Gabungan Marhaen (MARHAEN) akan mengadakan satu siri aktiviti atas talian 6 hari berturut-turut, dari 12 hingga 17 Oktober 2021, untuk mengetengahkan keluhan masyarakat akar umbi dan tuntutan rakyat untuk pembaharuan sosial yang boleh menjamin kesejahteraan bersama. (Daftar untuk menyertai Himpunan Marhaen 2021 di sini.)

Pengumuman siri aktiviti yang dikenali sebagai “Himpunan Marhaen 2021” ini dibuat dalam satu sidang akhbar atas talian pada 5 Oktober 2021.

Gabungan Marhaen (MARHAEN) merupakan satu jaringan gerakan masyarakat akar umbi yang berevolusi daripada Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT). Terdapat 3 komponen utama dalam MARHAEN, iaitu:

  • Jaringan sektor – terdiri daripada kumpulan masyarakat akar umbi seperti Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) Gabungan Peneroka Bandar dan Perumahan (GPBP), Gabungan Flat Kos Rendah, Gabungan Petani, Gabungan Penternak, Jaringan Alam Sekitar, Jaringan Mahasiswa dan Jaringan Pekerja Tidak Formal;
  • Kolektif-kolektif progresif yang dibentuk oleh aktivis-aktivis dan artis-artis; dan
  • Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin pada isu-isu rakyat dan memberi sokongan kepada perjuangan masyarakat marhaen.

MARHAEN juga mewujudkan jaringan dengan komuniti Orang Asli/Asal, pemandu lori dan nelayan.

Menurut S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang juga merupakan salah seorang penggerak MARHAEN, gabungan tersebut ditubuhkan pada tahun 2018 selepas kerajaan baharu dibentuk berikutan Pilihanraya Umum ke-14, kerana didapati bahawa isu-isu masyarakat akar umbi tidak dijadikan tumpuan, sebaliknya isu-isu kaum dan agama yang masih mendominasi senario politik negara kita. Oleh itu, mereka yang bergabung dalam MARHAEN telah membangkitkan isu-isu yang dihadapi oleh rakyat marhaen melalui pelbagai aktiviti, termasuk:

Penularan pandemik COVID-19 pada tahun 2020 telah menyebabkan banyak aksi rakyat tidak dapat diadakan secara fizikal, sementara pertukaran kerajaan berikutan Langkah Sheraton pula menyebabkan kepimpinan kerajaan yang menerima pelbagai memorandum tuntutan rakyat itu berubah dan perlu menyerahkan semula tuntutan-tuntutan tersebut. Namun, usaha perjuangan masyarakat masih berterusan dan sedang menggunakan pelbagai cara untuk mengetengahkan tuntutan rakyat.

Oleh itu, bersempena dengan Hari Antarabangsa untuk Pembasmian Kemiskinan pada 17 Oktober 2021, Gabungan Marhaen akan menganjurkan “Himpunan Marhaen 2021” secara atas talian yang membariskan siri forum atas talian selama 6 hari berturut-turut dari 12 hingga 17 Oktober 2021, dengan acara kemundak pada 17 Oktober 2021. (Daftar untuk menyertai Himpunan Marhaen 2021 di sini.)

Program-program yang diadakan dalam “Himpunan Marhaen 2021” ialah:

  • Forum “Rumah B40: Mampu atau Mimpi” pada 12 Oktober 2021;
  • Forum “Suara Pekerja – Realiti vs Harapan” pada 13 Oktober 2021;
  • Forum “Pekerja Gig: Cabaran dan Masa Depan” dan pelancaran Jaringan Pekerja Tidak Formal pada 14 Oktober 2021;
  • Forum “Rampasan Tanah Adat Orang Asli semasa COVID-19: Berkurang atau Meningkat?” pada 15 Oktober 2021;
  • Forum “Memperkasakan Jaminan Makanan: Isu dan Penyelesaian” pada 16 Oktober 2021;
  • Forum Akar Umbi “Pandemik, Kemiskinan, Perjuangan” pada 17 Oktober 2021;
  • Forum Pakar “Pandemik, Kemiskinan, Perjuangan” pada 17 Oktober 2021;
  • Konsert “Malam Marhaen” pada 17 Oktober 2021.

Sesiapa yang berminat untuk menyertai program-program ini boleh mendaftar di sini.

Semua program ini juga akan disiarkan secara langsung di laman Facebook Gabungan Marhaen.

Arutchelvan berkata dalam sidang akhbar pengumuman “Himpunan Marhaen 2021”, “siri program ini merupakan saluran bagi kumpulan-kumpulan akar umbi berhimpun bersama untuk menyuarakan pandangan mereka mengenai isu-isu yang dihadapi mereka pada ketika pandemik ini. Dalam tempoh lebih setahun sejak tahun 2020, banyak komuniti akar umbi menghadapi pelbagai kesusahan. Siri forum ini bertujuan untuk mengetengahkan isu-isu ini dan menampilkan komuniti akar umbi sebagai watak utama dalam politik Malaysia. Politik Malaysia sekarang telah didominasi oleh perkauman, agama dan perebutan kuasa, sehingga kita terlupa pada rakyat sebenar yang menggerakkan negara ini dan suara mereka tidak didengari. Jadi, objektif utama program ini adalah untuk mengetengahkan suara golongan miskin dan golongan yang terpinggir kepada perhatian arus perdana masyarakat umum.”

“Kebanyakan pembaharuan yang memanfaatkan rakyat biasa, seperti Gaji Minimum dan Sistem Insurans Pekerjaan, merupakan hasil daripada perjuangan rakyat yang berterusan. Kejayaan merealisasikan tuntutan rakyat ini adalah bergantung kepada sejauh mana gerakan masyarakat akar umbi kita membawa tuntutan rakyat ke hadapan. Pada masa Parlimen negara kita nampaknya tidak mempunyai satu pihak yang menguasai majoriti yang jelas, adalah sesuai untuk rakyat marhaen memperjuangkan agenda masyarakat akar umbi. Tidak kira apa kerajaan yang akan berkuasa, inilah masanya untuk masyarakat akar umbi membangkitkan isu-isu ini,” ulas Arutchelvan.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

One thought on “Siri aktiviti ketengah suara MARHAEN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *