PUTRAJAYA – 17 OGOS 2022: Satu delegasi daripada Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyerahkan memorandum kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) pada hari ini untuk mendedahkan senarai nama syarikat yang ingkar dalam pembayaran mengikut kadar gaji minimum RM1,500 sebulan dan menggesa pihak KSM supaya mengambil tindakan tegas terhadap syarikat-syarikat tersebut.

Memorandum tersebut telah diserahkan kepada Mohd Asri bin Abdul Wahab selaku Timbalan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM). Turut hadir semasa penyerahan memorandum ialah Sivaranjani Manickam selaku Penyelaras JPKK, Koyilvani daripada Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS), L. Danaletchumi daripada Biro Pekerja PSM, S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional PSM dan beberapa orang wakil pekerja.

Talian hotline Sistem Aduan Pekerja (SiAP) yang dikendalikan oleh JPKK dan PSM telah menerima banyak aduan sejak bulan Mei 2022 hingga sekarang mengenai masalah kegagalan majikan dalam melaksanakan pembayaran gaji minimum RM1,500 walaupun Kerajaan telah menguatkuasakan kadar gaji minimum RM1,500 mulai bulan Mei 2022.

Berserta dengan memorandum yang diserahkan kepada KSM pada hari ini, JPKK dan PSM juga mengemukakan satu senarai nama yang menyenaraikan 127 buah syarikat yang mengingkari Perintah Gaji Minimum 2022, dan menggesa pihak KSM supaya mengambil tindakan terhadap mereka.

JPKK dan PSM telah mendapati bahawa syarikat-syarikat yang gagal membayar gaji minimum RM1,500 kepada pekerja mereka termasuklah syarikat-syarikat kontraktor yang dilantik oleh kerajaan sendiri untuk membekalkan perkhidmatan sokongan di premis-premis kerajaan (seperti perkhidmatan pembersihan dan kawalan keselamatan). Antara alasan yang diberikan oleh pihak majikan yang gagal membayar gaji minimum RM1,500 ini, terutamanya kontraktor yang mendapat tender kerajaan, ialah:

  • Kerajaan belum meminda dokumen tender untuk kontraktor menaikan gaji minimum kepada RM1,500;
  • Kerajaan sering melambatkan pembayaran tuntutan (claim) kontraktor, di mana kenaikan gaji minimum dahulu iaitu RM1200 pun masih belum diberi oleh kerajaan kepada kontraktor, maka kontraktor tidak mampu melaksanakan kadar gaji minimum baharu RM1,500;
  • Kontraktor yang berfungsi sekarang tidak perlu bayar gaji minima RM1,500, hanya kontraktor baharu yang mengambilalih tender sahaja akan membayar gaji minimum RM1,500.

“Ini ialah alasan daripada pihak kontraktor untuk mengelakkan diri mereka daripada membayar gaji minimum RM1,500,” kata Sivaranjani, Penyelaras JPKK, semasa menyerahkan memorandum kepada KSM. “Oleh sebab kegagalan membayar mengikut kadar gaji minimum baharu ini, pekerja-pekerja B40 yang menerima padah. Pekerja-pekerja ini termasuklah pekerja pembersihan, pengawal keselamatan, tukang kebun dan lain-lain lagi yang bekerja di bangunan-bangunan kerajaan.”

“Jika kontraktor yang mengambil tender kerajaan pun tidak ikut arahan atau polisi kerajaan, maka apatah lagi situasi pekerja di sektor swasta?” ulas Sivaranjani. “Sehingga sekarang, talian SiAP telah menerima aduan terhadap 127 buah syarikat daripada pekerja-pekerja pelbagai sektor. Malah, kami terkejut apabila kontraktor dibayar oleh kerajaan sendiri tidak melaksanakan gaji minimum.”

Baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia M. Saravanan mengumumkan bahawa sebanyak 118 majikan didapati gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum 2022 dan akan dikenakan denda RM10,000 jika mereka tidak melaksanakan gaji minimum serta merta. Namun begitu, JPKK dan PSM berpandangan bahawa bilangan syarikat yang mengingkari Perintah Gaji Minimum 2022 adalah lebih banyak, kerana talian SiAP sendiri sudah menerima banyak aduan. Ramai pekerja yang membuat aduan terlalu takut sehingga tidak mahu mengatakan nama syarikat. Walau bagaimanapun, JPKK dan PSM telah mendapat nama 127 buah syarikat yang ingkar dalam membayar ikut kadar gaji minimum RM1,500.

Selain gagal membayar ikut kadar gaji minimum yang ditetapkan kerajaan, banyak syarikat yang disenaraikan oleh JPKK dan PSM itu juga membuat salah laku lain seperti tidak mencarum KWSP, tidak mencarum PERKESO, tidak membayar gaji kerja lebih masa dengan kiraan yang betul, tiada slip gaji, tiada cuti tahunan bagi pekerja dan sebagainya.

Walaupun Jabatan Tenaga Kerja (JTK) menggalakkan pekerja untuk membuat aduan mengenai masalah yang dihadapi mereka di tempat kerja, tetapi kebanyakan pekerja takut untuk tampil ke hadapan dalam membuat aduan kerana takut pada pemangsaan oleh majikan sekiranya mereka memfailkan aduan di JTK. Pihak JTK atau mana-mana badan kerajaan yang berkaitan tidak memberi sebarang jaminan kepada pekerja bahawa mereka tidak akan dimangsakan (seperti dibuang kerja, diberi tekanan di tempat kerja dan sebagainya) jika mereka membuat aduan terhadap majikan. Dalam situasi sebegini, ramai pekerja berdiam diri apabila menghadapi penindasan di tempat kerja dan tidak membuat aduan terhadap majikan mereka.

Cadangan yang dikemukakan oleh JPKK dan PSM dalam memorandum kepada KSM ialah:

  • Kerajaan dan KSM harus secara agresifnya membuat pengumunan dalam sosial media dan media arus utama bahawa mereka mempelawa pekerja yang tidak dibayar gaji minimum untuk membuat aduan, dan butiran diri pengadu akan dilindungi serta diberi jaminan bahawa KSM akan membela pekerja yang membuat aduan.
  • Syarikat-syarikat yang ingar dalam membayar ikut kadar gaji minimum harus didedahkan nama mereka dan disenaraihitamkan secara terbuka. Jika mereka didakwa di mahkamah, KSM harus mendedahkan maklumat mengenainya secara terbuka dan luas.
  • Keluarkan satu notis kepada semua kontraktor atau syarikat yang mendapat tender kerajaan untuk melaksanakan gaji minimum RM1,500 serta merta, dan jika gagal, menyenaraihitamkan syarikat-syarikat tersebut sekarang! Kerajaan harus menjadi contoh yang baik sebelum memperbetulkan sektor swasta.
  • Harus mengusahakan satu mekanisme yang lebih cepat untuk mendakwa mereka yang melanggar Perintah Gaji Minimum, di mana tempoh antara mendapat aduan diterima dan pendakwaan perlu dipendekkan untuk memberikan keyakinan kepada lebih ramai orang yang mengadu.
  • JTK harus merasiahkan nama pekerja yang membuat aduan terhadap majikan supaya dapat melindungi pekerja daripada pemangsaan.
  • Menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Penguatkuasaan Gaji Minimum RM1,500 yang merangkumi JTK, kesatuan-kesatuan pekerja dan kumpulan-kumpulan yang bergiat aktif dalam memperjuangkan hak pekerja di peringkat akar umbi seperti JPKK dan PSM, untuk sama-sama membantu dalam mengenal pasti syarikat yang tidak melaksanakan gaji minimum RM1500. Ini akan mengurangkan beban kerajaan dalam pemantauan. Jika ada satu saluran yang tetap untuk masyarakat umum membuat aduan tanpa melalui proses birokrasi yang sedia ada, mungkin tindakan penguatkuasaan boleh dilakukan dengan lebih berkesan.
  • Kerajaan harus menetapkan satu tarikh tutup untuk semua bayaran tunggakan gaji mengikut kadar gaji minimum sejak bulan Mei 2022 dijelaskan supaya pembayaran gaji tertunggak dilaksanakan secara tegas dan cepat.
  • KSM harus mengadakan sidang akhbar atau mengeluarkan kenyataan akhbar setiap dua minggu sekali untuk memberikan laporan mengenai jumlah syarikat yang masih belum membayar gaji minimum dan tindakan yang telah diambil. Ini akan memastikan wujudnya tekanan berterusan ke atas pihak yang tidak membayar ikut kadar gaji minimum.

One thought on “KSM harus ambil tindakan cepat dan tegas terhadap syarikat yang gagal bayar gaji minimum

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *