Pada penghujung tahun 2024 dan menjelang ambang tahun baharu 2025 ini, marilah kita imbas kembali sepintas lalu sebahagian daripada aktiviti-aktiviti dan usaha-usaha Parti Sosialis Malaysia (PSM) memperjuangkan isu-isu rakyat sepanjang satu tahun yang lalu ini.
1. Kempen Pencen Warga Emas Sejagat
PSM telah giat menjalankan kempen penuntut pelaksanaan Pencen Warga Emas yang membayar RM500 sebulan kepada semua rakyat Malaysia yang berumur 65 tahun dan ke atas yang tidak menerima apa-apa pencen. Aktivis-aktivis PSM mengutip tandatangan yang menyokong tuntutan ini di merata tempat di seluruh negara. PSM menyerahkan satu memorandum yang disokong oleh 45 buah organisasi pada 1 Oktober 2024 kepada Pejabat Perdana Menteri. Bersama-sama dengan masyarakat sivil yang prihatin pada nasib warga emas di negara kita, PSM menganjurkan satu aksi protes di hadapan Parlimen pada 15 Oktober 2024, dengan seruan kepada kerajaan dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membentangkan skim Pencen Warga Emas Sejagat dalam Belanjawan.
2. Tuntut peningkatan gaji minimum kepada RM2,000
PSM bersama-sama dengan Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) menyerahkan satu memorandum kepada Kementerian Sumber Manusia pada 27 September 2024 dengan cadangan supaya meningkatkan kadar gaji minimum kepada sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan. PSM mengkritik pengumuman dalam pembentangan Belanjawan 2025 yang hanya meningkatkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 mulai bulan Februari 2025, kerana ia masih tidak mencukupi untuk pekerja-pekerja bawahan menjalani kehidupan yang sederhana dan bermaruah.
3. Melawan penindasan terhadap pekerja migran
PSM telah memainkan peranan dalam membongkar isu penindasan terhadap pekerja-pekerja migran di negara kita, yang melibatkan pembawaan masuk pekerja-pekerja Bangladesh dalam jumlah yang besar tetapi tidak menawarkan kerja seperti yang dinyatakan dalam kontrak kerja apabila mereka berada di sini. PSM telah membantu pekerja-pekerja yang berkenaan untuk membuat aduan polis dan memfailkan kes buruh di Jabatan Tenaga Kerja. Dua buah syarikat yang terbabit, Beaks Construction Sdn Bhd dan Suria Harmoni Resources Sdn Bhd, memfailkan saman fitnah, yang sebenarnya merupakan saman ugutan atau “litigasi strategik terhadap penyertaan awam” (SLAPP), terhadap PSM dan portal berita Malaysiakini kerana mengetengahkan isu ini.
4. Kohila menang kes terhadap Bank Negara
Kohila Yanasekaran, seorang aktivis sosial dan kini Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, menang kes saman terhadap Bank Negara, apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan pada 29 Mac 2024 bahawa pemecatannya pada tahun 2017 kerana mengambil bahagian dalam aktiviti politik adalah tidak sah dan menyalahi undang-undang.
5. Bekas pekerja di 5 ladang menang tuntutan perumahan
Hasil daripada desakan Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity yang berterusan dan menggunakan kesempatan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kawasan DUN Kuala Kubu Bharu untuk mengetengahkan tuntutan mereka, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor bersetuju untuk membina rumah bagi 245 orang bekas pekerja dari 5 buah ladang di daerah Kuala Selangor dan Hulu Selangor, iaitu Ladang Mary, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Minyak, Ladang Nigel Gardner dan Ladang Bukit Tagar. Ini merupakan satu kemenangan penting bagi perjuangan pekerja ladang.
6. Solidariti bersama Palestin dan bantah genosid
Dengan genosid terhadap rakyat Palestin masih diteruskan oleh rejim Zionis Israel, PSM terus mendukung aksi-aksi protes yang bersolidariti bersama Palestin dan menentang genosid di Gaza. Aktivis-aktivis PSM telah terlibat dalam pelbagai aksi protes yang dianjurkan oleh GEGAR, seperti protes pada 24 Februari 2024 dan 13 Disember 2024. GEGAR juga mengkritik tindakan kerajaan Malaysia yang menjual saham kepada BlackRock, salah sebuah syarikat pro-zionis terbesar yang bersubahat dengan genosid di Palestin, di samping membenarkan syarikat yang membekalkan peralatan ketenteraan dan senjata kepada rejim Zionis Israel untuk menyertai pameran antarabangsa yang diadakan di negara kita. Aktivis-aktivis pro-Palestin sering diintimidasi dengan siasatan polis.
7. Penternak bantah larangan penternakan di kawasan ladang
Jawatankuasa Penternak-penternak Lembu dan Kambing MARHAEN berprotes di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 25 April 2024, dengan tuntutan kepada kerajaan supaya menghentikan tindakan pihak syarikat Sime Darby yang melarang mereka daripada menjalani aktiviti penternakan di kawasan ladang.
8. Perjuangan petani Perak berterusan
Petani-petani kecil Perak di beberapa kawasan, yang masih menghadapi ancaman pengusiran, meneruskan perjuangan mereka untuk mempertahankan rezeki mereka dan keterjaminan makanan. Beberapa kes masih berjalan di mahkamah.
9. Keadilan untuk Chong Yee Shan
Chong Yee Shan, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM yang dicederakan oleh penguatkuasa tanah Perak pada 24 Oktober 2023 dan kemudiannya didakwa di mahkamah kerana mempertahankan petani kecil daripada pengusiran paksa, memfailkan kes saman pada 16 Julai 2024 di Mahkamah Sesyen Ipoh terhadap pegawai-pegawai penguatkuasa tanah Perak.
10. Kritikan terhadap Dasar Gaji Progresif
PSM mengemukakan kritikan terhadap Dasar Gaji Progresif kerana ia tidak mencukupi untuk menangani masalah gaji rendah yang dihadapi oleh kebanyakan pekerja di Malaysia. Pandangan ini telah disampaikan dalam Sesi Diskusi Meja Bulat mengenai Dasar Gaji Progresif, yang dianjurkan secara bersama oleh Institut Asia Eropah (AEI) Universiti Malaya dan JPKK pada 31 Januari 2024.
11. Gesa kerajaan untuk menyelesaikan masalah kewarganegaraan yang dihadapi oleh golongan terpinggir
PSM menyerahkan memorandum Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) pada 13 September 2024, untuk mengetengahkan masalah kewarganegaraan yang dihadapi oleh dua golongan terpinggir, iaitu kanak-kanak dengan ibu warga asing yang belum mendaftar perkahwinan dengan suami yang berkewarganegaraan Malaysia pada masa kelahiran kanak-kanak berkenaan, dan kanak-kanak dengan ibu yang tidak mempunyai kad pengenalan walaupun ibu itu lahir di Malaysia.
12. Gesa kerajaan sediakan rumah mampu milik bagi keluarga B40 di Selangor
Jawatankuasa Rumah Mampu (JRM) Selangor dan PSM menyerahkan satu memorandum kepada Kerajaan Negeri Selangor pada 28 Mei 2024, dengan tuntutan supaya melaksanakan skim perumahan yang benar-benar mampu milik bagi golongan berpendapatan rendah B40.
13. Penduduk projek terbengkalai Taman Sri Jaya terima kunci rumah
Selepas penantian 33 tahun dan usaha gigih yang berterusan, 5 daripada 7 buah keluarga pembeli rumah projek terbengkalai di Taman Sri Jaya, Batu 9, Cheras, Selangor, akhirya menerima kunci rumah alternatif di Taman Harmoni.
14. Kes Subramaniam lawan kerajaan AS capai penyelesaian di luar mahkamah
Selepas perjuangan 16 tahun, kes Subramaniam A/L Letchimanan, seorang bekas pengawal keselamatan yang melawan kerajaan Amerika Syarikat (AS) di mahkamah untuk menuntut pampasan atas pemberhentian kerja yang tidak adil terhadap majikannya pada masa itu, Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di Malaysia, telah mencapai penyelesaian di luar mahkamah.
15. JPKK dedah kepincangan sistem kontrak
JPKK menerbitkan laporan kajian terbarunya yang mendedahkan bagaimana penyumberan luar perkhidmatan sokongan di premis kerajaan kepada kontraktor swasta terus memangsakan dan memiskinkan pekerja-pekerja berpendapatan rendah, seperti pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan di sekolah dan hospital kerajaan.
16. Kesatuan Pekerja Hospital lawan pemusnahan kesatuan
Kesatuan Pekerja Swasta Hospital Kerajaan (NUWHSAS) masih menghadapi pelbagai ancaman penindasan daripada pihak majikan Edgenta UEMS Sdn Bhd dengan anggota kesatuan dimangsakan.
17. Bantah pengusiran paksa
PSM terus memperjuangkan hak perumahan untuk masyarakat peneroka bandar dan membantah pengusiran paksa. Antara isu pengusiran paksa yang berlaku pada tahun 2024 ialah perobohan rumah di Kampung Sri Makmur, Daerah Gombak, Selangor. PSM juga bersolidariti bersama masyarakat peneroka bandar dan peniaga kecil di Batu 16, Jalan Reko, Kajang, Selangor, yang menghadapi ancaman pengusiran.
18. Sivaranjani dipilih sebagai Setiausaha Agung baharu PSM
Dalam Kongres Nasional PSM yang diadakan pada 26-28 Julai 2024 di Johor Bahru, Sivaranjani Manickam dipilih sebagai Setiausaha Agung yang baharu bagi PSM, menggantikan Sivarajan Arumugam, untuk menerajui gerak kerja pengorganisasian perjuangan PSM dengan nafas baharu.
19. Sosialisme 2024
PSM menganjurkan persidangan Sosialisme 2024 dengan tema “Madani untuk siapa?” pada 30 November – 1 Disember 2024 di Kuala Lumpur, untuk menilai sejauh mana Kerajaan Madani mengangkat aspirasi rakyat dan menunaikan janji pilihan raya.
20. Aksi sambutan Hari Pekerja 2024
Kira-kira 1,500 orang menyertai aksi sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei 2024 di Kuala Lumpur, dengan tema “Gaji untuk Hidup”.
Tahniah dan Syabas PSM.
Salam Perjuangan…
Syabas PSM, continue the good work, educate the Rakyat. We need long term change not cosmetic propaganda! Hidup Rakyat! Hidup Perjuangan!