Parti Sosialis Malaysia (PSM) akan bertanding julung kali untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan berlangsung tidak lama lagi. Arangkannal Rajoo, atau lebih dikenali sebagai Ara, menjadi satu-satunya calon PSM yang bakal bertanding dalam PRN Johor dengan kerusi yang akan ditandingnya ialah N49 Kota Iskandar.

Pengumuman calon ini telah diadakan dalam satu sidang akhbar khas di Kampung Baru Kangkar Pulai dan disiarkan secara langsung melalui halaman facebook pada 21 Februari 2022. A. Sivarajan, Setiausaha Agung PSM, berkata dalam sidang akhbar pengumuman calon PSM, “PSM bukannya secara tiba-tiba payung terjunkan calon untuk bertanding dalam PRN Johor. Aktivis PSM di Johor sudah bergerak lama, lebih daripada 15 tahun. Cawangan PSM yang pertama di Johor yang didaftarkan pada tahun 2010 ialah Cawangan Nusajaya (iaitu nama kawasan DUN Kota Iskandar sebelum ini).”

“Selaras dengan penglibatan aktivis PSM dalam kerja-kerja akar umbi dan kempen rakyat di Johor, dan juga prinsip PSM bahawa kami hanya bertanding di kawasan yang kami pernah berkhidmat, maka PSM mengambil keputusan untuk bertanding kerusi DUN N49 Kota Islandar,” ulas Sivarajan.

“Anda mungkin akan tanya, dengan satu kerusi sahaja apa kami boleh lakukan? Walaupun bertanding satu kerusi, kami yakin kami amat menonjol. Ini kerana dalam senario politik kita sekarang, semua parti politik arus perdana, sama ada yang sedang memerintah atau pembangkang, yang baharu atau yang lama wujud, hanya memberikan naratif politik yang sama sahaja, iaitu politik borjuis yang lebih mengutamakan kepentingan elit kelas pemerintah. Inilah kekosongan yang ingin kami isi… Kami berharap rakyat Kota Iskandar memberi peluang kepada satu suara yang berbeza, satu suara yang mempunyai sejarah menjayakan perjuangan rakyat,” tambah Sivarajan.

S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi PSM merangkap Ketua Pengarah Pilihanraya PSM, berkata, “PSM membawa politik yang berbeza daripada banyak parti yang hendak bertanding dalam PRN Johor. PSM ialah parti kiri yang membawa politik kiri yang diwarisi daripada tokoh-tokoh kiri seperti Ahmad Boestamam, Burhanuddin al-Hilmi, P. Veerasenan dan sebagainya. PSM ialah sebuah parti yang berprinsip… Calon PSM menjadi calon pertama dalam PRN Johor yang mengisytihar harta kepada rakyat umum. Calon PSM juga membuat angkat sumpah bahawa dia tidak akan memainkan politik perkauman untuk meraih undi. PSM akan membawa suara rakyat marhaen ke dalam dewan perundangan.”

“PSM ialah parti yang kecil, tetapi semangat kami adalah besar. Walaupun kami hanya tanding satu kerusi, tetapi kami nak menyatakan bahawa kewujudan kami cukup relevan,” kata Arutchelvan.

Calon PSM untuk kawasan DUN Kota Iskandar, Arangkannal Rajoo, ialah seorang pengarah filem yang mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam industri perfileman dan penyiaran, serta pernah memenangi beberapa anugerah filem. Beliau telah aktif selama 10 tahun bersama PSM di Johor melalui kumpulan Sembaruthi Thozhargal.

Tiga perkara yang diketengahkan dalam manifesto calon PSM di Kota Iskandar untuk PRN Johor kali ini ialah:

  • Kurangkan kos hidup rakyat;
  • Perumahan mampu milik bukan mampu mimpi;
  • Program jaminan kerja rakyat Johor.

Arangkannal Rajoo turut membuat perisytiharan harta dan ikrar anti-rasisme dalam sidang akhbar pengumuman calon PSM.

PRN Johor diadakan selepas DUN Johor dibubarkan secara mengejut pada 22 Januari 2022. Penamaan calon untuk PRN Johor akan diadakan pada 26 Februari 2022, dan hari mengundi jatuh pada 12 Mac 2022, dengan tempoh kempen selama 2 minggu.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

3 thoughts on “PSM akan tanding di Kota Islandar dalam PRN Johor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *