SHAH ALAM, SELANGOR – 28 MEI 2024: Jawatankuasa Rumah Mampu (JRM) Selangor dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa Kerajaan Negeri Selangor supaya menyelesaikan masalah perumahan yang dihadapi oleh keluarga berpendapatan rendah B40 dengan mengambil tindakan yang lebih konkrit dalam melaksanakan skim perumahan yang benar-benar mampu milik bagi golongan B40. Seruan ini dibuat dalam satu memorandum yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri Selangor pada hari ini.

Turut hadir semasa penyerahan memorandum bersama-sama keluarga B40 yang meminta perumahan mampu milik ialah Sivaranjani Manickam selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Sivarajan Arumugam selaku Setiausaha Agung PSM dan Suresh Balasubramaniam yang merupakan aktivis PSM yang membantu dalam kerja-kerja JRM Selangor.

“Kerajaan Negeri Selangor harus menyediakan rumah mampu milik yang sesuai bagi keluarga B40 di Selangor supaya mereka dalam memiliki rumah pertama dalam hidup mereka,” kata Sivaranjani semasa menyerahkan memorandum di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. “Kami di PSM telah menerima pelbagai aduan dan rungutan rakyat melalui pusat-pusat khidmat PSM di Selangor mengenai isu pemilikan rumah. Kami mendapati bahawa banyak isu perumahan yang dihadapi oleh golongan B40 berpunca daripada ketidakmampuan mereka memiliki rumah yang walaupun dikatakan ‘mampu milik’.”

“Rakyat kita sedang hidup secara tertekan, ramai tinggal di rumah sewa sekian lama, tidak mampu membayar ansuran pinjaman bank bagi rumah yang telah dibeli kerana gaji yang rendah dan pelbagai komitmen kewangan lain sehingga akhirnya rumah yang dimiliki itu pun dilelongkan,” ulas Sivaranjani. “Sementara itu, rakyat juga terasa beban dengan harga rumah Selangorku yang tinggi, Masih banyak keluarga B40 tidak mampu memiliki rumah.”

Jawatankuasa Rumah Mampu (JRM) Selangor ditubuhkan selepas PSM mendapati banyak isu perumahan yang dihadapi oleh keluarga B40 dengan hasrat mengetengahkan masalah ini kepada perhatian pihak berwajib dan mengemukakan cadangan penyelesaian yang menjamin hak perumahan rakyat biasa. Antara isu yang dikenal pasti oleh JRM Selangor adalah:

  • Kadar bayaran ansuran pinjaman bank swasta yang terlalu tinggi berbanding pendapatan seisi keluarga. Oleh sebab itu, peluang untuk ketua isi rumah menyediakan kemudahan lain kepada keluarganya tertangguh atau tidak dapat dilaksanakan.
  • Apa-apa insiden dalam keluarga seperti penyakit serius atau kemalangan menyebabkan bayaran sewa atau ansuran pinjaman rumah yang tinggi itu tertunggak dan seterusnya rumah terpaksa dikosongkan atau dilelong .
  • Banyak keluarga B40 masih tinggal di rumah setinggan atau kawasan bukan milik keluarga tersebut, menyebabkan kehidupan keluarga sentiasa diancam dengan pengusiran.
  • Bilangan rumah yang tidak mencukupi dalam Program Perumahan Rakyat (PPR) dan PPR Termiskin (PPRT) menyebabkan keluarga berpendapatan rendah yang memohon rumah tersebut terpaksa menunggu terlalu lama.
  • Bencana alam seperti banjir yang kerap berlaku di Selangor menyebabkan kos membaik pulih rumah yang terlalu tinggi. Ada keluarga dari Taman Sri Muda, Shah Alam yang tidak dapat membayar ansuran pinjaman bank selepas menghabiskan wang untuk membaiki rumah selepas banjir.
  • Pinjaman perumahan daripada bank swasta yang hanya berdasarkan kepada keuntungan menyebabkan sukar untuk keluarga B40 mendapatkan pinjaman. Keluarga B40 yang tidak mempunyai simpanan tetap (fixed deposit) atau cagaran (collateral) menyebabkan ketua isi rumah mendapat markah rendah dalam pengiraan formula bank swasta.
  • Adanya ketua isi rumah B40 yang menjadi penjamin kepada pinjaman kewangan oleh kawan atau saudara mara yang tidak dapat menjelaskan pinjaman tersebut. Oleh sebab itu, mereka disenaraihitamkan oleh bank dan tidak dapat memohon apa-apa pinjaman lain.

Sejak penubuhannya, JRM Selangor telah mengadakan siri perjumpaan dengan keluarga-keluarga B40 di beberapa kawasan, seperti Shah Alam, Klang dan Kapar. JRM Selangor juga pernah berjumpa dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut tentang skim perumahan mampu milik bagi keluarga B40 di Selangor.

JRM Selangor berpandangan bahawa mekanisme pemilikan rumah yang wujud pada masa sekarang di bawah LPHS dan Perumahan Dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) tidak dapat menyelesaikan masalah perumahan mampu milik bagi B40 di Selangor. Ini kerana:

  • Banyak keluarga B40 yang tidak mampu membayar deposit tunai rumah sebanyak 10 %;
  • Banyak keluarga B40 gagal mendapatkan pinjaman bank swasta di atas pelbagai sebab;
  • Keluarga B40 hanya berkemampuan untuk membayar pinjaman perumahan pada sekitar RM200 hingga RM500 sebulan;
  • Harga rumah yang ditawarkan itu terlalu mahal dan di luar kemampuan keluarga B40.

JRM berpandangan bahawa perlu adanya inisiatif dan kesungguhan politik daripada Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah perumahan mampu milik bagi keluarga B40. “Kedua-dua kerajaan di peringkat negeri Selangor dan Persekutuan ialah Kerajaan Perpaduan, maka tidak mustahil untuk mencari penyelesaian kepada masalah rumah mampu milik di Selangor,” kata Suresh daripada JRM Selangor.

Dalam memorandum yang ditujukan kepada Dato’ Seri Amirudin Shari selaku Menteri Besar Selangor, JRM Selangor mengemukakan cadangan-cadangan berikut:

  • Mewujudkan semula Skim Sewa-Beli (Rent To Own) dan Skim Dana-Sel.
  • Memberikan subsidi terus untuk rumah Selangorku dan menawarkan pinjaman kerajaan Selangor (atau mempermudahkan pinjaman bank) bagi keluarga B40.
  • Kerajaan Negeri Selangor bersama Kerajaan Persekutuan berbincang dengan bank-bank swasta supaya membiayai atau menyediakan pinjaman dengan kaedah faedah yang sangat rendah kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk membina projek rumah mampu milik. Seterusnya Kerajaan Negeri Selangor boleh menawarkan rumah mampu milik kepada keluarga B40 dengan bayaran ansuran bulanan yang berpatutan. Perkara ini bukanlah begitu susah kerana beberapa bank swasta di Malaysia mempunyai milikan saham yang besar oleh Kerajaan Persekutuan melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
  • Kerajaan Negeri Selangor boleh menyediakan tanah secara percuma untuk projek-projek rumah mampu milik sementara Kerajaan Persekutuan boleh mengeluarkan dana untuk pembinaan rumah. Kos rumah akan menjadi lebih murah kerana kos tanah adalah percuma.
  • Kerajaan Negeri Selangor boleh menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk menyediakan rumah mampu milik untuk keluarga B40 di sektor perladangan di Selangor.
  • Menggunakan pengalaman dan kapasiti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk membina rumah mampu milik di Selangor yang selesa dan berkos rendah.
  • Kerajaan Negeri Selangor boleh menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk mengambil semula tanah-tanah yang terbiar di sekitar Lembah Klang. Jika terdapat struktur sedia ada di atas tanah tersebut yang masih sesuai, boleh mengubah suai struktur tersebut supaya menjadi rumah mampu milik.
  • Kerajaan Negeri Selangor bersama Kerajaan Persekutuan memberikan insentif seperti kredit cukai kepada syarikat pemaju projek rumah mampu milik di Selangor. Seperti dilihat dalam projek Stadium Shah Alam, Kerajaan Negeri Selangor juga boleh membayar pemaju projek rumah mampu milik dengan pemberian tanah di kawasan lain.
  • Kerajaan Negeri Selangor menerbitkan Bon mpak Sosial di mana syarikat yang membina projek rumah mampu milik dibayar secara berkala mengikut sukuk di masa hadapan.

JRM Selangor meminta pada Menteri Besar Selangor supaya mengadakan perbincangan dengannya untuk mengkaji bagaimana untuk menyediakan rumah mampu milik bagi keluarga B40 di Selangor dan menyelesaikan semua isu yang dibangkitkan.

JRM Selangor juga mengemukakan satu senarai nama keluarga B40 yang memerlukan campur tangan Kerajaan Negeri Selangor dalam penyediaan rumah mampu milik. JRM Selangor meminta pada Menteri Besar Selangor untuk mengkaji senarai tersebut yang merangkumi keluarga yang tinggal di kawasan-kawasan seperti Shah Alam, Klang, Kapar, Rawang dan sebagainya. Keluarga-keluarga B40 yang disenaraikan itu tidak memiliki apa-apa rumah atau tanah di mana-mana tempat di Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *