IPOH, PERAK – 8 APRIL 2022: Tan Tean Chee, seorang petani kecil yang mengusahakan tanah di kawasan Kanthan, Perak, telah ditangkap oleh polis di rumahnya pada lebih kurang pukul 9 malam tadi dan dibawa ke Ibupejabat Polis Daerah Ipoh.
Pihak polis tidak memberi alasan penangkapan semasa datang ke rumah Tan untuk menahannya. Namun, adalah dipercayai bahawa penangkapan ini berkaitan dengan insiden petani-petani Kanthan menghalang pencerobohan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) ke atas tanah kebun mereka pada waktu pagi tadi. PKNP cuba memasuki kawasan kebun petani-petani di Kanthan tanpa sebarang notis.
Pihak PKNP mengatakan bahawa mereka hendak melakukan kajian tanah di situ selama 3 hari. Namun, Mahkamah Tinggi Ipoh telah menolak permohonan secara lisan daripada peguam PKNP untuk melakukan kerja-kerja tersebut. Isu pertikaian mengenai tanah tersebut masih belum selesai dibicarakan di mahkamah. Jelas sekali tindakan PKNP cuba menceroboh tanah kebun petani di Kanthan ini adalah tidak sah dan tidak menghormati keputusan mahkamah.
Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM), menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan polis yang menjenayahkan satu masalah pertikaian sivil dan mengintimidasi orang awam sambil bersikap berat sebelah terhadap pihak yang mengingkari pendirian mahkamah.
PSM menggesa supaya Tan Tean Chee dibebaskan dengan serta-merta.
(Kemaskini 9 April 2022, 1.30 am) Pihak polis pada awalnya hendak mereman Tan, namun hasil daripada desakan hebat daripada pelbagai pihak, Tan dibebaskan pada lebih kurang 1.30 pagi selepas ditahan beberapa jam. Pembebasan Tan disambut oleh puluhan orang yang bersolidariti di luar balai polis sehingga tengah malam.
5 thoughts on “Petani Kanthan ditahan kerana pertahankan tanah pertanian”