Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mengemukakan pelan tindakan alternatif “Pemulihan Nasional: Haluan Baru untuk Malaysia” untuk menggesa pembaharuan yang dapat menjamin kesejahteraan masyarakat. Siri rencana ini akan menyenaraikan tuntutan yang terkandung dalam 5 teras pelan tindakan yang bertemakan “Permintaan Rakyat Mudah Je” ini.

**********

Teras 4: Tingkatkan khidmat kesihatan awam

Memperkasa sistem kesihatan awam

  • Meningkatkan jumlah hospital kerajaan di ibu-ibu kota negeri;
  • Meningkatkan jumlah kakitangan kesihatan – doktor, jururawat, pakar fisioterapi, ahli farmasi dan kakitangan berkenaan;
  • Mewujudkan jawatan jururawat komuniti untuk memudahkan lawatan kes;
  • Meningkatkan kajian dan pembangunan tempatan justeru meningkatkan kapasiti penghasilan vaksin dan ubatan dalam negara.

Libatkan 7,000 orang doktor GP yang sedia ada dalam pengendalian kes penyakit kronik. Penyakit jangka masa panjang ini memerlukan penjagaan yang rapi untuk mengelakkan komplikasi. Sistem bayaran kapitasi wajar diamalkan supaya para pesakit mampu menerima rawatan secara percuma dan pendidikan kesihatan diutamakan.

Sebahagian daripada levi pekerja migran harus disalurkan kepada Kementerian Kesihatan untuk membiayai kos rawatan mereka. Caj rawatan yang dikenakan terhadap pekerja migran haruslah sama dengan caj yang dikenakan terhadap rakyat Malaysia.

90% peralatan perubatan harus ditanggung oleh kerajaan supaya rakyat tidak dibebani dengan bayaran yang tinggi untuk rawatan.

Mengawal penghijrahan doktor dari perkhidmatan awam ke sektor swasta dengan

  • mengadakan moratorium terhadap hospital swasta baharu. Hospital swasta yang sedia ada dibenarkan untuk terus beroperasi, namun hospital swasta baharu tidak dibenarkan dibina buat masa ini;
  • mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan khusus untuk kakitangan kesihatan;
  • memperkenalkan sistem sabatikal selama 3 bulan setiap 4 tahun bagi doktor pakar kerajaan;
  • penyelarasan dan penyerapan semua hospital yang dimiliki oleh syarikat anak kerajaan (GLC) seperti KPJ atau Sime Darby agar tenaga kerja doktor pakar digunapakai bersama untuk kepentingan pesakit hospital awam.

Menambahkan peruntukan untuk Kementerian Kesihatan

Pada tahun 2021, peruntukan bagi Kementerian Kesihatan adalah RM32 bilion. Jumlah ini harus ditambah lagi RM6 billion setiap tahun untuk 5 tahun yang akan datang supaya dapat membiayai program-program yang disyor di atas.

Perkhidmatan kesihatan berkualiti yang disubsidi oleh Kerajaan adalah “upah sosial” kepada rakyat

Kewujudan “penekanan gaji” (wage suppression) di Malaysia telah menyebabkan sebilangan orang ramai berkorban dan menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara dengan menerima gaji yang jauh di bawah nilai pengeluaran pekerja kita. Oleh itu, perkhidmatan kesihatan yang berkualiti harus dipandang sebagai “upah sosial” (social wage) yang telah pun di“pra-bayar” (pre-paid) oleh pekerja dan petani kita. Belanjawan perkhidmatan kesihatan awam harus dibiayai oleh cukai terhadap golongan yang terkaya dan syarikat-syarikat besar.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

6 thoughts on “Tingkatkan khidmat kesihatan awam (Siri pengenalan teras “Permintaan Rakyat Mudah Je” – 04)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *