IPOH, PERAK – 19 APRIL 2021: Gabungan Petani dan Penternak Perak, bersama-sama dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) Perak, melancarkan kempen “Kekalkan Tanah untuk Pertanian” pada hari ini dalam satu sidang akhbar khas. Kempen ini bertujuan untuk melindungi rezeki petani-petani kecil daripada ancaman pengusiran paksa dan mempertahankan jaminan makanan rakyat.

Yang hadir dalam sidang akhbar hari ini termasuk Tan Tean Chee (petani di kawasan Kanthan), Tiou Song Bong (petani di kawasan Mambang Diawan), Chong Kong Yew (petani di kawasan Tanah Hitam), Dr. Jeyakumar Devaran (Pengerusi PSM) dan Bawani KS (Timbalan Setiausaha Agung PSM).

Gabungan Petani dan Penternak Perak ditubuhkan oleh sebahagian daripada beberapa ribu orang petani kecil dan penternak kecil yang mengusahakan aktiviti ekonomi di atas tanah kerajaan di seluruh negeri Perak. Ramai dalam kalangan pengusaha aktiviti pertanian dan penternakan kecil ini telah mengusahakan tanah di kawasan mereka sejak zaman pra-kemerdekaan. Mereka merupakan pembekal sayur-sayuran yang utama di pasar-pasar di Perak dan juga di negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Ada antara petani-petani kecil dan penternak-penternak ikan ini telah memohon secara rasmi kepada pihak pentadbir tanah untuk mendapatkan geran bagi tanah yang diusahakan mereka tetapi permohonan mereka jarang diluluskan.

Selama 40 tahun yang lalu ini, petani-petani dan penternak-penternak kecil ini sering menghadapi ancaman pengusiran yang memaksa mereka keluar dari tanah yang sedang diusahakan mereka, atas alasan tanah diperlukan untuk projek pembangunan. Biasanya petani-petani kecil ini diusir keluar tanpa ditawarkan tanah gantian untuk meneruskan usaha pertanian mereka.

Apabila sebuah kawasan pertanian dihancurkan, bukan sahaja petani-petani yang berkenaan mengalami kesusahan kerana kehilangan punca pendapatan mereka, tetapi juga menimbulkan masalah seperti:

  • Jaminan makanan masyarakat (food Security) bagi rakyat Malaysia terjejas;
  • Ekonomi masyarakat luar bandar disekat kerana terdapat banyak perkhidmatan yang berkaitan dengan pertanian, seperti penjualan baja dan alat pertanian, pembelian borong sayur-sayuran dan buah-buahan, pemandu lori-lori yang membawa hasil tanaman golongan petani ke pasar, pekerja-pekerja yang berkerja di kebun sesetengah petani dan sebagainya. Semua pekerjaan ini akan dihancur bersama dengan kemusnahan kawasan pertanian; dan
  • Kawasan yang hilir pada kawasan pertanian menghadapi risiko banjir yang lebih kerap dan teruk apabila kawasan pertanian “dibangunkan” menjadi kawasan perumahan atau perindustrian. 

Bekas Menteri Besar Perak, Ahmad Faisal Azumu, pernah mengumumkan bahawa petani kecil tidak akan diusir keluar tanpa diberi tanah gantian. Gabungan Petani dan Penternak Perak mengatakan bahawa mereka gembira mendengar kata-kata Menteri Besar Perak ini, tetapi perkara ini belum dilaksanakan sehingga kini. Pengusiran terhadap petani kecil sedang berterusan di Perak tanpa tawaran tanah gantian untuk mereka meneruskan pertanian.

Tan Tean Chee, petani di kawasan Kanthan, berkata bahawa lebih kurang 70% daripada petani yang mengeluarkan sayur-sayuran mengusahakan tanah tanpa geran tanah. “Walaupun petani-petani di banyak kawasan di Perak sudah menjalani kegiatan pertanian untuk bertahun-tahun lamanya dan memberi sumbangan besar kepada pembekalan makanan, tetapi mereka masih tidak mempunyai perlindungan dari segi undang-undang, malah sering mengalami masalah ancaman diusir secara paksa tanpa tawaran tanah alternatif apabila tanah yang diusahakan oleh mereka dirampas oleh golongan pemaju.” Tan sendiri pernah diusir secara paksa semasa bercucuk tanam di kawasan Rimba Panjang, dan sekarang ini menghadapi satu lagi ancaman pengusiran apabila mengusahakan tanah di Kanthan.

Chong Kong Yew dari Kampung Baru Tanah Hitam berkata, “Sebanyak lebih 80% penduduk di Kampung Baru Tanah Hitam merupakan petani. Namun, kami sering menghadapi masalah pengusiran apabila tanah yang kami usahakan diambil untuk pembangunanan. Sekiranya tiada perlindungan dari segi undang-undang yang menjamin punca pendapatan, ini akan menyusahkan kehidupan masyarakat di kawasan kampung baru dan menimbulkan pelbagai masalah sosial yang lain. Perlindungan undang-undang kepada golongan petani juga akan menggalakkan golongan anak muda untuk menceburi diri dalam kegiatan pertanian.”

Tuntutan-tuntutan Gabungan Petani dan Penternak Perak ialah:

  • Kawasan-kawasan pertanian yang menghasilkan bahan-bahan makanan untuk rakyat Malaysia harus dikekalkan. Hanya lebih kurang 10% daripada keluasan tanah yang digunakan untuk pertanian di Malaysia pada masa kini adalah digunakan untuk menanam sayur-sayuran dan buah-buahan. Lebih daripada 80% keluasan tanah pertanian digunakan untuk tanaman kelapa sawit dan getah.
  • Jika sebuah kawasan pertanian sayur amat perlu untuk tujuan yang lain, sebuah kawasan berkeluasan sama yang sesuai untuk menanam sayur, harus diberikan kepada petani kecil yang terlibat sebelum mereka dikehendaki keluar dari tanah yang sedang diusahakan mereka.
  • Petani-petani kecil tidak meminta geran hak milik kekal bagi tanah pertanian, tetapi mahu diberikan pajakan untuk tempoh 20 tahun supaya petani-petani ada keyakinan bahawa pelaburan mereka dalam membangunkan tanah itu tidak dimusnahkan oleh pengambilan tanah oleh pihak lain. Pajakan tanah pertanian harus mengandungi syarat bahawa tanah itu hanya boleh digunakan untuk membekalkan bahan-bahan makanan.
  • Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) Kerajaan Negeri Perak berkaitan dengan pelucutan tanah (alienation of land) harus diubahsuai untuk mencerminkan pendekatan yang terkandung dalam perkara-perkara yang disebut di atas.
  • Peraturan-Peraturan Tanah Negeri Perak harus ditambah baik dengan mewujudkan sebuah jawatankuasa untuk memantau pengendalian tanah kerajaan yang digunakan oleh petani kecil.

Sebelum ini, Gabungan Petani dan Penternak Perak, pernah mengemukakan permintaan-permintaan mereka kepada pihak Kerajaan Negeri Perak. Sekarang ini, mereka ingin mendapatkan pandangan dan maklumbalas daripada petani-petani dan penternak-penternak yang lain di Perak mengenai tuntutan-tuntutan mereka kepada pihak kerajaan. Selepas mendapatkan maklum balas daripada petani-petani yang lain, Gabungan Petani dan Penternak Perak akan menghantar satu memorandum berkenaan dengan isu ini kepada Menteri Besar Perak, Saarani bin Mohamad, dan meminta satu temujanji untuk berjumpa dengannya.  

Selain itu, Gabungan Petani dan Penternak Perak juga akan membawa kempen ini kepada perhatian masyarakat umum di Malaysia untuk menyedarkan orang ramai mengenai kepentingannya tanah pertanian dikekalkan demi menjamin bekalan makanan bagi rakyat dan kesejahteraan generasi akan datang.

Dr. Jeyakumar berkata bahawa PSM pernah mengendalikan isu di lebih kurang 40 kawasan petani yang menghadapi masalah tanah dalam tempoh 20 tahun yang lalu di negeri Perak. “Daripada pengalaman kami, undang-undang sedia ada memberikan banyak kuasa kepada Menteri Besar dan susah untuk petani-petani mendapat perlindungan hak bercucuk tanam. Isu yang kami bawa di sini bukan sahaja isu yang dihadapi oleh golongan petani, tetapi juga isu rakyat jelata kerana ia melibatkan jaminan makanan untuk semua orang,” kata Dr. Jeyakamar. “Kempen ini bukan sahaja untuk melindungi golongan petani supaya rezeki mereka tidak diancam, tetapi juga untuk kebaikan rakyat jelata supaya jaminan makanan masyarakat tidak terjejas. Undang-undang perlu dipinda supaya golongan petani tidak diusir sewenang-wenangnya.”

6 thoughts on “Gabungan Petani Perak lancar Kempen “Kekalkan Tanah untuk Pertanian” demi Jaminan Makanan Rakyat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *