KUALA LUMPUR – 2 NOVEMBER 2022: Parti Sosialis Malaysia (PSM) akan meletakkan 2 orang calon aktivis rakyat marhaen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 untuk bertanding di kawasan Parlimen Rembau dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Perak.

Keputusan ini diumumkan dalam sidang media khas yang diadakan pada hari ini. S. Tinagaran, aktivis PSM Negeri Sembilan, akan bertanding di kawasan Parlimen P131 Rembau; sementara Bawani KS, Timbalan Setiausaha Agung PSM merangkap Pengerusi PSM Perak, akan bertanding di kawasan DUN N48 Ayer Kuning di negeri Perak. Dua orang calon yang ditampilkan ini ialah calon tempatan di kawasan yang ditandingi masing-masing dan bukannya calon payung terjun, walaupun ini merupakan kali pertama PSM bertanding di kawasan tersebut.

Menurut S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional PSM merangkap Pengarah Biro Pilihan Raya PSM, berikutan kerjasama pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH) tidak diteruskan lagi dan sudah hampir dengan hari penamaan calon, PSM telah mengambil beberapa keputusan berkenaan PRU-15 selepas mengadakan perbincangan secara demokratik dalam kalangan ahli-ahlinya. Isu pokok yang dibincangkan dalam PSM adalah sama ada PSM hendak terus bertanding dalam PRU-15 atau tidak mengambil bahagian memandangkan kekangan masa dan ruang yang ada.

“Untuk PRU ini, PSM akan bertanding secara bersendirian tanpa gabungan, dan juga ahli-ahli kami boleh menyokong dan membantu calon parti lain yang mempunyai rekod prestasi yang baik, progresif dan berjiwa rakyat,” kata Arutchelvan. “PSM juga mengambil keputusan untuk bertanding dalam PRU ini secara minimum berbanding tidak bertanding langsung.”

PSM telah mengambil posisi untuk tidak bertanding di kawasan yang dimenangi oleh PH dalam PRU-14. “Ini adalah untuk memberikan peluang kepada PH yang cuba mendapat kemenangan, selain daripada menangkis sebarang tafsiran bahawa PSM berniat untuk membalas dendam ekoran kegagalan kerjasama pilihan raya dengan PH,” ulas Arutchelvan. “Ini bererti bahawa Dr Jeyakumar tidak akan bertanding di kawasan Parlimen Sungai Siput buat pertama kalinya sejak tahun 1999.”

“PSM telah mengambil keputusan untuk bertanding di kawasan Parlimen dan DUN bukan sandangan PH yang lebih sukar dan merupakan kubu kuat BN. PSM menganggap ini sebagai satu cabaran kerana ini adalah kawasan-kawasan yang perlu kita buat kerja dan tempat yang perlu kita membina kuasa rakyat pada masa hadapan,” tambah Arutchelvan.

PSM juga melancarkan Manifesto untuk PRU-15 dengan tema “Pilih Suara Marhaen”. Dalam Manifesto PSM untuk PRU-15 ini, PSM menyatakan bahawa ia “bersedia menawarkan nafas segar kepada usaha pembaharuan politik, ekonomi dan sosial di Malaysia dengan mengambil bahagian dalam PRU-15”. Manifesto PSM merangkumi 6 teras utama, iaitu:

  • Skim jaminan kerja;
  • Jaminan makanan;
  • Perkasakan perlindungan sosial;
  • Perumahan untuk rakyat;
  • Tangani krisis iklim;
  • Reformasi institusi pentadbiran negara.

Antara tawaran yang dikemukakan dalam Manifesto PSM sebagai visi menuju sebuah masyarakat yang progresif ialah: perlindungan kepada pengeluar makanan (petani, penternak dan nelayan) daripada pengusiran paksa; pencen bulanan kepada semua warga emas; penjanaan pekerjaan dalam bidang tenaga bersih; kerajaan memainkan peranan dalam meningkatkan pengambilan kerja dalam bidang penjagaan dan pekerjaan sosial; kerajaan tempatan mengambil alih penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah; pemulihan pilihan raya tempatan; pembinaan rumah yang mampu diduduki untuk rakyat B40 dan M40 termasuk 100 ribu buah rumah PPR setahun; pendanaan awam untuk parti politik bagi membendung politik wang; pemansuhan akta-akta zalim; sasaran untuk menghentikan penggunaan arang batu sebagai bahan api penjanaan kuasa elektrik sebelum tahun 2028; pengisytiharan darurat iklim dengan segera; dan sebagainya.

Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM.

Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM, berkata semasa mengumumkan calon PSM untuk PRU-15, “PSM sebagai sebuah parti kiri memang ingin menggunakan peluang pilihan raya umum ini untuk mempamerkan idea-idea progresif kepada pengetahuan rakyat. Menang atau kalah itu perkara yang kedua. Dalam tempoh kempen PRU dua minggu akan datang ini, kami adanya peluang untuk memberitahu rakyat bahawa jika kita boleh menghantar seorang wakil rakyat sosialis ke dalam Parlimen atau DUN, apa isu yang boleh dibawanya.”

Menurut Dr. Jeyakumar, keputusan mengenai penglibatan PSM dalam pilihan raya bukannya hanya ditentukan oleh Jawatankuasa Pusat Parti sahaja, tetapi Parti membuka ruang kepada semua ahli parti untuk mengadakan perbincangan secara demokratik. Keputusan bertanding di Rembau dan Ayer Kuning ialah persetujuan yang tercapai hasil daripada perbincangan ahli-ahli parti.

S. Tinagaran, calon PSM untuk kawasan Parlimen P131 Rembau, ialah seorang aktivis sosial yang mula terlibat dalam aktivisme dengan mengorganisasi pemandu van untuk memperjuangkan hak pemandu sejak tahun 2000 dan sekarang ini melakukan banyak kerja akar umbi di Negeri Sembilan. Bawani KS, calon PSM untuk kawasan DUN N48 Ayer Kuning di Perak, ialah seorang peguam rakyat yang sekarang ini mengambil banyak kes berkaitan dengan petani-petani kecil yang menghadapi ancaman pengusiran paksa. Dua orang calon PSM ini akan menampilkan suara marhaen dalam PRU-15 ini.

S. Tinagaran, calon PSM untuk kerusi Parlimen P131 Rembau yang terletak di Negeri Sembilan.

Bawani KS, calon PSM untuk kerusi DUN N48 Ayer Kuning di Perak.

2 thoughts on “PSM akan tanding di Rembau dan Ayer Kuning

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *