KLANG, SELANGOR: Ahli-ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang menghadiri Kongres Nasional PSM yang ke-24 telah pulang dengan semangat dan keazaman baharu untuk terus berusaha membina kuasa rakyat dari bawah demi memperjuangkan keadilan sosial, kesejahteraan bersama dan perubahan yang progresif di bumi Malaysia.

A. Sivarajan, Setiausaha Agung PSM yang dipilih untuk penggal keempatnya dalam pemilihan parti semasa Kongres tahun ini, berkata dalam Majlis Penutup Kongres, “Kongres PSM ini sangat pelik. Apabila parti-parti politik lain sedang sibuk dan ghairah berbincang tentang pilihan raya dalam kongres mereka, kita dalam PSM ini pula lebih berminat berbincang tentang isu rakyat dan bagaimana memperkasakan rakyat dalam memperjuangkan hak rakyat.”

Kongres Nasional PSM yang ke-24 telah diadakan pada 15-17 Julai 2022 di Klang, Selangor, dengan kehadiran lebih 150 orang delegasi dan pemerhati dari seluruh negara. Ini merupakan kali pertama PSM mengadakan Kongres Nasional secara bersemuka selepas terpaksa mengadakan aktiviti ini secara atas talian selama dua tahun berturut-turut kerana pandemik COVID-19.

Perasmian Kongres Nasional PSM tahun ini dimeriahkan dengan kehadiran tetamu yang terdiri daripada wakil-wakil pelbagai pertubuhan masyarakat madani dan parti politik. Turut hadir bersolidariti semasa Majlis Perasmian Kongres Nasional PSM ialah Florentino Batista González selaku Duta Besar Kuba ke Malaysia.

Kongres Nasional PSM tahun ini turut menerima mesej solidariti daripada organisasi-organisasi di peringkat antarabangsa, termasuk Socialist Alliance dari Australia, Parti Sosialis dari Belanda, Party of the Laboring Masses (PLM) dari Filipina, Parti Komunis India (Marxis-Leninis) Pembebasan, Konfederasi Pergerakan Rakyat Indonesia (KPRI), Partai Rakyat Pekerja (PRP) dari Indonesia, Potere al Popolo! dari Itali, Socialist Popular Alliance Party dari Mesir, Parti Komunis Nepal (Sosialis Bersatu), Nouveau Parti anticapitaliste (NPA) dari Perancis, Parti Kiri dari Sweden, Socialist Workers Thailand (SWT), Kesatuan Belia Komunis Ho Chi Minh dari Vietnam, Die Linke dari Jerman, Parti Kiri Eropah, dan Progressive International.

Paweł Wargan, Koordinator untuk Sekretariat Progressive International berkata dalam mesej solidaritinya, “Kerja-kerja PSM yang berprinsip itu adalah begitu penting. Komitmen anda dalam membina sebuah parti untuk massa – yang melawan serangan daripada neoliberalisme dan imperialisme – memberi harapan bukan sahaja kepada rakyat pekerja Malaysia. Ia memberi harapan kepada golongan yang tertindas di seluruh dunia. Setiap kemenangan nasional dalam melawan susuhan dunia imperialis dan kapitalis menandakan kekalahan untuk kapasiti modal antarabangsa dalam mengekstrak, mengeksploitasi dan memiskinkan rakyat. Setiap kemenangan untuk golongan sosialis membuka jalan kemajuan bagi seluruh umat manusia.”

S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional yang dipilih untuk penggal yang keduanya dalam Kongres ini, berkata, “Matlamat PSM ialah membina kuasa rakyat dari bawah, bukannya dari Hotel Sheraton atau apa-apa tempat di atas. Kuasa rakyat itu haruslah wujud dari bawah, bukan dari atas.”

PSM memikul tanggungjawab sejarah yang besar dan banyak kerja harus dilakukan

Dr. Jeyakumar berkata semasa menyampaikan ucapan dasarnya bahawa PSM bercita-cita untuk menghantar 10 hingga 20 orang wakil rakyat yang mampu membawa idea-idea progresif ke dalam Parlimen, dan ini merupakan cabaran dan ujian besar kepada PSM dalam tempoh masa satu dekad akan datang ini. “PSM dan kawan-kawan yang progresif mempunyai satu tanggungjawab yang bersejarah. Kitalah pewaris kepada perjuangan kiri di tanah air kita. Kita harus memastikan kita meneruskan perjuangan ini,” tegas kata Dr. Jeyakumar.

Seperti biasa, peserta-peserta Kongres Nasional PSM telah mendengar dan membincangkan laporan-laporan yang dibentangkan oleh Setiausaha Agung, Bendahari dan penyelaras-penyelaras biro dalam Jawatankuasa Pusat. Pelbagai kritikan dan cadangan yang bernas telah dikemukakan untuk menambahbaikkan dan memajukan gerak kerja parti.

Sivarajan selaku Setiausaha Agung PSM, telah melaporkan pelbagai usaha dan pencapaian penting untuk PSM dalam tempoh beberapa bulan yang lalu, termasuk pelancaran Kempen Pemulihan Nasional yang bertemakan “Rakyat Minta Lima”, kejayaan dalam menggesa peningkatan gaji minimum kepada RM1,500 sebulan, penganjuran persidangan antarabangsa Sosialisme 2021, penyertaan dalam Pilihan Raya Negeri Johor dengan bertanding di kawasan DUN Kota Iskandar, sokongan kepada kempen kesatuan pekerja pembersihan hospital yang bermotosikal dari Bukit Mertajam ke Putrajaya untuk bertemu dengan Menteri Kesihatan, kejayaan perjuangan pekerja pembersihan sekolah di Sabak Bernam yang menuntut tunggakan gaji 4 bulan, protes serentak membantah tindakan zalim oleh bank yang melelongkan rumah warga miskin, penyerahan memorandum yang mengemukakan cadangan untuk menangani krisis makanan, perjuangan petani kecil di beberapa kawasan di negeri Perak yang sedang menghadapi ancaman pengusiran paksa, dan banyak lagi. Sivarajan menyeru pada semua ahli PSM supaya sentiasa turun padang dalam usaha perjuangan rakyat, mendekati dan memahami suara hati rakyat biasa di samping menyelesaikan masalah rakyat dengan pendekatan yang akan memperkasakan rakyat melalui perjuangan kelas.

Soh Sook Hwa, Bendahari Nasional PSM, berkata semasa membentangkan laporannya, “Rakyat mungkin sudah bosan dengan susuk tubuh politik lama, tetapi untuk menyambut PSM sebagai pilihan mereka, ia memerlukan perubahan pemikiran yang total dan kesedaran yang sangat tinggi. Perubahan ini tidak akan jatuh dari langit, tetapi bergantung kepada keberkesanan kita dalam membina kesedaran dan perjuangan.” Oleh itu, Soh Sook Hwa turut menyeru pada semua ahli PSM untuk memainkan peranan dalam mengatur perjuangan rakyat marhaen dan merealisasikan perubahan yang tulen.

Terdapat dua sesi pembentangan kertas dalam Kongres Nasional PSM tahun ini. Sesi pembentangan kertas yang pertama adalah mengenai krisis makanan dunia dan inflasi, dengan ahli-ahli panel yang terdiri daripada Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Nasional PSM merangkap Ketua Biro Kajian Dasar PSM dan Fitri Amir daripada Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM). Sesi pembentangan kertas yang kedua pula adalah mengenai persoalan bagaimana menjadikan PSM sebagai kuasa pembangkang yang terkuat di Malaysia dalam tempoh 10 tahun yang akan datang, dengan ahli panel yang terdiri daripada Arveent Kathirtchelvan (Ketua Pemuda Sosialis PSM), Bawani KS (Timbalan Setiausaha Agung PSM) dan Choo Chon Kai (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM). Pelbagai cadangan yang bernas telah dikemukakan dalam bengkel perbincangan selepas sesi pembentangan kertas yang kedua, mengenai cara-cara untuk memantapkan organisasi dan gerak kerja PSM.

Lebih 2/3 kepimpinan pusat PSM yang dipilih ialah wanita

Pemilihan parti juga dijalankan semasa Kongres Nasional PSM yang ke-24 ini. Semua jawatan, dari Pengerusi Nasional hingga ke Ahli Jawatankuasa Pusat biasa dan Jawatankuasa Tatatertib, telah menyaksikan pertandingan yang sengit. Dr. Jeyakumar Devaraj dan S. Arutchelvan, masing-masing berjaya menyambung jawatan mereka sebagai Pengerusi Nasional dan Timbalan Pengerusi Nasional untuk penggal yang kedua mereka. A. Sivarajan dan Soh Sook Hwa pula, masing-masing berjaya meneruskan jawatan mereka sebagai Setiausaha Agung dan Bendahari Nasional untuk penggal yang keempat mereka. Bawani KS dan Madhavi Madhu, masing-masing berjaya mempertahankan jawatan mereka sebagai Timbalan Setiausaha Agung dan Timbalan Bendahari Nasional. 10 orang lain yang dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat ialah Sivaranjani Manickam, Chong Yee Shan, Kohila Yanasekaran, Karthiges Rajamanickam, Cheong Huei Ting, Letchimi Devi, Parames Elumalai, Rani Rasiah, Choo Chon Kai dan Nalini Elumalai.

11 daripada 16 orang dalam Jawatankuasa Pusat PSM yang dipilih oleh delegasi-delegasi Kongres Nasional PSM yang ke-24 ini ialah wanita, bersamaan dengan 68.75%. Ini menjadikan PSM parti politik yang pertama dan satu-satunya parti politik di Malaysia yang barisan kepimpinan tertingginya terdiri daripada majoriti 2/3 golongan wanita.

Peserta-peserta Kongres Nasional PSM juga membahaskan usul-usul dan resolusi-resolusi yang dibawa oleh cawangan-cawangan PSM. Antara usul yang diluluskan ialah PSM akan memperkenalkan “keahlian seumur hidup” dengan yuran keahlian RM500 sekali bayar sebagai usaha untuk menjana dana pada satu tahun akan datang.

Terus perjuangkan isu-isu rakyat

Resolusi yang diluluskan dalam Kongres Nasional PSM yang ke-24 merangkumi 18 perkara, termasuk kawal harga barangan asas, pastikan gaji minimum RM1,500 sebulan benar-benar dilaksanakan untuk semua pekerja, hapuskan sistem kontrak, laksanakan skim pencen sejagat, isytihar Darurat Iklim dan sebagainya.

Semasa memberi ucapan dalam Majlis Penutup, Dr. Jeyakumar menyeru kepada semua orang untuk memberi sokongan kepada perjuangan pengeluar makanan (termasuk petani, pesawah, penternak dan nelayan) yang sedang bermobilisasi untuk mendesak kerajaan supaya menghentikan segala pengusiran paksa terhadap mereka demi melindungi mata pencarian mereka dan jaminan makanan kepada semua rakyat Malaysia.

Dengan lagu Internasionale dan lagu-lagu perjuangan serta slogan-slogan “Hidup Rakyat!” yang berkumandang di dewan di mana Kongres Nasional PSM ke-24 ini berlangsung, ahli-ahli PSM membawa balik semangat tinggi untuk terus membangunkan gerakan perjuangan rakyat marhaen di tanah air demi membawa pembebasan dan perubahan yang progresif kepada masyarakat kita.

3 thoughts on “PSM bertekad terus bina kuasa rakyat dari bawah (Catatan ringkas Kongres Nasional PSM ke-24)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *