk dijual di pasar-pasar tempatan.  

Cadangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membina 3 buah pulau buatan (artificial island) di kawasan Selatan Pulau Pinang amat membimbangkan nelayan di Pulau Pinang dan Perak. Para nelayan khuatir bahawa pengorekan pasir laut akan menyebabkan kehancuran ekosistem pantai, dan pembiakan ikan, udang dan sotong akan tergendala dalam skala yang besar. Pengorekan selut di lantai laut juga akan membebaskan banyak bahan organik ke dalam air laut dan ini boleh membawa kepada pengurangan paras oksigen dalam air laut. Ikan akan mati kerana tiada oksigen yang mencukupi dalam air laut.

Tambahan pula, kaedahnya Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) yang diamalkan di negara kita mempunyai kelemahan serius. Mengikut undang-undang yang sedia ada, kajian EIA dilakukan oleh syarikat yang dipilih dan diupah oleh pemaju projek. Memang ada pertindihan kepentingan. Syarikat kajian EIA yang melakukan tugasnya secara amanah tidak akan dapat bisnes dan terpaksa menggulung tikar! Hanya syarikat EIA yang pandai menjaga kepentingan pemaju akan kekal dalam bidang ini.

Tuntutan nelayan

1. Jabatan Alam Sekitar harus menubuhkan satu Task Force yang bebas untuk melakukan kajian EIA

Adalah amat penting Task Force ini adalah bebas daripada pemaju dan Kerajaan Negeri. Ahli akademik yang berkaliber tinggi harus dilantik ke dalam Task Force ini oleh Kerajaan Pusat dan bukan oleh penggerak projek. Kerajaan Pusat boleh membiayai kos kajian EIA ini dengan dana yang dikumpul daripada penggerak projek. Pengalaman komuniti nelayan di Tanjung Tokong harus dikaji. Impak penambakan laut di Tanjung Tokong terhadap penghasilan ikan dari Tanjung Tokong, Tanjung Bungah dan Batu Feringhi harus dikaji. Rekod penghasilan ikan daripada kumpulan penternak ikan semasa Jambatan Pulau Pinang yang kedua dibina juga harus dicari. Pengacauan selut lantai laut dalam pembinaan jambatan jauh lebih kecil berbanding pengorekan pasir untuk penambakan laut, tetapi jika skala kecil ini juga membawa kesan negatif, kita adanya asas untuk membuat anggaran berkaitan projek penambakan Selatan Pulau Pinang. Peranan kawasan laut ini dalam menjamin bekalan makanan untuk rakyat kita harus diambil kira dalam Kajian Impak Sosial.

2. Membatalkan projek penambakan laut PSR

Projek penambakan laut Penang South Reclamation (PSR) mesti dibatalkan kerana pembangunan ini membawa kesan negatif yang berkekalan ke atas ekosistem marin dan pantai serta menjejaskan jaminan bekalan makanan. Laporan EIA untuk projek ini harus dibatalkan.

Jika kekurangan dana untuk melaksanakan pelan membangunkan sistem pengangkutan di Pulau Pinang adalah faktor besar yang mendorong kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk melancarkan projek penambakan laut, Kerajaan Pusat harus membantu dalam mencari dana untuk pelan pengangkutan negeri Pulau Pinang yang diubahsuai, seperti yang disarankan oleh NGO. Jangan memusnahkan alam sekitar dan menjejaskan jaminan makanan negara oleh kerana mahu mencari dana untuk sistem pengangkutan.    

Tuntutan penternak lembu

1. Hentikan usaha mengusir penternak dari ladang-ladang Sime Darby

Sejak 4 tahun dahulu, pihak pengurusan Sime Darby berusaha untuk mengusir keluar penternak-penternak lembu yang mengguna ladang-ladang Sime Darby sebagai kawasan ragut untuk lembu yang dibela mereka. Penternak ini merupakan pekerja ladang semasa, bekas pekerja ladang dan keluarga bekas pekerja ladang yang pada satu masa dahulu digalakkan oleh pihak majikan ladang untuk membela lembu sebagai kerja sambilan. Kini, kumpulan ini telah menjadi satu sumber utama susu dan daging lembu di negara kita.

2. Kerajaan harus menganjurkan dialog antara Sime Darby dan penternak lembu yang terlibat

Tujuan dialog ini adalah untuk:

  • mendapat tahu sebab-sebab sebenar di sebalik keputusan Sime Darby untuk menghalau penternak lembu;
  • mendapat tahu sama ada polisi mengusir penternak lembu ada kaitan dengan syarat-syarat kemampanan (Roundtable on Sustainable Palm Oil, RSPO) bagi industri penanaman kelapa sawit;
  • menggubal persetujuan antara Sime Darby dan penternak di mana tanggungjawab para penternak diperjelaskan serta mekanisme mengendalikan ketidakpatuhan (non-compliance) peraturan yang dipersetujui.

3. Bertindak adil dalam mengawal selia harga jualan susu dan daging lembu

Pada musim perayaan, harga daging lembu dikawal. Tetapi harga makanan ternakan tidak dikawal dan telah meningkat 200% dalam tempoh 10 tahun yang lalu. Kadangkala pasaran tempatan dibanjiri dengan daging lembu yang diimport dan daging tempatan susah dijual.

Syor penternak ialah:

  • Harga siling daging harus ditetapkan dengan munasabah selepas mengambil kira kos ternakan yang sentiasa meningkat;
  • Jika kerajaan mahu mengawal selia harga daging lembu dengan ketat, subsidi harus ditawar kepada penternak untuk menampung kos makanan ternakan lembu yang semakin mahal;
  • Amalkan sistem kuota import bagi daging lembu untuk memastikan daging tempatan dapat dijual juga.

Taraf sara diri (self sufficiency level, SSL) berkaitan susu cair dan daging lembu hanya berada di paras 62% dan 20% masing-masing pada masa ini. Oleh itu, adalah penting untuk kita menggalakkan penternak lembu tempatan supaya mempertingkatkan penghasilan produk-produk tersebut. Untuk menjayakan hasrat ini kerajaan harus:

  1. Memastikan harga siling yang ditetapkan tidak mengurangkan penghasilan tempatan;
  2. Membolehkan para perternak menggunakan tanah ladang (yang kini meliputi 17% daripada jumlah keluasan bumi Malaysia) sebagai kawasan ragut. Strategi ini jauh lebih baik untuk alam sekitar negara kita berbanding opsyen menebang hutang untuk mewujudkan padang ragut baharu. Syarikat perladangan besar seperti Sime Darby harus menyelesaikan isu ini selaras dengan tanggungjawab sosialnya (corporate social responsibility).   

Kedaulatan makanan negara

Konsep kedaulatan makanan adalah lebih luas berbanding hasrat membekalkan barangan makanan kepada para pengguna dengan harga rendah. Pemansuhan sekatan import terhadap barangan makanan umpamanya, mungkin boleh mengurangkan harga barangan makanan buat masa ini. Tetapi tindakan sebegini boleh menjejaskan pengeluar tempatan sehingga sebahagian daripada mereka terpaksa menggulung tikar. Ini akan menghancurkan kapasiti negara kita dalam menghasilkan makanan tersebut. Selepas itu, jika bekalan bahan makanan itu di pasaran antarabangsa berkurangan akibat perang ataupun perubahan iklim, ataupun jika nilai mata wang kita menyusut, negara kita akan menghadapi kekurangan dalam bekalan makanan tersebut dan rakyat akan susah.

Oleh itu, dasar makanan negara harus mengutamakan kapasiti negara kita dalam menghasilkan barangan makanan dan mengelakkan daripada dasar jangka masa pendek yang bertumpu pada mengurangkan harga barangan makanan tetapi menjejaskan kapasiti penghasilan makanan tempatan. Inilah sebabnya kita harus menolak CPTPP (Comprehensive and Progressive Trans Pacific Partnership)yang mensyaratkan:

  1. Pembatalan tarif import terhadap semua barangan termasuk barangan makanan. Pelaksanaan polisi seperti ini akan menyebabkan lambakan barangan makanan dan seterusnya akan menghancurkan kapasiti kita dalam menghasilkan makanan tempatan.
  2. Penerimaan konvensyen antarabangsa UPOV 1991 (International Convention for the Protection of New Varities of Plants). Menurut UPOV, bagi tujuan melindung hak intelek syarikat pembekal benih, semua petani mesti membeli benih daripada syarikat benih. Sesiapa petani yang menjual atau berkongsi benih dengan petani lain akan didakwa di mahkamah dan dikenakan hukuman. Jika Malaysia meratifikasi CPTPP ini dan meminda undang-undang negara untuk mematuhi ketetapan UPOV 1991, ianya akan meningkatan harga benih dan menjadikan para petani tempatan hamba kepada kawalan korporat agromakanan antarabangsa.
  3. Pembatalan skim subsidi petrol dan bantuan sara hidup bagi kaum nelayan tradisional.    

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) begitu ghairah untuk meratifikasi perjanjian perdagangan bebas CPTPP kerana terlalu terpengaruh dengan pandangan pakar-pakar ekonomi neoliberal daripada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Bank Dunia. Merekalah yang menasihati MITI bahawa penyertaan Malaysia dalam CPTPP adalah terbaik untuk perkembangan ekonomi negara.

Rayuan kepada Perdana Menteri

Kami berharap Yang Amat Berhormat Perdana Menteri akan mengambil tindakan-tindakan yang berikut:

  • Membentang satu usul tergempar dalam sesi Parlimen yang sedang bersidang sekarang untuk mengingatkan Kerajaan-kerajaanNegeri dan juga agensi-agensi kerajaan bahawa kapasiti pengeluaran bahan makanan tempatan harus dipelihara dan sebarang dasar, projek atau tindakan yang mengancam kedaulatan makanan negara harus dikenalpasti dan dihentikan.
  • Kekalkan kawasan-kawasan tanah yang digunakan untuk pengeluaran makanan. Adalah penting untuk tanah-tanah atau kawasan-kawasan yang mengeluarkan makanan pada masa kini diiktiraf sebagai kawasan sensitifuntuk melindungi kedaulatan makanan serta sekuriti makanan. Maka, di bawah Rancangan Fizikal Negara, adalah perlu dan penting untuk mengelaskan kawasan-kawasan tersebut sebagai Kawasan Sensitif Makanan (KSM), sama sebagaimana Kawasan Sensitif Alam Sekitar diberi perhatian. Dengan ini, Majlis Fizikal Negara dan Majlis Tanah Negara harus memberi pengiktirafan serta perlindungan kepada KSM supaya kawasan-kawasan tersebut tidak ditukarguna dengan sewenang-wenangnya untuk lain-lain kegunaan atau tujuan.   
  • Menjemput Kerajaan Negeri Perak dan Pulau Pinang ke Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara supaya pendekatan mereka yang sedang (atau bakal) menjejaskan jaminan bekalan makanan kita dari segi penghasilan sayur dan ikan dapat dibincang dan diubahsuai.
  • Menganjurkan perbincangan dalam Majlis Tanah Negara supaya Kanun Tanah Negara dapat diubahsuai demi mewujudkan mekanisme semak dan imbang untuk proses pelupusan tanah oleh pemimpin politik negeri.
  • Mengarahkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menyediakan respon kepada tuntutan 1, 2 dan 3 daripada pihak pesawah dan tuntutan 1 dan 2 daripada penternak lembu, dan membentangkan respon ini dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara dalam tempoh masa 1 bulan.
  • Tidak meratifikasi CPTPP kerana impaknya terhadap kedaulatan makanan negara dan kebajikan petani adalah amat serius.

Kami berharap kerajaan akan bertindak segera untuk memastikan kedaulatan makanan negara dilindungi dan keselamatan rakyat kita dijamin.

Memorandum ini disokong oleh:

  1. Gabungan Marhaen
  2. Parti Sosialis Malaysia (PSM)
  3. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
  4. Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH)
  5. Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM)
  6. North South Initiative (NSI)
  7. Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)
  8. Pertubuhan Pembangunan Antarabangsa dan Penyelidikan Untuk Kelestarian (IDRIS Association)
  9. Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM)
  10. Sustainable Development Network, Malaysia (SUSDEN Malaysia)
  11. Freedom Film Network
  12. Petani dan Penternak Kuala Kampar, Perak
  13. Petani dan Penternak Mambang Diawan, Perak
  14. Pekebun Sawit/Buah-buahan Bidor, Perak
  15. Pekebun Kecil Kuala Bikam, Sungkai, Perak
  16. Petani dan Penternak Ikan Pusing, Perak
  17. Pekebun Kecil Langkap, Perak
  18. Persatuan Sahabat Wanita Selangor
  19. Jawatankuasa Penternak Ladang Sime Darby Selangor
  20. Jawatankuasa Penternak Ladang Sime Darby Negeri Sembilan
  21. Jawatankuasa Penternak Ladang Sime Darby Melaka
  22. Jawatankuasa Penternak Ladang Sime Darby Johor
  23. Treat Every Environment Special (TrEES)
  24. Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)
  25. Gerakan Rakyat Pemerkasaan Jaminan Makanan
  26. Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Melayu
  27. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
  28. Sahabat Alam Malaysia (SAM)
  29. ALIRAN
  30. Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia
  31. Blind Spot
  32. Third World Network
  33. Agora Society
  34. Malaysia Muda
  35. Teoh Beng Hock Foundation
  36. KLSCAH Women Division
  37. KLSCAH Youth
  38. Malaysia Women Development Organisation PJ New Town Branch
  39. Jaringan Ekologi dan Iklim (JEDI)
  40. G25
  41. Penang Forum
  42. Penang Tolak Tambak
  43. UTM-MJIIT Voices
  44. Independent Living & Training Centre Malaysia
  45. People Like Us Support Ourselves (PLUSOS)
  46. Centre for Independent Journalism (CIJ)
  47. Parti MUDA
  48. Pemuda Sosialis PSM

2 thoughts on “Bertindak segera untuk selamatkan pengeluar makanan tempatan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *