PUTRAJAYA – 29 MAC 2021: Pekerja-pekerja pembersihan sekolah di Sabak Bernam, Selangor, yang tidak dibayar gaji selama 4 bulan, mengadakan aksi protes dan bersedia untuk berkampung di hadapan Pejabat Perdana Menteri pada hari ini sebagai usaha mendesak penyelesaian kepada kemelut mereka dengan serta-merta. Hasil daripada tindakan desakan ini, pekerja-pekerja mendapat satu janji bahawa tunggakan gaji mereka akan diselesaikan selewat-lewatnya pada 1 April 2022 nanti.

Pekerja-pekerja pembersihan ini bekerja di 19 buah sekolah di sekitar kawasan Sabak Bernam. Mereka mengalami masalah gaji tidak dibayar sejak bulan November 2021. Pekerja-pekerja ini masing-masing diupah oleh syarikat AS Rezeki Resources, Panggilan Effektif Enterprise dan Parit 8 Enterprise. 3 buah syarikat kontraktor tersebut mengambilalih perkhidmatan sekolah pada bulan Julai 2019. Sejak itu, gaji pekerja sentiasa dilambatkan dan adakala hanya dibayar gaji selepas dua bulan. Kontraktor-kontraktor ini langsung tidak mematuhi peruntukan dalam Akta Kerja 1955, iaitu membayar gaji bulanan sebelum 8 haribulan pada bulan seterusnya. Kontraktor-kontraktor pembersihan ini juga tidak membayar caruman wajib seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) tepat pada waktunya dan sering tertunggak.

Tuntutan yang dikemukakan oleh pekerja-pekerja pembersihan sekolah dari Sabak Bernam ini ialah:

  • Selesaikan semua tunggakan gaji pekerja sejak November 2021 hingga sekarang;
  • Senaraihitamkan syarikat AS Rezeki Resources, Panggilan Effektif Enterprise dan Parit Lapan Enterprise, serta pengarah syarikat kontraktor tersebut;
  • Selesaikan semua tunggakan caruman KWSP, PERKESO dan SIP;
  • Serapkan semua pekerja pembersihan sekolah sebagai pekerja tetap yang diupah terus oleh kerajaan;
  • Hentikan pemangsaan terhadap pekerja, terutamanya pekerja-pekerja yang berani memperjuangkan hak mereka.

Pekerja-pekerja pembersihan sekolah dari Sabak Bernam yang tidak dibayar gaji sejak bulan November 2021 ini, boleh dikatakan bekerja secara percuma di sekolah-sekolah sekitar kawasan Sabak Bernam untuk selama 4 bulan. Setelah letih mengadu isu mereka kepada pihak sekolah, akhirnya pekerja-pekerja berkenaan menghubungi Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) pada akhir bulan Januari 2022, untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan. Sejak itu, pekerja-pekerja pembersihan sekolah ini telah mengambil pelbagai tindakan untuk memperjuangkan hak dan nasib mereka.

Pekerja-pekerja pembersihan sekolah di Sabak Bernam ini telah menulis surat kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam pada 29 Januari 2022 dan memohon pihak PPD untuk terlibat dalam usaha menyelesaikan masalah gaji pekerja. Ini kerana kontraktor-kontraktor pembersihan selalu memberi alasan bahawa PPD melambatkan bayaran kepada mereka dan itulah sebabnya kontraktor melambatkan pembayaran gaji kepada pekerja. Namun, pekerja tidak menerima sebarang maklum balas dan tiada tindakan daripada pihak PPD Sabak Bernam.

Pada 18 Februari 2022, lebih kurang 40 orang pekerja pembersihan turun berprotes di hadapan PPD Sabak Bernam dan menuntut respon daripada PPD mengenai surat mereka yang bertarikh 29 Januari 2022. Pada awalnya, pekerja-pekerja ini merancang untuk hadir ke PPD Sabak Bernam pada 17 Februari 2022, tetapi pihak PPD Sabak Bernam menghubungi mereka dan meminta untuk tukar tarikh kehadiran kepada 18 Februari 2022 serta berjanji akan mengaturkan mesyuarat. Akan tetapi, pada 18 Februari 2022, wakil-wakil pekerja tidak dibenarkan masuk ke PPD Sabak Bernam untuk bermesyuarat. Oleh itu, tiada perjumpaan dan tiada tindakan daripada PPD Sabak Bernam.

Pada awal pertengahan bulan Februari 2022, semua pekerja juga telah memfailkan tuntutan di Jabatan Tenaga Kerja Kuala Selangor dan sehingga kini kes mereka berada dalam proses perbicaraan. Pekerja-pekerja risau bahawa walaupun kali ini mereka menang dalam tuntutan ini, tetapi gaji mereka masih tidak akan ditunaikan oleh syarikat-syarikat ini. Tambahan pula, proses ini mengambil masa yang panjang.

Oleh sebab pekerja-pekerja ini tidak tahan lagi dengan tekanan kewangan untuk meneruskan kehidupan, maka meeka turut menulis kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan mereka diberi temujanji untuk berjumpa dengan pihak Bahagian Perolehan KPM pada 4 Mac 2022. Tetapi malangnya, pekerja-pekerja ini pulang dengan kekecewaan dan kehampaan. Mereka diberitahu dalam mesyuarat tersebut bahawa pihak KPM tidak boleh mengambil sebarang tindakan dalam isu gaji walaupun pihak KPM ialah salah sebuah badan kerajaan yang terlibat dalam pemilihan syarikat kontraktor ini.

Selepas lebih 3 minggu berikutan dengan perjumpaan yang KPM, pekerja-pekerja ini masih tidak menerima tunggakan gaji mereka walaupun bulan Ramadhan sudah menghampiri. Oleh yang demikian, pekerja-pekerja pembersihan sekolah di Sabak Bernam yang tidak dibayar gaji selama 4 bulan ini tiada pilihan lain selain berjumpa dengan Perdana Menteri untuk menggesa penyelesaian masalah kepada masalah mereka. Pekerja-pekerja pembersihan sekolah yang hadir ke Pejabat Perdana Menteri pada hari ini pada asalnya bercadang untuk berkampung (duduk dan bermalam) di hadapan Pejabat Perdana Menteri untuk menggesa satu penyelesaian bagi masalah mereka.

Selepas menduduki perkarangan di hadapan Pejabat Perdana Menteri berjam-jam lamanya, dengan pada awalnya wakil pekerja hanya menerima janji lisan daripada wakil KPM yang datang bertemu mereka di Pejabat Perdana Menteri, pekerja-pekerja yang sudah bersedia untuk berkampung di situ akhirnya mendapat satu pengesahan bertulis daripada wakil Bahagian Perolehan KPM, Puan Aidawati, bahawa pihak kerajaan sudah membayar kepada kontraktor dan pihak kontraktor seharusnya menjelaskan semua bayaran tunggakan gaji selewat-lewatnya pada 1 April 2022, iaitu dalam tempoh tiga hari yang akan datang.

Berkenaan dengan tuntutan pekerja untuk menyenaraihitamkan syarikat-syarikat kontraktor yang gagal melindungi hak dan kebajikan pekerja itu, wakil KPM menyatakan bahawa mereka akan menyiasat semua aduan dan mengambil tindakan.

Jika bukannya tekanan demi tekanan daripada pekerja-pekerja yang berani untuk memperjuangkan hak mereka, tidak mungkin akan wujudkan perkembangan yang positif ini. Walau bagaimanapun, pekerja-pekerja ini akan terus berjuang untuk memastikan majikan yang gagal melindungi hak pekerja itu disenaraihitamkan.

Sistem kontrak menindas pekerja

Pekerja-pekerja pembersihan sekolah bekerja di premis kerajaan dan kerja mereka ialah kerja tetap. Tetapi Kerajaan telah menyumberkan luar perkhidmatan kebersihan bangunan dan kawasan ini kepada syarikat swasta dan kontraktor ditukar sekali setiap tiga tahun. Setiap kali kontraktor ditukar, adakala pekerja hilang kerja dan pekerja yang disambung kerja pula dianggap sebagai pekerja baharu. Semua faedah seperti gaji pokok, cuti tahunan, cuti sakit, dan faedah penamatan kerja, semuanya kembali kepada kadar asal apabila kontraktor ditukar. Tambahan pula, pemberian kontrak kepada syarikat-syarikat swasta yang tidak mempunyai kedudukan kewangan yang baik sering memangsakan pekerja-pekerja kontrak ini. Kita telah menyaksikan bagaimana kepincangan sistem kontrak memberi kesan besar terhadap keadaan pekerja-pekerja pembersihan sekolah di Sabak Bernam ini. Ramai pekerja berada dalam keadaan ini – tidak dibayar gaji tepat pada waktu; tidak dicarum KWSP, PERKESO dan SIP; tidak mengira gaji kerja lebih masa (OT) dengan betul; tiada cuti tahunan; tiada cuti sakit; tiada kontrak; tiada slip gaji; dan ada juga potongan yang tidak sah dalam gaji.

Persoalan besar di sini adalah mengapa kerajaan perlu mengamalkan sistem kontrak untuk kerja berbentuk tetap sebegini. Lebih-lebih lagi, semua pekerja yang diupah dalam sektor ini adalah pekerja-pekerja daripada golongan B40. Sistem kontrak ini memiskinkan lagi pekerja-pekerja ini. Oleh itu, JPKK sedang berusaha untuk menggesa supaya sistem kontrak untuk kerja tetap di premis kerajaan ini dihapuskan, dan semua pekerja kontrak dalam perkhidmatan sokongan (seperti pekerja pembersihan, tukang kebun dan pengawal keselamatan) diserapkan sebagai pekerja tetap yang diupah secara langsung oleh kerajaan.   

5 thoughts on “Pekerja pembersihan sekolah Sabak Bernam beraksi di Pejabat PM – Tuntut pembayaran gaji tertunggak 4 bulan

Leave a Reply

Your email address will not be published.