oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Perkara 9.1(1) dalam Bab Pelaburan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) menyatakan bahawa:

“Setiap Pihak harus memberikan pelabur-pelabur satu lagi Pihak lain layanan yang tidak kurang baik berbanding yang diberikannya, dalam keadaan yang sama, kepada pelabur-pelaburnya sendiri berkenaan dengan penubuhan, pemerolehan, pengembangan, pengurusan, operasi dan penjualan pelaburan di dalam wilayahnya.”

Ini dikenali sebagai “Layanan Nasional” (National Treatment). Jika Malaysia gagal melayan syarikat asing sama seperti melayan syarikat negara kita, maka syarikat asing itu boleh mengheret negara kita ke dalam satu tribunal antarabangsa di bawah peruntukan “Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara” (ISDS) yang terdapat dalam CPTPP, dan menuntut pampasan yang berjumlah besar. Lebih-lebih lagi, bukan hanya syarikat asing yang sudah benar-benar melabur di Malaysia yang mempunyai hak untuk menuntut “Layanan Nasional” ini. CPTPP merangkumkan mana-mana syarikat atau orang daripada mana-mana negara CPTPP yang berhasrat untuk melabur di Malaysia dalam takrifannya mengenai “pelabur”. (Perkara 9.1: Takrifan, Bab Pelaburan, CPTPP)

Sememangnya, terdapat peruntukan keselamatan dalam CPTPP yang membenarkan negara-negara yang menyertainya (“Pihak” dalam Bahasa CPTPP) untuk menyenaraikan sektor-sektor di mana peruntukan CPTPP yang tertentu tidak terpakai. Ini dikenali sebagai “Langkah-langkah Tidak Mematuhi” dan disenaraikan oleh negara yang menyertainya dalam Lampiran I dan II dokumen CPTPP. Lampiran I untuk Malaysia adalah sepanjang 31 muka surat dan Lampiran II adalah sepanjang 18 muka surat, ia mengecualikan beberapa sektor daripada peruntukan tertentu dalam CPTPP. Misalnya, dalam muka surat 3 Lampiran I untuk Malaysia menyatakan bahawa “pegangan saham asing adalah dihadkan kepada 49% daripada pelaburan dalam pembuatan dan pemasangan kenderaan bermotor. Bagaimanapun, tiada sekatan pegangan saham asing dikenakan ke atas kategori-kategori berikut –

  • a. Kenderaan penumpang mewah dengan kapasiti enjin melebihi 1800cc dan harga atas jalan tidak kurang daripada RM150,000;
  • b. Trak pikap dan kenderaan komersial;
  • c. Kenderaan elektrik atau hibrid;
  • d. Motosikal dengan kapasiti enjin melebihi 200cc.”

Dalam nada yang sama, perunding Malaysia telah menyatakan dalam muka surat 5 Lampiran II bahawa berkenaan dengan peruntukan CPTPP mengenai “Layanan Nasional”, “Keperluan Prestasi” dan “Akses Pasaran”, Malaysia mengekalkan hak untuk “mengguna pakai dan mengekalkan sebarang langkah yang memberi bantuan kepada Bumiputera untuk tujuan menyokong penyertaan Bumiputera dalam pasaran Malaysia dengan pengwujudan lessen atau permit baharu atau tambahan kepada Bumiputera yang layak untuk menerima bantuan sedemikian, dengan syarat bahawa langkah-langkah tersebut tidak akan menjejaskan hak pemegang lessen dan permit yang sedia ada atau pemohon masa depan untuk hak dan permit dalam sektor-sektor di mana penyertaan asing dibenarkan.”

Terdapat 47 peruntukan tidak mematuhi yang khusus didaftarkan dalam kedua-dua lampiran ini untuk Malaysia, dan para pembaca yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut boleh pergi ke laman web Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan membacanya di pautan teks CPTPP.

Namun, adalah penting untuk mengambil perhatian bahawa senarai dalam kedua-dua Lampiran ini ialah senarai “negatif”. Dalam erti kata lain, semua sektor yang tidak dimasukkan secara khususnya dalam Lampiran ini harus mematuhi semua syarat CPTPP. Misalnya, pembelian borong dan pengedaran sayur-sayuran segar tidak dinyatakan secara khusus dalam mana-mana satu daripada dua Lampiran ini. Bagaimanapun, Bahagian 21 dalam Lampiran I yang berkaitan dengan perkhidmatan pengedaran, membenarkan pelabur dari mana-mana negara CPTPP untuk mendaftarkan sebuah syarikat di Malaysia dan memasuki pasaran borong untuk sayur-sayuran segar selagi pelabur tersebut:

  • Mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
  • Melantik beberapa orang Pengarah Bumiputera, dan
  • Mengupah beberapa orang warga Malaysia di peringkat pengurusan. (ANNEX I – MALAYSIA – 21: Non-Conforming Measures for Distributive Trade)

Pada masa ini terdapat banyak pemborong dalam sektor ini. Persaingan antara mereka mengekalkan harga jualan sayur-sayuran segar daripada kebun-kebun pada tahap yang munasabah. Ini kerana jika mana-mana pemborong menawarkan harga yang terlalu rendah, para petani mempunyai pilihan untuk mencari satu lagi pemborong. Ini ialah satu contoh yang berfungsi bagaimana mekanisme pasaran bebas adalah “adil” untuk semua pihak – pengeluar, pengedar dan pengguna. Dan ia berfungsi kerana tiada pemain yang menikmati kedudukan monopoli.

Akan tetapi, sebuah syarikat asing dengan modal yang besar boleh cuba mengembangkan perniagaannya dengan membeli daripada petani-petani pada harga yang sedikit lebih tinggi berbanding pemborong tempatan dan menjual pada harga yang lebih rendah di pasar basah dan pasar raya. Dengan cara ini, syarikat asing itu boleh memperoleh sebahagian besar daripada pasaran dalam tempoh beberapa tahun, dalam proses menyingkir keluar banyak pemborong tempatan.

Apabila syarikat asing itu mencapai kedudukan yang dominan dalam pasaran sayur-sayuran segar, ia akan dapat merendahkan harga yang ditawarkannya kepada petani-petani sementara meningkatkan harga sayur-sayuran yang ditawarkannya kepada pasar raya dan pasar basah. Dengan dengan itu harga sayur-sayuran untuk pengguna – rakyat Malaysia – akan melambung naik.

Perkara yang disebut di atas ini bukannya satu senario yang direka-reka. Kita boleh melihat ia berlaku dalam situasi syarikat Grab dengan pemandu-pemandu teksi di negara kita. Grab sekarang ini sedang mengetatkan terma-termanya untuk pemandu-pemandu Grab sementara meningkatkan kadar tambang ke atas pengguna-pengguna. Ini ialah modus operandi untuk banyak syarikat korporat besar. Mereka sedar bahawa “kuasa pasaran” yang datang daripada pembentukan oligopoli pemain-pemain besar membolehkan mereka untuk mengambil surplus daripada pemain-pemain lain yang lebih kecil dalam rantaian untuk mengeluarkan dan mengedarkan produk atau perkhidmatan tertentu itu. Oleh itu, mereka bersedia untuk meningkatkan modal dengan murah hati dalam kedua-dua pembelian dan penjualan mereka untuk komoditi tersebut, dan mengalami kerugian untuk tempoh yang diperlukan untuk menyingkirkan pemain-pemain yang sedia ada dalam sektor itu. Mereka kemudiannya akan memanfaatkan kuasa pasaran mereka untuk mengaut keuntungan besar.

Terdapat beberapa lagi sektor yang boleh terjejas dengan cara yang sama. Peruntukan untuk perkhidmatan kesetiausahaan bagi syarikat-syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia tidak disenaraikan dalam sama ada Lampiran I atau II. Begitu juga dengan perkhidmatan perakaunan bagi beberapa ratus ribu syarikat yang diperbadankan di Malaysia. Selagi pelabur asing itu mematuhi Lampiran I – 21 yang disebut di atas, pelabur asing itu boleh melabur dalam perkhidmatan kesetiausahaan dan perakaunan. Berkenaan dengan jualan runcit produk-produk farmaseutikal, selain peruntukan dalam Lampiran I – 21, pelabur asing itu juga harus mematuhi Lampiran I – 14 yang menyatakan bahawa ahli farmasi asing tidak boleh menyediakan, mengedar atau menjual produk-produk farmaseutikal di Malaysia. Namun, kedua-dua peruntukan Tidak Mematuhi ini tidak menghalang pelabur asing daripada menubuhkan rangkaian farmasi yang mengupah ahli farmasi berdaftar tempatan untuk membekalkan ubat-ubatan pada harga diskaun demi menguasai bahagian pasaran seperti yang dinyatakan di atas. Secara yang serupa, nampaknya pelabur dari sebuah negara CPTPP yang lain boleh menubuhkan rangkaian klinik pengamal am jika ia mematuhi Lampiran I – 21, dan mengupah doktor yang berdaftar tempatan. Yang disebutkan di atas ini bukannya senarai yang lengkap. Mana-mana sektor di mana pusing ganti jualannya adalah cukup besar boleh dijadikan sasaran untuk syarikat asing yang bersifat pemangsa. Sebuah syarikat multi-nasional dengan ibu pejabatnya di Amerika Syarikat (AS) boleh memasuki pasaran Malaysia dengan memetik peruntukan “Layanan Nasional” dengan menggunakan anak syarikatnya di Australia, Singapura atau mana-mana negara CPTPP yang lain.

Masalah wujudnya rangkaian besar milik asing yang membangunkan kedudukan oligopoli dalam sistem pengedaran barangan dan perkhidmatan kita tidak terhad kepada kepastian bahawa harga barangan dan perkhidmatan itu akan meningkat apabila syarikat asing memperkukuhkan penguasaannya ke atas pasaran. Kita juga harus mengambil kira impak penglibatan pelabur asing ke atas permintaan agregat Malaysia. Penyingkiran puluhan pemborong sayur-sayuran tempatan oleh satu atau dua pemborong asing yang besar akan mengakibatkan pengaliran keuntungan daalam sektor tersebut ke Kuala Lumpur, Singapura dan malah lebih jauh lagi. Permintaan pasaran agregat di Daerah Kinta di Perak akan merosot kerana pemborong tempatan yang hidup dan berbelanja di Daerah Kinta telah digantikan oleh syarikat asing yang membawa pulang keuntungan mereka. Kita harus memberi perhatian kepada Perkara 9.9 perjanjian CPTPP yang menyatakan bahawa “setiap pihak harus membenarkan semua pemindahan yang berkaitan dengan pelaburan yang dilindungi dibuat secara bebas tanpa sebarang penangguhan ke dalam dan keluar daripada wilayahnya. Pemindahan tersebut termasuk keuntungan, dividen, faerah, perolehan modal, bayaran royalty, yuran pengurusan dan yuran lain”.

Pelabur asing bukannya berada di sini untuk membangunkan ekonomi Malaysia atau menyediakan pekerjaan kepada warga Malaysia. Jika dia melihat peluang untuk memperoleh pulangan yang lebih tinggi di negara lain dengan melaburkan keuntungannya daripada operasinya di Malaysia, dia tidak akan teragak-agak. Secara perbandingan, pemilik kecil yang sekarang ini sedang mengisi sektor pemborongan dan peruncitan adalah jauh lebih berkemungkinan membelanja dan/atau melabur dalam pasaran Malaysia, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan untuk warga Malaysia.

Saya tertanya-tanya sama ada PricewaterhouseCoopers (PwC) yang ditugaskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menjalankan Analisis Kos-Faedah CPTPP itu mengambil kira kemungkinan ini (di mana syarikat asing membangunkan kedudukan oligopoli dalam beberapa sektor dan membawa pulang keuntungan mereka) apabila mereka menyimpulkan bahawa KDNK Malaysia akan meningkat pada kadar yang lebih cepat sekiranya Malaysia meratifikasi perjanjian CPTPP. Ataupun adakah mereka memfokus terutamanya pada jangkaan peningkatan dalam eksport berikutan penurunan tarif yang kecil di negara-negara CPTPP? (Kecil kerana Malaysia sudah mempunyai perjanjian perdagangan bebas FTA dengan 7 daripada 10 buah negara anggota CPTPP yang lain, dan peraturan WTO sudah menurunkan tarif di Kanada, Mexico dan Peru – 3 buah negara anggota CPTPP yang negara kita belum lagi mempunyai FTA). Saya amat meragui bahawa PwC cuba mengira sejauh mana KDNK akan terjejas teruk oleh pengaliran keluar dana daripada pasaran domestik akibat tindakan syarikat asing mengambil alih perkhidmatan yang sekarang ini dibekalkan hampir semuanya oleh syarikat tempatan.

Syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia, khususnya mereka yang berada dalam sektor ekonomi pemborongan dan peruncitan, harus menyedari tentang bahaya yang ditunjukkan dalam rencana ini. Ya, perjanjian CPTPP mengandungi 30 bab dan 2000 muka surat dengan pengecualian dan pernyataan kelayakan tersebar di beberapa Lampiran, Ia bukannya satu dokumen yang mudah untuk dihadam. Namun, adalah penting untuk PKS mendapatkan beberapa orang ahli ekonomi yang kompeten untuk meneliti dokumen CPTPP kerana nampaknya dalam tempoh 10 hingga 15 tahun, puluhan ribu PKS akan disingkir keluar daripada pasaran oleh syarikat asing yang bersifat pemangsa.

Gabungan Kedaulatan Negara (GKN), sebuah gabungan yang terdiri daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan lain, telah meminta pada Kerajaan Malaysia untuk menarik diri segera daripada CPTPP supaya analisis ekonomi mendalam yang sesuai dapat dijalankan terhadap semua isu yang belum selesai termasuk yang diketengahkan dalam rencana ini. Perkara 4 dalam Mukadimah perjanjian CPTPP menyatakan bahawa notis bertulis 6 bulan harus diberikan oleh mana-mana negara yang hendak menarik diri keluar daripada CPTPP. Tiada penalti dinyatakan dalam dokumen CPTPP untuk penarikan diri, tetapi mana-mana negara yang menarik diri menghadapi risiko diheret ke Tribunal Antarabangsa di bawah peruntukan ISDS oleh syarikat asing yang telah melabur di dalam negara itu selepas tarikh ratifikasi. Syarikat itu boleh mendakwa bahawa ia telah “dirampas” kerana kehilangan faedah yang terkandung dalam perjanjian CPTPP. Dan syarikat itu mempunyai peluang untuk memperolehi pampasan dalam jumlah besar. Oleh kerana ini, Malaysia “terkunci” kepada CPTPP oleh ketakutan bahawa mungkin terdapat banyak saman undang-undang yang mahal jika kita membiarkan terlalu banyak masa berlalu sebelum kita menarik diri.

GKN telah menyerahkan satu memorandum kepada Perdana Menteri ke-10 pada hari kedua beliau memegang jawatan, menggesanya supaya mengambil tindakan segera untuk mengelakkan daripada terperangkap dalam satu perjanjian ekonomi yang tidak dinilai secara betul atau dibahaskan dalam Parlimen dan oleh masyarakat sivil. Kami berharap bahawa dengan perlantikan Kabinet sudah selesai, Kerajaan akan menjadikan usaha mengehadkan kerosakan yang disebabkan oleh ratifikasi CPTPP yang pramatang sebagai salah satu keutamaannya.

=========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM). Beliau merupakan mantan Ahli Parlimen Kawasan Sungai Siput.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *