IPOH, PERAK: Petani-petani di kawasan Chepor Impian mendapat perintah mahkamah di bawah Seksyen 99 Kanun Prosedur Jenayah (mengenai prosedur jika pertikaian berhubung dengan tanah yang mungkin menyebabkan pecah keamanan) untuk kekal berada di atas tanah yang sedang diusahakan mereka. Perintah mahkamah tersebut dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ipoh pada 7 Jun 2022. Ini bermakna bahawa pihak syarikat pemaju tidak boleh mengusir petani-petani Chepor Impian keluar secara paksaan dari tanah yang sedang diusahakan mereka sehingga kes pertikaian tanah itu diselesaikan di dalam mahkamah sivil.

Petani-petani di kawasan bersebelahan Taman Chepor Impian, Mukim Ulu Kinta, Daerah Kinta, Perak, telah bercucuk tanam di situ selama lebih 40 tahun. Aktiviti pertanian merupakan sumber pendapatan utama mereka. Petani-petani ini menghasilkan tanaman seperti ubi keledek, ubi teratai, jagung, sayur-sayuran dan pelbagai tanaman kontan lain yang dipasarkan ke pasaran tempatan. Petani-petani ini telah memainkan peranan penting dalam membangunkan tanah yang diusahakan mereka kepada sebuah tapak pengeluaran makanan yang dapat menampung keperluan masyarakat tempatan. Sebelum ini, petani-petani ini tidak pernah menghadapi gangguan atau pengusiran daripada mana-mana pihak, termasuk Kerajaan Negeri Perak yang merupakan pemilik terdahulu di atas tanah tersebut.

Namun, pada 15 Disember 2021, petani-petani Chepor Impian dikejutkan dengan surat daripada firma guaman Tetuan W.Y. Chan & Roy yang menyatakan bahawa syarikat pemaju Eadepro Development Sdn. Bhd ialah pemilik tanah tersebut. Pihak petani membalas surat tersebut pada 24 Januari 2022 dan meminta supaya satu mesyuarat diadakan, namun tidak mendapat sebarang balasan daripada pihak syarikat pemaju.

Mulai 4 April 2022, petani-petani Chepor Impian menghadapi ancaman pengusiran paksa daripada pihak syarikat pemaju yang membawa masuk orang suruhannya dan mesin jentolak. Syarikat pemaju yang menceroboh masuk ke dalam tanah yang sedang diusahakan petani-petani Chepor Impian, telah memunsnahkan tanaman di situ, memecahkan sistem paip air dan merobohkan pondok simpanan barangan petani.

Pada 13 April 2022, 4 orang petani dan 4 orang aktivis PSM telah ditangkap oleh polis kerana cuba menghalang pengusiran paksa oleh pihak syarikat pemaju yang tiada sebarang perintah mahkamah. 8 orang yang ditahan polis itu dibebaskan sehari kemudian selepas Mahkamah Majistret Ipoh menolak permohonan reman daripada pihak polis. PSM bersama dengan badan hak asasi manusia SUARAM telah mengemukakan aduan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) mengenai tindakan polis di bawah arahan Ketua Polis Daerah Ipoh dan Ketua Polis Balai Kuala Kuang yang membantu pihak pemaju swasta yang cuba mengusir petani tanpa sebarang perintah mahkamah. PSM menggesa untuk menyiasat peranan dan hubungan polis Perak dengan pemaju dalam isu ini.

7 orang petani Chepor Impian juga memfailkan aduan di bawah Seksyen 99 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Majistret Ipoh pada 13 April 2022 terhadap syarikat pemaju Eadepro Development Sdn. Bhd dan Ain Bina Sdn Bhd, untuk memohon perintah mahkamah yang menyatakan bahawa pengambilan tanah yang cuba dilakukan oleh pihak pemaju itu adalah tidak sah dan pertikaian tanah itu harus diselesaikan melalui tindakan sivil yang sewajarnya. Permohonan ini telah diterima dan satu perintah mahkamah dikeluarkan pada 7 Jun 2022.

Petani-petani Chepor Impian diwakili oleh peguam K. Kunasekaran dan Bawani KS.

One thought on “Petani Chepor Impian dapat perintah mahkamah untuk kekal di tanah mereka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *