oleh Dr Jeyakumar Devaraj

Salam perjuangan dan selamat datang ke Kongres PSM ke-25.

Musim pilihan raya telah tamat – Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 telah berlangsung pada 19 November 2022 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 di 6 buah negeri pula diadakan pada 12 Ogos 2023. Pusingan pilihan raya yang akan datang berkemungkinan besar hanya akan berlaku pada hujung tahun 2026 atau 2027.

Masa ini merupakan masa yang baik untuk kita di PSM merenung sekejap – apakah peranan sebuah parti kiri kecil dalam sebuah negara yang terhimpit dalam sistem ekonomi antarabangsa bercorak kapitalis? Sistem ekonomi alternatif yang wujud sehingga tahun 1980-an di Kesatuan Soviet (USSR) dan negara-negara Europah Timur serta negera China, yang sanggup bersaingan dengan sistem kapitalis global telahpun luput. Negara-negara yang masih dipimpin oleh kerajaan “komunis” pun sedang menyertai sistem kapitalis antarabangsa dan sibuk menggalakkan pelaburan kaum kapitalis di negara-negara mereka – contohnya China dan Vietnam. Dalam keadaan sebegini, apakah peranan sebuah parti kiri seperti PSM? 

Bagi saya, dan saya percaya bagi semua pengasas PSM, peranan utama sebuah parti sosialis pada bila-bila masa adalah untuk berdiri bersama rakyat biasa sebagai kawan setia yang:

  • peka pada masalah yang dihadapi oleh rakyat jelata;
  • melakukan analisis supaya dapat memahami secara mendalam punca-punca masalah rakyat dan cara-cara untuk mengatasinya;
  • menyedarkan rakyat mengenai punca permasalahan mereka dan menggerakkan mereka untuk bangkit, menggabungkan tenaga dan menuntut perubahan dalam polisi dan perundangan negara;
  • mewujudkan gerakan rakyat berbilang kaum;
  • memperkasakan rakyat dan membina kepimpinan dalam kalangan mereka untuk mengambil alih jawatan-jawatan dalam institusi-institusi masyarakat.   

Satu tanggungjawab berat yang mewajibkan ahli-ahli PSM turun ke akar umbi untuk memahami isu rakyat secara mendalam dan untuk mengorganisasi rakyat dari situ. Pendekatan yang digariskan di atas telah dan sedang dilaksanakan oleh PSM selama 25 tahun yang lalu.  Kini, PSM sedang mengatur perjuangan dengan beberapa sektor rakyat marhaen, termasuk:

  • pekerja kontrak perkhimatan sokongan di sekolah dan hospital kerajaan;
  • masyarakat ladang;
  • peneroka bandar;
  • penghuni rumah pangsa kos rendah;
  • pekebun sayur;
  • penternak lembu;
  • masyarakat Orang Asli;
  • pemandu lori.

Selain daripada mengorganisasi beberapa sektor rakyat marhaen di beberapa buah negeri, PSM juga memainkan peranan yang penting dalam beberapa jaringan kebangsaan, termasuk gabungan:

  • Membantah persetujuan-persetujuan “perdagangan bebas” yang memudaratkan rakyat (Bantah CPTPPA);
  • Menghentikan usaha-usaha untuk menswastakan sistem kesihatan awam;
  • Melindungi hutan-hutan kita daripada pembalakan dan projek-projek “pembangunan”;
  • Mempertahankan keterjaminan makanan di negara Malaysia.

Untuk memantapkan lagi peranan PSM dalam memperkasakan rakyat Malaysia dalam perjuangan menuju ke arah sebuah negara yang lebih saksama, adalah amat perlu untuk aktivis-aktivis PSM memperolehi pemahaman yang mendalam tentang isu-isu besar yang mengancam negara kita pada masa ini. Izinkan saya menyentuh 3 isu besar yang harus ditumpukan perhatian oleh gerakan kiri.

1. Pemikiran perkauman yang sedang meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia

Walaupun negara kita sudah merdeka selama 66 tahun, kita masih belum wujudkan persefahaman yang kukuh antara kaum. Sebaliknya, jurang antara kaum semakin melebar.

Sebab utamanya adalah sistem politik perkauman yang telah dipromosi sejak zaman penjajahan pada tahun 1950-an untuk memecahkan gerakan kiri yang menuntut kemerdekaan yang tulen pada ketika itu. Selepas kemerdekaan sehingga tahun 1969, kuasa politik kiri, Socialist Front (Barisan Sosialis), membawa naratif berdasarkan sosio-ekonomi dan memperjuangkan tuntutan kelas sebagai alternatif kepada politik perkauman yang dipermainkan oleh parti-parti politik dalam Alliance (Parti Perikatan 1955-1974) dan DAP.

Malangnya parti-parti gabungan kiri ini dipatahkan dengan pemenjaraan kepimpinan dan aktivis parti di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada penghujung 1960-an. Selepas itu, hampir kesemua parti yang masih tinggal, termasuk parti pembangkang, berpolitik berdasarkan kaum dan agama. Rakyat Malaysia telah dibanjiri dengan analisis dan hujah berbau perkauman untuk 50 tahun yang lalu.

Kini, pemimpin-pemimpin politik daripada Perikatan Nasional (PN) menakut-takutkan masyarakat Melayu dengan hujah bahawa kemenangan Pakatan Harapan (PH) akan menjejaskan posisi kaum Melayu dan agama Islam di negara ini. Mengikut mereka, kaum Melayu di Malaysia akan jadi rakyat kelas dua di tanah air sendiri jika mereka tidak berwaspada dan memastikan PN menang.

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) pula menakut-takutkan masyarakat bukan Melayu dengan amaran bahawa jika kemaraan PN tidak dihentikan, ombak hijau akan menguasai negeri-negeri di Pantai Barat Semenanjung dan membawa undang-undang yang menyekat kebebasan rakyat.

Politik perkauman sedemikian mengelirukan rakyat jelata dengan menitikberatkan perbezaan dalam kalangan rakyat. Mereka sengaja mengheboh-hebohkan ucapan extremis oleh segelintir pihak lawan untuk menakutkan para penyokong. Ahli-ahli politik menggambarkan pihak lawan sebagai musuh yang teruk, dengan moral yang rendah dan berniat jahat. Motif utama parti-parti politik PH atau PN adalah untuk memaksimumkan sokongan dengan taktik menimbulkan ketakutan dalam kalangan rakyat jelata terhadap pihak lawan masing-masing.

Tiada usaha mana-mana pihak untuk mencari “middle ground” (kedudukan berkompromi antara dua ekstrim), iaitu titik-titik persamaan dengan menganjurkan dialog antara kumpulan etnik demi membina kesefahaman. Mereka mengabaikan usaha sedemikian dalam persaingan meraih sokongan pengundi.

Maka, untuk mengatasi prasangka perkauman, PSM berpendirian tegas untuk:

  • Mengelakkan daripada mempermainkan apa jua sentimen perkauman untuk dapat sokongan daripada mana-mana kaum etnik;
  • Menfokuskan kempen-kempen untuk kesejahteraan semua golongan etnik seperti Skim Pencen Warga Emas, kempen memperkasakan Sistem Kesihatan Awam, kempen-kempen melindungi alam sekitar, dan sebagainya. Kempen-kempen sebegini membina landasan di mana rakyat berbilang kaum boleh bertemu, menjadi kawan dan berkerjasama;
  • Menawarkan solusi yang rasional dan adil terhadap isu-isu etnik yang memuncul dari semasa ke semasa. Posisi pihak progresif harus berdasarkan pada fakta, prinsip keadilan dan pendekatan tolak ansur supaya ianya dapat diterima oleh majoriti daripada semua kumpulan etnik.

Isu kuota etnik

Baru-baru ini, isu kuota kemasukan pendidikan matrikulasi yang dibicarakan oleh Perdana Menteri ke-10 (PMX) kepada seorang pelajar muda sangat hangat dipertikaikan. Ramai rakyat bukan Bumiputera benci pada polisi kuota etnik kerana peluang mereka untuk masuk ke Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) telah disekat selama 50 tahun oleh kerana polisi ini. Kesan polisi ini adalah lebih berat terhadap golongan B40 bukan Melayu kerana jika mereka tidak dapat tempat dalam universiti awam, mereka tidak sanggup membayar fi di kolej-kolej swasta. Oleh sebab itulah ramai golongan bukan Melayu menerima laungan DAP yang menyokong sistem “meritokrasi”. Tetapi, hujah menuntut meritokrasi ini ditolak oleh kaum Melayu yang merasakan peluang anak-anak Melayu akan dihakis.

Antara pertembungan dua pendirian ini, yang terpisah atas sokongan kaum-kaum berbeza, kita sebagai sebuah parti kiri harus menganjurkan satu dialog rasional berasaskan fakta bukan emosi.  Realitinya ialah:

a/ Fakta: Sistem kuota berdasarkan etnik untuk kemasukan ke universiti telah diterima pakai pada tahun 1957, kerana pada masa itu nisbah orang Melayu dalam bidang-bidang ekonomi moden adalah amat rendah. Umpamanya kurang daripada 5% daripada doktor dan jurutera di Malaya berbangsa Melayu pada masa itu.

b/ Pendekatan: Apa juga sistem yang digunakan untuk memilih pelajar ke dalam IPTA, ianya harus menghasilkan populasi pelajar IPTA yang seiras dengan nisbah kumpulan-kumpulan etnik dalam masyarakat serta mengambil kira pecahan sosio-ekonomi dalam setiap golongan etnik tersebut.  Maka, jika pendekatan meritrokrasi tidak mencapai   pengagihan penempatan pelajar tersebut, ianya bukanlah solusi yang sesuai untuk Malaysia pada masa ini.

c/ Fakta: Walaupun Dasar Ekonomi Baru sedang membina kelas menengah dalam kalangan Bumiputera, masih ada jurang yang signifikan dalam status ekonomi antara kaum-kaum di Malaysia. Hakikat ini boleh dilihat dalam angka-angka yang dinyatakan di Parlimen pada awal tahun 2023 berkaitan jumlah simpanan KWSP sebelum dan selepas zaman COVID-19 – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Median simpanan KWSP bagi shli berumur 55 tahun ke bawah

 Simpanan median pada April 2020Simpanan median pada Disember 2022
  Melayu  RM 16,938*(nota 1)  RM 5,529
  Cina  RM 45,756  RM 45,162
  India  RM 25,724  RM 14,929
  Bumiputra lain  RM 10,591  RM 3,302
* Bererti 50% daripada semua pencarum Melayu mempunyai simpanan berjumlah RM16,938 ke bawah pada bulan April 2020 sebelum skim pengeluaran wang khas kerana COVID-19 dilaksanakan.
Sumber: Jawapan Menteri di Parlimen

Realiti ini juga dicerminkan dalam perangkaan yang diumumkan oleh Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, Ketua Pengarah Jabatan Perangkaan, pada bulan Mac 2023. Beliau mengumumkan bahawa gaji median untuk 6.5 juta orang pekerja swasta dalam sektor formal ialah RM2,600 sebulan dengan pecahan mengikut kaum seperti berikut:

 Gaji median (bulanan)
MelayuRM2,200#
CinaRM4,000
India  RM2,500

# bererti 50% daripada pekerja Melayu di sektor swasta formal pada bulan Mac 2023 menerima gaji bulanan RM2,200 ke bawah.         

d/ Pendekatan: Oleh kerana realiti yang dihuraikan di atas, sistem kuota kemasukan untuk IPTA berdasaran etnik harus dikekalkan buat masa ini, tetapi dengan proviso-proviso berikut;

  • Kuota kemasukan ke IPTA untuk setiap kumpulan etnik harus mencerminkan    nisbahnya kaum tersebut dalam populasi.
  • Selain itu, 50% kuota untuk sesuatu kaum harus diperuntukkan untuk golongan B40 kaum tersebut, 35% untuk pelajar golongan M40 dan 15% itu dibuka kepada pelajar T20 daripada kaum itu.
  • Kursus pra-universiti harus dimantapkan untuk memastikan pelajar yang masuk ke universiti mencapai paras akademik yang sesuai untuk kursus itu. Pelajar B40 harus diberi peluang untuk mengulangi kursus pra-universiti supaya dapat mencapai tahap akademik yang perlu.

Syor-syor yang terkandung dalam bahagian (d) di atas harus diletakkan sebagai titik permulaan untuk membincangkan isu kuota pendidikan ini.    

Peranan parti kiri adalah juga untuk mengingatkan rakyat bahawa, persaingan yang sengit untuk kursus-kursus universiti berpunca daripada jurang pendapatan yang lebar antara pekerja kolar putih dan pekerja kolar biru(nota 2). Di negara Kuba, di mana pemandu bas mendapat gaji yang sama dengan seorang doktor, pelajar-pelajar memilih untuk menghadiri universiti mengikut minat dan bukan kerana ianya merupakan satu-satunya jalan untuk melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan. Adalah penting untuk sesebuah masyarakat menghormati sumbangan pekerja kilang, petani, peniaga kecil dan sebagainya dengan wujudkan struktur gaji yang munasabah dan sistem jaringan sosial – kesihatan, perumahan, pengangkutan dan pencen warga emas – yang kukuh. Inilah jalan jangka masa panjang untuk mengurangkan persaingan yang sengit bagi mendapatkan tempat di IPTA dan peluang kerja.

2. Masalah peminggiran generasi muda kita

Lebih kurang 230,000 orang anak muda menerima diploma ataupun ijazah setiap tahun(nota 3). Untuk majoriti besar golongan ini, memperolehi kerja amatlah sukar. Hanya lebih kurang 30% daripada para graduan dapat mencari kerja yang setimpal dengan kelayakan mereka. Tetapi biasanya, gaji yang ditawar tidaklah jauh tinggi daripada gaji minimum – mereka hanya dibayar lebih kurang RM1,800 hingga RM2,000 sebulan. Pasaran kerja mencondong kepada para majikan kerana wujudnya lebihan bekalan graduan. Graduan baharu terpaksa menerima gaji dan terma kerja yang tidak menarik, kerana tiada pilihan lain.

Ramai daripada graduan kolej dan universiti menanggung beban hutang pendidikan PTPTN antara RM30,000 hingga RM100,000.  Mereka terhimpit antara kenaikan kos hidup (kerana terpaksa tinggal di bandar untuk mendapatkan kerja), gaji yang rendah, komitmen untuk membayar hutang dan tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa mereka.

Kebanyakan pakar sosio-ekonomi dan media menyalahkan sistem pendidikan negara kerana mengeluarkan graduan dengan kebolehpasaran (marketability) yang rendah. Ada juga “pakar” analisis yang menyalahkan golongan graduan sendiri kerana tidak memperolehi kemahiran tertentu seperti fasih berbahasa Inggeris/Mandarin ataupun kurang mempunyai kemahiran digital.

Tetapi hakikat sebenarnya ialah, ekonomi kita tidak menjana kekosongan jawatan kerja yang memerlukan ijazah ataupun diploma yang mencukupi. Ekonomi kita hanya berjaya menjana lebih kurang 127,000 jawatan baharu untuk kelulusan graduan, tetapi seramai 230,000 orang graduan baharu(nota 3) dijangka memasuki pasaran kerja setiap tahun. Masalah pokok adalah struktur ekonomi negara kita.

Sejak tahun 1970-an, Malaysia telah dibangunkan sebagai sebuah hab sektor pembuatan kos rendah (low-cost manufacturing hub) demi menarik pelaburan syarikat multinasional (multinational corporations – MNC). MNC lazimnya mencari lokasi yang mengeluarkan produk mereka dengan kos rendah agar dapat meningkatkan margin keuntungan. Maka satu misi untuk mendorong ke arah pembangunan ekonomi berpacukan eksport (export led growth), telah menghasilkan satu ekonomi yang memerlukan ramai pekerja bergaji rendah. Apabila gaji majoriti kaum pekerja ditekan pada paras yang rendah, permintaan dalam negeri (aggregate demand) juga lembab.

Kita gagal melihat kepada potensi untuk meningkatkan permintaan tempatan, apabila kita hanya fokus kepada menyediakan buruh untuk ekonomi eksport. Sebenarnya, negara kita memerlukan kemahiran akademik dan teknikal untuk mengisi pelbagai jawatan dalam sektor perkhidmatan yang memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial sekaligus membina ekonomi yang lebih hijau, contohnya:

  • Kita perlu satu skim di mana jururawat melawat pesakit-pesakit terlantar di rumah-rumah mereka sekali atau dua kali setiap minggu untuk memeriksa tekanan darah mereka ataupun paras gula mereka, sambil melakukan senaman fisioterapi untuk mereka, menukar balutan bagi luka mereka, dan sebagainya;
  • Hospital-hospital awam terlalu sesak dengan pesakit. Kita memerlukan lebih ramai doktor dan jururawat untuk meningkatkan perkhidmatan yang diberikan di hospital-hospital awam;
  • Negara kita memerlukan ramai orang dengan kemahiran teknikal untuk memasang dan menjaga panel suria di atas bumbung rumah di taman-taman perumahan;
  • Kita juga memerlukan pekerja berkemahiran untuk mengendalikan sisa buangan isi rumah di semua bandar-bandar kita;
  • Sisa buangan dari lebih kurang 440 buah kilang kelapa sawit (POME – Palm Oil Mill Effluent) sekarang merupakan satu punca utama pengeluaran metana di negara kita. Sisa buangan ini boleh dikendalikan untuk menjana kuasa elektrik dan mengurangkan jumlah pengeluaran(nota) GHG (GreenHouse Gas / Gas Rumah Hijau) di negara kita;
  • Kita memerlukan ramai lagi renjer hutan untuk menjaga dan memulihkan hutan-hutan yang telah dibalak.

Kebetulannya, kita memerlukan banyak tenaga pekerja mahir untuk menjadikan negara kita lebih prihatin dan mampan. Malangnya kerajaan berhujah bahawa tiada dana yang mencukupi untuk mewujudkan kerja-kerja sedemikian dan terpaksa bergantung pada sektor swasta untuk mewujudkan pekerjaan. Tetapi sektor swasta juga gagal dalam menjana jawatan yang dapat menampung bilangan graduan kita.  

Justeru, ramai orang (hampir 1 juta) yang berpaling kepada kerja-kerja informal bergantung pada platform e-hailing, menjadi pemandu Grab dan sebagainya. Mereka tiada perlindungan sosial ataupun keterjaminan kerja. Jika sihat, mereka dapat mencari makan. Jika sakit, tiada kemudahan cuti sakit. Ramai tidak dilindungi jika mengalami kecederaan semasa bertugas.  

Situasinya lebih teruk untuk anak muda yang tidak berjaya ke kolej/IPTA/IPTS dan sebagainya. Mereka pula terpaksa bersaing dengan pekerja-pekerja asing untuk jawatan-jawatan kolar biru di kilang, sektor perkhidmatan, sektor perladangan dan sebagainya.

Majikan yang dipercayai ada hubungan rapat dengan Menteri Dalam Negeri berjaya membawa masuk ribuan orang pekerja asing. Mereka memperolehi keuntungan yang lumayan  daripada hasil kutipan fi dan caj membawa masuk pekerja migran – antara RM10,000 hingga ke RM20,000 seorang. Segelintir menjadi sangat kaya – pemilik syarikat pembekal pekerja migran, pegawai imigresen yang korup dan ahli politik rapat dengan Kementerian Dalam Negeri. Malangnya, padahnya diterima oleh anak muda kita yang berhadapan dengan realiti susah untuk mendapatkan kerja.

Pada masa yang sama, pemilik kilang dan majikan pula lebih gemar mengupah pekerja asing kerana boleh dieksploitasi untuk kerja lama dan senang dikawal. Mereka tidak ada tanggungjawab kekeluargaan, dan sedia bekerja untuk shif yang panjang. Mereka jarang meminta cuti untuk menghadiri kenduri ataupun menemani ahli keluarga ke hospital. Pekerja asing pun kurang berani untuk menyoal majikan yang gagal mematuhi peraturan pekerjaan dan melakukan penipuan dalam pengiraan gaji, kerja lebih masa dan sebagainya. Majikan juga jimat kos kerana tidak perlu membayar caruman KWSP untuk pekerja migran berbanding dengan caruman wajib 13% daripada gaji kasar untuk pekerja tempatan.

Oleh sebab itu, ramai warga pekerja tempatan berumur antara 18 hingga 40 tahun menganggur dalam kesunyian. Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan bahawa kadar pengangguran pada bulan Jun 2023 adalah sekitar 3.5% sahaja. Tetapi ini bukan situasi sebenarnya. Ramai dalam kalangan B40 terutamanya kaum pemuda, tidak mendapat kerja yang tetap ataupun memegang jawatan yang tidak memadai dengan kelayakan mereka, mewujudkan “under employment” (guna tenaga tidak penuh).

Ketidakpuasan hati inilah yang mungkin menyumbang kepada berkembangnya “gelombang hijau” sebagai satu ekspresi bantahan terhadap situasi ekonomi yang dibawa oleh corak pembangunan yang dilaksanakan di Malaysia.  

Adalah amat penting bagi pihak kiri menfokus masalah pengangguran dalam kalangan anak muda kita supaya dapat mencipta polisi-polisi yang dapat mengatasi peminggiran yang sedang dialami oleh mereka. Memang tidak begitu senang untuk mengendalikan masalah ini kerana ianya berkait rapat dengan model pembangunan ekonomi negara yang telah dilaksanakan selama 50 tahun yang lalu dan promosi negara Malaysia sebagai zon pembuatan kos rendah untuk menarik pelaburan asing. Tetapi, ianya bukan mustahil untuk membina naratif baharu, menghujahkan satu jalan keluar untuk mengatasi permasalahan ini. Jalan keluar mungkin mengambil masa dan harus dilaksanakan secara berperingkat.   

3. Halangan terhadap usaha menyalurkan pendapatan negara untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih adil.

Keluaran kasar dalam negeri (KDNK) Malaysia dalam nilai ringgit sebenar (iaitu selepas mengambil kira kesan inflasi) telah berlipat ganda sebanyak 24 kali ganda dalam 50 tahun yang lalu. Tetapi gaji median sebenar pekerja kilang hanya meningkat 1.4 kali ganda sahaja dalam tempoh masa yang sama. Kekayaan negara kita telah meningkat 24 kali, tetapi pekerja, petani dan peniaga kecil kita yang menjana kekayaan ini masih dibelenggu hutang dan hidup dalam kesusahan. Kadar kebantutan kanak-kanak (stunting in children), iaitu kegagalan mencapai ketinggian yang sepatutnya dicapai mengikut umur, adalah setinggi 20% dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur 5 tahun di Malaysia! Ini amat merisaukan.  

KDNK per kapita Malaysia telah meningkat 8 kali ganda(nota 5) dalam nilai sebenar dalam 50 tahun yang lalu. Peningkatan kekayaan negara ini sepatutnya boleh dikongsi dengan rakyat umum melalui dua kaedah – yang pertama dengan menaikkan gaji pekerja. Tetapi Kerajaan Malaysia kerap berhujah bahawa apa jua peningkatan gaji pekerja akan menjejas usaha kerajaan menarik FDI (pelaburan asing langsung) ke Malaysia.

Maka pilihan kedua, iaitu“gaji sosial” sebagai instrumen untuk mengagihkan kekayaan negara kepada rakyat harus dilaksanakan. Kaedah ini meringankan beban kos rakyat dalam memperolehi kemudahan dan perkhidmatan asas. Contohnya:

  • Perkhidmatan Kesihatan awam yang berkualiti tinggi dan mampu;
  • Pengangkutan awam yang efisien dan mampu;
  • Pencen Warga Emas Sejagat;
  • Pendidikan percuma sehingga ke ijazah pertama;
  • Menyediakan lebih banyak rumah PPR;
  • Dan sebagainya.

Inilah antara tuntutan-tuntutan yang terkandung dalam kempen-kempen yang sedang dilaksanakan oleh PSM. Malaysia memang menjana dana yang mencukupi untuk melaksanakan semua skim yang kita tuntut – jika pendapatan negara diurus secara yang adil.

Tetapi setiap kali pihak aktivis progresif mengemukakan syor untuk memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial ataupun melaksanakan program untuk memulihkan alam sekitar, jawapan kerajaan adalah cadangan itu terpaksa ditangguh kerana perlu menangani defisit belanjawan RM100 bilion setahun dan hutang negara yang sudah mencecah RM1 trilion (RM1,000 bilion).

Masalah defisit belanjawan Persekutuan timbul kerana nisbah pendapatan (revenue) Kerajaan Malaysia terhadap KDNK telah menurun, daripada 27% KDNK pada tahun 1980 kepada hanya 15.1% KDNK sekarang(nota 6). Salah satu sebabnya pengurangan pendapatan Kerajaan Persekutuan ialah pengurangan kadar cukai korporat di Malaysia yang telah diturunkan daripada 40% pada tahun 1986 kepada 24% keuntungan korporat kini, oleh kerana perlumbaan untuk menurunkan cukai korporat oleh negara-negara serantau ASEAN untuk menarik FDI.

Dalam keadaan di mana negara Thailand menurunkan kadar cukai korporatnya ke 19% dan Vietnam ke 20%, Malaysia juga terasa tertekan untuk menurut kerana khuatir pelabur asing akan mengelak daripada melabur di Malaysia oleh kerana kadar cukai koporat lebih tinggi berbanding negara jiran. Pihak Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga mengesyorkan polisi penurunan kadar cukai korporat sebagai satu cara baik untuk menggalak pelaburan.

PSM telah menganjurkan satu perbincangan selama dua hari pada 17 Jun 23 dan 18 Jun 23 untuk mengenal pasti cara-cara yang meningkatkan hasil pendapatan Kerajaan Persekutuan. Antara syor yang dikemukakan adalah untuk mengadakan perundingan serantau dengan negara Thailand, Indonesia, Filipina dan Vietnam untuk menghentikan perlumbaaan ke bawah dalam kadar cukai korporat. Empat negara ini menjadi pesaing utama bagi Malaysia untuk FDI. Jika salah satu daripada negara-negara ini meningkatkan kadar cukai korporatnya secara bersendirian, ada kemungkinan negara itu akan kehilangan FDI kepada negara lain di ASEAN. Tetapi jika semua keempat-empat negara tersebut dan Malaysia juga meningkatkan cukai korporat dengan kadar yang sama, mereka tidak akan menghadapi masalah kehilangan FDI kepada negara jiran.

Thailand, Indonesia, Filipina dan Vietnam juga menghadapi masalah defisit belanjawan seperti Malaysia, dan memerlukan dana untuk melaksanakan program-program memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial di negara-negara mereka masing-masing. Mereka juga memerlukan dana untuk membuat transisi tenaga, iaitu beralih kepada penjanaan kuasa elektrik dengan menggunakan tenaga suria, hidro dan angin. Negara-negara ASEAN juga memerlukan dana untuk memperkukuhkan pengangkutan awam dalam usaha mengurangkan penggunaan petrol oleh kereta-kereta persendirian. Peningkatan dalam hasil pendapatan kerajaan akan banyak membantu jiran kita di dalam ASEAN untuk mencapai kesemua matlamat tersebut.   

Satu lagi syor yang dikemukakan dalam sesi perbincangan pada 17-18 Jun 2023 adalah cukai baharu terhadap kilang-kilang dan loji-loji penjanaan elektrik yang melepaskan karbon dioksida melebihi 25,000 tan setahun. Masalah dengan cukai ini adalah ianya akan meningkatkan kos pembuatan di negara yang melaksanakannya kerana kos kuasa elektrik, bahan besi dan simen akan naik. Ini mungkin akan mendorong pelabur untuk melabur di negara ASEAN yang lain. Tetapi jika cukai karbon ini dilaksanakan serentak di semua negara ASEAN, kesan negatif terhadap pelabur dapat dikurangkan, dan semua negara ASEAN akan mendapat dana yang lebih besar untuk mengendalikan krisis iklim. 

Kertas kerja mengenai kaedah-kaedah menambahkan dana kerajaan telah diserahkan kepada Menteri Kewangan. Kami menunggu tarikh untuk mengadakan perbincangan lanjutan dengan pihak Kementerian Kewangan. Tetapi saya rasa kita tidak boleh berhenti di peringkat ini. Golongan progresif seperti PSM harus menjalin perhubungan dengan gerakan-gerakan pro-rakyat di negara-negara jiran – parti politik, NGO, kesatuan pekerja dan gerakan rakyat lain – untuk memajukan cadangan menaikkan cukai korporat dan cukai terhadap pelepasan karbon supaya negara-negara ASEAN dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat mereka serta menghijaukan ekonomi mereka. Sudah sampai masanya kita, di Malaysia, menambahkan usaha kita untuk menganjurkan perbincangan dalam kalangan ASEAN mengenai program ini. 

Memperkasakan jentera PSM

Adalah jelas bahawa PSM tidak mempunyai ahli aktif secukupnya untuk melaksanakan semua kerja yang kita sudah kenal pasti. PSM memerlukan ramai ahli aktif lagi untuk menunaikan tanggungjawab kita sebagai rakan, pendidik masyarakat dan pengatur (enabler) gerakan marhaen di Malaysia. Antara matlamat terpenting bagi PSM pada masa ini adalah untuk menarik ahli-ahli baharu yang idealis dan bersemangat, yang sedia berkongsi beban memperkembangkan PSM dan membina organisasi Gerakan Marhaen.  

Penglibatan PSM dalam PRN 2023 harus difahami dalam konteks ini. Kami di Jawatankuasa Pusat (JKP) memang tahu bahawa dalam suasana politik pada masa ini, di mana rakyat telah ditakut-takutkan oleh parti-parti politik utama, calon-calon PSM akan kehilangan deposit. Tetapi kami mengambil bahagian dalam PRN 2023 untuk menonjolkan analisis, nilai, pencapaian dan visi PSM. Adalah harapan JKP bahawa publisiti yang PSM dapat melalui penglibatan dalam PRN 2023 akan menarik rakyat yang idealis, yang sedang mencari sebuah parti yang jujur, berani dan berpihak pada rakyat biasa.

Berkaitan ini, adalah amat penting untuk kita meningkatkan cara kita dalam mengendalikan ahli baharu di PSM. Biasanya pihak ibu pejabat (HQ) menempatkan ahli baharu di cawangan terdekat dan memaklumkan kepada setiausaha cawangan itu bahawa seorang ahli baharu telah masuk cawangan. Tetapi, ada cawangan yang tidak begitu aktif dan ramai ahli baharu tidak dihubungi oleh mana-mana cawangan ataupun dijemput ke aktiviti PSM untuk beberapa bulan selepas mereka mendaftar masuk. Ada antara mereka yang hilang komitmen untuk menyertai PSM oleh kerana kelemahan kita ini. Kita harus mengambil langkah yang lebih teratur untuk memperbaiki cara pengendalian ahli baharu di semua negeri.    

Senario Antarabangsa

Izinkan saya mengakhiri ucapan dasar ini dengan beberapa komen ringkas mengenai situasi antarabangsa.

Senario antarabangsa telah melalui dua fasa signifikan sejak tahun 1945. Fasa 1 ialah dari tahun 1945 hingga ke pertengahan tahun 1980-an, di mana wujudnya cabaran daripada kuasa politik kiri seperti USSR, negara-negara Europah Timur (Pakatan Warsaw) dan China dalam:

  • menyokong pergerakan kemerdekaan negara-negara di Asia dan Afrika,
  • membawa perlaksanaan program-program keselamatan sosial di negara-negara Eropah Barat seperti perkhidmatan kesihatan percuma, pencen warga emas, bayaran pampasan pengangguran, penawaran rumah sewa murah dan sebagainya. Beberapa program yang berhasrat memenangi hati dan minda rakyat juga dilaksanakan di banyak negara lain – umpamanya sistem kesihatan awam, sistem pendidikan, pembekalan air bersih kepada seluruh negara, KWSP dan PERKESO di Malaysia;
  • meningkatkan taraf hidup kelas pekerja di banyak negara.

Fasa 2 pula ialah dari pertengahan tahun 1980-an apabila Pakatan Warsaw runtuh dan China mengambil keputusan untuk membuka ekonominya kepada pelabur Barat. Dari masa itu sehingga sekarang, program sosial untuk rakyat merosot malah banyak polisi neoliberal berpihak kepada kapitalis besar telah dilaksanakan di seluruh dunia. Perjanjian-perjanjian “perdagangan” antarabangsa telah menghancurkan batasan terhadap pelabur asing di peringkat negara dan pelabur asing dianugerahkan banyak kemudahan.

Segelintir kecil (0.1%) daripada jumlah populasi dunia telah menjadi kaya raya, meninggalkan majoriti umat manusia (selain daripada penduduk China) yang menghadapi tekanan ekonomi yang teruk. Di negara-negara maju di Eropah dan Amerika Utara, taraf hidup pekerja dan kelas menengah (middle class) telah merosot kerana banyak industri telah berpindah ke Asia. Situasinya teruk sekali di benua Afrika di mana keterjaminan makanan dimusnahkan oleh polisi Bank Dunia dan IMF, dan kini, ratusan ribu rakyat Afrika menghadapi kebuluran.   

Dunia sekarang berada dalam permulaan Fasa ke-3 di mana pengaruh Amerika Syarikat dan Eropah Barat semakin merosot. Kebanyakan negara Dunia Ketiga tidak berpuas hati dengan keengganan Amerika Syarikat dan Eropah untuk berkongsi vaksin COVID-19 dengan negara-negara Dunia Ketiga semasa kemuncak pandemik COVID-19. Begitu juga tindakan kerajaan UK yang menghalang negara Venezuela daripada menggunakan rizab emas mereka sendiri yang ditempatkan di London. Tindakan kejam UK ini menyebabkan Venezuela gagal membeli vaksin COVID-19 yang diperlukannya itu.

Banyak negara juga tidak selesa dengan sifat “pembuli” Amerika Syarikat dan NATO yang menyerang negara-negara Libya, Syria, Afghanistan, Iran dan Venezuela. Maka, majoriti negara di Asia dan Afrika tidak menyokong Amerika Syarikat dalam perang Ukraine-Rusia.

Kita juga dapat lihat, pada masa yang sama, gabungan BRICS sedang memperluaskan pengaruhnya dan mengetepikan penggunaan Dolar Amerika sebagai mata wang antarabangsa. Sebuah dunia “multi-polar” sedang dicipta.

Kita di Malaysia harus memantau perubahan-perubahan yang sedang berlaku di dunia untuk mengenal pasti bagaimana kita boleh menggunakan kesempatan ini untuk memajukan matlamat-matlamat kita di Malaysia. Memang gabungan BRICS tidak boleh dianggap sebagai pengganti Pakatan Warsaw yang wujud pada dekad 1960-an, kerana negara-negara yang menganggotai BRICS masih mengamalkan ekonomi sistem kapitalis di negara-negara mereka. Tetapi ada kemungkinannya, kelonggaran yang akan diwujudkan oleh gabungan BRICS dalam sistem antarabangsa, akan melahirkan kesempatan baharu yang boleh membantu negara kita.

Saya berharap saudara-saudari sekalian akan menggunakan peluang bermesyuarat ini untuk menajamkan analisis kita dan menyediakan cadangan-cadangan yang realistik untuk tahun yang akan datang.

Selamat berkongres! Salam perjuangan!

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Nota:

  1. Satu sebab jumlah simpanan untuk pencarum Melayu begitu rendah adalah kerana lebih ramai pekerja Melayu bekerja sebagai kakitangan kerajaan yang mencarum kepada KWSP untuk 10 tahun pertama. Selepas 10 tahun, mereka diserap ke dalam skim pencen dan caruman bulanan KWSP dihentikan dan jumlah syer majikan (yang telah dibayar oleh kerajaan selama 10 tahun pertama) dipindahkan ke dana yang lain. Tetapi kita juga harus mengambil kira fakta bahawa jumlah orang Melayu dalam pasaran kerja adalah 9 juta. Jumlah kakitangan kerajaan 1.6 juta orang sahaja. Jadi, nampaknya secara amnya, gaji pekerja Melayu di sektor swasta memang lebih rendah berbanding gaji orang India dan Cina.
  2. Gaji median pekerja kilang ialah RM1,843 sebulan pada tahun 2021 (Jabatan Perangkaan Malaysia, Laporan Gaji 2022).  Gaji seorang doktor pakar dalam kerajaan adalah dalam lingkungan RM8,000 hingga RM20,000 sebulan. Gaji seorang doktor pakar di sektor swasta adalah antara RM20,000 hingga RM100,000 sebulan.
  3. Kajian oleh Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) mendedahkan bahawa secara puratanya, terdapat 224,000 orang graduan lepasan universiti setiap tahun. Ini mewujudkan persaingan sengit dalam pasaran kerja.
  4. Metana boleh dikumpul dan dibakar untuk menjana kuasa elektrik. Sumbangan kuasa elektrik daripada sumber ini akan membolehkan pengurangan amaun arang batu yang diguna untuk menjana elektrik. Selain itu, satu molekul metana mempunyai 23 kali ganda kuasa GHG (greenhouse gas / gas rumah hijau) berbanding satu molekul karbon dioksida. Apabila 1 molekul metana dibakar, ia menghasilkan 1 molekul karbon dioksida. Jadi, satu skim untuk menggunakan pelepasan metana dari kilang-kilang kelapa sawit untuk menjana kuasa eletrik akan mengurangkan jumlah pelepasan GHG kita secara signifikan.  
  5. KDNK telah meningkat 24 kali ganda antara tahun 1970 dan 2019. Bilangan penduduk Malaysia telah bertambah daripada 10.5 juta orang pada tahun 1970 kepada 32 juta orang pada akhir tahun 2019, iaitu 3 kali ganda lebih besar. Oleh itu, KDNK per kapita adalah 8 kali ganda lebih pada hujung tahun 2019 berbanding tahun 1970.
  6. Berdasarkan angka-angka yang dibentang dalam Pembentangan Belanjawan 2023 di Parlimen: Jumlah Pendapatan Kerajaan Persekutuan dijangka sebagai RM291.5 bilion manakala KDNK untuk tahun 2023 dijangka sebesar RM1,930 bilion.

One thought on “Ucapan Dasar Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk Kongres Nasional ke-25

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *