oleh Parameiswary Elumalai

Gopal a/l Karpa ialah seorang pemandu lori yang telah dibuang kerja secara tidak sah pada 16 Februari 2021 oleh majikannya, syarikat Pulai Asli Water Sdn Bhd. Pembuangan kerja ini berlaku hanya kerana Gopal meminta untuk dinaikkan gaji dan dibayar cuti tahunan yang dipotong oleh majikan tanpa persetujuannya sebagai ganti cuti lockdown semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19.

Pada 14 April 2022, Gopal menang kes pembuangan kerja tidak sah yang difailkannya di Pejabat Tenaga Kerja Bangi. Majikan diarah oleh Pejabat Tenaga Kerja untuk membayar wang berjumlah RM18,132. 61 kepada Gopal sebagai baki gaji ganti notis (bagi tempoh 6 minggu), faedah penamatan kerja (bagi tempoh 3 tahun 10 bulan) dan baki upah kerja lebih masa (bagi tempoh tahun 2017 sehingga 2021).

Gopal mula bekerja di syarikat Pulai Asli Water Sdn Bhd yang terletak di Semenyih, Selangor, sebagai pemandu lori sejak bulan Ogos 2016. Setiap hari, beliau membawa dua jenis lori, iaitu memandu lori satu tan pada waktu siang dan lori tiga tan pada waktu malam. Gopal ialah satu-satunya pemandu lori di syarikat tersebut. Oleh sebab syarikat tersebut mengeluarkan air minuman, maka masih terus beroperasi semasa pandemik COVID-19.

Gopal diwajibkan untuk bekerja dari pukul 8 pagi hingga 6 petang dan bersambung dengan kerja lebih masa. Sebagai satu-satunya pemandu lori di syarikat tersebut, Gopal sangat rajin dalam kerjanya. Selain membuat penghantaran ke kedai-kedai tempatan, beliau juga akan membuat penghantaran ke Melaka. Beliau bekerja 6 hari dalam seminggu, di mana jumlah masa kerja biasa dalam seminggu adalah 54 jam, iaitu melebihi jumlah waktu bekerja 48 jam seminggu seperti mana yang diperuntukkan dalam Akta Kerja 1955. Sepanjang Gopal bekerja di syarikat tersebut, beliau tidak pernah mengungkitkan isu jam kerja dari 8 pagi hinga 6 petang, walaupun beliau bekerja 9 jam setiap hari (sepatutnya 8 jam sehari mengikut Akta Kerja 1955), iaitu beliau telah bekerja lebih masa 1 jam.

Namun, pada bulan Februari 2021, Gopal amat tidak berpuas hati apabila beliau mendapat tahu bahawa cuti tahunannya telah dipotong sebagai ganti cuti lockdown (yang dipotong tanpa persetujuannya) dan beliau juga tidak mendapat kenaikan gaji sepertimana yang dijanjikan oleh majikan sebelum ini. Sejak mula bekerja pada tahun 2016, gaji pokoknya hanya dinaikkan sekali, iaitu pada bulan Mac 2019 dengan gaji pokok RM1,800 dinaikkan sebanyak RM100 sahaja dan menjadikan gaji pokok baharu sebanyak RM1,900.

Justeru, pada 15 Februari 2021, Gopal berjumpa dengan majikannya dan menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap pemotongan cuti tahunan dan ketiadaan kenaikan gaji tahunan. Majikanya menyuruh Gopal untuk datang balik pada keesokan hari bersama isterinya yang bernama Yoges. Tetapi Gopal tidak menyangka bahawa beliau akan dibuang kerja pada keesokan harinya. Pada hari tersebut, apabila kedua-dua orang Gopal dan isterinya menuntut hak Gopal untuk kenaikan gaji, gaji cuti tahunan dan bayaran kerja lebih masa (OT) 1 jam lalu, majikannya telah naik marah dan menyuruh Gopal untuk mengambil semua barangnya dan jangan datang kerja lagi. Majikan juga telah memberitahu Gopal melalui satu mesej audio dalam WhatsApp bahawa syarikat sudah ambil pekerja baharu dan oleh itu syarikat tidak perlukan Gopal lagi.

Dengan bantuan S. Arutchelvan dan Parameiswary dari Pusat Khidmat Rakyat PSM Semenyih, Gopal telah membuat satu aduan polis dan menfailkan kes di Pejabat Tenaga Kerja Bangi berkenaan dengan pembuangan kerja secara tidak sah oleh syarikat Pulai Water Sdn Bhd. Pada 14 April 2022, Gopal telah menang kes terhadap majikannya yang rakus dan sombong.

Kes ini didengar di hadapan Puan Nor Fathiyah Binti Mohd Yassin, Penolong Pengarah Tenaga Kerja di Pejabat Tenaga Kerja Bangi. Perbicaraan kes ini berlangsung pada bulan November 2021 dan Disember 2021.  Pada 14 April 2022, Pengerusi Mahkamah Buruh memutuskan bahawa penamatan kerja Gopal adalah tidak sah dan mengarahkan majikan untuk membayar tuntutannya. Gopal dan isterinya amat gembira dengan keputusan ini.

Kemenangan Gopal ialah satu kemenangan kepada kaum pekerja yang menuntut hak mereka. 

==========

Parameiswary Elumalai ialah ialah aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cawangan Semenyih.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

One thought on “Minta naik gaji tapi dibuang kerja – Pemandu lori menang kes buruh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *