KUALA LUMPUR: 5 orang aktivis telah dipanggil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk disoal siasat kerana terlibat dalam aksi penyerahan memorandum kepada Ahli-ahli Parlimen baru-baru ini berkenaan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA). Mereka telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 29 Disember 2022 untuk diambil rakaman percakapan.

Mereka yang dipanggil untuk soal siasat polis termasuk S. Arutchelvan yang merupakan Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM), Sevan Doraisamy selaku Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), dua orang lagi penyelaras SUARAM dan seorang ahli keluarga tahanan SOSMA. Mereka disiasat di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Siasatan tersebut ialah mengenai aktiviti perhimpunan yang menyerahkan memorandum kepada Ahli-ahli Parlimen pada 20 Disember 2022 di tepi jalan menuju Bangunan Parlimen. Memorandum yang diserahkan oleh badan hak asasi manusia dan ahli-ahli keluarga tahanan SOSMA itu bertujuan untuk merayu kepada pihak kerajaan supaya membebaskan tahanan SOSMA dengan segera dan menyemak semula SOSMA.

SOSMA digubal pada tahun 2012 untuk menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA). ISA ialah akta zalim yang membenarkan penahanan tanpa bicara dan sering digunakan sebagai alat politik untuk menindas golongan pengkritik kerajaan. Penahanan tanpa bicara masih dikekalkan di bawah SOSMA, walaupun tempoh penahanan tanpa bicara telah dikurangkan kepada 28 hari tanpa melalui proses mahkamah. Orang kena tahan di bawah SOSMA dinafikan hak mereka untuk mengakses peguam dan ahli keluarga dalam tempoh 48 jam pertama, dan selepas itu hak tahanan masih bergantung kepada budi bicara pihak polis. Terdapat risiko yang tinggi tahanan di bawah SOSMA diseksa dan dipaksa untuk membuat pengakuan kesalahan tanpa pengawasan daripada pihak mahkamah kerana tiada semak dan imbang terhadap kuasa polis.

Memorandum yang diserahkan oleh badan hak asasi manusia tersebut telah diterima oleh wakil Menteri Dalam Negeri. Sebelum itu, Saifuddin Nasution Ismail selaku Menteri Dalam Negeri yang baharu dilantik selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca PRU-15 berkata bahawa tidak perlu untuk meminda SOSMA pada masa kini. Kenyataan tersebut telah dibantah oleh masyarakat sivil kerana penahahan tanpa bicara ialah pencabulan hak asasi manusia yang serius.   

Mengulas tentang siasatan polis terhadap aktiviti penyerahan memorandum yang membantah SOSMA, S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional PSM, berkata, “Keseluruhan aktiviti itu telah dirakam oleh PDRM. Pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga telah hadir untuk menerima memorandum itu. Andai kata perhimpunan itu haram, maka bermakna KDN juga bersubahat dalam perhimpunan itu.”

“Siasatan terhadap aktiviti perhimpunan masyarakat sivil ini memang membebankan pihak polis,” tambah Arutchelvan. “Polis sepatutnya menggunakan masa mereka untuk memerangi jenayah, bukannya menyiasat perhimpunan aman yang diadakan oleh masyarakat sivil. Saya berharap akan adanya pindaan dalam tatacara pengendalian piawai (SOP) polis dalam urusan pengendalian perhimpunan awam.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *