2 DISEMBER 2019 – PUTRAJAYA: Pekerja-pekerja pembersihan di hospital-hospital kerajaan berprotes di hadapan Kementerian Kesihatan pada hari ini, untuk membantah pemangsaan kesatuan oleh syarikat pemenang konsesi perkhidmatan sokongan di hospital awam.

Pekerja-pekerja yang berprotes ini ialah ahli kepada Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM), dari 22 buah hospital kerajaan di negeri Perak dan Pulau Pinang. Turut hadir dalam protes ialah S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), A. Sivarajan selaku Setiausaha Agung PSM dan M. Sarasvathy selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM merangkap Setiausaha Eksekutif KPSPSHKSM.

Masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja pembersihan di hospital kerajaan sekarang ini adalah pengambilalihan kontrak pembersihan oleh syarikat UEMS yang berniat jahat untuk menghancurkan kesatuan sekerja dan menghakis hak pekerja.

Kontrak pembersihan untuk hospital kerajaan di negeri Perak dan Pulau Pinang sekarang ini dikendalikan oleh syarikat sub-kontraktor NS Medik Sdn. Bhd. selama 10 tahun. Kontraktor utama yang mensubkontrak keluar perkhidmatan pembersihan di hospital kerajaan kepada NS Medik ialah Edgenta Mediserve Sdn. Bhd., yang memegang konsesi untuk perkhidmatan sokongan hospital-hospital di negeri-negeri Utara Pantai Barat Semenanjung untuk selama 15 tahun (dari tahun 2010 sehingga tahun 2025). Edgenta Mediserve Sdn. Bhd. pula ialah anak syarikat kepada UEM Edgenta yang merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dimiliki penuh oleh Khazanah Nasional.

UEM Edgenta akan menyerahkan kontrak pembersihan hospital ini kepada Edgenta UEMS, anak syarikat kepada UEM Edgenta sendiri yang beribupejabat di Singapura mulai 1 Januari 2020, sebagai subkontraktor yang menggantikan NS Medik. Namun, pengambilalihan ini hanya dimaklumkan secara rasmi beberapa hari selepas perjanjian bersama ditandatangani antara pihak kesatuan KPSPSHKSM dengan syarikat NS Medik pada 23 Oktober 2019. Maknanya syarikat subkontraktor baru boleh mengabaikan segala hasil rundingan bersama yang diadakan dengan usaha banyak daripada kesatuan untuk mendapatkan perlindungan kebajikan bagi pekerja.

Sebelum kepastian pengambilalihan kontrak pembersihan lagi, pihak UEMS telah memulakan proses mematikan kesatuan, termasuk memberi ugutan seperti mengatakan “kesatuan tidak berguna selepas UEMS ambil alih kontrak pada bulan Januari 2020, kesatuan tidak boleh buat apa-apa dan akan terbatal secara automatik selepas UEMS ambil alih tahun depan.”

Ugutan dan ancaman daripada UEMS ini menyebabkan ramai pekerja berada dalam keadaan takut, cemas, keliru dan resah dengan tindakan keji ini. UEMS juga mula memberikan arahan-arahan baru dan memaksa pekerja untuk menurutinya. Pekerja diugut bahawa akan diberi surat kaunseling (amaran tatatertib) sekiranya tidak mematuhi segala arahan UEMS. Berikutan pemangsaan dan pemukulan terhadap kesatuan ini, kesatuan KPSPSHKSM telah membuat aduan beberapa kali kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) di Putrajaya di bawah Seksyen 8 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 kerana pelanggaran terhadap Seksyen 4 dan 5 Akta tersebut.

Pihak JPP telah mengadakan Perundingan Damai dengan kesatuan dan kesemua pihak majikan – NS Medik, Edgenta Mediserve serta Edgenta UEMS, di mana semua pihak telah  menandatangani satu memorandum persefahaman pada 6 November 2019 yang merangkumi terma-terma melindungi hak kesatuan.

Pekerja lama diambil semula sebagai “pekerja baru”

Namun, pihak UEMS masih tidak menghentikan usaha pemangsaan kesatuan. Taktik terbaru yang digunakan adalah memberikan borang permohonan kerja untuk bekerja dengan UEMS kepada pekerja yang sudah lama bekerja di hospital.

Walaupun pekerja masih di bawah penyeliaan subkontraktor NS Medik, tetapi UEMS memberikan borang permohonan kerja baru dan memaksa pekerja untuk mendatanganinya. Pekerja diugut sekiranya borang tidak diisi dan ditandatangani, tiada pekerjaan untuk pekerja lama ini. Amat jelas pihak UEMS telah berniat jahat untuk membuli pekerja dan menghancurkan kesatuan.

JPP telah mengeluarkan arahan kepada UEMS, bahawa UEMS tidak boleh masuk campur dalam urusan pekerja NS Medik dan tidak boleh mengganggu pekerja semasa waktu bekerja. Namun begitu, segala arahan diingkari oleh UEMS dan pekerja tetap dimangsakan. Pekerja berada dalam keadaan cemas dan ketakutan mengenai jaminan pekerjaan mereka.

Pemangsaan pekerja di premis kerajaan oleh syarikat GLC

Nampaknya UEMS bertekad untuk membunuh kesatuan dengan menggunakan taktik-takik kotor dan keji.

Kesatuan telah menandatangani Perjanjian Bersama (CA) pertama dan UEMS sepatutnya mengikuti segala tuntutan yang dipersetujui oleh subkontraktor NS Medik sekiranya kontrak diambil alih nanti. Tetapi UEMS tetap menolak kewujudan kesatuan dan tidak menghormati Perjanjian Bersama yang ditandatangani. Keadaan ini secara jelas menunjukkan UEM Edgenta, adalah pemangsa kesatuan yang berniat jahat untuk membunuh kesatuan yang menjamin dan mempertahankan hak pekerja. Tindakan ini bercanggah sepenuhnya dengan  kempen “1 juta pekerja menjadi ahli kesatuan” yang dilancarkan oleh Kementerian Sumber Manusia. Bagaimana kerajaan hendak menggalakkan pekerja di Malaysia untuk menyertai kesatuan, sedangkan syarikat berkaitan kerajaan sendiri yang begitu ghairah untuk mematikan kesatuan?

Pekerja pembersihan hospital gesa Kementerian Kesihatan campurtangan

Kesatuan KPSPSHKSM menggesa Menteri Kesihatan untuk mencampurtangan dan memberi perhatian yang serius terhadap pemangsaan kesatuan di hospital awam yang berada di bawah bidang kuasanya.

Tuntutan yang dikemukakan oleh KPSPSHKSM dalam memorandum kepada Kementerian Kesihatan termasuk:

1. Hentikan pemangsaan kesatuan;

2. Hentikan pemberian konsesi kepada syarikat pemangsa kesatuan;

3. Perkhidmatan pekerja harus disambung dengan terma kerja lama dan tidak boleh diambil sebagai pekerja baru.

4. Jadikan semua pekerja perkhidmatan sokongan di hospital kerajaan sebagai pekerja tetap.

Memorandum daripada pekerja-pekerja pembersihan di hospital kerajaan ini telah diterima oleh Dr Dzulkefly Ahmad sendiri selaku Menteri Kesihatan. Beliau berjanji bahawa pihaknya akan meneliti isu ini.

Pekerja-pekerja pembersihan di hospital kerajaan menegaskan tuntutan mereka untuk melindungi hak kesatuan demi menjamin kesejahteraan pekerja yang berterusan.