Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mengemukakan pelan tindakan alternatif “Pemulihan Nasional: Haluan Baru untuk Malaysia” untuk menggesa pembaharuan yang dapat menjamin kesejahteraan masyarakat. Siri rencana ini akan menyenaraikan tuntutan yang terkandung dalam 5 teras pelan tindakan yang bertemakan “Permintaan Rakyat Mudah Je” ini.

**********

Teras 1: Memperkasakan perlindungan sosial

Ekonomi gig ialah satu trend sistem pasaran bebas yang memberi kebebasan kepada organisasi atau pekerja untuk menjalani kontrak kerja suka sama suka tanpa perlu menggajikan pekerja sepenuh masa.

Kini, lebih 30% anak muda di Malaysia terlibat dalam kerja ekonomi gig ini. Sementara itu,PERKESO menyatakan walaupun mereka menyasarkan sebanyak 400,000 orang pekerja ekonomi gig untuk menjadi pencarum PERKESO, tetapi setakat bulan Jun 2020 hanya seramai 28,500 orang sahaja (7%) menjadi pencarum. Semua pekerja ini bekerja atas platform online. Mereka tidak mempunyai sebarang perlindungan kerja.

Adakah simpanan dalam KWSP akan membantu mereka? Mengikut statistik Kerajaan, hanya 6.5 juta orang pekerja di Malaysia mempunyai simpanan dalam KWSP dan juga analisis menyatakan bahawa majoriti pekerja yang merupakan pekerja berpendapatan rendah, maka simpanan mereka hanya boleh membantu untuk lebih kurang 5 tahun selepas persaraan. Apakah penyelesaian bagi masalah rakyat majoriti ini pada masa usia tua? Atau selepas persaraan?

Keadaan ini bermakna semua simpanan mereka akan habis apabila mencapai umur 65 tahun. Apakah keadaan mereka selepas itu? Bergantung kepada ahli keluarga yang juga menghadapi tekanan tinggi akibat pendapatan yang tidak mencukupi. Satu lagi kategori ialah pekerja dalam sektor tidak formal yang berjumlah lebih kurang 2 juta orang yang tiada simpanan langsung dan juga pekerja persendirian dalam perniagaan mikro yang tiada sokongan simpanan yang kukuh untuk masa tua.

1.1 Skim Jaminan Pendapatan Asas (Guaranteed Basic Income) RM1,000 sebulan kepada keluarga yang hilang punca pendapatan akibat Perintahan Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19

PSM melihat Jaminan Pendapatan Asas (JPA) sebagai dasar yang patut dilaksanakan bagi mengatasi masalah yang akan kita hadapi disebabkan kemelesetan yang terjadi di Malaysia sekarang. Kerajaan mesti memastikan mereka dapat memperoleh pendapatan untuk membeli keperluan asas.

Kami mencadangkan satu bentuk Pendapatan Asas Sejagat atau Universal Basic Income (UBI) yang diubahsuaikan, dengan pengecualian kepada mereka yang:

  • Sedang mencarum pada PERKESO;
  • Menerima pencen tetap (pesara kerajaan atau lain) lebih daripada RM1,000 sebulan;
  • Kakitangan kerajaan;
  • Terlibat dalam apa jua skim jaminan kerja kerajaan;
  • Mempunyai pendapatan dan layak membayar cukai persendirian;
  • Masih mempunyai pekerjaan di sektor awam atau swasta.

Cadangan ini dikhususkan kepada sesiapa yang kehilangan sumber pendapatan seperti pekerja dalam sektor tidak formal, pekerja persendirian berskala kecil, dan peniaga bersifat mikro yang kehilangan punca pendapatan pada waktu ini. Anggaran peruntukan yang diperlukan jika skim ini dipanjangkan kepada 700,000 buah keluarga (10%) sebanyak RM1,000 sebulan, maka kita memerlukan RM8.4 bilion setahun.

Kini, bantuan yang diberikan oleh Kerajaan seperti Program Subsidi Upah ataupun Skim Insurans Pekerjaan (SIP) daripada PERKESO hanya membantu pekerja sektor formal sahaja, manakala lebih kurang 3 juta orang pekerja tidak formal dan 2 juta orang yang terlibat dalam pekerjaan sendiri tiada sebarang sistem sokongan apabila mereka hilang punca pendapatan pada masa pandemik ini.

RUJUKAN DAN BACAAN TAMBAHAN

1.2 Hapuskan penyumberan luar khidmat pembersihan dan keselamatan di premis kerajaan. Hapuskan sistem kerja kontrak. Pekerjaan tetap demi jaminan kerja.

Hanya di sekolah dan hospital kerajaan sahaja, terdapat lebih kurang 230 ribu orang pekerja. Ini belum lagi mengambil kira semua bangunan kerajaan yang lain. Sebelum pertengahan tahun 1990-an, semua pekerja pembersihan, tukang kebun dan pengawal keselamatan di bangunan kerajaan ialah pekerja kerajaan yang mempunyai jaminan kerja. Namun sejak dasar penswastaan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri ke-4, Tun Dr. Mahathir pada tahun 1997, sistem ini telah ditukar kepada sistem kontrak di mana semua kerja-kerja ini telah disumberkan luar kepada syarikat swasta dan hal ini telah menghancurkan jaminan kerja serta mewujudkan budaya kronisme.

Tuntutan pekerja-pekerja ini adalah untuk menghapuskan sistem kontrak dan menyerap semula semua pekerja ini sebagai pekerja tetap sepertimana yang telah dilakukan sebelum tahun 1996.

Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) – sebuah organisasi yang dimulakan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan dianggotai oleh pekerja-pekerja dari premis kerajaan seperti pembersih, pengawal keselamatan, dan tukang kebun— telah menjalankan dua kajian, di mana kajian yang pertama mendedahkan penganiayaan dan penyelewengan yang berlaku akibat sistem kontrak, dan membawa kesimpulan bahawa kerajaan akan mendapat faedah jika mengembalikan sistem kerja tetap seperti dahulu.

Manakala kajian kedua mengutarakan kepincangan sistem tender yang membiak amalan kroni dan pembaziran, mengemukakan garis panduan untuk satu sistem baharu yang lebih telus supaya menjadikan sistem pengambilan kontraktor itu lebih berwibawa dan dapat memberikan perkhidmatan terbaik di samping memastikan kebajikan dan hak pekerja dijamin.

Semua keratan akhbar dan sumber untuk isu ini dapat dibaca di laman web JPKK: jpkk.org

1.3 Membuat pindaan terhadap undang-undang buruh dan skim PERKESO untuk memberi perlindungan kepada pekerja di bawah ekonomi gig

“Ekonomi gig” ialah satu trend sistem pasaran bebas yang memberi kebebasan kepada organisasi atau pekerja untuk menjalani kontrak kerja suka sama suka tanpa perlu menggajikan pekerja sepenuh masa, lebih dikenali sebagai “freelancer”. Grab, Foodpanda, BungkusIt, dan Lalamove adalah antara contoh pemain besar dalam ekonomi gig di Malaysia.

Kini, lebih 30% anak muda di Malaysia terlibat dalam kerja gig. Sementara itu, PERKESO

menyatakan walaupun mereka menyasarkan sebanyak 400,000 pekerja ekonomi gig untuk menjadi pencarum PERKESO, tetapi setakat Jun 2020 hanya seramai 28,500 ribu sahaja (7%) menjadi pencarum. Semua pekerja ini bekerja atas platform online. Mereka tidak mempunyai sebarang perlindungan kerja. Jika mana-mana pemandu Grab ditimpa kemalangan, tiada sebarang manfaat daripada majikan yang digelar platform online ataupun daripada sesiapa.

PSM mencadangkan bahawa semua pekerja tersebut perlu mendapat perlindungan di bawah PERKESO dan KWSP. Kerajaan harus menggubal undang-undang untuk memastikan majikan platform atas talian diwajibkan dalam sumbangan PERKESO dan KWSP.

RUJUKAN DAN BACAAN TAMBAHAN

1.4 Reformasi dalam Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) supaya semua pekerja dapat menikmati faedah pada waktukehilangan pekerjaan tanpa syarat yang membebankan

Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) ialah satu skim yang diwujudkan oleh kerajaan untuk membantu pekerja yang hilang kerja secara tiba-tiba. Tetapi, banyak syarat yang diletakkan dalam SIP yang menjadi penghalang kepada pekerja apabila membuat permohonan. Antaranya:

  • Pekerja harus mempunyai caruman sebanyak 12 bulan untuk layak memohon SIP jika hilang kerja;
  • Pekerja dalam kerja kontrak masa terhad (fixed term contract) dikecualikan daripada faedah tersebut. Memandangkan semua pekerjaan pun menggunakan kontrak “fixed term” terhadap pekerja walaupun kerjanya bersifat tetap dan tidak diberi kontrak jangka panjang. Ini menyebabkan pekerja dimangsakan oleh majikan dan akhirnya tidak layak menerima SIP juga.
  • Jika pekerja yang dibuang kerja oleh majikan, maka kehilangan pekerjaan tidak melayakkan pekerja untuk memohon SIP.
  • Walaupun pekerja melaporkan pembuangan yang tidak sah kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) ataupun JabatanTenaga Kerja (JTK), pekerja masih dinafikan SIP.

Syarat-syarat seperti ini bertentangan dengan aspirasi pembentukan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP). Kerajaan melaporkan kehilangan kerja pada musim COVID-19 ini meningkat secara mendadak. Pada tahun lepas, dari awal tahun hingga bulan September 2020 sahaja, lebih 80 ribu orang pekerja telah hilang kerja. Dalam keadaan ini, jika SIP meletakkan syarat-syarat begini, bagaimanakah pekerja dibantu dengan mendapat elaun sementara menunggu untuk mencari pekerjaan baharu? Kami menjangkakan pandemik ini akan berterusan lagi dua atau tiga tahun, dan ramai lagi pekerja akan dimangsakan. Maka, PSM menyarankan agar syarat-syarat dalam SIP ini dilonggarkan atau dihapuskan bagi membantu pekerja.

1.5 Laksanakan skim pencen bulanan bagi golongan pesara

Malaysia sudah menjadi sebuah negara yang mempunyai jangka hayat yang tinggi. Rata-rata, jangka hayat rakyat Malaysia tetap stabil sekitar 74.5 tahun dari 2013 hingga 2019, dengan anggaran bahawa jangka hayat akan meningkat kepada 75 dan 80 tahun untuk lelaki dan wanita masing-masing menjelang tahun 2025. Apabila jangka hayat meningkat, satu lagi kerisauan adalah bagaimana pekerja-pekerja ini akan menyara hidup setelah persaraan.

PSM menyarankan Kerajaan supaya memperkenalkan skim pencen (RM450 sebulan) bagi golongan usia tua, 65 tahun ke atas, di Malaysia. Sementara itu, Bank Dunia turut menyarankan Kerajaan Malaysia untuk mempertimbangkan skim persaraan RM350 bagi warga tua B40. Jika dianggarkan bahawa terdapat 2 juta orang pesara (mengecualikan pesara kerajaan dan juga mereka yang menerima bantuan bulanan PERKESO), kita memerlukan, 2 juta pesara x RM450/bulan x 12 bulan, sejumlah RM10 bilion setahun.

Kerajaan juga disarankan supaya mewujudkan satu skim pencen ilat untuk semua pekerja pertanian, petani dan peniaga kecil sektor tidak formal. Maka jika Kerajaan mencarum RM15 seorang sebulan untuk perlindungan atau RM180 setahun setiap orang, perbelanjaan tersebut memakan sebanyak RM900 juta setahun untuk 5 juta orang pekerja (anggaran) dalam sektor ini.

RUJUKAN DAN BACAAN TAMBAHAN

1.6 Wajibkan pembentukan Jawatankuasa COVID-19 di tempat kerja yang diwakili oleh majikan, pekerja dan kesatuan untuk pastikan semua prosedur KKM diikuti secara ketat

Kini, kes-kes jangkitan COVID-19 meningkat setiap hari sehingga mencapai lebih 20,000 kes baharu sehari. Namun, kegiatan ekonomi dibenarkan berjalan seperti biasa disebabkan tekanan ekonomi. Kerajaan mengarahkan semua tempat kerja untuk mematuhi SOP COVID-19 secara ketat. Walaupun dikatakan sebegitu, tempat kerja masih adalah satu tempat yang berisiko tinggi dan menjadi punca peningkatan kes COVID-19.

Oleh itu, bagaimanakah kerajaan memastikan semua SOP diikuti ketat oleh semua pihak di tempat kerja? Pada masa sekarang, pihak syarikat menyatakan mereka memang mengikuti semua SOP tetapi kes COVID-19 masih pada tahap tinggi. Maka, untuk mewujudkan suasana yang lebih serius di tempat kerja dalam menghindari wabak COVID-19, PSM menyarankan satu polisi di mana pengwujudan kesatuan sekerja sebagai keperluan penting bagi mewakili suara pekerja di setiap tempat kerja.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

5 thoughts on “Memperkasakan perlindungan sosial (Siri pengenalan teras “Permintaan Rakyat Mudah Je” – 01)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *