Pendirian PSM mengenai senario pasca PRU-15 dan pembentukan kerajaan baharu

Negara kita sedang berada di persimpangan sejarah. Inilah saatnya kita perlukan kematangan dan kebijaksanaan politik daripada semua pihak untuk menghindar diri daripada permainan politik populis sempit yang memecah-belahkan rakyat dan menanam perasaan kebencian berasaskan etnik atau agama. Inilah masanya untuk kita memulakan semula usaha membina perpaduan rakyat demi mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih maju, adil, sejahtera, harmoni, demokratik, progresif dan inklusif.

PSM dalam PRU-15

Tujuan PSM mengambil bahagian dalam PRU-15, walaupun dengan penglibatan yang agak minimum dengan tidak bertanding banyak kerusi, adalah untuk menawarkan nafas segar kepada usaha pembaharuan politik, ekonomi dan sosial di Malaysia, dengan mengetengahkan pelbagai isu rakyat marhaen pada ketika semua parti politik sibuk berkempen semata-mata untuk menang kerusi dan berkuasa.