oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Kes Kinding Maju Sdn Bhd (KMSB) untuk mengusir 9 orang petani keluar dari sebidang tanah yang diambilnya mula didengar di Mahkamah Tinggi Ipoh pada 13 Mei 2024. KMSB cuba memohon perintah mahkamah untuk mendapatkan pemilikan kosong terhadap sebidang tanah seluas 47 ekar berdekatan Chemor, Perak, yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Perak kepadanya pada bulan April 2020. Nasib 9 orang petani sayur-sayuran yang keluarga mereka telah mengusahakan tanah tersebut sejak zaman sebelum Perang Dunia II sekarang ini sedang dipertaruhkan.

Beberapa fakta yang menarik, malah membimbangkan, telah didedahkan dalam pendengaran kes ini di Mahkamah Tinggi Ipoh. Yang pertama adalah, KMSB, sebuah anak syarikat kepada Liew Yin Yin Land Sdn Bhd, hanya memasukkan borang permohonan rasmi untuk tanah seluas 47 ekar ini pada 5 Mei 2020. Namun, keputusan untuk memberi hak milik tanah itu telah dibuat oleh Menteri Besar Perak pada masa itu, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, pada 13 April 2020.

Menurut keterangan yang dikemukakan dalam mahkamah, pengarah KMSB sekarang, Dato’ Sri Dr Ir Liew Mun Hon, telah menulis kepada Menteri Besar Perak pada 6 April 2020 untuk meminta tanah seluas 47 ekar ini. Dia menerima sepucuk surat bertarikh 14 April 2020 daripada Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Perak yang memaklumkannya bahawa Menteri Besar Perak telah meluluskan permohonannya pada 13 April 2020. Petani-petani yang mengusahakan tanah tersebut pada masa ini terkejut apabila mendengar ini, kerana sesetengah daripada mereka telah memohon untuk lesen pendudukan sementara (TOL) bagi tanah ini sejak tahun 1980-an telah tidak mendapat maklum balas daripada Kerajaan Negeri.

Peguam yang mewakili defendan, iaitu 9 orang petani berkenaan, kemudiannya bertanya pada Dato’ Sri Dr Ir Liew sama ada permohonannya untuk tanah tersebut telah melalui prosedur yang sepatutnya seperti pembentangan kepada dan kelulusan daripada Exco Tanah Perak, tetapi Dato’ Sri Liew menjawab bahawa dia tidak tahu tentang itu.

Satu lagi aspek yang menarik tentang kelulusan tanah ini adalah Dato’ Ruzaimi b Baharin, orang yang menandatangani surat bertarikh 14 April 2020 untuk memaklumkan Dato’ Sri Liew itu, telah ditukar jawatannya kepada Datuk Bandar Ipoh pada 1 April 2020. Dia bukan lagi PTG pada masa surat pemberian tanah seluas 47 ekar itu dikeluarkan. Fakta ini telah dibangkitkan oleh peguam yang mewakili petani-petani kepada Dato Sri Liew yang menjawab bahawa mungkin ini sebabnya kenapa PTG baharu, Dato’ Mohamad Fariz b Mohamad Hanip, telah mengeluarkan semula surat kelulusan pada 16 Jun 2020.

Perkara-perkara menarik lain yang telah timbul dalam pendengaran kes di mahkamah adalah:

  • KMSB hanya ditubuhkan pada 2 April 2020, kurang daripada 2 minggu sebelum ia diberikan hak milik tanah seluas 47 ekar;
  • Dato’ Sri Liew berkata bahawa apabila dia melawat tanah tersebut sebelum memohonnya, dia menyedari bahawa ia adalah tanah pertanian yang sedang diusahakan;
  • KMSB membayar RM17,521 sebagai premium kepada Kerajaan Negeri Perak untuk bidang tanah ini. Ini bersamaan dengan kira-kira RM373 per ekar, jauh kurang berbanding harga tanah pertanian di kawasan sekitar Ipoh yang pada harga kira-kira RM400,000 per ekar.

Peguam yang mewakili petani-petani kemudiannya bertanya pada Dato’ Sri Liew sama ada dia mengenali Menteri Besar secara peribadi, kerana Dato’ Sri Liew merupakan calon MCA untuk kawasan Parlimen Ipoh Timor dalam Pilihan Raya Umum 2008, di mana pada masa itu Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu ialah Ketua Pemuda UMNO Perak. Dato’ Sri Liew berkata bahawa dia tidak mengenali Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dari dahulu lagi.

Peguam yang mewakili petani-petani telah menyampaikan sapina kepada PTG sebelum ini dan sekarang serta Menteri Besar sekarang untuk hadir ke mahkamah supaya menjelaskan bagaimana dan kenapa tanah seluas 47 ekar ini diberikan hak milik kepada KMSB. Mereka yang disapina ini atau wakil mereka sepatutnya hadir ke mahkamah pada 14 Mei 2024.

Gambaran yang membimbangkan yang timbul daripada pendengaran kes mahkamah ini adalah Pihak Berkuasa Negeri, yang tidak mempedulikan permohonan berulangan daripada petani-petani yang sudah berada di kawasan itu sekian lama, telah mempercepatkan proses permohonan seorang pemaju jutawan walaupun Pihak Berkuasa Negeri jelas menyedari bahawa 9 orang petani ini bergantung pada tanah ini untuk menyara hidup mereka dan petani-petani ini sedang mengeluarkan sayur-sayuran untuk rakyat Malaysia. Lebih-lebih lagi, pemberian hak milik tanah yang berkedudukan strategik ini dilakukan pada kadar premium yang sangat murah!

Undang-undang tanah Malaysia memang memberi kuasa kepada “Pihak Berkuasa Negeri” untuk melupuskan tanah kerajaan kepada sesiapa yang dipilih oleh Pihak Berkuasa Negeri. Namun, sudah pastinya kuasa ini harus dibataskan oleh pertimbangan tentang keadilan untuk petani-petani kecil yang telah berada di atas tanah tersebut selama beberapa generasi, dan juga pertimbangan berkaitan dengan keterjaminan makanan untuk negara kita.

Tanah yang diperoleh KMSB pada tahun 2020 merupakan sebahagian daripada 2,900 ekar tanah pertanian di Ulu Kinta yang telah dilupuskan kepada pemaju untuk projek perumahan atau perindustrian. Ulu Kinta mempunyai 3,000 ekar tanah yang digunakan untuk penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan sejak 20 tahun dahulu. Sebahagian besar daripada 2,900 ekar tanah ini telah dilupuskan untuk “pembangunan”, dan di kira-kira 500 ekar tanah, petani-petani telah diusir keluar. Nampaknya agak berkemungkinan bahawa dalam beberapa tahun akan datang, sebahagian besar kebun sayur-sayuran yang masih mengeluarkan hasil akan dirobohkan.

Inilah sebabnya kenapa 8 kumpulan petani sayur-sayuran di kawasan Ulu Kinta yang sedang menghadapi ancaman pengusiran telah merayu pada Ahli Parlimen mereka yang juga merupakan Perdana Menteri untuk mencampur tangan dan membantu dalam menyelesaikan masalah mereka. Permintaan mereka adalah, demi kepentingan keterjaminan makanan bagi negara kita, kerajaan harus membatalkan keputusan tidak bijak yang diambil oleh Kerajaan Negeri Perak untuk melupuskan tanah pengeluaran makanan yang begitu besar kepada pihak pemaju. Mereka meminta pada Kerajaan Persekutuan untuk menyediakan dana yang diperlukan kepada Kerajaan Negeri Perak untuk mengambil semula tanah berkenaan dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah, supaya tanah berkenaan boleh dipajakkan untuk tempoh yang sesuai (10 hingga 20 tahun) untuk penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan.

Malangnya, sehingga kini, walaupun banyak surat telah diserahkan dan banyak permintaan untuk berjumpa, Perdana Menteri masih belum memberi respon. Malah, beliau tidak pernah menjemput petani-petani ini untuk perbincangan. Jadi, apa yang boleh dikatakan apabila seorang pemimpin yang telah lama berjuang untuk mendapatkan kuasa enggan menggunakan kuasa itu untuk melakukan perkara yang betul?

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).    

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *