KUALA LUMPUR – 14 APRIL 2023: Dengan negara Malaysia sedang menuju ke arah masyarakat penuaan dengan cepat tetapi tiadanya perlindungan sosial yang mencukupi bagi golongan warga emas, masyarakat kita sedang berhadapan dengan masalah kemiskinan usia tua yang serius dan ia perlu ditangani segera. Semua warga emas patut menikmati kehidupan usia tua secara bermaruah, bukannya hidup susah dalam belenggu kemiskinan. Oleh yang demikian, Parti Sosialis Malaysia (PSM) melancarkan kempen baharu untuk menuntut pelaksanaan skim Pencen Warga Emas Sejagat.

Cadangan yang dikemukakan oleh PSM ialah melaksanakan skim Pencen Warga Emas Sejagat, di mana semua penduduk Malaysia yang berumur 65 tahun dan ke atas yang tidak mempunyai apa-apa pencen kerajaan atau pencen swasta akan dibayar pencen sebanyak RM500 setiap bulan secara automatik sepanjang hayat. Pencen ini akan dibayar kepada setiap orang warga emas yang layak, iaitu kedua-dua suami isteri warga emas dalam sebuah negara pun akan mendapat pencen tersebut. Jika dilaksanakan sekarang, skim ini akan memanfaatkan 1.8 juta orang warga emas yang berumur 65 tahun dan ke atas.

Kempen ini akan diadakan dalam beberapa bulan akan datang ini untuk mendapatkan sokongan orang ramai, termasuk tandatangan petisyen dalam talian, sebaran media sosial, jerayawara ke beberapa buah negeri dan perbincangan meja bulat bersama masyarakat madani. Tandatangan yang menyokong tuntutan pelaksanaan skim Pencen Warga Emas ini akan diserahkan kepada kerajaan sebelum pembentangan Belanjawan 2024 pada bulan Oktober akan datang.

Turut hadir dalam sidang akhbar pelancaran Kempen Skim Pencen Warga Emas pada hari ini ialah Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Nasional PSM, Jayanath Appudurai yang merupakan penasihat Biro Kajian Dasar PSM, Sivarajan Arumugam selaku Setiausaha Agung PSM, Soh Sook Hwa selaku Bendahari PSM dan juga wakil daripada pelbagai kumpulan warga emas.

“Malaysia sedang menuju ke arah penuaan dengan 1 daripada 8 orang penduduk berumur lebih 60 tahun pada masa ini. Nisbah ini akan meningkat kepada 1 daripada 7 orang pada tahun 2030, dan kemudiannya 1 daripada 5 orang menjelang tahun 2040,” begitu katanya Jayanath. “Daripada 21 juta orang yang berada dalam lingkungan umur bekerja, terdapat 2.8 juta orang bekerja dalam sektor tidak formal yang amat kekurangan perlindungan sosial, manakala 6 juta orang, kebanyakannya suri rumah tangga, berada di luar tenaga buruh yang langsung tiada perlindungan sosial.”

“Kebanyakan mereka yang mempunyai pekerjaan formal dan mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak mempunyai simpanan asas hari tua yang mencukupi,” tambah Jayanath. “Laporan Tahunan KWSP pada tahun 2021 menunjukkan bahawa simpanan 6.2 juta orang ahli KWSP yang berumur kurang daripada 55 tahun adalah kurang daripada RM10,000. 2 juta daripadanya berada dalam lingkungan umur 40 hingga 54 tahun.”

“Simpanan dalam akaun 3.2 juta orang ahli KWSP yang berumur kurang daripada 55 tahun adalah kurang daripada RM1,000,” ulas Jayanath lebih lanjut lagi. “Majoriti ahli KWSP dengan simpanan terendah ialah mereka daripada golongan B40 dan sebahagian daripada golongan M40. Adalah tidak masuk akal untuk terus mendesak lagi pengeluaran wang daripada KWSP sebelum bersara, kerana memang tiada wang lagi dalam akaun simpanan hari tua mereka sendiri!”

“Di samping mencadangkan pelaksanaan skim Pencen Warga Emas, PSM juga cuba mengemukakan idea-idea untuk mendapatkan dana bagi melaksanakan skim ini dan program sosial lain yang memanfaatkan rakyat, seperti usaha menangani krisis iklim,” kata Dr. Jeyakumar. “Mungkin ada orang akan berkata, cadangan yang kami kemukakan ini bagus untuk rakyat, tetapi kerajaan menghadapi kekangan kewangan. Oleh itu, kami juga hendak mengajukan idea-idea untuk menjana dana yang mencukupi bagi membiayai program-program perlindungan sosial ini.”

PSM akan menganjurkan satu siri sesi perbincangan meja bulat bersama dengan masyarakat madani yang prihatin pada isu kebajikan warga emas dan perlindungan sosial dalam beberapa bulan akan datang berkaitan dengan kempen ini, di mana sesi pada bulan Mei 2023 akan membincangkan perlindungan sosial yang komprehensif kepada warga emas, kemudiannya sesi pada bulan Jun dan Ogos 2023 untuk membincangkan cadangan-cadangan yang mampu menjana dana bagi membiayai program-program perlindungan sosial yang komprehensif.

“Negara kita sebenarnya kaya, negara kita memang adanya wang tetapi ia pergi ke tempat lain. Pendapatan per kapita di Malaysia telah meningkat sebanyak 9.3 kali ganda dari tahun 1970 hingga 2019, tetapi gaji pekerja biasa di negara kita hanya meningkat 1.6 kali ganda dalam tempoh yang sama,” ulas Dr. Jeyakumar. “Kita perlu mengagihkan semula kekayaan negara kita untuk membolehkan semua rakyat dapat hidup secara bermaruah pada usia tua mereka.”

Baca kenyataan penuh PSM bersempena pelancaran Kempen Pencen Warga Emas di sini.

Tandatangani petisyen dalam talian menuntut pelaksanaan skim Pencen Warga Emas di sini.

7 thoughts on “Tangani masalah kemiskinan usia tua: PSM lancar kempen tuntut skim Pencen Warga Emas Sejagat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *