KUALA LUMPUR – 26 APRIL 2022: “Kenapa Kerajaan Negeri Perak begitu murah hati pada pemaju swasta tetapi berlaku zalim terhadap petani kecil?” Ini ialah persoalan yang dibangkitkan oleh Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM), dalam sidang akhbar khas yang diadakan pada hari ini untuk mendedahkan maklumat terperinci tentang isu perampasan tanah pertanian di negeri Perak yang menjejaskan punca pencarian golongan petani kecil dan mengancam jaminan makanan di negara kita.

Dr. Jeyakumar Devaraj (kanan) membongkarkan fakta-fakta di sebalik masalah pengusiran paksa yang dihadapi oleh petani-petani kecil di Perak.

Menurut Dr. Jeyakumar, PSM sedang membantu petani-petani kecil di 11 buah kawasan pertanian yang berlainan di Perak yang menghadapi ancaman pengusiran paksa pada masa kini. Kawasan-kawasan ini termasuk Kanthan, Chemor, Chepor Impian, Chepor Sentosa, Pusing, Kuala Kampar, Mambang Diawan, Sungai Bali dan dua tempat di Tanah Hitam.

Banyak antara kawasan pertanian ini telah diterokai oleh petani-petani kecil sejak zaman Perang Dunia II. Petani-petani kecil ini pada asalnya membina rumah mereka di atas tanah kebun mereka, tetapi dipaksa untuk dipindahkan ke dalam Kampung Baru pada tahun 1950-an semasa Darurat yang dibawa oleh pihak penjajah British. Namun begitu, mereka dibenarkan untuk bekerja di kebun mereka pada waktu siang semasa Darurat.

“Sesiapa yang mengatakan petani kecil ini sebagai penceroboh adalah tidak betul dari segi fakta sejarah!”

Pada tahun 1974, Allaryaham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada masa itu, telah melancarkan Rancangan Buku Hijau dengan tujuan utamanya untuk menambahkan hasil makanan melalui aktiviti pertanian. Allaryaham Tun Abdul Razak telah menggalakkan rakyat Malaysia untuk menamam sayur-sayuran. Perkara yang lebih dipentingkan dalam Rancangan Buku Hijau ialah penggunaan tanah untuk pertanian, bukannya hak milik atas tanah. Jadi, kerajaan pada masa itu menggalakkan rakyat untuk mengusahakan aktiviti pertanian di atas mana-mana tanah terbiar walaupun tidak mempunyai hak milik tanah, selagi mereka dapat mengeluarkan makanan. Jentera kerajaan, termasuk Pejabat Tanah, telah diarahkan untuk membantu dan menggalakkan para petani untuk bercucuk tanam di atas tanah kosong. “Oleh itu, tuduhan bahawa petani-petani yang tidak mempunyai hak milik tanah ini sebagai penceroboh tanah adalah mengarut. Kerajaan sendiri yang menggalakkan orang ramai untuk menggunakan tanah kosong bagi tujuan pertanian,” ulas Dr. Jeyakumar. “Sesiapa yang mengatakan petani kecil ini sebagai penceroboh adalah tidak betul dari segi fakta sejarah!”

Petani tempatan pernah mohon tanah tapi hak milik tanah diberikan kepada syarikat pemaju dari luar

Dalam kes petani di kawasan belakang bandar Chemor, pada tahun 1980-an, Pejabat Daerah dan Tanah Kinta pernah menawarkan pajakan lot tanah untuk projek persayuran, dan ramai petani di situ yang berminat telah mengemukakan permohonan untuk tanah pertanian, tetapi malangnya projek tersebut tidak dilaksanakan. Sebaliknya, petani-petani yang bercucuk tanam di kawasan tersebut menerima surat peguam yang mewakili syarikat Kinding Maju Sdn Bhd pada bulan Mac 2022 untuk mengosongkan tanah yang diusahakan mereka.

Dalam kes di Sungai Bali, petani-petani di situ pernah beberapa kali memohon Lesen Tumpangan Sementara (TOL) daripada Pejabat Tanah pada tahun 1980-an dan 1990-an, tetapi tidak diberi kelulusan. Sebaliknya, tanah tersebut diberi hak milik oleh kerajaan kepada sebuah syarikat pemaju dari Kuala Lumpur. Syarikat pemaju itu telah mengheret petani-petani ke mahkamah dengan memfailkan permohonan di bawah Aturan 89 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 untuk mengosongkan tanah, tetapi tindakan tersebut telah digagalkan oleh peguam yang mewakili para petani. Sekarang ini, pihak syarikat pemaju telah memfailkan writ saman dan kes sedang berjalan di mahkamah.

Daripada bukti yang dikemukakan dalam sidang akhbar hari ini, adalah jelas bahawa tohmahan bahawa petani-petani kecil ini mahu menggunakan tanah secara percuma dan tidak mahu membayar sewa tanah adalah tidak benar sekali. Petani-petani kecil ini sejak awal lagi memang bersedia untuk membayar sewa tanah kepada kerajaan, tetapi dalam banyak kes, pihak Pejabat Tanah tidak mahu meluluskan permohonan mereka, sebaliknya memberikan hak milik tanah kepada pihak yang tidak pernah mengusahakan tanah berkenaan.

Kerajaan sendiri mungkiri janji

Dalam kes petani di kawasan Kanthan, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) telah diberi hak milik untuk sebuah kawasan seluas 3,350 ekar di situ. Pada awalnya, PKNP menawarkan pajakan tanah bertempoh 30 tahun kepada 132 orang di situ, di mana hampir semua petani di situ berminat untuk menerima tawaran tersebut, malah telah menandatangani dokumen persetujuan. Namun, PNKP tidak meneruskan dengan cadangan tersebut. Oleh sebab PKNP melambat-lambatkan proses menunaikan tawarannya, 14 orang petani Kanthan telah mengambil tindakan mahkamah untuk mendesak PKNP supaya memberikan pajakan tanah seperti yang dijanjikannya. Di peringkat Mahkamah Tinggi, satu penghakiman persetujuan bersama dicapai dengan petani-petani di situ dibenarkan untuk meneruskan aktiviti pertanian mereka di atas tanah tersebut, dan tanah gantian harus diberikan sekiranya mengkehendaki mereka untuk berpindah keluar.

Kemudiannya pada bulan Mei 2021, PKNP dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) menawarkan sebahagian daripada petani di kawasan Kanthan (41 orang petani) tanah gantian baharu dengan lot berkeluasan 2 ekar untuk setiap orang petani, dan menyuruh mereka untuk mengosongkan tanah asal mereka. Selepas melawat kawasan baharu yang ditawarkan itu, petani-petani mendapati bahawa tanah gantian itu berada di kawasan berbukit dan tidak mempunyai sumber air yang mencukupi, maka tidak sesuai untuk penanaman sayur. Selain itu, terdapat kolam-kolam ikan kepunyaan penduduk kampung di situ di bawah bukit itu, maka menimbulkan risiko ikan di situ boleh diracuni baja dan racun perosak yang digunakan oleh petani-petani jika mereka bercucuk tanam di situ. Oleh itu, petani-petani memberi maklum balas melalui surat kepada PKNP untuk meminta penjelasan dan perbincangan lanjut tentang isu-isu yang dibangkitkan mereka. Namun, PKNP tidak memberi sebarang jawapan ataupun memanggil mereka untuk perbincangan, sebaliknya terus menghantar surat peguam yang mengugut untuk mengusir mereka pada bulan Disember 2021.

“Ini menunjukkan sikap PKNP yang begitu angkuh,” kata Dr. Jeyakumar. “PKNP ini seolah-olah menganggap dirinya sebagai bos, dan enggan berbincang dengan petani-petani, malah hendak mengusir petani keluar secara paksaan.”

Petani diusir secara berulangan: TOL diberi tapi ditarik balik kemudian

Dalam kes petani di salah satu kawasan Tanah Hitam, 14 orang petani yang menggunakan tanah bersebelahan dengan Kampung Baru Tanah Hitam untuk bercucuk tanam, dikehendaki untuk mengosongkan tanah mereka pada tahun 2001 kerana tanah yang diusahakan mereka itu telah diberikan hak milik kepada seorang pemaju swasta. Petani-petani ini merayu kepada Menteri Besar Perak pada masa itu, Tajol Rosli, dan beliau telah meluluskan TOL bagi tanah seluas 1 ekar setiap orang di kawasan bukit yang bersebelahan dengan tempat asal mereka. Oleh sebab kawasan baharu yang diluluskan itu tidak sesuai untuk penanaman sayur, maka petani-petani telah bertukar kepada penanaman kelapa sawit, dan mereka membayar TOL setiap tahun. Namun begitu, selepas beberapa tahun, Pejabat Daerah dan Tanah tidak mahu menerima bayaran TOL daripada petani-petani ini lagi. Selepas itu, tanah yang diusahakan petani itu diberikan hak miliknya kepada sebuah syarikat pemaju swasta yang lain dan petani-petani menerima surat peguam syarikat itu yang mengkehendaki mereka untuk mengosongkan tanah tersebut.

Disyaki wujudnya unsur penyelewengan  

Dalam mengendalikan isu-isu pengusiran paksa yang dihadapi oleh petani-petani dari kawasan yang berlainan ini, PSM telah mendapati wujudnya perkara yang mencurigakan dalam sesetengah kes.

Misalnya di kawasan pertanian yang bersebelahan dengan Taman Chepor Sentosa, yang merupakan sebahagian daripada tanah yang diusahakan oleh petani-petani di kawasan Kanthan, PKNP telah menjual tanah seluas 48.3 ekar dengan harga RM4.8 juta kepada sebuah syarikat pada 2 Mac 2020, kemudian pada hari keesokannya, iaitu 3 Mac 2020, syarikat itu menjual tanah tersebut kepada sebuah syarikat pemaju swasta yang lain dengan harga RM5.8 juta. Selain wang cepat RM1 juta yang diperoleh syarikat pertama itu, perkara yang pelik dalam urusniaga tanah ini ialah nilai sebenar untuk 48.3 ekar tanah tersebut mengikut harga pasaran adalah lebih kurang RM15 juta.

“Kenapa PKNP menjual sebidang tanah dengan nilai sebenarnya lebih kurang RM15 juta ini dengan harga hanya RM4.8 juta. Kenapa PKNP begitu murah hati pada pemaju swasta?” Dr. Jeyakumar bertanya. “Anda beri sebidang tanah kepada seorang pemaju dengan diskaun yang begitu besar dan lepas itu hendak kosongkan tempat itu. Satu lagi perkara adalah, jika anda hendak menjual tanah itu, kenapa menjualnya secara dua peringkat, di mana syarikat pertama yang membeli tanah itu boleh menjual tanah dalam masa sehari kepada syarikat lain untuk mendapat keuntungan RM1 juta?”

“Ini menunjukkan bahawa bagaimana tanah di negeri Perak telah diseleweng. Adakah amanah yang diberikan kepada PKNP itu dipegang dengan betul?” Dr. Jeyakumar bertanya lagi. “Semua ini menimbulkan banyak persoalan. Adakah kuasa yang dipegang oleh Kerajaan Negeri itu digunakan secara beramanah?”

“Apakah jasa seorang taikun itu yang begitu besar sehingga dia boleh ‘dikurniakan’ tanah bernilai RM25 juta daripada Kerajaan Negeri Perak?“

Dalam kes petani di kawasan Pusing, Kerajaan Negeri Perak telah “mengurniakan” tanah seluas 103 ekar kepada syarikat Tee Yam Holding yang dimiliki oleh seorang taikun dari Kuala Lumpur pada bulan Ogos 2017. Tee Yam kemudian menjual tanah tersebut pada bulan Disember 2017 kepada dua individu lain dengan bayaran pendahuluan RM2.5 juta. Jika bayaran pendahuluan itu bersamaan 10% daripada harga jualan sebenar mengikut amalan biasa, maka harga tanah itu ialah RM25 juta. “Persoalan di sini adalah, kenapa Tee Yam ini dianugerahkan tanah bernilai RM25 juta begitu sahaja sedangkan 14 orang petani yang sedang bercucuk tanam di situ diusir secara paksaan? Apakah jasa Tee Yam itu yang begitu besar sehingga dia boleh mendapat hadiah yang begitu cantik daripada Kerajaan Negeri Perak? Kita perlu penjelasan mengenai perkara ini,” kata Dr. Jeyakumar.

“Kami sudah membuat aduan mengenai kes-kes ini di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Mungkin syarikat pemaju swasta itu pernah berbakti kepada masyarakat sehingga kerajaan bermurah hati untuk memberikan tanah kepadanya. Tetapi kita tidak tahu. Ini perlu disiasat. Jika ada sebab yang kukuh, maka tidak apa-apa. Jika tiadanya sebab, maka apa yang berlaku sebenarnya? Anda telah diberi amanah untuk menjaga tanah kerajaan, tetapi kenapa menjual tanah itu dengan harga yang begitu murah?” tambah Dr. Jeyakumar.

Ini bukan persoalan perkauman

Mengulas tentang pandangan sesetengah pihak yang melihat isu melibatkan petani-petani kecil ini dengan kanta perkauman, Dr. Jeyakumar berkata, “Dalam kes pengusiran di Chepor Sentosa, yang menghadapi pengusiran paksa ialah petani-petani kecil beretnik Cina, tetapi syarikat pemaju swasta yang mendapat diskaun besar dalam pembelian tanah itu juga Cina. Bagaimana golongan Melayu marhaen dapat dibantu dengan merampas tanah daripada golongan Cina marhaen yang merupakan petani kecil untuk diberikan kepada peniaga Cina yang kaya? Ini mungkin boleh bantu segelintir Melayu kaya, tetapi sudah pasti tidak membantu Melayu miskin. Yang mendapat manfaat hanyalah golongan elit atasan, iaitu golongan elit yang menguasai tanah itu dan golongan elit yang hendak membangunkan tanah itu untuk keuntungan. Golongan elit atasan itu tolong sesama sendiri, tetapi golongan bawahan yang terus susah. Jadi, sama ada Cina atau Melayu, bukannya perkara pokok di sini.”

Bagaimana golongan Melayu marhaen dapat dibantu dengan merampas tanah daripada golongan Cina marhaen untuk diberikan kepada peniaga Cina yang kaya?

Dr. Jeyakumar juga mengetengahkan fakta bahawa lot tanah yang diusahakan oleh petani-petani kecil di Perak sebenarnya adalah tidak besar. Daripada tinjauan yang dilakukan oleh PKNP ke atas 132 orang petani yang bercucuk tanam di kawasan Kanthan, satu pertiga mengusahakan tanah berkeluasan di bawah 3 ekar, sementara satu pertiga lagi mengusahakan tanah berkeluasan antara 3 ekar hingga 7 ekar. Hanya satu pertiga daripada petani-petani ini mengusahakan tanah berkeluasan melebihi 7 ekar, dan hanya lebih kurang 2% daripada mereka mengusahakan tanah berkeluasan melebihi 10 ekar. Oleh itu, mereka bukannya petani-petani besar yang kaya raya. Mereka telah bekerja keras untuk mengusahakan tanah mereka dan mengeluarkan makanan untuk negara, bukannya penipu atau penjenayah yang merosakkan negara.

Naratif yang dibawa oleh sesetengah pihak bahawa petani-petani kecil ini kaya, menceroboh tanah dan menduduki tanah secara percuma seperti jenayah, hanyalah alasan yang diwujudkan untuk memudahkan proses perampasan tanah yang menjana keuntungan bagi kapitalis. Naratif sebegini bukan sekadar rasisme, tetapi membantu pihak yang merampas tanah dan menjana keuntungan dengan tanah itu.

Ini bukan sahaja isu petani, tetapi masalah semua orang yang perlu makan

Menurut Dr. Jeyakumar, lebih kurang 25% tanah di Malaysia, bersamaan dengan keluasan 8 juta hektar, digunakan untuk tujuan pertanian. Daripadanya, perladangan kelapa sawit telah mengambil keluasan 5.5 juta hektar dan getah lebih kurang 1 juta hektar, menjadikan lebih 80% tanah pertanian digunakan oleh tanaman komoditi yang bukan untuk makanan. Hanya 0.7 juta hektar tanah untuk sawah padi, dan 0.8 juta hektar untuk tanaman yang lain. Oleh itu, keluasan tanah yang digunakan untuk mengeluarkan makanan adalah sangat kecil, tetapi tanah ini pun sekarang menghadapi ancaman dirampas dan dihancurkan oleh pemaju.

“Jadi, ini bukan sahaja masalah yang dihadapi oleh petani, tetapi juga berkaitan dengan masa depan jaminan makanan bagi rakyat seluruh negara kita,” ulas Dr. Jeyakumar. “Jika kita terus membiarkan perampasan tanah yang menghancurkan kawasan petani, apa akan terjadi dengan masa depan kita? Adakah kita akan import semua makanan? Jika mata wang negara kita turun, harga makanan akan naik mendadak. Jika krisis iklim semakin buruk, kita akan menghadapi masalah kekurangan bekalan makanan.”

Tuntutan petani

Petani-petani Perak telah mengemukakan tuntutan mereka seperti berikut:

  • Kekalkan semua kawasan pertanian yang mengeluarkan makanan. Jangan mengusir keluar petani secara paksaan.
  • Berikan pajakan tanah untuk tempoh 10-20 tahun kepada petani-petani kecil. Wujudkan syarat bahawa jika tanah yang dipajakkan itu tidak diusahakan selama 2 tahun, kerajaan boleh membatalkan pajakan itu dan menawarkannya kepada petani yang lain. Petani-petani kecil tidak meminta hak milik tanah kekal, mereka hanya mahu jaminan untuk membolehkan mereka meneruskan aktiviti pertanian selagi mereka hendak menceburi bidang ini.
  • Gunakan tanah perladangan besar untuk tujuan perumahan. Jangan usik tanah pertanian yang mengeluarkan makanan.
  • Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) Kerajaan Negeri Perak berkaitan dengan pelucutan tanah harus diubahsuai supaya dapat melindungi petani-petani kecil yang sedang mengusahakan tanah.
  • Wujudkan satu mekanisme semak dan imbang untuk proses pelupusan tanah kerajaan. Tubuhkan sebuah jawatankuasa yang berkuasa “veto” untuk menghentikan pelupusan tanah jika ia menjejaskan komuniti miskin ataupun mengurangkan pengeluaran makanan.

Petani-petani Perak telah menyerahkan tuntutan mereka kepada Kerajaan Negeri Perak dan meminta supaya diadakan perbincangan mengenai cadangan-cadangan mereka ini. Namun, mereka masih belum mendapat maklum balas yang positif daripada pihak Kerajaan Negeri Perak sehingga kini. Oleh itu, PSM bersama petani-petani Perak cuba membawa isu ini kepada perhatian masyarakat umum untuk memobilisasi pandangan umum dan memberi tekanan kepada pihak berkuasa.

“Tanah yang digunakan untuk mengeluarkan makanan tidak patut dijadikan bisnes untuk sesetengah pihak mengaut keuntungan lumayan. Nampaknya sistem pentadbiran tanah melihat ini sebagai cara untuk mencari wang… Kita perlu mengubah undang-undang yang sedia ada. Rakyat Malaysia harus bersama-sama memperjuangkan perubahan undang-undang ini,” kata Dr. Jeyakumar. “Jika kita berdiam sahaja, ini akan membawa akibat yang buruk kepada masa depan kita. Orang ramai harus menyedari bahawa jika petani dihalau keluar dari tanah yang sedang diusahakan mereka, rakyat Malaysia tidak akan mendapat makanan yang mencukupi pada masa depan!”

One thought on “Perampasan tanah pertanian di Perak: Kenapa murah hati pada pemaju tapi zalimi petani kecil?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s