Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mengemukakan pelan tindakan alternatif “Pemulihan Nasional: Haluan Baru untuk Malaysia” untuk menggesa pembaharuan yang dapat menjamin kesejahteraan masyarakat. Siri rencana ini akan menyenaraikan tuntutan yang terkandung dalam 5 teras pelan tindakan yang bertemakan “Permintaan Rakyat Mudah Je” ini.

**********

Teras 2: Skim Jaminan Kerja

Skim Jaminan Kerja ialah sebuah dasar yang harus diperkenalkan oleh Kerajaan Malaysia. Skim ini menyatakan bahawa Kerajaan berperanan sebagai majikan atau pihak utama yang bertanggungjawab untuk menyediakan pekerjaan apabila pihak swasta gagal menyediakan kerja, terutamanya dalam keadaan ekonomi yang murung akibat beberapa faktor seperti kesan pandemik yang berlarutan. Skim Jaminan Kerja menjamin kerja sepenuh masa yang tetap dengan gaji tetap kepada sesiapa sahaja yang memerlukan kerja.

Skim ini berasaskan prinsip pekerjaan sebagai hak asasi seseorang individu. Peluang pekerjaan mestilah tersedia agar rakyat dapat meneruskan kehidupan yang stabil dengan perlindungan sosial yang munasabah. Skim ini berhasrat untuk mencapai pengangguran sifar dan memastikan bahawa semua rakyat mempunyai pekerjaan dan berupaya memperoleh gaji sara hidup (living wage).

Jaminan kerja oleh kerajaan mampu menyelamatkan warga pekerja daripada melibatkan diri dalam pekerjaan tidak rasmi yang bersifat tidak menentu (precarious). Kajian juga menunjukkan bahawa pekerja tetap berupaya menyimpan wang serta memperoleh kehidupan lebih stabil berbanding pekerja kontrak dan pekerja tidak rasmi. Kedua-dua jenis pekerjaan yang tidak begitu stabil ini biasanya ditawarkan oleh sektor swasta.

Antara perkara-perkara yang ingin ditekankan oleh PSM adalah:

  • Penyediaan kerja industri hijau
  • Tambahkan peluang pekerjaan dalam sektor pertanian
  • Infrastruktur kesihatan
  • Kerja-kerja penyediaan infrastruktur dan pemuliharaan bangunan warisan negara
  • Kajian perubatan dan farmakologi
  • Peluang kerja sebagai pekerja sosial
  • Agensi pemantauan pelaksanaan
  • Kerja pengasuhan dan pendidikan awal
  • Sosialisasikan Kerja rumah
  • Pengubahsuaian waktu bekerja
  • Peranan syarikat berkaitan kerajaan (government-linked companies, GLC) sebagai penjana kerja

RUJUKAN DAN BACAAN TAMBAHAN

Justeru, PSM mengemukakan saranan seperti berikut untuk pelaksanaan segera Kerajaan.

Penyediaan kerja industri hijau

Kerajaan perlu mewujudkan kerja yang memupuk pembangunan ekonomi hijau. Hal ini bermaksud kerja-kerja pemulihan alam sekitar termasuk aktiviti-aktiviti mengembangkan teknologi ekonomi lestari yang mampu menangani krisis iklim. Antaranya adalah:

  • Beralih daripada sumber tenaga fosil ke sumber tenaga hijau. Terdapat pelbagai industri dan teknologi yang boleh dirancakkan. Sebagai contoh, sektor pembuatan panel solar untuk menghasilkan elektrik daripada tenaga solar.
  • Memberi tumpuan kepada sektor pemprosesan biojisim daripada kelapa sawit untuk penghasilan tenaga elektrik. Sektor ini juga masih gagal dikembangkan dengan berkesan walaupun teknologi untuk berbuat demikian sudah pun tersedia.
  • Industri penjanaan elektrik hijau juga memerlukan keperluan penstoran tenaga elektrik dalam teknologi bateri litium atau teknologi lain seperti peranti alternatif berasaskan hidrogen.

Ketiga-tiga cadangan tersebut mampu menyediakan pekerjaan. Dianggarkan bahawa industri tenaga boleh diperbaharui (renewable) atau kitar semula (recycle) seperti fotovoltan boleh menjana pada puratanya 6.96 hingga 11.01 kerja semegawatt tenaga elektrik yang dijanakan. Manakala tenaga daripada biojisim dianggarkan boleh menjana 0.78 sehingga 2.84 kerja semegawatt.

Jika kita membuat penganggaran, pencapaian penggunaan 10% daripada tenaga solar fotovoltan akan dapat menjana 20,000 hingga 30,000 pekerjaan.

Begitu juga, jika kita anggarkan penggunaan tenaga dari biojisim sebanyak 25%, maka bilangan kerja yang bakal diwujudkan adalah sebanyak 6000 hingga lebih 20,000 pekerjaan (menggunakan kapasiti tahun 2017 sebanyak 34,182 MW).

Tidak dinafikan juga bahawa terdapat sebilangan pekerjaan yang akan hilang daripada sektor industri tenaga fosil apabila kita beralih kepada tenaga boleh diperbaharui. Secara kasarnya, peralihan ini masih memberikan penambahan kerja bersih sebanyak 18,000 hingga 49,000. Ini jelas membuktikan potensi peralihan kepada tenaga hijau dan peluang pekerjaan yang boleh dijana jika kerajaan menerajuinya.

Kerajaan juga boleh menjadi penjana utama untuk pekerjaan jika kerajaan menerajui kerja-kerja pemuliharaan (conservation) hutan yang semakin tergugat. Pemuliharaan hutan simpanan, hutan paya bakau, santuari marin dan sebagainya yang terkesan akibat kegiatan ekonomi yang tidak terkawal, boleh memulihkan ekologi. Kerja sebegini memerlukan tenaga kerja yang besar.

Tambahkan peluang pekerjaan dalam pertanian

Kerajaan harus menerajui sektor pertanian melalui kebun-kebun yang dimiliki oleh mereka. Penghasilan produk makanan harian rakyat seperti beras, ubi, sayur-sayuran, bawang dan sebagainya untuk kegunaan tempatan wajarlah diutamakan. Para petani dan pekerja dalam sektor pertanian harus menerima jaminan pendapatan yang lumayan, ditambah dengan ganjaran (incentive) jika produktiviti kebun dan sawah meningkat mengikut keadaan. Hal ini secara langsung dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada hasil pertanian import.

Berdasarkan statistik daripada Prof. Dr Abdul Shukor Juraimi, Pensyarah Fakulti Pertanian UPM, Malaysia hanya berjaya menghasilkan 71% beras , 66% buah-buahan , 40% sayuran dan 29% produk hasil ternakan yang menepati permintaan rakyat. Kajian beliau menunjukkan bahawa nilai makanan yang diimport adalah sekitar RM50 bilion.

Infrastruktur kesihatan

Kerajaan harus mengambil lebih ramai pekerja sebagai pengkhidmat kesihatan seperti doktor, jururawat dan pakar perubatan lain yang diperlukan secara mustahak. Kerajaan harus menggunakan peluang pengambilan kerja ini untuk mengimbangkan bilangan pakar dan pekerja kesihatan yang berlebihan di hospital swasta berbanding hospital awam.

Kerja-kerja penyediaan infrastruktur dan pemuliharaan bangunan warisan negara

Kita perlu mengambil lebih ramai pekerja sebagai juruteknik, jurutera dan sebagainya untuk kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan asas rakyat. Sejauh mana pembinaan infrastruktur itu penting, begitu juga kerja-kerja penyelenggaraan aset-aset ini. Oleh yang demikian, kita juga memerlukan banyak tenaga kerja untuk kerja pemulihan dan pemuliharaan bangunan-bangunan bersejarah yang dianggap sebagai warisan negara.

Kajian perubatan dan farmakologi

Bidang kajian amat penting untuk membina suatu kapasiti dalaman yang berdaya tahan dan mempunyai jati diri. Ketika pandemik ini, Malaysia masih tidak mempunyai kemampuan dalaman untuk menghasilkan vaksin dan peralatan perubatan. Kajian perubatan dan farmakologi ialah satu sektor yang penting. Jika kajian perubatan dan farmakologi dikembangkan dengan penghasilan paten kita sendiri, maka kapasiti untuk penghasilan ubat dan vaksin untuk melawan pandemik akan lebih kukuh pada masa akan datang. Ini akan menguatkan lagi Malaysia untuk bergerak dengan autonomi tanpa bergantung pada bekalan luar.

Peluang kerja sebagai pekerja sosial

Pembasmian kemiskinan adalah antara tanggungjawab terpenting kerajaan. Namun begitu, tanggungjawab tersebut seolah-olah dipinggirkan kerana bilangan kakitangan yang terlibat sebagai pekerja sosial sepenuh masa daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak mencukupi. Maka kita memerlukan lebih ramai pegawai atau pekerja sosial yang boleh turun ke padang dan memantau serta menyediakan bantuan kepada lapisan rakyat yang memerlukannya.

Jika pekerja-pekerja sosial ini ditempatkan di lokasi-lokasi miskin bandar seperti kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR), maka keluarga-keluarga yang amat memerlukan bantuan dapat dikenalpasti. Dengan ini, bantuan dapat disalurkan secara terus kepada mereka.

Agensi pemantauan pelaksanaan

Kebertanggungjawaban (accountability) adalah satu aspek yang penting dalam pelaksanaan program-program kerajaan. Oleh itu, tidak boleh dinafikan kepentingan untuk menyediakan peluang pekerjaan bagi jawatan-jawatan yang dapat mengkaji dan memantau pelaksanaan segala program dan tatacara urusan pentadbiran kerajaan.

Sebagai contoh, pemantauan proses perolehan oleh Kementerian dan Jabatan Kerajaan. Pemantauan rundingan tender, pemberian hakmilik tanah dan aset oleh agensi-agensi kerajaan juga disyorkan. Secara tidak langsung, langkah tersebut membantu usaha pembasmian rasuah dan melicinkan tugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga.

Kerja pengasuhan dan pendidikan awal

Penyediaan rumah asuhan dan tadika awam harus diperbanyakkan. Ini bukan sahaja dapat meningkatkan peluang pekerjaan, malah akses kepada pendidikan awal kanak-kanak dalam lingkungan B40 dapat dijamin. Kini, kos pendidikan pra-sekolah kian meningkat akibat sekolah dan tadika swasta yang kian berlambak. Rakyat berpendapatan sederhana tertekan untuk menampung kos asuhan dan pendidikan awal swasta ini. Oleh itu, Kerajaan harus kembali ke tanggungjawab asasnya ini, sekaligus meningkatkan peluang pekerjaan.

Sosialisasikan kerja rumah

Kerja rumah yang biasanya dipertanggungjawabkan ke atas golongan wanita dan ibu mestilah dipadankan dengan ganjaran yang setimpal. Selain daripada kerja pengasuhan kanak-kanak, kita juga perlu membuka minda untuk melihat bagaimana tugas-tugas lain yang biasanya tersembunyi dalam lingkungan keluarga dan rumah boleh disosialisasikan dan ditanggung bebannya bersama komuniti.

Sebagai contoh, kerja seperti penjagaan warga tua, pembelian barangan, penjagaan ahli keluarga yang tidak sihat, pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak serta mereka yang kurang upaya.

RUJUKAN DAN BACAAN TAMBAHAN

Pengubahsuaian waktu bekerja

Dengan mengawal waktu bekerja seseorang, dipercayai bahawa produktiviti para pekerja akan lebih terjamin.

Pekerja selalunya terpaksa membuat kerja lebih masa (overtime) kerana pendapatan asas mereka tidak mencukupi. Maka golongan pekerja sangat mengharapkan gaji tambahan diperolehi daripada kerja lebih masa. Gaji yang munasabah untuk tempoh lapan jam sehari mampu mengurangkan,

Malah mengatasi kecenderungan pekerja untuk bekerja sampai dua syif berterusan. Justeru, slot syif yang berikutnya boleh dibuat oleh pekerja lain sekaligus menambahkan peluang pekerjaan.

Dicadangkan kerajaan tetapkan untuk kurangkan waktu bekerja kepada 35 jam seminggu daripada 40 jam seminggu.

Peranan syarikat berkaitan kerajaan (Government-linked companies)

Peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai penjana kerja harus ditingkatkan. Keupayaan bersama semua syarikat kerajaan ini nampaknya berfungsi sebagai entiti yang terpisah antara satu sama lain dan tidak digabungkan kebolehan mereka untuk mencapai hasrat polisi kerajaan.

Jika keuntungan syarikat-syarikat digabungkan bersama, maka tabung bersepadu ini boleh digunakan oleh kerajaan untuk menerajui pelbagai projek penting.

Akta Anti-Diskriminasi di Tempat Kerja

Satu Akta Anti-Diskriminasi di Tempat Kerja harus diperkenalkan untuk memastikan sesiapa sahaja tidak dimangsakan kerana kaum, agama, gender, orientasi seksual, kekurangan upaya (OKU) dan juga mereka yang memerlukan bantuan perubatan. Tiada diskriminasi dalam pengambilan kerja, kenaikan pangkat dan sebagainya.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s