KUALA LUMPUR: Aksi sambutan Hari Pekerja di Kuala Lumpur pada tahun ini telah diadakan lebih awal pada 23 April 2022, dengan tuntutan yang menggesa kerajaan untuk memastikan perlindungan sosial bagi pekerja dijamin.

Jawatankuasa Mei Satu menganjurkan satu aksi perhimpunan di hadapan Pasar Seni pada waktu lewat petang 23 April 2022 dan kemudiannya berarak ke Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor untuk berbuka puasa. Jawatankuasa Mei Satu ialah sebuah gabungan yang terdiri daripada organisasi-organisasi masyarakat, termasuk Parti Sosialis Malaysia (PSM), dan individu-individu yang prihatin pada isu-isu pekerja.

Lebih kurang 150 orang mengambil bahagian dalam aksi sambutan Hari Pekerja yang penuh bermakna ini. Wakil daripada masyarakat ladang, petani, pekerja pembersihan, pekerja gig, pekerja migran, peneroka bandar, kumpulan wanita dan sebagainya telah menyampaikan ucapan dalam himpunan semalam.

Tema sambutan Hari Pekerja anjuran Jawatankuasa Mei Satu pada tahun ini ialah “Jamin Perlindungan Sosial Pekerja”. Isu berkaitan dengan perlindungan sosial bagi pekerja menjadi semakin ketara kerana peralihan dalam sistem ekonomi dan dunia kerja, di mana semakin banyak sektor menggunakan pekerja gig sebagai penyedia perkhidmatan. Pekerja bekerja sendiri di mana kebanyakannya merupakan pekerja dalam ekonomi gig sudah menjadi kumpulan kedua terbesar dalam tenaga kerja di negara kita, tetapi mereka masih tidak mendapat perlindungan sosial yang menyeluruh, seperti perlindungan di bawah KWSP dan PERKESO, serta faedah pekerjaan seperti cuti tahunan bergaji, cuti sakit bergaji mahupun gaji bulanan yang tetap.

Peserta-peserta aksi perhimpunan sambutan Hari Pekerja ini menyampaikan 26 tuntutan yang terkandung dalam Deklarasi 1 Mei 2022. Tuntutan-tuntutan ini termasuk pastikan pelaksanaan sepenuhnya Gaji Minimum RM1,500 mulai 1 Mei 2022, skim jaminan pendapatan asas RM1,000 sebulan, penghapusan sistem kontrak untuk semua kerja tetap, perlindungan hak pekerja bagi pekerja dalam sektor ekonomi gig, pencen sejagat RM500 sebulan, perlindungan hak kesatuan sekerja, pemerkasaan hospital awam, hentikan pengusiran paksa, perumahan selesa untuk semua, perlindungan hak yang saksama untuk pekerja migran, kawalan harga barang, jaminan makanan, kebebasan media, pengisytiharan darurat iklim, dan sebagainya.

Deklarasi 1 Mei 2022 disokong oleh 46 buah organisasi, termasuk Parti Sosialis Malaysia (PSM), Gabungan Marhaen, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), North South Initiative (NSI), MISI: Solidariti, Malaysia Muda, dan sebagainya.

Selain aksi perhimpunan semalam, Jawatankuasa Mei Satu juga akan mengadakan satu siri aktiviti sehingga 1 Mei 2022, termasuk forum, sesi perkongsian, kempen swafoto, sidang akhbar dan himpunan di negeri-negeri lain pada 1 Mei 2022.

**********

Berikut ialah koleksi foto aksi himpunan sambutan Hari Pekerja di Kuala Lumpur pada 23 April 2022:

“Bersatulah pekerja sedunia!”
Peserta-peserta duduk bersantai untuk mendengar ucapan daripada wakil daripada pelbagai sektor.
Duduk dan dengar ucapan daripada wakil pelbagai sektor.
Tuntutan peneroka bandar yang menghadapi ancaman pengusiran, “Rumah ganti rumah!”
Hapuskan sistem kontrak untuk kerja tetap, ialah salah satu tuntutan Deklarasi 1 Mei 2022.
Bersedia untuk berarak.
S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM), turut serta dalam aksi perhimpunan Hari Pekerja 2022.
Soh Sook Hwa (yang pertama dari kiri), Bendahari Nasional, turut hadir bersolidariti dalam aksi perhimpunan Hari Pekerja 2022.
Migran juga manusia, hormatilah hak asasi manusia untuk semua!
Seruan pekerja ladang, “Jangan usir pekerja ladang yang sudah berhenti kerja. Laksanakan skim perumahan untuk semua pekerja ladang.”
Lawan kapitalisme!

3 thoughts on “Aksi sambutan Hari Pekerja 2022: Jamin perlindungan sosial pekerja

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *