Pada penghujung tahun 2022 dan ambang tahun baharu 2023 ini, marilah kita imbas kembali sepintas lalu sebahagian daripada perjuangan rakyat marhaen di Malaysia dan juga aktiviti yang penting untuk Parti Sosialis Malaysia (PSM) sepanjang satu tahun yang lalu ini.

1. Pelaksanaan gaji minimum RM1,500

PSM bersama-sama dengan Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) dan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), menyerahkan satu memorandum di Pejabat Perdana Menteri pada 23 Februari 2022 dengan tuntutan kepada kerajaan supaya melaksanakan peningkatan gaji minimum ke RM1,500 tanpa sebarang kelonggaran. Kerajaan kemudiannya mengumumkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 mulai bulan Mei 2022, tetapi memberi kelonggaran kepada majikan yang mengupah kurang daripada 5 orang pekerja. Selain itu, pekerja-pekerja perkhidmatan sokongan (seperti pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan) di premis-premis kerajaan juga masih belum dibayar mengikut kadar gaji minimum RM1,500 pada penghujung tahun 2022. PSM dan JPKK menggesa pihak kerajaan untuk mengambil tindakan segera dalam memastikan pelaksanaan gaji minimum RM1,500.

2. Perjuangan petani Perak

PSM terus terlibat dalam perjuangan petani di Perak yang menghadapi ancaman pengusiran paksa. 8 orang (terdiri daripada 4 orang aktivis PSM dan 4 orang petani) ditahan polis pada 13 April 2022 semasa cuba menghalang pemaju swasta daripada menceroboh tanah kebun petani kecil di kawasan Chepor Impian tanpa sebarang perintah mahkamah. Petani-petani di kawasan Chepor Impian kemudiannya pada 7 Jun 2022 mendapat perintah mahkamah di bawah Seksyen 99 Kanun Prosedur Jenayah (mengenai prosedur jika pertikaian berhubung dengan tanah yang mungkin menyebabkan pecah keamanan) untuk kekal berada di atas tanah yang sedang diusahakan mereka. Seorang petani kecil di Kanthan ditahan polis pada 8 April 2022 kerana terlibat dalam insiden petani-petani Kanthan menghalang pencerobohan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) ke atas tanah kebun mereka pada hari itu. Pada 26 April 2022, PSM telah mendedahkan maklumat terperinci tentang isu perampasan tanah pertanian di negeri Perak yang menjejaskan punca pencarian golongan petani kecil dan mengancam jaminan makanan di negara kita.

3. Aksi selamatkan pengeluar makanan

Jaringan Pengeluar Makanan, satu inisiatif oleh PSM dan Gabungan Marhaen bersama-sama dengan kumpulan-kumpulan pengeluar makanan (petani, penternak, nelayan dan sebagainya) di pelbagai tempat, mengadakan satu aksi protes di hadapan Parlimen pada 26 Julai 2022, untuk menyuarakan keluhan para pengeluar makanan dan tuntutan mereka kepada kerajaan supaya mengambil tindakan segera dalam menyelamatkan para pengeluar makanan tempatan daripada ancaman-ancaman yang bukan sahaja menghancurkan rezeki mereka malah menjejaskan jaminan makanan bagi seluruh rakyat Malaysia.

4. Konvoi motosikal pekerja pembersihan hospital ke Putrajaya

Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS) menganjurkan satu konvoi motosikal yang menjelajah dari Bukit Mertajam ke Putrajaya pada 5-8 Februari 2022 untuk mengetengahkan masalah yang dihadapi pekerja-pekerja pembersihan hospital di bawah sistem pekerjaan kontrak tempoh terhad dan mengemukakan tuntutan untuk menghapuskan sistem kontrak, mengiktiraf pekerja pembersihan hospital sebagai barisan hadapan dalam menangani pandemik COVID-19 serta menghentikan penindasan terhadap kesatuan pekerja.

5. Kempen “Rakyat Minta Lima”

PSM mengadakan aksi serentak di 7 buah tempat pada 22 Mei 2022 untuk melancarkan Kempen Pemulihan Nasional yang bertemakan “Rakyat Minta Lima”. 5 tuntutan teras kempen ini ialah memperkasakan perlindungan sosial, Skim Jaminan Kerja, perumahan hak rakyat, tingkatkan khidmat kesihatan awam dan tangani krisis iklim segera.

6. Bantah CPTPP

PSM bersama-sama dengan organisasi-organisasi masyarakat madani seperti Gabungan Kedaulatan Negara dan Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) membantah tindakan tergesa-gesa Kerajaan Malaysia yang meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) beberapa hari sebelum pembubaran Parlimen. Memorandum juga diserahkan kepada Perdana Menteri baharu selepas PRU-15 dengan seruan kepada kerajaan untuk membatalkan ratifikasi CPTPP yang membawa kesan buruk kepada kehidupan ekonomi rakyat marhaen.

7. Protes pekerja pembersihan sekolah di Sabak Bernam yang tidak dibayar gaji

Pekerja-pekerja pembersihan sekolah di Sabak Bernam, Selangor, yang tidak dibayar gaji selama 4 bulan, telah mengadakan aksi protes di hadapan Pejabat Perdana Menteri pada 29 Mac 2022 untuk mendesak penyelesaian kepada kemelut mereka dengan serta-merta. Hasil daripada aksi protes ini, pekerja-pekerja berkenaan telah dibayar tunggakan gaji mereka 3 hari kemudian.

8. Pekerja Ladang Windsor berjuang untuk hak perumahan

PSM dan Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) membantah tindakan Malakoff Corporation Sdn Bhd yang mengusir secara paksa bekas pekerja Ladang Windsor yang terletak di Kamunting, Perak, di samping menuntut Skim Perumahan Ladang.  

9. Perjuangan bersama pemandu lori

Terdapat beberapa kemenangan kes yang melibatkan pemandu lori, antaranya keputusan Mahkamah Buruh di Pejabat Tenaga Kerja yang berpihak kepada Gopal a/l Karpa yang dibuang kerja secara tidak sah kerana meminta kenaikan gaji, dan kemenangan kes 2 orang pemandu lori terhadap pihak majikan yang enggan mengiktiraf mereka sebagai pekerjanya di peringkat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur serta Mahkamah Rayuan. Gabungan Pemandu Lori di bawah Gabungan Marhaen memainkan peranan penting dalam menyelaraskan perjuangan pemandu lori.

10. Protes serentak selamatkan rumah warga B40 daripada dilelong bank

Aktivis-aktivis PSM mengadakan aksi protes serentak di hadapan pejabat Bank CIMB di Ipoh, Kuala Lumpur, Seremban, George Town dan Johor Bahru, pada 31 Mac 2022, untuk membantah tindakan zalim pihak bank yang melelongkan rumah seorang warga B40 secara tidak sah. Hasil daripada aksi protes ini, masalah yang dihadapi oleh ibu tunggal B40 tersebut telah berjaya diselesaikan.

11. Hari Pekerja 2022 – “Jamin Perlindungan Sosial Pekerja”

Jawatankuasa Mei Satu menganjurkan aksi perhimpunan Hari Pekerja di Kuala Lumpur pada 23 April 2022 dengan tema “Jamin Perlindungan Sosial Pekerja”. PSM kemudiannya mengadakan aksi serentak di beberapa tempat pada 1 Mei 2022 untuk mengemukakan saranan kepada kerajaan supaya memberi keutamaan kepada perlindungan sosial bagi golongan pekerja.

12. Hari Habitat Sedunia 2022 – Selesaikan masalah perumahan rakyat segera

PSM mengadakan aksi protes serentak di Ipoh dan Shah Alam pada 3 Oktober 2022 bersempana Hari Habitat Sedunia untuk membawa tuntutan-tuntutan kepada Kerajaan Negeri Perak dan Selangor supaya masalah perumahan rakyat yang sudah lama tertangguh dapat diselesaikan segera.

13. PSM dalam PRN Johor

PSM meletakkan Arangkannal Rajoo @ Ara sebagai calon untuk bertanding di kawasan DUN Kota Iskandar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan pada 12 Mac 2022. Calon PSM di Kota Iskandar memperoleh 997 undi, bersamaan 1.76% daripada jumlah undi di kawasan tersebut.

14. PSM dalam PRU-15

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang diadakan pada 19 November 2022, PSM bertanding untuk kerusi Parlimen Rembau dengan S. Tinagaran @ Cikgu Tina sebagai calon, dan kerusi N48 Ayer Kuning di Perak dengan Bawani KS sebagai calon. Cikgu Tina hanya memperoleh 779 undi (0.71%) di kawasan Parlimen Rembau, sementara Bawani berjaya meraih 586 undi (2.50%) di kawasan DUN Ayer Kuning. Keputusan ini memang dijangkakan memandangkan suasana pilihan raya yang didominasi oleh persaingan sengit antara tiga gabungan parti politik utama.

15. Kongres Nasional PSM ke-24

PSM mengadakan Kongres Nasional yang ke-24 pada 15-17 Julai 2022 di Klang, Selangor. 11 daripada 16 orang dalam Jawatankuasa Pusat PSM yang dipilih oleh delegasi-delegasi Kongres Nasional PSM yang ke-24 ini ialah wanita, bersamaan dengan 68.75%. Ini menjadikan PSM parti politik yang pertama dan satu-satunya parti politik di Malaysia yang barisan kepimpinan tertingginya terdiri daripada majoriti 2/3 golongan wanita. Kongres PSM telah membahaskan dan meluluskan pelbagai usul dengan tekad untuk terus membina kuasa rakyat dari bawah demi memperjuangkan keadilan sosial, kesejahteraan bersama dan perubahan yang progresif di bumi Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *