16 tahun dahulu, pada 20 Mac 2003, tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan terhadap Iraq dan mencetuskan Perang Iraq yang dahsyat. Pencerobohan tentera AS bersama dengan sekutunya (United Kingdom, Australia dan Poland), menjatuhkan rejim Saddam Hussein (yang pernah disokong AS ketika Perang Iran-Iraq 1980-1988) dengan cara ketenteraan, dan memulakan pendudukan tentera AS di Iraq selama 8 tahun.

Perang Iraq meninggalkan impak yang mendalam dan berpanjangan, bukan sahaja kepada seluruh masyarakat Iraq, tetapi juga rantau Timur Tengah. Ratusan ribu orang awam terkorban semasa Perang Iraq. Perang Iraq mewujudkan krisis kemanusiaan yang teruk, dengan jutaan rakyat Iraq menjadi pelarian.

Perang Iraq yang dicetuskan oleh imperialis AS dan sekutunya, sejak awal lagi tiada kaitan dengan demokrasi ataupun mengekalkan keamanan dunia, sebaliknya untuk perubahan rejim yang memanfaatkan dominasi kuasa imperialis AS dan kepentingan kapitalis global.

iraqsouth-china-sea-may-11-2015.JPG

Pencerobohan yang beasaskan pembohongan

Kerajaan AS pimpinan George W. Bush pada masa itu, berdegil untuk melancarkan perang terhadap Iraq walaupun dibantah hebat oleh rakyat sedunia.

Kerajaan AS menggunakan pembohongan sebagai alasan untuk tentera AS menyerang Iraq. Kerajaan AS mendakwa bahawa Kerajaan Iraq yang dipimpin Saddam Hussein pada masa itu memiliki senjata pemusnah besar-besaran. Ketika tentera AS bersiap sedia untuk menyerang Iraq, kerajaan AS dan sekutunya UK, telah mengulangi dan menekankan pada hujah mereka bahawa rejim Saddam Hussein sedang membangunkan senjata pemusnah besar-besaran, maka menjadi ancaman kepada negara-negara jirannya dan juga masyarakat dunia. Namun, selepas pencerobohan tentera AS dan kejatuhan Saddam Hussein, tiada senjata pemusnah besar-besaran seperti yang didakwa itu dijumpai sehingga sekarang.

Kerajaan AS juga mendakwa rejim Saddam Hussein di Iraq menyokong dan memberi perlindungan kepada kumpulan pengganas al-Qaeda. Namun, pertuduhan tersebut langsung tiada bukti yang nyata dan kukuh. Kumpulan al-Qaeda di Iraq hanya aktif selepas pencerobohan tentera AS, bukan sebelumnya. Kebanyakan kumpulan ektremis yang menggunakan keganasan di Iraq muncul daripada penentangan terhadap pendudukan tentera AS dan kerajaan Iraq yang disokong oleh AS. Keganasan tentera AS di Iraq mencetuskan lebih banyak lagi keganasan sebagai tindak balas.

Jika serangan AS terhadap Iraq bertujuan untuk memerangi pengganas seperti yang didakwa kerajaan AS, maka tindakan tersebut jelas sekali tidak mencapai objektifnya, malah memburukkan lagi keadaan apabila pendudukan tentera AS yang menjadikan Iraq sebagai tapak pembiakan dan penularan aktiviti pengganas. Konflik sektarian tercetus di Iraq selepas pencerobohan tentera AS, di samping banyak kumpulan pengganas muncul hasil daripada konflik ini. Kemunculan kumpulan pengganas ISIS yang mendapat perhatian dunia pada tahun 2014, merupakan salah satu hasil secara langsung daripada pendudukan tentera AS di Iraq.

Kerajaan AS telah menyifatkan negara Iraq di bawah pemerintahan Saddam Hussein sebagai “negara berbahaya” (rogue state) sebelum melancarkan serangan terhadapnya. Ahli-ahli politik di AS yang hendak menonjolkan dirinya sebagai jaguh hak asasi manusia cuba menjustifikasikan pencerobohan tentera AS sebagai langkah untuk menamatkan pemerintahan Saddan Hussein yang kejam dan mencabul hak asasi manusia secara serius. Namun, pencerobohan tentera AS mengundang pencabulan hak asasi manusia yang lebih serius, apabila ratusan ribu nyawa rakyat Iraq dikorbankan begitu sahaja. Penjara Abu Ghraib menjadi simbol pencabulan hak asasi manusia oleh Kerajaan AS apabila digunakan oleh tentera AS dan Agensi Perisikan Pusat (CIA) untuk menyeksa malah membunuh tahanan, seperti yang pernah dilakukan oleh Saddam Hussein sebelum itu. Jika Iraq di bawah Saddam Hussein itu cukup berbahaya, negara AS sudah tentunya lebih berbahaya untuk rakyat di rantau Timur Tengah dengan buktinya ditunjukkan dalam Perang Iraq.

1045818929.jpg

Minyak dan keuntungan kapitalis

Iraq merupakan negara pengeluar minyak petroleum yang utama di dunia, dengan menduduki tangga kelima dalam simpanan minyak mentah yang diketahui di dunia. Minyak petroleum merupakan sumber alam yang mempunyai pengaruh besar kepada ekonomi dan politik dunia di bawah sistem kapitalis. Penguasaan ke atas minyak dan memastikan negara pengeluar minyak itu tunduk pada kehendak imperialis AS, menjadi dasar strategik kerajaan AS untuk memastikan pengaruh kuasanya di peringkat dunia. Pengaruh AS terhadap negara-negara yang kaya dengan sumber minyak di rantau Timur Tengah, merupakan perkara yang menjadi fokus pemerintah AS selepas Perang Dunia II. Doktrin Carter yang dikemukakan oleh Presiden AS Jimmy Carter pada tahun 1980, yang menyatakan bahawa AS akan menggunakan kekuasaan tentera untuk melindungi kepentingan nasionalnya di Teluk Parsi, jelas menyimpulkan dasar strategik AS ini.

Walaupun kerajaan AS cuba menafikannya, tetapi penguasaan ke atas sumber minyak sebagai faktor utama pencerobohan dan pendudukan AS di Iraq memang suatu kenyataan. Pada tahun 2007, kerajaan AS cuba memaksa Kerajaan Iraq yang disokongnya untuk meluluskan satu undang-undang hidrokarbon yang sebahagiannya dirangka oleh industri minyak Barat, dengan tujuan mewujudkan syarat yang paling mesra korporat untuk pelaburan swasta asing dalam industri minyak di Iraq. Dalam erti kata lain, undang-undang itu menggadaikan sumber kekayaan Iraq kepada kapitalis luar negara. Undang-undang minyak tersebut ditentang hebat oleh orang ramai dan akhirnya tidak dapat diluluskan dalam parlimen. Namun, dengan bantuan kerajaan AS, syarikat-syarikat minyak asing masih dapat memintas parlimen Iraq untuk menandatangani kontrak yang membolehkan mereka mengakses kekayaan minyak Iraq dan mengaut keuntungan lumayan daripadanya.

Syarikat perkhidmatan minyak muntinasional Halliburton merupakan salah sebuah syarikat korporat yang mendapat keuntungan lumayan daripada Perang Iraq. Halliburton telah dianugerahkan kontrak yang bernilai sekurang-kurang USD39.5 bilion berkaitan dengan Perang Iraq. Timbalan Presiden AS ketika zaman Bush (2001-2009), Dick Cheney, penah menjadi Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Halliburton sebelum itu pada tahun 1995-2000. Penglibatan Halliburton dalam mengaut keuntungan melalui Perang Iraq, jelas menampilkan wajah kapitalisme yang menjana keuntungan untuk korporat melalui kehancuran dan kesengsaraan kehidupan rakyat biasa.

iraq260560884.jpg

Imperialis AS masih mengganas

16 tahun selepas pencerobohan terhadap Iraq, kerajaan AS di bawah pimpinan Donald Trump pada hari ini masih meneruskan tradisi imperialisnya untuk melancarkan serangan terhadap negara lain yang mengancam kepentingannya dengan cara pembohongan. Sasaran terbaru imperialis AS ialah Venezuela.

Negara Venezuela di bawah pentadbiran pimpinan Presiden Hugo Chavez sebelum ini dan Nicolas Maduro sekarang ini, amat berbeza dengan Iraq di bawah Saddam Hussein, kerana negara Venezuela telah melalui Revolusi Bolivar yang membolehkan rakyat bawahan terlibat dalam proses politik yang cuba mengubah nasib mereka untuk bebas daripada cengkaman oligarki lama serta imperialis AS. Namun, Venezuela yang cuba membangunkan alternatifnya yang tersendiri telah dianggap sebagai ancaman kepada kekuasaan AS. Tambahan pula, Venezuela ialah negara dengan simpanan minyak petroleum yang terbesar di dunia.

Kerajaan AS telah menyokong malah merancang pelbagai usaha untuk menyahstabilkan kerajaan Venezuela, termasuk sabotaj ekonomi, protes yang bersifat keganasan dan cubaan kudeta. Media arus perdana di Barat juga bersekongkol dalam usaha kerajaan AS dengan menyebarkan naratif pemerintah AS yang menggambarkan negara Venezuela sebagai sebuah negara yang gagal, diperintah oleh “diktator” dan berada dalam krisis kemanusiaan yang teruk. Semua usaha ini bertujuan untuk menggantikan kerajaan yang cuba membangunkan alternatif yang berlainan daripada model yang diluluskan Washington dengan kerajaan boneka yang mampu menjamin kepentingan imperalis AS. Pembangkang berhaluan kanan yang disokong oleh AS, telah menyatakan bahawa mereka akan menswastakan syarikat minyak Venezuela sekiranya berkuasa. Ini jelas menunjukkan Kerajaan AS amat konsisten dalam melindungi kepentingan kuasa imperialisnya melalui pengaruh politik hegemoninya ke atas negara pengeluar minyak utama di dunia.

Imperialis AS tidak mempeduli langsung tentang hidup mati rakyat biasa dan kedaulatan demokratik mana-mana negara jika negara tersebut cuba membangun mengikut caranya sendiri ataupun menggugat kepentingan strategiknya untuk menguasai dunia. Pencerobohan dan pendudukan AS di Iraq menjadi bahan bukti yang nyata kepada jenayah kemanusiaan imperialis AS. Ancaman imperialis AS untuk mencampurtangan di Venezuela, mempamerkan simtom-simton yang serupa dengan apa yang pernah berlaku di Iraq, khususnya penggunaan media arus perdana antarabangsa untuk menyebarkan pembohongan bagi tujuan menjustifikasikan campurtangannya supaya menggantikan kerajaan yang tidak disukainya dengan elit pemerintah yang mampu melindungi kepentingan imperialis. Campurtangan imperialis AS memang bukannya untuk menyebarkan demokrasi atau mempertahankan hak asasi manusia, sama ada di Iraq ataupun di Venezuela.

20190319 anti trump- hands off venezuela02.jpg

Kita tidak boleh melupakan segala jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan oleh imperialis AS di Iraq. Kita tidak boleh membiarkan apa yang berlaku di Iraq diulangi di Venezuela. Katakan TIDAK pada perang! Katakan TIDAK pada campurtangan imperialis AS!

2 thoughts on “Perang Iraq: Jenayah AS terhadap kemanusiaan yang tidak boleh dilupakan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *