PETALING JAYA, SELANGOR – 29 OKTOBER 2022: Seruan menolak Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) lantang kedengaran dalam satu rapat umum yang disertai oleh masyarakat sivil pada hari ini.

Rapat umum yang bertemakan #KeluarCPTPP dan #JanganJualNegara ini dianjurkan oleh Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM), sebuah gabungan organisasi-organisasi masyarakat sivil yang memperjuangkan dasar dan amalan pertanian yang menjamin bekalan makanan dan kedaulatan makanan di Malaysia dan seluruh dunia. Tujuan rapat umum ini adalah untuk menyuarakan bantahan rakyat terhadap tindakan Kerajaan Persekutuan Malaysia yang bertindak secara tergesa-gesa dalam meratifikasi CPTPP.

Turut hadir bersolidariti dalam rapat umum bantah CPTPP pada hari ini termasuk Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional PSM, A. Sivarajan selaku Setiausaha Agung PSM dan Soh Sook Hwa selaku Bendahari Nasional PSM.  

Kerajaan Malaysia telah meratifikasi CPTPP pada 30 September 2022, iaitu hanya beberapa hari sebelum Parlimen dibubarkan. Azmin Ali selaku Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebelum pembubaran Parlimen mengatakan bahawa CPTPP akan mula berkuatkuasa di Malaysia pada 29 November 2022. Tindakan kerajaan ini adalah tidak bertanggungjawab kerana pihak kerajaan cuba mengelak daripada menjawab pertanyaan di dalam Parlimen dan kerajaan baharu yang bakal dibentuk selepas PRU-15 nanti untuk melaksanakan perjanjian perdagangan bebas antarabangsa yang akan mendatangkan kesan hebat kepada masyarakat ini.

CPTPP merupakan penjelmaan semula daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang dimulakan oleh Amerika Syarikat untuk menguasai ekonomi di rantau Asia Pasifik. TPP yang ditandatangani pada tahun 2016 tidak berkuatkuasa kerana AS menarik diri tidak lama kemudian berikutan Donald Trump dipilih sebagai Presiden AS. Namun, 11 buah negara lain yang menandatangani TPP (termasuk Malaysia, Australia, Brunei, Chile, Jepun, Kanada, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam) telah bersetuju untuk menghidupkan semula perjanjian tersebut dengan mewujudkan CPTPP, dengan mengekalkan kebanyakan peruntukan yang terkandung dalam TPP sebelum ini.

CPTPP merupakan sebuah perjanjian perdagangan bebas yang bertujuan untuk melindungi kepentingan kapitalis multinasional dan pelabur besar dengan mengikat tangan kerajaan dalam melaksanakan dasar-dasar ekonomi yang memanfaatkan rakyat marhaen. Hanya 6 daripada 30 bab dalam perjanjian CPTPP adalah berkenaan dengan perdagangan barangan yang konvensional, manakala 24 bab lagi adalah berkenaan dengan hal bukan-perdagangan seperti persoalan hak harta intelek, pelaburan, perolehan kerajaan, syarikat milik kerajaan, perkhidmatan, alam sekitar dan perburuhan. Perjanjian ini bakal membawa kesan yang mendalam kepada struktur sosio-ekonomi dan sosio-budaya masyarakat Malaysia, di samping menyekat Kerajaan Malaysia daripada memperkenalkan apa-apa dasar baharu yang pro-rakyat tetapi bercanggah dengan teks CPTPP.

Antara impak hebat yang bakal menjejaskan rakyat marhaen di negara kita dengan penguatkuasaan CPTPP ialah:

  • Penghapusan tarif kepada kadar 0% menjelang tahun 2030 akan menyebabkan lambakan import makanan yang boleh menjejaskan rezeki petani-petani kecil dan penternak-penternak tempatan;
  • Lambakan barangan import kerana penghapusan tarif akan menjejaskan pemasaran barangan buatan perusahaan kecil dan sederhana (SME) tempatan, dan mengakibatkan kehilangan pekerjaan tempatan;
  • Kewajipan menyertai konvensyen Kesatuan Antarabangsa untuk Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan (UPOV 91) akan menghalang para petani dan individu daripada berkongsi serta menjual benih mereka yang dituai sendiri kepada orang lain yang berada di luar kawasan kebun mereka;
  • Pelaksanaan Akta Harta Intelek yang lebih ketat akan menjadikan harga ubat-ubatan veterinar lebih mahal, di samping meningkatkan kos racun kimia dan organik, maka menjejaskan penternak-penternak dan pengeluar-pengeluar daging di dalam negara;
  • Pelabur asing akan mempunyai kebebasan yang lebih luas untuk masuk membuka ladang-ladang monokultur baharu yang akan memusnahkan alam sekitar dan biodiversiti tanaman;
  • Pelabur asing akan mempunyai lebih banyak kuasa di bawah CPTPP dan ini akan mengikat tangan kerajaan dalam melaksanakan dasar-dasar yang menjaga kebajikan rakyat;
  • Peluang perniagaan bagi usahawan tempatan semakin kecil apabila pelabur asing mempunyai lebih kebebasan untuk membekalkan perkhidmatan dan barangan kepada agensi kerajaan;
  • Syarikat-syarikat korporat asing mempunyai kuasa yang lebih besar untuk menyaman Kerajaan Malaysia sekiranya pihak kerajaan gagal melindungi kepentingan pelaburan mereka di bawah CPTPP.

“CPTPP menggadaikan kedaulatan kita lebih lanjut lagi,” kata Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM. “Dengan menandatanganinya, kita menyerahkan hak kita untuk mengawalselia pelabur-pelabur asing atau mengkehendaki mereka supaya menggunakan input tempatan atau mengupah peratusan warga Malaysia yang tertentu atau melabur semula sebahagian keuntungan mereka. Sebaliknya, kita memberikan mereka hak untuk menyaman kerajaan kita di dalam tribunal luar negara – “penyelesaian pertikaian pelabur-negara”, dan membenarkan mereka memonopoli di bawah nama undang-undang paten. Ia ialah penyelmaan semula kolonialisme.”

Sejak awal lagi, PSM bersama-sama dengan pelbagai organisasi masyarakat sivil telah berprotes terhadap tindakan Kerajaan Malaysia yang hendak menandatangani perjanjian perdagangan bebas yang menggadaikan hak rakyat kepada keuntungan syarikat korporat multinasional.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini bersempena rapat umum #KeluarCPTPP, A. Sivarajan, Setiausaha Agung PSM, mengecam tindakan Azmin Ali selaku Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebelum pembubaran Parlimen yang menggunakan taktik licik untuk meratifikasi CPTPP secara senyap-senyap. “Kami menyeru pada semua calon PRU-15 supaya menolak CPTPP dan melaksanakan segala langkah yang boleh untuk meninggalkan perjanjian perdagangan bebas ini selama-lamanya,” kata Sivarajan.

Negara Malaysia seharusnya memperkasakan dasar-dasar negara yang memanfaatkan rakyat tanpa perlu mengikat tangan dan kaki kita kepada kuasa besar asing dan kepentingan geopolitik kapitalis antarabangsa. CPTPP merupakan satu alat untuk perluasan kuasa kapitalis antarabangsa yang mengancam rezeki dan kehidupan rakyat marhaen. Oleh itu, PSM dan organisasi-organisasi yang bergabung dalam FKMM telah menyeru supaya Malaysia keluar daripada CPTPP sebelum ia mula berkuatkuasa pada 29 November 2022 nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *