Aksi protes di hadapan pejabat Bank CIMB di Ipoh, Perak.

IPOH; KUALA LUMPUR; SEREMBAN; GEORGETOWN; JOHOR BAHRU – 31 MAC 2022: Aksi protes serentak telah diadakan pada hari ini di hadapan pejabat Bank CIMB di lima buah negeri untuk membantah tindakan zalim oleh Bank CIMB yang melelongkan rumah seorang warga B40 secara tidak sah.

Aksi serentak yang disertai oleh aktivis-aktivis daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan rakan-rakan seperjuangan masyarakat sivil ini telah diadakan di Ipoh, Kuala Lumpur, Seremban, Georgetown dan Johor Bahru, untuk bersolidariti dengan mangsa penipuan dan kezaliman bank komersial yang bersikap tidak berperikemanusiaan terhadap golongan berpendapatan rendah dan menjual rumahnya pada ketika keluarga berpendapatan rendah ini ditimpa kesusahan sedangkan bank itu mengaut keuntungan lumayan.

Aksi protes di hadapan pejabat Bank CIMB di Kuala Lumpur.

Mangsa dalam isu yang dibawa oleh PSM pada hari ini, Tamil Selvi dan mendiang suaminya, Chitarthan, telah mengambil pinjaman perumahan bersama pada tahun 2001 yang berjumlah sebanyak RM73,700 daripada Bumiputra-Commerce Bank Berhad (kemudiannya ditukar namanya kepada CIMB Bank Berhad) untuk membeli sebuah rumah di Menglembu, Ipoh, Perak. Kedua-dua suami isteri turut membeli insurans MRTA (Mortgage Reducing Term Assurance). Mereka telah membayar pinjaman perumahan tersebut dengan baik sehinggalah Chitarthan mengalami strok dan hilang kerja pada lewat tahun 2019. Mereka mengalami tunggakan bayaran hutang bank selama 3 bulan pada masa itu, kerana Chitarthan kehilangan pendapatan. Pada bulan Februari 2020, PERKESO mengisytihar Chitarthan tidak berupaya untuk bekerja dan meluluskan pencen ilatnya.  

Akibat kehilangan punca pendapatan suaminya, Tamil Selvi, seorang pekerja pembersihan sekolah dengan gaji RM1,200 sebulan, telah meminta pengurangan bayaran pinjaman daripada RM700 sebulan, tetapi permintaan itu tidak diendahkan oleh Bank CIMB. Jadi, Tamil Selvi terpaksa bekerja lebih kuat dan terpaksa membayar dua kali ganda jika tidak mampu bayar pada bulan sebelumnya.

Tamil Selvi telah memaklumkan kepada Bank CIMB Cawangan Menglembu berkaitan status suaminya dan menyerahkan dokumen berkaitan PERKESO kepada mereka. Pada masa yang sama, Tamil Selvi telah memohon kepada pihak bank untuk proses membayar sebahagian pinjaman perumahan melalui MRTA suaminya. Tetapi pihak bank memberitahu bahawa mereka tidak menjumpai dokumen berkaitan MRTA dalam sistem mereka. Sepatutnya MRTA boleh membiayai lebih daripada baki pinjaman perumahan mereka.   

Aksi protes di hadapan pejabat Bank CIMB di Georgetown, Pulau Pinang.

Tahun 2020 merupakan tahun pertama tercetusnya pandemik COVID-19 dengan semua orang berada dalam kesusahan, tetapi pasangan suami isteri yang turut dilanda kesusahan ini mampu membayar hampir semua pinjaman perumahan mereka. Namun, pada bulan September 2020, mereka menerima sepucuk surat yang bertajuk Pengumuman Jualan (Announcement of sale). Tamil Selvi mengambil surat ini ke pejabat Bank CIMB Menglembu untuk penjelasan. Pegawai bank di situ sendiri pun terkejut dengan notis lelong tersebut dan berkata bahawa baki pinjaman perumahannya hanyalah RM2,567, maka tidak mungkin bank akan menjual rumahnya. Pegawai tersebut menasihati Tamil Selvi untuk membuat rayuan dan membantunya untuk melanjutkan permohonan kepada pihak ibu pejabat Bank CIMB di Kuala Lumpur. Namun, tiada maklum balas daripada pihak ibu pejabat Bank CIMB. Tamil Selvi dan suaminya beranggapan isu tersebut sudah selesai dan menyambung bayaran pinjaman perumahan mereka, sehingga Chitarthan meninggal dunia pada bulan Februari 2021.

Lima hari selepas kematian Chitarthan, Tamil Selvi pergi ke CIMB Menglembu untuk memaklumkan tentang kematian suaminya. Selepas berbincang dengan pihak ibu pejabat CIMB, kakitangan di CIMB Menglembu memberitahu Tamil Selvi bahawa dia tidak perlu membayar pinjaman perumahan kerana sudah habis bayar. Tetapi malangnya, pada waktu malam hari yang sama, pegawai CIMB daripada ibu pejabat di Kuala Lumpul memanggil dan memberitahu Tamil Selvi sesuatu yang memeranjatkan – rumahnya sudah dijual dalam lelong dan dia perlu keluar dari rumahnya ini. Mereka juga meminta maklumat akaun bank Tamil Selvi untuk memasukkan baki wang selepas penjualan tersebut.  

10 hari kemudiannya, Tamil Selvi menerima satu surat daipada ibu pejabat CIMB yang menyatakannya sudah menyelesaikan pinjaman perumahannya secara penuh. Ini membuktikan apa yang diberitahu oleh pihak CIMB adalah benar dan rumah tersebut masih miliknya dan bertentangan dengan pemberitahuan bahawa rumahnya sudah dilelong kepada orang lain. Namun, beberapa hari kemudiannya, Tamil Selviterkejut dan keliru selepas mendapat tahu rumahnya sebenarnya sudah dijual melalui lelong secara atas pada bulan Oktober 2020 dengan harga RM140,000.

Adalah jelas bahawa Bank CIMB telah melakukan kesilapan besar dalam mengendalikan isu pinjaman Tamil Selvi ini, antaranya:

  • Terus menjalankan proses lelong hanya kerana peminjam gagal membuat pembayaran 3 bulan atas sebab menghidapi penyakit serius;
  • Menjalankan proses lelong rumah pada ketika pandemik COVID-19 di mana semua orang mengalami kesusahan;
  • Gagal untuk memohon MRTA selepas diberitahu ketidakupayaan Chitarthan’
  • Memberi nasihat yang salah semasa Tamil Selvi membawa surat Pengumuman Jualan di pejabat CIMB Cawangan Menglembu.
Aksi protes di hadapan pejabat Bank CIMB di Kuala Lumpur.

“Rakyat miskin dibuli bank kaya,” kata S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) semasa berprotes di hadapan pejabat Bank CIMB di Kuala Lumpur. “Bank ini memang tidak berhati perut. Kenapa bank ini mengambil tindakan melelong rumah B40 semasa pandemik COVID-19 apabila semua orang susah dan menyalahgunakan kuasanya?”

“Kami sudah banyak kali cuba bercakap dengan pihak bank sebelum ini. Jadi, kami tidak datang menyerahkan memorandum hari ini,” kata Arutchelvan, “Bank yang zalim ini perlu dimalukan!”

“Seorang peminjam telah kehilangan rumahnya kerana sikap cuai dan tidak professional Bank dalam mengendalikan isu pinjaman perumahan. Oleh sebab masalah bank itu sendiri, Tamil Selvi menghadapi kes saman pengusiran oleh pembeli baharu. Namun, oleh sebab kasihan dengan situasi Tamil Selvi, pembeli baharu itu juga kini bersedia jual balik rumah ini kepada pihak bank,” kata Rani Rasiah, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM yang membantu Tamil Selvi dalam kes ini. “Pihak bank harus mengambil tanggungjawab untuk semua kesilapannya dan membeli balik rumah tersebut supaya menyerahkan semula milikannya kepada Tamil Selvi. Tamil Selvi juga sedia untuk membayar sekiranya masih ada baki pinjaman. Namun malangnya, pihak Bank CIMB sebagai sebuah syarikat korporat mahakaya dengan keuntungan sebelum cukainya mencecah RM5.26 billion untuk 9 bulan pertama 2021, memilih untuk menafikan semua perkara ini dan mempertahankan tindakan kecuaiannya.”

**********

Koleksi gambar sepintas lalu aksi serentak di 5 buah negeri:

Ipoh, Perak

Kuala Lumpur

Seremban, Negeri Sembilan

Johor Bahru, Johor

Georgetown, Pulau Pinang

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

2 thoughts on “CIMB zalimi B40: Lelong rumah rakyat miskin semasa pandemik

  1. Ini adalah bank mangkuk tandas,bila ada moratorium automatik macam mana bank blh lelong? 3 bulan tak bayar terus lelong,kalau nak lelong pun kena bagitau peminjam dahulu utk prosiding mahkamah,diharap aunti ni bawa kes ni ke mahkamah saman balik cimb

    Like

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s