PUTRAJAYA – 8 FEBRUARI 2022: Selepas bermotosikal sejauh lebih 500 km dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang, rombongan konvoi Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS) yang membawa tuntutan untuk memperjuangkan hak pekerja pembersihan hospital akhirnya sampai ke Kementerian Kesihatan di Putrajaya pada hari ini. Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, telah hadir sendiri untuk bertemu dengan rombongan NUWHSAS dan menerima memorandum yang diserahkan kepadanya.

Tiga tuntutan utama yang dibawa oleh NUWHSAS melalui konvoi motosikal ini ialah:

  1. Hapuskan sistem kontrak dan serap kembali pekerja sebagai pekerja tetap yang diupah langsung oleh kerajaan;
  2. Bayar elaun COVID-19 kepada semua pekerja hospital kerajaan, termasuk pekerja pembersihan;
  3. Hentikan pemerasan terhadap kesatuan.

Konvoi motosikal NUWHSAS telah bersinggah di Hospital Putrajaya pagi ini sebelum beredar ke Kementerian Kesihatan pada waktu tengah hari.

Selepas berjumpa dengan wakil NUWHSAS, Khairy Jamaluddin selaku Menteri Kesihatan berkata bahawa walaupun pekerja-pekerja pembersihan hospital ini berada di bawah syarikat konsesi, tetapi syarikat konsesi itu menerima konsesi daripada Kementerian Kesihatan, jadi kebajikan pekerja-pekerja ini juga merupakan tanggungjawab Menteri dan Kementerian Kesihatan. Khairy Jamaluddin juga mengakui bahawa pekerja-pekerja pembersihan hospital ialah barisan hadapan (frontliner) yang banyak membantu dalam usaha menangani pandemik COVID-19, maka kebajikan pekerja-pekerja ini perlu diutamakan.

“Tuntutan-tuntutan yang dibangkitkan akan kita melihat secara komprehentif. Saya akan adakan perjumpaan dengan syarikat konsesi untuk memahami dengan lebih mendalam lagi semua perkara yang telah dibangkitkan,” kata Khairy Jamaluddin. “Saya memberi komitmen kepada Puan Roziah (Pengerusi NUWHSAS) dan rakan-rakan bahawa saya akan usahakan supaya kebajikan mereka sebagai frontliner juga yang telah banyak membantu negara kita dapat dijaga.”

“Pekerja sokongan di hospital banyak membantu kita dalam menguruskan pandemik COVID-19. Jadi, kita jangan pandang ringan pada perjuangan mereka. Saya sendiri hadir (menerima memorandum) setelah mereka mengharungi 500 km lebih untuk datang jumpa saya. Saya tidak mahu menghampakan perjuangan mereka,” tambah Khairy.

Roziah, Pengerusi NUWHSAS, berterima kasih kepada semua pihak yang telah memberi sokongan kepada kempen konvoi motosikal pekerja pembersihan hospital yang membawa tuntutan mereka ke Kementerian Kesihatan ini. “Yang Berhormat Menteri juga menyambut kami dengan tangan terbuka,” kata Roziah. “Saya sangat bangga dan gembira kerana selamat sampai di Kementerian Kesihatan di Putrajaya.”

Aktiviti konvoi motosikal NUWHSAS telah menghadapi beberapa rintangan daripada pihak majikan, termasuk keengganan pihak pengurusan syarikat meluluskan cuti pekerja yang menyertai konvoi, ugutan daripada penyelia untuk jangan menyambut rombongan konvoi kesatuan dan halangan daripada masuk ke dalam perkarangan hospital di sesetengah tempat. Namun, ini tidak dapat mematahkan semangat gigih pekerja-pekerja pembersihan hospital untuk memperjuangkan hak jaminan kerja dan hak kesatuan mereka.

Menurut M. Sarasvathy, Setiausaha Eksekutif NUWHSAS, berkata, “Walaupun hak kesatuan sekerja dilindungi di bawah undang-undang Malaysia, tetapi kenapa majikan (syarikat konsesi yang mengupah pekerja pembersihan hospital) tidak mahu mengiktiraf kesatuan sekerja? Jika pekerja menyertai kesatuan, dia akan diberhentikan kerja. Ini ialah penindasan terhadap hak kesatuan. Kami sudah memberitahu kepada Menteri supaya memberi perhatian kepada isu ini. Kami tidak mahu pekerja dimangsakan kerana mereka menyertai kesatuan sekerja. Kami juga meminta kepada Menteri supaya menyediakan satu ruang di hospital-hospital kerajaan untuk membolehkan ahli-ahli kesatuan sekerja bermesyuarat.”

“Kami berharap YB Khairy Jamaluddin akan meneliti semua isu seperti yang dijanjikannya dan membuat perubahan untuk melindungi hak pekerja. Sekiranya tiada apa-apa perubahan, lebih banyak lagi pekerja akan datang ke Putrajaya (untuk berprotes),” tegas kata Sarasvathy.

3 thoughts on “Konvoi motosikal pekerja pembersihan hospital akhirnya bertemu Menteri Kesihatan

Leave a Reply

Your email address will not be published.